Tahun lalu, gergasi motosikal India, Bajaj Auto telah memperkenalkan Dominar UG 400 yang telah dikemas kini dengan ciri ‘touring’.
Motosikal yang dilabel sebagai jentera ‘sport tourer’ itu telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu antaranya penghadang angin tinggi, handguard, slot pengecas UBS, pelindung enjin (bash plate) dan ‘carrier’ serta ‘back stopper’.
Dalam perkembangan terbaru, rakan media Paultan.org melaporkan bahawa Dominar baharu versi ‘touring’ itu akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi oleh pengedar tempatan, Modenas yang turut bertanggungjawab menjenamakan semula motosikal Bajaj untuk pasaran negara.
Bagaimanapun, model baharu itu akan terus menawarkan spesifikasi sama seperti Dominar D400 UG termasuk enjin satu silinder 373.3cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 40hp pada 8,650rpm dan 35Nm pada 7,000rpm.
Dengan permintaan semasa terarah kepada motosikal jenis ‘touring’, ternyata kemasukan Dominar versi baharu ini akan menggembirakan ramai kaki ‘touring’ yang mahukan motosikal seumpamanya dengan harga mampu milik. – Paultan.org