Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Rasanya umumnya tahu harga Grab sekarang melambung tinggi, tetapi kelihatan seperti akan ada persaingannya yang mungkin dapat membantu keadaan.

Gergasi teknologi Indonesia, Gojek, mungkin bakal memberi perkhidmatannya di negara kita berikutan sebuah Honda City dilihat di bandar Kuala Lumpur yang menayangkan lambang Gojek di sisinya, yang mungkin sebahagian daripada ujian oleh syarikat itu.

Sebelum ini, pada tahun 2019, Gojek dan juga syarikat e-hailing motosikal lain telah menjalankan ujian selama enam bulan di Malaysia, tetapi malangnya tak dibenarkan beroperasi.

Namun begitu, selain e-hailing motosikal, Gojek juga menawarkan perkhidmatan sama seperti Grab di Asia Tenggara, termasuk e-hailing kereta iaitu GoCar.

Oleh itu, Gojek mungkin akan memasuki Malaysia sebagai persaingan bagi Grab, sama seperti di negara Asia Tenggara yang lain.

Walaupun ini semua hanya spekulasi, dan tiada apa-apa maklumat pasti, Malaysia merupakan pasaran yang bagus untuk Gojek, dan ia juga mempunyai sumber untuk menyaingi Grab.

Sementara itu, Grab sedang mengadakan kempen yang berakhir pada 31 Julai, 2022, di mana pemandu baru yang mendaftar dengan syarikat itu akan mendapat bonus pendaftaran RM1,000 jika mereka mencapai KPI tertentu iaitu:

  • Akaun pemandu Grab diaktifkan antara 1 Jun – 31 Julai 2022
  • Pemandu harus melengkapkan 30 perjalanan (Pengangkutan) dalam jangka masa 30 hari dari tarikh pengaktifan untuk mendapatkan bonus RM500; atau
  • Lengkapkan 60 perjalanan (Pengangkutan) dalam jangka masa 30 hari dari tarikh pengaktifan untuk mendapat bonus RM1,000
  • Bonus akan dibayar melalui Grab cash wallet

Selain bonus pendaftaran di atas, Grab juga menawarkan subsidi penuh untuk pemandu yang ingin mengambil PSV.

Kawasaki Ninja ZX-25R kini menjadi motosikal 250cc paling berkuasa sejak dilancarkan di Indonesia, dua tahun lalu.

Manakan tidak, enjin empat silinder 249.8cc DOHC, 4-valve dengan penyejukan cecair itu mampu menghasilkan 50hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm pada 14,500rpm.

Dengan enjin yang mampu ‘rev’ sehingga 17,000rpm, ZX-25R ternyata tiada lawan yang setaraf.

Jentera suku liter dari Kawasaki itu juga turut menghasilkan impak besar sejak dilancarkan, dengan beberapa siri perlumbaan khas bagi jentera ZX-25R telah diwujudkan di Jepun.

Bukan itu sahaja, permintaan tinggi terhadap model itu di Asia juga menyaksikan pelbagai alat ganti ‘aftermarket’ ditawarkan penjual.

Bagaimanapun, pakej terbaru daripada pakar alat ganti ‘aftermarket’ di Jepun, Trick Star, menawarkan sesuatu yang luar biasa.

Ini kerana Trick Star kini menawarkan kit turbo khas bagi Kawasaki ZX-25R di Jepun!

Kit turbo tersebut akan menggandakan kuasa ZX-25R kepada 100hp dan mampu membantu model itu mencecah kelajuan maksima setinggi 240km/j.

Bagaimanapun, bagi yang rasa gerun dengan 100hp, Trick Star juga menawarkan kit turbo yang meningkatkan kuasa kepada 60hp naik 10hp berbanding enjin standard.

Namun, Trick Star mengingatkan bahawa kit turbo itu hanya sesuai untuk kegunaan di litar atau pameran sahaja kerana boleh melanggar standard emisi dan gangguan bunyi di tempat awam.

Laluan Jalan Temiang-Pantai, yang juga dikenali sebagai “New Zealand Malaysia” kini mendapat perhatian Polis Negeri Sembilan, dan dijadikan sektor rondaan khusus, terutamanya pada waktu siang.

Rondaan dijalankan sekurang-kurangnya dua syif sehari, demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata ini disebabkan laluan sepanjang 8km itu menarik perhatian orang ramai untuk berhenti dan bergambar, serta beriadah.

“Sebagai langkah keselamatan di laluan itu, polis menjadikan jalan berkenaan sebagai satu sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, rondaan khusus di laluan berkenaan membabitkan 173 anggota trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dan Seremban memandangkan laluan itu di bawah kawasan pentadbiran kedua-dua IPD selain turut dibantu anggota dari IPK sendiri.

Dua kemalangan maut telah direkodkan di laluan itu, yang membabitkan penunggang motosikal dan basikal.

“Daripada 8 hingga 20 Jun lalu, kami melaksanakan Op Nasihat. Sebanyak 43 rondaan berkala dilaksanakan dengan serama 210 individu diberikan nasihat keselamatan di lokasi itu.

“Bagaimanapun, masih terdapat orang awam yang degil meskipun sudah diberi nasihat dan kami terpaksa mengeluarkan saman.

“Dalam tempoh Januari lalu hingga 21 Jun lalu, sebanyak 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya membabitkan berhenti di bahu jalan,” katanya.

Pelumba LCR Honda, Alex Marquez dilaporkan akan meninggalkan LCR Honda hujung musim ini.

Bekas juara dunia Moto2 itu didakwa telah membuat keputusan sertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing bagi musim 2023 dan akan bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio.

Marquez akan mengisi kekosongan ditinggalkan Enea Bastianini yang akan berpindah sama ada ke factory Ducati atau Pramac Racing (Ducati).

Sementara itu, perpindahan Marquez ke Gresini secara tidak langsung mengesahkan pelumba KTM, Miguel Oliveira, akan sertai pasukan satelit Aprila baharu, RNF Racing musim depan.

Oliveira sebelum ini cuba dipancing Gresini namun pelumba Portugal itu memilih untuk sertai projek baharu Aprilia kendalian Razlan Razali.

Pada masa sama, perpindahan Marquez juga membuka ruang buat Alex Rins sertai LCR.

UMW Toyota Motor dengan rasminya membuka tempahan bagi Toyota Veloz serba baharu.

Telah pun dilancarkan di Indonesia sekitar November tahun lalu, kenderaan crossover dengan tujuh tempat duduk itu muncul sebagai kereta ketiga paling laris di negara itu bagi April 2022.

Bagi pasaran negara, Toyota Veloz akan tampil dengan varian 1.5L (2NR-VE) yang mampu menghasilkan 105hp dan 137Nm serta dipadankan bersama transmisi CVT 7-kelajuan.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini menampilkan pelbagai ciri moden antaranya:

  • daytime running light (DRL)
  • rim 17-inci
  • Toyota Safety Sense (TSS) – Pre-Collision System dan Adaptive Cruise Control
  • electronic parking brake (EPB)

Sementara itu, Toyota Veloz ini juga didatangkan dengan skrin bersaiz 9-inci yang menawarkan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto dan skrin info MID 7-inci.

Bagi pasaran negara, Veloz tampil dengan lima warna pilihan; Silver Metallic, Blue Metallic, putih, Metallic Bluish Black dan Red Metallic.

Menurut UMW Toyota, Toyota Veloz 1.5 dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran bermula dari RM95,000 tanpa insurans.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru sahaja memuat naik ‘teaser’ baharu di laman sosial rasmi beberapa hari lalu.

Meskipun ‘teaser’ berdurasi 23 saat itu tidak mendedahkan sebarang bayangan motosikal namun berdasarkan slogan ‘Yamaha MSeries’ di samping klip sepintas lalu menunjukkan senario di jalan raya dan litar maka berdasarkan klu tersebut hampir pasti merujuk kepada motosikal yang sesuai ditunggang dalam kedua-dua senario.

Nantikan Motosikal M-Series Terbaru! #YamahaMotorMalaysia #MSeries

Posted by Yamaha Motor Malaysia on Wednesday, 22 June 2022

Tidak dinafikan klu yang dikongsikan itu mungkin juga merujuk pada Yamaha YZF-R1M namun jika melihat kepada sejarah HLYM sebelum ini, model tersebut tidak dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

Jadi bersandarkan faktor itu, maka adalah relevan bahawa ‘teaser’ tersebut merujuk kepada Yamaha YZF-R15M.

Apatah lagi model ‘sportsbike’ 155cc itu telah pun dipasarkan di India sekitar September 2021 dan seterusnya di negara jiran, Indonesia pada Disember tahun sama.

Berdasarkan model yang dilancarkan di India dan Indonesia, ciri menarik R15M tentunya memfokuskan fungsi ‘traction control’ serta ‘quickshifter’ yang akan melengkapi sistem ABS sedia ada.

Selain itu, R15M masih lagi dikuasakan enjin 155cc SOCH dengan VA yang menawarkan 18hp pada 10,000rpm dan 14.2Nm pada 7,500rpm.

Pemilik bengkel motosikal di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, Melaka kerugian besar apabila bengkelnya ditenggelami air dalam bencana banjir kilat, pagi tadi.

Mohd Fadhlan Jaafar, 36, memberitahu bahawa sebanyak 20 motosikal pelanggan telah tenggelam dalam kejadian tersebut yang hanya disedari sekitar jam 8 pagi.

Lebih perit, daripada 20 motosikal tersebut, lima daripadanya telah pun selesai dibaiki dan hanya menanti untuk diserahkan kepada pemilik masing-masing.

““Habis semua 20 buah motosikal pelanggan dalam kedai tenggelam. Lima daripada motosikal itu juga sudah selesai dibaiki.

“Sepatutnya diambil oleh pelanggan, tapi tak sangka pula berlaku bencana ini,” jelasnya.

Tambah Farhan, dia cuba juga untuk menyelamatkan motosikal pelanggannya namun ekoran paras air naik hingga ke lutut dia bimbang berdepan risiko lain.

Bagaimanapun, Farhan mampu menarik nafas lega kerana pelanggan faham dengan situasi dihadapinya namun dia masih menampung kerugian.

“Mujur pelanggan faham dan tidak mengamuk, namun saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat banjir kilat ini.

“Ini kali keempat saya kena tahun ini dan kejadian yang paling teruk, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dah korek (dalamkan) longkang, kalau tak lagi teruk rasanya,” tambahnya.

Pelumba MotoGP, Miguel Oliveira dan Alex Rins dilaporkan sudah pun mengesahkan pasukan baharu bagi musim 2023.

Menurut laporan Sky Italia, Oliveira akan meninggalkan KTM hujung musim ini dan berhijrah ke pasukan satelit baharu Aprilia kendalian Razlan Razali.

Perpindah anOliveira sudah pun dijangka apatah lagi pasukan Red Bull KTM mengumumkan telah menandatangani Jack Miller dari Ducati untuk dua musim.

KTM juga menawarkan peluang untuk Oliveira turun ke pasukan Tech3 namun senario itu tidak dipersetujui pelumba Portugal itu yang mahu kekal dengan mesin factory.

Sky Italia turut melaporkan bahawa RNF Racing telah mengikat Oliveira dengan kontrak dua tahun.

“Miguel Oliveria telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Aprilia untuk beraksi bersama pasukan satelit RNF Racing kendalian Razlan Razali,” jelas laporan tersebut.

Difahamkan, Oliveira hampir berpindah ke Gresini namun tiada bentuk persetujuan formal dicapai sebelum pelumba itu buat keputusan sertai Aprilia.

Sementara itu, pelumba Suzuki, Alex Rins dilaporkan akan sertai LCR Honda.

Ini kerana dengan khabar angin kuat mengatakan rakan sepasukan, Joan Mir akan sertai Repsol Honda, pasukan Jepun itu didakwa turut memancing Rins untuk LCR Honda.

Pada masa sama, kegagalan mendapatkan khidmat Oliveira memaksa Gresini untuk mencari calon lain dengan Enea Bastianini dilaporkan akan berpindah ke pasukan factory Ducati atau Pramac Racing.

Juara dunia Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2021, Toprak Razgatlioglu akhirnya berpeluang merasai sendiri kemampuan jentera MotoGP Yamaha YZR-M1 di Litar Motorland Aragon.

Razgatlioglu ditemani pelumba uji Yamaha dan bekas pelumba MotoGP, Cal Crutchlow  sewaktu menjalani beberapa pusingan bersama jentera tersebut.

Selain itu, Razgatlioglu juga pertama kali merasai penggunaan tayar Michelin, selain ‘seamless gearbox’, kuasa lebih tinggi dan elektronik yang berbeza dari jentera WorldSBK R1 miliknya.

Meskipun catatan masa rasmi tidak didedahkan kepada umum namun terdapat laporan mengatakan catatan Razgatlioglu tak jauh dari yang ditetapkan Crutchlow.

“Ini merupakan hari pertama saya merasai jentera MotoGP Yamaha M1 dan sememangnya rasa jauh berbeza dari R1 saya.

“Kuasa lebih tinggi, elektronik jauh berbeza dan ‘seamless gearbox’ adalah perkara baru untuk saya.

“Saya belajar banyak selepas setiap lap kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP. Tetapi saya bernasib baik kerana adanya Cal Crutchlow membantu saya dan sering memberikan nasihat,” jelas Razgatlioglu.

Bagaimanapun, tiada tempat untuk Razgatlioglu di pasukan Yamaha MotoGP musim depan tatkala pasukan factory Yamaha akan kehilangan pasukan satelit RNF Racing yang akan beralih ke Aprilia bagi musim 2023.

Ini bermakna, Razgatlioglu akan terus beraksi di WorldSBK sehingga ada tempat untuknya selepas musim 2023.

Pelumba Moto2, Pedro Acosta tidak akan beraksi di GP Belanda hujung minggu ini di Litar Assen selepas mengalami kecederaan patah kaki.

Perkara itu disahkan pasukan Red Bull KTM Ajo yang menjelaskan bahawa Acosta mengalami patah tulang femur kiri dan akan menjalani pembedahan pada Rabu.

Menurut laporan, pelumba berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika sesi latihan motocross dan ketika ini telah pun berada di Barcelona untuk jalani pembedahan.

Ketika ini, KTM Ajo tidak memberikan tempoh pelumba Sepanyol itu akan diketepikan namun memandangkan kejuaraan dunia Moto2 akan berehat selama lima minggu selepas GP Belanda sebelum kembali bersambung di Silverstone pada 7 Ogos, jarak waktu tersebut akan memberi peluang pada Acosta untuk kembali pulih.

Acosta ketika ini menghuni kedudukan kelapan dalam kejuaraan dunia Moto2 dan menamatkan saingan minggu lalu di tempat kedua.

Tahun lalu, Acosta menjadi pelumba ‘rookie’ pertama untuk menjuarai Moto3 selepas kali terakhir dilakukan Loris Capirossi.

Pembinaan pintasan Terowong Menora dari Gopeng ke Kuala Kangsar akan mula digerakkan sebaik kajian kesan terhadap alam sekitar, trafik dan sosial selesai.

Perkara itu disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof selepas mendedahkan bahawa cadangan pembinaan laluan alternatif sepanjang 64 kilometer itu telah pun dapat lampu hijau dari kabinet.

“Kabinet telah bersetuju (secara prinsipal) dengan cadangan pembinaan lebuh raya Gopeng-Kuala Kangsar bagi mengelakkan kesesakan di Terowong Menora.

“Sebaik diluluskan, syarikat pembinaan terlibat perlu mematuhi syarat yang ditetapkan pihak Lembaga Lebuhraya Malayia (LLM) dan kerajaan.

“Salah satu syarat dikenakan adalah kajian kesan terhadap alam sekitar. Selain itu, syarikat berkenaan juga perlu mengadakan kajian terhadap impak pada sosial dan trafik bagi memastikan projek ini berdaya maju,” jelas Fadillah.

Meskipun mendapat lampu hijau dari kabinet namun Fadillah menjelaskan segalanya akan bergantung kepada keputusan kajian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah pun menyuarakan persetujuan terhadap pembinaan laluan pintasan Terowong Menora itu, 16 Mei lalu.

Menurut Saarani, projek tersebut akan membantu mengurangkan angka kemalangan di kawasan tersebut yang terkenal sebagai lokasi ‘hotspot’ kemalangan kenderaan. – NST

BMW Motorrad akan memperkembangkan portfolio kerjasama dengan TVS Motor Company dengan memperkenalkan G 310 RR pada 15 Julai ini di India.

BMW G 310 RR bakal sertai G 310 R dan G 310 GS yang telah pun ada di pasaran dunia sejak 2015.

Bagaimanapun, berbanding G 310 R dan G 310 GS yang tampil sebagai jentera ‘roadster’ dan ‘touring’, G 310 RR merupakan model ‘sportbike’ yang dibina berasaskan TVS Apache RR 310.

Ramai yang menjangkakan G 310 RR akan hadir apatah lagi sejak TVS dan BMW bekerjasama dalam membangunkan Apache RR 310 untuk pasaran India dan global pada tahun 2018.

Punca penangguhan itu tidak dapat dikenal pasti namun menurut BMW Motorrad India, G 310 RR akan dilancarkan secara rasmi pada 15 Julai ini dengan pengedar rasmi di negara itu telah pun menerima tempahan.

Sementara itu, berdasarkan beberapa teaser dikongsikan, BMW G 310 RR disahkan akan menawarkan beberapa ciri menarik antaranya sistem suspensi KYB boleh laras depan dan belakang, serta paparan TFT berwarna.

Menariknya, ‘teaser’ terbaru juga mendedahkan G 310 RR akan mendapat grafik dan warna yang diinspirasikan daripada model S 1000 RR.

Selain itu, BMW G 310 RR dijangka dikuasakan enjin satu silinder 313cc empat-valve yang mampu menghasilkan 34hp pada 9,500rpm dan 27.3Nm pada 7,500rpm sama seperti ditawarkan Apache RR 310.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube