- Ducati telah mengumumkan yang motosikal Ducati XDiavel 2018 mereka akan mendapat beberapa penambaikan yang baru termasuklah satu warna yang serba baru; Iceberg White.
- Ducati XDiavel S 2018 juga akan didatangkan dengan pakej suspensi serba baru yang memberikan lebih keselesaan bagi kedua-dua penunggang dan
pembonceng. - Dilengkapi dengan enjin V-berkembar Testastretta DVT 1,262cc, motosikal XDiavel ini menghasilkan 156hp dan 129Nm tork untuk tahap keriangan maksimum.
Bersiap-sedialah tuan-tuan dan puan-puan. Ducati telah mengumumkan yang motosikal Ducati XDiavel S 2018 mereka akan boleh didapati dalam masa terdekat dengan beberapa penambahbaikan yang baru. Pengemaskinian yang terbesarnya didatangkan dalam bentuk skema warna yang serba baru dinamakan “Iceberg White”.
Motosikal super cruiser dari pengeluar yang bertapak di Bologna ini tampak mengancam dan menggiurkan pada pandangan kami dan seperti namanya, rupa parasnya yang megah itu sama cantik dan garang menangani selekoh apabila dikemudi oleh mereka yang berkemahiran.
Selain dari warnanya yang baru itu, XDiavel S 2018 ini juga telah mendapat penambahbaikan pakej suspensi yang baru. Dan di sini kami ingin nyatakan yang kami tidaklah mempunyai sebarang rungutan dengan tunggangan XDiavel yang semasa (yang pada pandangan kami, cukup lancar) tetapi mereka di Ducati merasakan yang aturcara yang terbaru ini akan memberikan lebih keselesaan buat penunggang serta pembonceng.
Kami telah pun menunggang uji model semasa beberapa bulan yang lalu dan kami merasakan yang ianya satu pengalaman yang amat mengujakan
terutamanya ketika anda memerah ke semua kuasa dari enjin V-berkembar Testastretta DVT 1,262cc-nya itu. Secara keseluruhannya, XDiavel ini menghasilkan sejumlah 156hp pada 9,500rpm dan 129Nm tork pada 5,000rpm. Sesuai dengan gelarannya sebagai “power cruiser” atau “techno cruiser”.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ulasan eksklusif kami tentang Ducati XDiavel semasa, TEKAN SINI.
Selain dari prestasinya, Ducati XDiavel ini telah menerima beberapa anugerah untuk rekaannya yang halus itu. Hingga ke hari ini, “power cruiser” pertama dari Ducati ini telah terbukti menyerlah di pertandingan rekaan antarabangsa, setelah menggondoli anugerah berprestij di Eropah, “Red Dot Award 2016”. Motosikal XDiavel ini juga telah menerima sebuah lagi anugerah dari “Good Design Award 2016”.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penganugerahan “motosikal tercantik” kepada motosikal XDiavel ini, TEKAN SINI.
Ducati XDiavel ini tidak diragui lagi merupakan salah sebuah motosikal yang tercantik (atau pun yang paling cantik sekali) yang berada di pasaran sekarang. Untuk model semasa ianya berharga RM135,999 (harga asas beserta GST), tetapi tiada lagi berita mengenai harga XDiavel S Iceberg White 2018 atau sama ada ianya akan berada di pasaran kita.
TEKAN SINI bagi memeriksa sendiri spesifikasi lengkap Ducati XDiavel yang semasa.
Apa yang kita tahu adalah yang ianya akan membuat kemunculan awam pertamanya lewat minggu ini di Faaker See Rally di Austria. Tidak rasanya kami menantikan untuk melihatnya nanti!
Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini mengenai Ducati
Sumber: Ducati