Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Seorang bapa di Jakarta telah dikecam teruk warganet selepas merakam anaknya yang berusia lima tahun menunggang motosikal.

Dalam video yang telah dimuat naik di Instagram itu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan menunggang skuter di sebuah kawasan lapang.

Dikatakan, kanak-kanak itu sedang belajar menunggang motosikal bawah pengawasan bapanya, namun dilihat kanak-kanak itu sangat kecil sehingga kakinya tidak cukup panjang untuk jejak tanah.

“Kanak-kanak belajar menunggang motosikal di bawah pengawasan bapanya,” demikian menurut keterangan pada video tersebut.

Video itu telahpun tular dan menerima kecaman teruk kerana perbuatan bahaya itu.

“Mengapa mahu ajar anak sekecil itu menunggang motosikal? Mahu kelihatan hebatkah? Itu bukan sayangkan anak, itu membahayakan anak,” kata seorang warganet.

“Kalau terjadi apa-apa perkara buruk, barulah ibu bapa mahu menangis. Kalau sayangkan anak, jagalah baik-baik,” ujar seorang lagi pengguna media sosial. 

WMoto Xtreme 150i merukan skuter ‘urban adventure’ yang dipasarkan di Malaysia sekitar Julai 2021 menerusi pengedar rasmi MForce Bike Holdings.

Setelah tepat setahun motosikal itu dipasarkan di Malaysia, MForce kini memperkenalkan WMoto Xtreme 150i Special Edition (SE) yang menampilkan pilihan warna Vibrant Green.

Namun, selain daripada pilihan warna baharu untuk tahun 2022, tiada perubahan dari segi spesifikasi dengan WMoto Xtreme 150i SE ini masih lagi dikuasakan enjin silinder tunggal 149.3cc, SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilakn 12.1hp pada 8,500rpm dan 11.8Nm pada 5,000rpm.

Antara ciri menarik ditawarkan:

  • berat 143kg
  • kapasiti tangki 11L
  • fungsi start-stop
  • sistem ABS
  • fork USD
  • monoshock belakang boleh laras
  • port pengecas UBS
  • lampu LED penuh
  • penghadang angin boleh laras


Melihat kepada info dikongsikan penjual tempatan, WMoto Xtreme 150i SE ini dipasarkan pada harga RM10,688.

Seorang lelaki telah memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Pasir Gudang, menyebabkannya dipukul tiga individu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian itu, kereta dipandu seorang lelaki bekerja sebagai mekanik yang berusia 24 tahun telah melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 30-an.

Beliau menjelaskan kejadian ini telah menyebabkan tiga orang lelaki menaiki kereta yang telah menyaksikannya berhenti dan membelasah pemandu yang menyebabkan kemalangan itu.

“Pada masa sama tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berada di belakang kenderaan yang dipandu lelaki terbabit menyaksikan kejadian itu.

“Ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara lingkungan 25 hingga 31 tahun kemudian keluar dari kereta sebelum memukul pemandu kereta tersebut,” katanya.

Tiga lelaki berkenaan dikatakan berang dengan perbuatan pemandu kereta tersebut yang memandu secara berbahaya.

Kata Raub, tiga suspek berkenaan tidak mengenali penunggang motosikal atau pemandu kereta berkenaan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meminta individu yang terbabit supaya tampil ke IPD berkenaan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh terus menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410,” katanya.

Kes kemalangan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59), manakala kes pukul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Seseorang telah merakam kejadian itu dan memuat naiknya di Facebook, di mana video itu telah tular.

Menerusi video terbabit kelihatan tiga lelaki dewasa memukul suspek di tengah jalan Lebuh raya Pasir Gudang, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Polis kini sedang memburu penunggang motosikal yang baru-baru ini telah tular melalui sebuah video di Facebook, yang menunjukkannya dalam keadaan khayal, dipercayai akibat menghidu gam.

Rakaman video berdurasi 40 saat itu telah dikongsikan halaman “Mynewshub” lebih kurang pukul 6.30 petang beberapa hari yang lepas.

“Menerusi rakaman tersebut, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan di sini melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

Video itu memaparkan motosikal itu ditunggang oleh seorang lelaki seorang diri sedang bergerak di lorong tengah lebuh raya.

“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” kata Nanda.

Beliau berkata, sehingga kini suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenalpasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.

Sebagai usaha menambah pendapatan, menjadi ‘rider’ penghantar makanan merupakan pilihan utama terutamanya ketika rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, ketika rata-rata yang berkerja sebagai penghantar makanan masih berusia muda, lain ksiahnya bagi Abd Rahman Md Idris, yang memilih menjadi ‘rider’ penghantar makanan di usia 67 tahun.

Lebih mesra dengan panggilan Pok Gus, dia berkongsi kisahnya kepada akhbar tempatan NST akan keputusannya untuk menjadi rider penghantar makanan di usia hampir 70 tahun.

“Saya tak boleh duduk rumah sahaja tanpa berbuat apa-apa.

“Saya ni mudah bosan, dan saya tak mahu minda dan badan jadi lemah,” katanya.

Rider ini yang mempunyai tiga anak dan juga tiga cucu memulakan rutin hariannya pada pukul 7.30pg, kemudian berehat sebentar pada pukul 1ptg dan sambung kerja penghantarannya dari pukul 5ptg hingga 7.30mlm.

Selepas berehat sebentar untuk solat, Pok Gus teruskan lagi bekerja sehingga 9mlm.

Pok Gus, yang tinggal di Ampang, berkata jadual kerjanya yang fleksibvel ini juga bergantung kepada tahap kesihatannya.

“Kalau saya rasa tak sihat ataupun penat, saya hanya berehat di rumah,” katanya yang pernah bekerja sebagai kontraktor Telekom dan juga pengurus bank.

Pok Gus yang merupakan peminat tegar motosikal juga merupakan sebahagian daripada kumpulan konvoi motosikal yang disertainya sejak usia masih muda.

Sebagai seorang penghantar makanan, dia memahami risiko kerja ini dan menegaskan kepentingan keselamatan jalan raya.

“Antara cabaran adalah menyelinap keluar masuk dalam kesesakan jalan raya dengan selamat untuk menghantar makanan ke pelanggan tepat pada waktunya.

“Saya juga terasa agak susah untuk naik tangga di bangunan apartmen apabila lif tak berfungsi,” katanya.

“Berdepan dengan pelanggan lapar dan marah pun agak susah juga!” tambahnya lagi.

Namun begitu, Pok Gus berkata terdapat juga pelanggan yang baik dan berterima kasih.

“Ketika menghantar makanan pada waktu Ramadan, saya mendapat tip RM100 dari seorang pelanggan,” katanya.

Pok Gus juga menyatakan harapannya untuk melihat perlindungan insurans kesihatan yang lebih baik dari agensi kerajaan untuk warga emas yang bekerja sebagai rider penghantar.

Pengeluar motosikal mewah Itali, Ducati akan kembali menyertai pameran motosikal terbesar EICMA bagi edisi 2022.

Ducati terlepas edisi 2021 tahun lalu ekoran memfokuskan pelancaran motosikal menerusi ‘Ducati World Premier (DWP) yang dijalankan secara strim langsung.

EICMA 2021 juga dijalankan tanpa beberapa jenama terkemuka termasuk BMW dan KTM dengan masing-masing memilih memperkenalkan model baharu dengan sendirinya dan secara atas talian.

Bagaimanapun, kilang Borgo Panigale akan kembali memeriahkan EICMA yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 November ini.

Ini kerana meskipun DWP berjaya menarik pelanggan namun EICMA sentiasa menjadi platform yang lebih berkesan dalam menarik minat orang ramai apatah lagi pelanggan dapat menyaksikan model terbaru Ducati dengan lebih dekat.

Namun, Ducati juga mengesahkan bahawa segala pelancaran motosikal baharu di EICMA 2022 akan turut ditayangkan secara strim langsung sebagai Ducati World Premier 2023.

Sebuah kereta jenis Nissan Skyline R32 yang menjadi antara model pameran di sebuah acara tempatan telah disita pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Polis turut bertindak menahan pemilik kereta tersebut gara-gara mengguna pakai logo dan livery PDRM.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang memaklumkan kereta dan pemilik telah ditahan sekitar malam tadi.

“Kami menerima maklumat kenderaan milik lelaki itu yang diletakkan dalam pameran autoshow itu menyerupai kenderaan MPV rasmi PDRM.

“Bertindak atas maklumat mengenai kenderaan yang tular di media sosial pada Sabtu sekitar pukul 10.30 malam, sepasukan bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah membuat pemerhatian dan menangkap suspek tempatan yang merupakan pemilik kepada kereta Skyline R32 itu,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Wan Kamarul menjelaskan pemilik kereta tersebut telah pun dibebaskan atas jaminan polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada PDRM untuk melaksanakan tugas.

“Siasatan masih diteruskan oleh polis ke atas suspek yang bekerja sebagai peniaga aksesori kereta.

“Suspek sudah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementera kertas siasatan akan dilengkapkan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya (TPR) untuk tindakan lanjut dalam kes ini,” tambahnya. – The Star

Sekumpulan penunggang motosikal telah membunyikan hon tanda tidak puas hati ekoran laluan mereka telah disekat gara-gara perlu memberi keutamaan kepada kenderaan VIP.

Berdasarkan video yang dikongsikan di media sosial, keadaan di persimpangan sebuah jalan raya bertukar kecoh apabila laluan pengguna jalan raya lain telah dihalang bagi memberi laluan kepada VIP.

Senario itu menyebabkan beberapa penunggang motosikal membunyikan hon sebagai tanda tidak berpuas hati dengan senario tersebut.

Sementara itu, netizen turut berkongsi luahan rasa tidak puas hati dengan perihal konvoi VIP di negara ini.

“Asyik kami nak kena beralah, beri laluan, kami pun kejar masa untuk kerja, awak senang dan kami tanggung jalan sesak,” jelasnya.

Ada juga yang berpendapat tidak adil bagi rakyat kerana setiap kali perlu mengalah semata-mata untuk beri laluan pada VIP.

“Tak akan kita sahaja kena mengalah, kita pun kejar masa nak pergi kerja, ada waktu memamng jalan akan sesak dan sebagainya, kalau nak sampai tepat pada waktu, bertolak awal, tak kira la awak VIP atau bukan,” katanya.

Sebelum ini, Perodua Kembara dikatakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) paling kurang berkuasa, tetapi kini ia menjadi rebutan semula, terutamanya dalam kalangan penggemar sukan lasak.

Perodua Kembara merupakan kembar kepada Daihatsu Terios di pasaran Jepun ini mempunyai ‘body’ yang kecil, dan mampu untuk mengharungi permukaan jalan tidak rata dan juga boleh menyelinap ke kawasan-kawasan sukar.

Sedekad yang lalu kenderaan ini boleh didapati dengan harga RM3,000, tetapi tidak lagi – harganya kini boleh mencecah RM18,000 sebuah.

Difahamkan kenderaan 4×4 pertama Malaysia ini menjadi pilihan golongan muda kerana kos selenggara yang murah serta bentuknya yang cantik.

Rata-rata orang ramai juga bersetuju harga kenderaan kebanggaan Malaysia itu dipelihara dan seterusnya menjadi ikon kepada kenderaan 4×4 yang lain.

“Memang harga Kembara tinggi sekarang, siapa yang ada tu simpan dan baik pulih semula. Jaga khazanah negara tu, ” jelas Ahmad Faizu.

“Buat masa ni banyak lagi di pasaran, bukan sukar nak cari tapi harga dah mula mahal jika dibandingkan sebelum ini.

“Kalau dulu orang kata Kembara kuat makan minyak, itu sebab jatuh murah. Tapi sekarang harga dah naik,” kata Zulfaiezi.

Astra Honda Motor akhirnya merasmikan pelancaran Honda ADV 160 untuk pasaran negara itu.

created by Polish

Bagi tahun 2022, skuter ‘adventure’ kompak itu kini dikuasakan enjin yang lebih besar, 156.9cc berbanding 149cc sebelum ini. Platform baharu itu juga menyaksikan Honda ADV 160 kini menawarkan 16hp dan 14.7Nm berbanding 14.8hp dan 13.8Nm sebelum ini.

Selain itu, naik taraf terbesar lain juga menyaksikan ADV 160 kini dilengkapi fungsi Honda Selectable Torque Control (traction control).

Dipasaran Indonesia, dua varian ditawarkan dengan varian standard hadir dengan fungsi brek CBS (Combine Braking System) sementara versi tertinggi dilengkapi HSTC dan ABS.

Menurut laporan rakan media Indonesia Iwanbanaran.com, versi ABS dengan HSTC ditawarkan pada harga INR39.25 juta (RM11.5k).

Bagaiamanapun, rekaan keseluruhan masih kekal sama seperti generasi sebelumnya namun beberapa ciri telah dinaik taraf antaranya di bahagian papan pemuka yang kini menampilkan meter digital berwarna manakala panel info yang memaparkan lampu isyarat, highbeam dan ABS kini telah disatukan dengan meter digital. – Iwanbanaran

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 143,630 notis saman kepada pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan trafik sepanjang tempoh antara 2019 hingga 23 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, semua notis saman itu dikeluarkan kepada 136,448 warga asing dengan antara kesalahan utama dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Bagi Selangor, seramai 566 warga asing dikesan melakukan kesalahan sama dengan 6,851 notis dikeluarkan JPJ,” katanya pada sidang media selepas Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25 dekat sini hari ini.

Operasi turut disertai Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 8 pagi tadi dan memfokuskan kepada pemandu warga asing di kawasan Seksyen 25 (Taman Sri Muda).

Permintaan terhadap motosikal jenis kapcai (bawah 150cc) mencatatkan peningkatan mendadak sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun PKP telah pun berakhir dengan negara kini beralih ke Fasa Peralihan Endemik namun permintaan terhadap kapcai tetap berada di paras tinggi.

Pemilik kedai motosikal di Pulau Pinang, Ooi Chin Keat berkata dengan wujudnya pelbagai syarikat penghantar makanan dan barangan, permintaan terhadap kapcai meningkat lebih 30 peratus sejak PKP bermula.

Jelas Ooi, kedainya berjaya jual sehingga 100 unit motosikal kacpai sebulan dengan permintaan tinggi bagi kapcai jenama Honda, Yamaha dan Modenas menyebabkan pelanggan perlu tunggu sekurang-kurangnya tiga bulan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Motosikal Pulau Pinang, Peter Ng berkata peningkatan jualan kapcai berkait dengan orang ramai mengambil kerja sambilan sebagai penghantar makanan dan barangan.

“Ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu, orang ramai memilih untuk membuat lebih dari satu pekerjaan dan pekerjaan itu salah satunya adalah penghantar makanan.

“Saya percaya mereka ini mahu memiliki sebuah kapcai untuk melakukan kerja sambilan mereka,” jelasnya. – The Star

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube