Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Sebuah helikopter dilihat terbang rendah, menyebabkan sekumpulan penghantar makanan cemas apabila ia berhampiran dengan mereka.

Video kejadian itu yang telah dikongsikan di laman Viral Perak di Facebook menunjukkan keadaan yang huru-hara apabila mereka terpaksa menahan motosikal masing-masing bagi mengelak dari terjatuh.

Beberapa buah motosikal yang diletakkan di kawasan berkenaan terjatuh oleh kerana angin yang terlalu kuat, dan ada juga bahagian yang terpatah.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Kampar, Perak susulan latihan yang dilakukan oleh pihak bomba.

Rata-rata orang ramai di ruangan komen turut bersimpati dengan nasib penghantar makanan terbabit serta ada yang mempersoalkan keberadaan mereka di kawasan tersebut.

“Benda ini nampak lucu, tapi sebenarnya kasihan kepada rider,” ujar Nora Hifah.

“Rasanya ini helikopter dalam sesi latihan yang dilakukan bomba. Sudah minta orang awam berada lebih jauh dari kawasan, tapi ramai yang nak lihat dari jarak lebih dekat. Dah terbalik motosikal,” kata seorang pengguna.

Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar, Gua Musang merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan ke kampung mereka.

Masalah kerosakan teruk di laluan itu yang tak pernah selesai menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian penduduk sejak lebih 50 tahun lalu.

Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Alek Busu, 60, berkata mereka sudah lama menanti pihak kerajaan membina jalan yang selesa bagi memudahkan mereka melakukan urusan di bandar Gua Musang termasuk ke hospital dan sekolah.

Alek berkata penduduk Orang Asli di situ tidak ingin terus bergadai nyawa setiap kali harus mengikuti jalan itu, dan amat berharap pihak kerajaan dapat membantu.

“Jalan ini amat penting kerana menjadi laluan keluar masuk kami setiap hari untuk hantar pesakit dan pelajar sekolah.

“Apabila kami buat aduan kepada pihak berkuasa, mereka seolah-olah tidak ambil endah. Guru yang masuk mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar turut berdepan masalah apabila motosikal dan kereta sering terbalik,” katanya.

Penghulu Kampung Manjun, Aja Along, 69, pula mendakwa, sebelum ini mereka dijanjikan dengan Projek Pembangunan Bersepadu di perkampungan Orang Asli Gua Musang, termasuk pembinaan infrastruktur jalan.

Namun begitu, setakat ini penduduk di situ tidak tahu mengenai status dan perkembangan projek berkenaan.

“Ketika musim tengkujuh baru-baru ini, pelajar dari Pos Balar bertolak pada pukul 3 petang untuk ke asrama dan pukul 5 pagi baharu sampai di bandar Gua Musang disebabkan jalan rosak,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa dari Pos Balar, Kamal Alek, 36, pula berkata ibu bapa di situ amat risau mengenai keselamatan anak-anak yang harus menggunakan jalan itu untuk ke sekolah.

Tambahnya lagi, penduduk di situ sudah membuat surat aduan kepada pihak berwajib mengenai masalah jalan ke perkampungan Orang Asli.

“Kami sekali lagi menghantar surat aduan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada Mac lalu supaya mengambil tindakan untuk menaik taraf jalan kampung Orang Asli yang amat teruk.

“Selain Pos Balar, pos penempatan yang masih menggunakan jalan balak ialah Pos Belatim, Pos Hau, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Simpor, Pos Pasik dan Pos Tohoi,” katanya.

Baru-baru ini telah tular video seorang pemandu Honda City menggunakan lorong motosikal di kilometer 34.1 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam di sini, dan kini polis sedang mencari pemandu itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Pengutkuasaan Siasatan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata pihak polis sedang usaha menyiasat kejadian itu.

“Satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengantkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kejadian tersebut Bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Susulan itu, pihak polis menyeru pemilik atau pemandu kereta serta mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Individu terlibat serta saksi boleh tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim di talian 013-3752511.

“Pihak polis juga ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan,” ujarnya.

Jenama motosikal India, Bajaj telah pun melancarkan Pulsar NS160 generasi terbaru untuk pasaran negara itu baru-baru ini.

Bagi tahun 2022, Pulsar NS160 telah dikemas kini dengan pelbagai naik taraf terbaru.

Rekaan keseluruhan NS160 2022 kini lebih moden dan sporty selaras dengan model Pulsasr N250 dan F250 yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Selain itu, NS160 2022 ini juga dilengkapi lampu LED dengan DRL yang dipinjam dari N250.

Menurut Bajaj, NS160 terbaru ini juga didatangkan dengan enjin satu silinder 164.82cc baharu yang kini menawarkan 16hp dan 14.65Nm serta dipadankan bersama transmisi 5-kelajuan.

Antara ciri baharu lain yang turut diperkenalkan adalah paparan meter separa digital serta port pengecas USB.

Sementara itu, aspek membrek juga kini telah dipertingkat dengan ABS dwi-saluran ditawarkan menggantikan ABS saluran tunggal sebelum ini.

Untuk rekod, Bajaja Pulsar NS160 2022 ini ditawarkan pada harga INR1.27 juta (RM7.1k).

Seorang lelaki maut ketika menunggang motosikal selepas motosikalnya dilanggar dari belakang dalam kejadian langgar lari di Kilometer 270 Lebuh Raya Utara Selatan, Arah Selatan dekat Nilai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 2.40 pagi melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

“Motosikal ditunggang oleh seorang lelaki berumur 22 tahun dari Shah Alam, Selangor menuju ke Segamat, Johor dan sampai di tempat kejadian telah dilanggar belakang oleh sebuah kenderaan tidak pasti.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kenderaan lain yang terlibat telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Sharveen Raj di talian  011-26176424 bagi membantu siasatan yang masih berterusan.

Selepas diperkenalkan secara global pada September tahun lalu di India, Hong Leong Yamaha Motor dengan rasminya melancarkan YZF-R15M untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan pada harga RM,998, jentera sportsbike 155cc generasi terbaru itu tampil dengan beberapa naik taraf terkini.

Antara aspek paling menonjol adalah rekaan keseluruhan R15M ini yang diinspirasikan daripada model terbaru, Yamaha YZF-R7.

Tetapan dua lampu kini digantikan dengan lampu LED tunggal yang diapit dengan dua lampu LED DRL (daytime running light).

Bahagian panel sisi juga menyerupai R7 dan berfungsi mewujudkan aerodinamik yang lebih baik dengan mengurangkan tahap ‘drag’ dari 0.307 kepada 0.293.

Sementara itu, bahagian sub-frame juga telah diperkuatkan bagi menambahbaik keseimbangan jentera.

Antara ciri lain diperkenalkan adalah fork jenis USD dan tempat duduk dengan kemasan ala gentian karbon, cakera brek depan dan belakang dengan bantuan ABS dwi-saluran.

Yamaha R15M ini juga dilengkapi paparan LCD digital dengan fungsi Yamaha Y-Connect yang boleh disambung ke telefon pintar menggunakan Bluetooth.

Namun apa yang mencuri perhatian, R15M ini juga didatangkan dengan fungsi quickshifter dan traction control sekaligus menghadirkan pengalaman menunggang yang lebih menarik.

Menurut laporan, quickshifter tersebut akan diaktifkan sebaik jentera melebihi kelajuan 20km atau rpm enjin melebihi 2,000rpm.

Yamaha R15M ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 155cc dengan penyejukan cecair yang dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan dan menawarkan 18.3hp dan 14.1Nm.

Pihak polis Penang telah menangkap seorang lelaki yang didakwa menyerang seorang polis trafik ketika cuba menyaman lelaki itu.

Dalamn sebuah kenyataan, ketua polis daerah Barat Daya berkata kejadian itu berlaku Isnin (Jun 27) selepas suspek ditahan di Jalan Tun Dr Awang akibat menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Namun begitu, suspek mula naik angin dan tidak menurut arahan polis untuk jangan merekod kejadian itu dengan telefon bimbitnya.

Anggota polis itu kemudian cuba menangkap suspek dan merampas telefon bimbitnya, mengakibatkan perbalahan.

Klip kejadian itu telah tular di media sosial.

Rizal berkata suspek telahpun ditangkap dan akan direman sehingga Jun 30, dan telefon bimbitnya juga telah dirampas.

“Suspek sedang disiasat kerana menyerang penjawat awam dan menghalangnya dari melaksanakan tugas, dan juga kerana tidak mematuhi arahan polis,” katanya lagi.

Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan bahawa dari Januari sehingga Mei tahun ini seramai 55,000 pemilik kenderaan telah ditangkap kerana membenarkan individu tak berlesen memandu kenderaan mereka.

Menurut timbalan ketua pengarah (perancangan dan operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli, kebanyakan kesalahan itu melibatkan ahli keluarga, terutamanya ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka, termasuk yang bawah umur, untuk memandu kenderaan mereka tanpa lesen.

Beliau berkata pemilik kenderaan yang ditangkap memberi pelbagai alasan, walaupun mengetahui bahawa perkara ini salah di sisi undang-undang.

Aedy bertambah bahawa berdasarkan pemerhatian dan analisis JPJ, sikap ini tidak berubah dalam kalangan pemilik kenderaan dalam masa beberapa tahun lepas, dengan ramai daripada mereka memandang enteng kesalahan ini.

Statistik sepanjang tempoh empat tahun lepas dari Januari 2019 sehingga Mei tahun ini menunjukkan seramai 347,300 pemilik kenderaan telah membenarkan individu tanpa lesen memandu kenderaan mereka.

Aedy Fadly mendesak orang ramai mengambil serius perkara ini, kerana mereka yang disabit kesalahan boleh dihukum bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, JPJ juga boleh merampas kenderaan pemilik bawah Seksyen 64(1) bawah akta yang sama.

Pengeluar motosikal China, Colove Motorcycles mnawarkan pelbagai model di pasaran negara itu.

Bagaimanapun, dalam satu langkah terbaru, Colove Motorcycles bakal membawa jenama itu ke pasaran global setelah memohon hak tanda dagangan di beberapa pasaran dunia.

Tibet Summit Colove Motorcycles Sales Co. Ltd (Colove) sebelum ini telah menjual motosikal di bawah jenama ‘Colove’ dan Excelle’ namun beberapa model terbaru kini memaparkan nama ‘Kove’.

Dalam perkembangan terbaru, Colove telah pun memfailkan tanda dagangan bagi nama ‘Kove Hyper’ secara serentak di beberapa negara antaranya, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Filipina, Mongola dan Malaysia.

Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa syarikat motosikal China itu akan membawa barisan model sedia ada untuk pasaran negara.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada Colove merancang memasarkan motosikal Kove dengan sendirinya atau menerusi pengedar sedia ada seperti MForce Bike Holdings yang ketika ini memasarkan beberapa jenama motosikal China antaranya, Benelli, Keeway, SYM, QJMotor dan WMOTO.

Sementara itu, antara model Colove yang mencuri tumpuan ketika ini adalah Excelle 800X dan Excelle 525X dengan kedua-duanya merupakan motosikal ‘adventure touring’.

Excelle 800X dihidupkan enjin parallel-twin 799cc LC8 dari KTM manakala Excelle 522X pula dikuasakan enjin Loncin 471cc parallel-twin yang menawarkan 53hp dan 50Nm.

JPJ telah mengumumkan BRA adalah nombor plat kenderaan seterusnya yang dibuka untuk bidaan di JPJ eBid.

Siri nombor plat terbaru Selangor ini akan dibuka untuk bidaan hari ini, dan tempoh bidaan ialah lima hari dan akan berakhir pada 10 malam Julai 3, dan keputusan pemenang bidaan akan diumumkan pada hari seterusnya.

Keseluruhan proses ini dilakukan dalam talian, dan pembida akan mendapat keputusan melalu emel sama ada dapat ataupun tidak nombor yang dibida.

Jika anda merancang untuk membeli kereta baru dan ingin nombor cantik, anda boleh membida di laman JPJ eBid sendiri tanpa perlu upah “runner”.

Nak BRA? Tunggu apa lagi!

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah memulakan operasi menebang sebanyak 19 pokok kelapa yang dikenal pasti berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan di Jalan Teluk Kumbar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata kerja menebang pokok kelapa berkenaan membabitkan 15 petugas MBPP serta dua jentera angkat atau skylift.

“Bermula dengan 11 pokok yang kita kenal pasti pagi tadi telah meningkat kepada 19 pokok setakat ini dan mungkin juga bilangannya boleh bertambah lagi dengan radius pemerhatian kami sejauh lebih 1 kilometer.

“Kami berharap urusan menebang kesemua pokok itu selesai lewat petang ini bagi memberi keyakinan kepada pengguna untuk menggunakan jalan itu,” katanya.

Operasi menebang kesemua pokok membabitkan laluan yang agak sibuk menghubungkan Teluk Kumbar dan Balik Pulau dengan satu lorong jalan terpaksa ditutup sehingga menyebabkan kesesakan di jalan terbabit, membuatkan operasi itu lebih mencabar.

Azrul Mahathir berkata, kesemua pokok kelapa dari Jalan Teluk Kumbar hingga Jalan Sungai Batu terbabit berada di atas tanah milik MBPP yang dijadikan rizab jalan selain tanah milik persendirian.

Katanya, kebanyakan pokok kelapa itu hanya dibiarkan tanpa dijaga rapi atau dikutip hasil oleh pemiliknya dan tiada aduan dilakukan pemilik pokok berkenaan.

Sebelum ini, satu rakaman video menunjukkan sebiji buah kelapa menimpa pembonceng motosikal yang melalui Jalan Teluk Kumbar menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang telah tular.

Unsur khianat disyaki apabila bengkel motosikal di Melor, Kota Bharu, milik seorang mekanik terbakar dan musnah, menyebabkan kerugian bernilai RM35,000.

Kejadian itu disedari oleh pemilik bengkel, Mahadi Zulkifli, 51, kira-kira pukul 3.50 pagi apabila terdengar bunyi letupan dari bengkel yang terletak sebelah rumahnya yang menyebabkannya terbangun dari tidur.

Ketika itu, dia turut terhidu bau hangit dari arah bengkelnya yang menempatkan empat buah motosikal miliknya dan anak saudara untuk dibaiki.

“Melihat situasi itu, saya terus menghubungi bomba. Dalam keadaan kelam kabut, saya tidak sempat menyelamatkan motosikal jenis Yamaha 155, Yamaha Y15, Yamaha Ego dan Modenas Kriss.

“Saya mengesyaki ada perbuatan khianat dan meminta agar pihak polis menjalankan siasatan selain mengambil tindakan segera terhadap orang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd. Roslan Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 3.54 pagi.

“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 4.19 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya tiga minit kemudian.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran itu,” katanya. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube