Tahun 2022 menandakan banyak permulaan baharu bagi pelumba tajaan Arai.
Maverick Vinales berhijrah dari Yamaha Ke Aprilia Racing MotoGP sementara pelumba Pata Yamaha, Toprak Razgatlioglu muncul juara dunia WorldSBK 2021 mengatasi wakil Kawasaki, Jonathan Rea.
Sebagai permulaan 2022, helmet ‘flagship’ RX-7X kini menampilkan warna dan ‘livery’ pelumba Kejuaraan Superbike Britain, Takumi Takashi dan mendiang Nicky Hayden.
Sementara itu, Arai Astro GX tampil dengan grafik Spine dengan gabungan warna putih/hitam/emas serta hijau/hitam dan merah/hitam.
Seterusnya, Arai Astro GX Quantic pula menampilkan warna ‘fluorescent’ yang diinspirasikan daripada Rock era 80-an.
Arai Rapide Neo replika Wes Cooley yang telah diperkenalkan sebelum ini di Tokyo Motorcycle Showa juga datang dengan tiga rekaan warna dan grafik baharu bagi tahun 2022.
Bagi peminat Takaaki Nakagami, Arai juga menampilkan replika helmet pelumba Jepun itu bagi model VZ-Ram.
Seperti helmet RX-7X yang dipakai Nakagami di MotoGP, helmet VZ-Ram replika tersebut menampilkan corak bunga ‘cherry blossom’ penuh.
Bagi yang berminat, barisan helmet Arai 2022 ini sudah pun dipasarkan di Jepun namun masih tiada pengesahan bila akan dilancarkan di pasaran global lain termasuk Malaysia.
Honda Malaysia dalam satu kenyataan rasmi mengumumkan panggilan semula model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V.
Panggilan semula itu babitkan 1,527 unit kesemuanya dengan 1,068 libatkan model City (2021) dan City Hatchback (2022), manakala baki 343 unit lagi adalah HR-V (2020) dan 116 unit BR-V (2021).
Menurut Honda Malaysia panggilan semula ini adalah langkah berjaga-jaga bagi memeriksa dua aspek penting; nut tork pada Alternating Current Generator (ACG) bagi model City dan City Hatchback serta pemeriksaan terhadap bolt pembumian bagi model HR-V dan BR-V.
Pemeriksaan terhadap dua perkara ini adalah bagi memastikan tahap pengetatan nut di ACG dan bolt pembumian. Ini kerana sekiranya longgar, boleh menyebabkan tahap sentuhan terminal lemah sekaligus mampu mebawa kepada enjin terhenti semasa pemanduan atau sukar dihidupkan kembali selepas kereta dimatikan.
Kesemua pemilik yang terkesan dengan panggilan semula ini akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan dan boleh menghubungi pengedar sah Honda setelah menerima surat terbabit.
Segala kos penyelenggaraan akan ditanggung sepenuhnya pihak Honda Malaysia.
Perkongsian terbaru PT Astra Honda Motor selaku pengedar rasmi jenama Honda di Indonesia telah berkongsi ‘teaser’ baharu di akaun Instagram yang memaparkan sebuah skuter ‘adventure’.
Melihat kepada rekaan ditampilkan sememangnya mirip Honda ADV 150.
Namun, kami menjangkakan ‘teaser’ tersebut merujuk kepada ADV 160 seperti yang pernah disebut-sebut sebelum ini.
Ini kerana Honda telah pun memperkenalkan PCX 160, Vario 160 dan terbaru Air Blade 160 di pasaran sebelum ini (kecuali Malaysia) dengan masing-masing menerima enjin baru 156.9cc menggantikan platform 150cc sebelum ini.
Bagaimanapun, selain daripada enjin, ADV 160 juga dijangka tampil dengan perubahan kosmetik seperti yang dilaksanakan pada Vario 160.
Berdasarkan spesifikasi enjin Honda Vario 160, enjin satu silinder dengan suntikan bahan api itu menjana 15hp pada 8,500rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm.
Kementerian Kerja Raya memerlukan sekurang-kurangnya peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk memperbaiki jalan Persekutuan di Semenanjung.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjelaskan peruntukan besar tersebut babitkan belanja baik pulih kerosakan, penurapan semula termasuk pembinaan jalan baharu.
Bagaimanapun, Fadillah akui terdapat banyak kekangan dihadapi pihak kerajaan ketika ini.
“Kami sedar banyak keutamaan lain yang perlu dipertimbang sebelum peruntukan dikeluarkan, dan dalam sesetengah kes dana itu tidak mencukupi seperti RM68 juta yang diperuntukan untuk perbaiki jalan Persekutuan di laluan FT004 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dari Gerik ke Jeli, Kelantan.
“Kami bukan cuba salahkan Kementerian Kewangan tetapi ini adalah cabaran yang sedang dihadapi.
“Namun, kami akan cari cara untuk memperbaiki situasi ini dalam jangka masa pendek dan panjang,” jelas Fadillah.
Pada masa sama, Menteri Kerja Raya itu juga mendedahkan pihaknya telah pun mengenal pasti jalan raya di bahagian Semenanjung Malaysia yang perlu diperbaiki selepas lima atau tujuh tahun ekoran permukaan asal tidak lagi mampu menangani jumlah trafik tinggi.
Sementara itu, Fadillah memberitahu bahawa kesemua jalan Persekutuan dijangka siap dibaik pulih menjelang tahun depan. – The Star
Seorang penoreh getah sanggup menaiki bot selama 45 minit bersama-sama motosikal jenis Honda C70 sebelum menunggang lebih 20 kilometer untuk mengisi minyak percuma dalam program anjuran syarikat kosmetik di Taman Guchil Jaya, Kuala Krai, pada Sabtu.
Che Ibrahim Che Wan, 53, membawa motosikalnya menaiki bot seawal 8 pagi untuk menjadi antara 1,000 peserta program isi minyak motosikal percuma anjuran Abam Peah Holding Sdn Bhd.
Che Ibrahim turut membawa dua botol 1.5L untuk mengisi minyak percuma yang ditawarkan penganjur.
“Saya mengetahui mengenai majlis ini selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung yang melihat hebahan program menerusi media sosial sejak empat hari lalu.
“Ini merupakan peluang buat saya untuk meringankan bebanan kewangan. Ini kerana, saya perlu membeli petrol berharga RM10 setiap hari untuk diisi ke dalam bot dan motosikal sebelum keluar menoreh getah,” jelasnya.
Pengecualian cukai SST bagi kenderaan penumpang akan tetap berakhir pada 30 Jun ini umum Kementerian Kewangan Malaysia.
Bagaimanapun, susulan masalah kekurangan cip semikonduktor yang melanda dunia ketika ini, lebih 264,000 kenderaan yang ditempah sewaktu dalam tempoh pengecualian masih belum diserahkan kepada pelanggan.
Untuk itu, kerajaan telah melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan yang ditempah ketika tempoh pengecualian SST sehingga 31 Mac 2023 bagi membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai tersebut sewajarnya.
Sejak pengecualian cukai SST diperkenalkan pada 15 Jun 2020, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah berjaya dijual dengan rakyat Malaysia menikmati pengecualian cukai sehingga RM4.7 bilion.
Pengecualian cukai SST kereta – 100% bagi CKD dan 50% bagi CBU – dilaksanakan sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Baru-baru ini, timbul kembali cadangan melupuskan kenderaan yang melebihi 10 tahun sebagai usaha mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dalam negara.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, usul tersebut memerlukan kajian terperinci di samping perlu mengambil kira kesediaan orang ramai.
Baru-baru ini timbul laporan bahawa terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun hanya 22 juta yang masih aktif perbaharui cukai jalan.
Rata-rata mendakwa lambakan kenderaan melebihi populasi 32.6 juta rakyat Malaysia itu merupakan antara punca kesesakan jalan raya yang melanda negara sejak musim perayaan Aidilfitri, baru-baru ini sehingga cadangan lupuskan kerajaan dibangkitkan semula.
“Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita.
“Penyelesaian isu kesesakan di jalan raya kita bukan itu sahaja (pelupusan kenderaan lebih 10 tahun) kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.
“Jika dasar ini mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di luar bandar dan kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” jelas Wee Ka Siong.
Sebanyak 307 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang berkonvoi di Kilometer 116 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tanjung Malim, pada Ahad.
Perkara itu disampaikan Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir yang menjelaskan bahawa kesemua saman dikeluarkan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan.
Menurut Mohd Hasni, pihaknya telah menerima info menerusi laman media sosial Twitter yang melaporkan terdapat satu kumpulan konvoi besar penunggang motosikal sedang menunggang di Lebuh raya Utara-Selatan dan dalam perjalanan ke sebuah restoran di Tanjung Malim.
“Searami 28 pegawai telah digerakkan untuk mengadakan SJR di laluan berkenaan bagi melakukan pemeriksaan terhadap motosikal terlibat,” jelasnya.
Operasi yang berjalan dari jam 9 pagi hingga 4 petang itu menyaksikan seramai 307 penunggang motosikal dikenakan saman sementara lima saman lagi dikeluarkan untuk kenderaan lain.
Antara kesalahan yang dilakukan adalah menunggang tanpa lesen, memiliki cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, nombor plat ‘fancy’ dan menggunakan ekzos yang telah diubah suai. – FMT
Fabio Quartararo terus selesa mendahului kejuaraan dunia MotoGP musim 2022 apabila merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Jerman.
Pelumba Monster Energy Yamaha itu bingkas mendahului perlumbaan sejak dimulakan dan meskipun terdapat asakan daripada pelumba Ducati, Francesco Bagnaia namun Quartararo kekal tenang untuk terus berada di depan.
Kedudukan Quartararo bertambah selesa apabila Bagnaia kemalangan ketika lap kelima sekaligus menyaksikan pelumba Perancis itu selesa di depan sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat selaku pemenang buat kali ketiga musim ini.
Sementara itu, Johann Zarco menghadiahkan podium keempat buat Pramac Racing musim ini selepas menamatkan aksi di tempat kedua.
Zarco menampilkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan apatah lagi saingan antara dua pelumba Aprilia, Aleix Espargaro dan Maverick Vinales membantunya membuka jurang yang lebih besar.
Pada masa sama, Vinales menampilkan aksi baik untuk mengekori rapat rakan sepasukan Espargaro bagi perebutan tempat ketiga.
Namun masalah teknikal yang dialami pelumba Sepanyol itu memaksanya bersara awal daripada perlumbaan.
Situasi itu membuka ruang buat Jack Miller sertai perebutan tempat ketiga di belakang Espargaro sebelum memintas pelumba Aprilia itu di hujung perlumbaan sekaligus melengkapkan podium di tempat ketiga.
Aksi di Sachsenring merupakan antara yang terbaik buat Miller meskipun dikenakan ‘long lap penalty’ namun masih berjaya menaiki podium.
Dalam perkembangan sama, kegagalan menamatkan saingan buat kali ketiga musim ini menyaksikan Bagnaia secara tidak langsung sudah terkeluar daripada perebutan kejuaraan musim ini.
Jentera GP 22 miliknya seakan hilang cengkaman ketika di Turn 1 lalu terbabas meskipun tiada sebarang perlanggaran atau tekanan dari pelumba lain.
Suhu mencecah 35 darjah celsius ternyata memberi kesan besar terhadap perlumbaan kali ini yang menyaksikan tujuh pelumba gagal menamatkan perlumbaan (DNF) termasuk Pol Espargaro, Vinales, Takaaki Nakagami, Alex Marquez, Darryn Binder, Bagnaia dan Mir.
Pada masa sama, keputusan perlumbaan kali ini menyaksikan Quartararo terus mendahului kejuaraan dengan 172 mata diikuti Espargaro kedua (138 mata) dan Zarco ketiga (111 mata).
Acara tempatan yang terkenal dengan budaya kustom, Art of Speed akan kembali untuk edisi ulang tahun ke-10 selepas dua tahun menyepi susulan pandemik Covid-19.
Seperti AOS sebelum ini, edisi 2022 akan menyaksikan himpunan motosikal kustom, kenderaan radikal di samping pameran restorasi seni dan budaya kustom di Malaysia.
Bagaimanapun, selaras dengan kejayaan menganjurkan AOS bagi tahun ke-10, acara kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran tetamu dari luara negara serta sokongan komuniti kustom sendiri.
Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), sekali lagi menjadi tapak pilihan bagi penganjuran AOS 2022 kali ini yang akan berlangsung pada 2 hingga 3 Julai dari jam 10.30 pagi hingga 8 malam.
Menurut penganjur AOS 2022, acara kali ini akan menyaksikan kehadiran tetamu berikut:
Emi Suganuma, “Sunny” Yano & Michi “NATQQ” dari MOONEYES; Jepun
Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show; Amerika Syarikat
Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday; Amerika Syarikat
Yaniv Evans dari Powerplant Motorcycles; Amerika Syarikat
Artis Chopper dan Kustom; Russell Murchie “MOW” dari Australia
Yasuo Sekijima dan Satoru Ise dari Vibes Magazine; Jepun
Artis pinstripe Mil dari Millart, Irvine Jasta dan Fahmi Freeflow; Indonesia
Aekalak Kitdusitpong pembuat model skala diecast dari AKARA; Thailand
Sementara itu, antara acara mencuri tumpuan adalah Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 yang bakal menyaksikan tujuh ‘custom builder’ merebut hadiah wang tunai RM10,000 (pilihan juri) & RM5,000 (pilihan orang ramai).
Berikut acara tumpuan lain yang akan disajikan kepada pengunjung di AOS 2022:
Jelajah Hot Wheels Legends – Monster Truck Bone Shaker bersaiz sebenar.
pameran kolektif kenderaan terpilih dari seluruh negara dengan nama ‘Garage Life’
Hail Vintage – pameran pakaian vintaj dari 32 vendor terpilih
Off The Grid – gaya hidup perkhemahan sebagai konsep baharu dalam outdoor lifestyle
Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co – wawancara bersama panel dari luar negara antaranya Scoot Johnson (Mama Tried Motorcycle Show) dan Warren Heir Jr (Flat Out Friday).
Zon Pandu Uji motosikal (Ducati, Royal Enfield, Vespa, Aprilia dan Harley-Davidson)
Bagi menghangatkan lagi acara kali ini, AOS 2022 mempersembahkan Festival Sound Circuis yang akan menyaksikan penampilan Hujan sebagai persembahan utama diikuti Sekumpulan Orang Gila, SweetAss, Iqbal M, Balok People dan ramai lagi.
Berikut senarai harga tiket bagi yang berminat untuk hadir:
Tiket Speed Lane (dua hari) – RM55
Tiket hujung minggu (tanpa konsert Sound Circus) – RM35
Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berkongsi detik menggerunkan yang pernah menimpa dirinya tahun lalu.
Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Hulu Selangor dari Seri Kembangan, Muhammad Firdaus Mukhtar, 30, berkata motosikal jenis Yamaha MT-09 yang ditunggangnya pada waktu itu telah terjunam ke dalam lubang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menurut Firdaus, ketika itu tiada sebarang kon atau tanda amaran diletakkan pada lubang yang mencapai kedalam paras betis tersebut yang terbentuk ekoran kerja-kerja kontraktor jalan raya.
Susulan kejadian berkenaa, dia mengalami kerugian RM42,000 akibat kerosakan motosikal tersebut.
“Motosikal memang total loss, namun saya bersyukur hanya mengalami luka ringan ekoran pada hari kejadian memakai sut penuh untuk bermotosikal.
“Tambahan pula, sebuah kereta dari arah belakang sempat brek kenderaannya. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk akan berlaku,” jelasnya kepada Kosmo.
Pada masa sama, Firdaus luah rasa kecewa dengan sikap kontraktor yang mengambil mudah aspek keselamatan sewaktu melakukan kerja sehingga boleh menggugat nyawa pengguna jalan raya lain.
“Benda ini (jalan berlubang) sangat serius dan kalau tidak dibendung boleh mengancam nyawa.
“Nasib nyawa saya masih panjang, kalau tidak mati digilis. Kita harap pihak berwajib memandang serius mengenai jalan berlubang ini,” tambahnya.
Baru-baru ini, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, mendedahkan sebanyak 285 kes kematian berpunca dari jalan berlubang telah direkodkan antara 2014 hingga 2018. – KOSMO
Isuzu D-Max X-Terrain telah memperkenalkan pelbagai penambahan dalam senarai cirinya, dari yang kecil hingga ke yang signifikan.
“Isuzu D-Max generasi baru kekal menjadi kebanggaan kami. Model ini telah menghubungkan jurang antara fungsi sebenar trak pikap dengan kehendak pelanggan.
“Model utama Isuzu ini ingin memastikan pelanggan menikmati sejumlah ciri yang benar-benar hebat yang akan menjadikan pemanduan mereka lebih selamat dan menyenangkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.
Penambahan paling jelas pada model baru D-Max X-Terrain ini ialah dua warna baru yang menonjol; Silky Pearl White dan Onyx Black, yang menyertai warna sedia ada iaitu Valencia Orange.
Satu lagi pertambahan utama dalam D-Max X-Terrain baru ini adalah Around-View Monitor yang membolehkan persekitaran terdekat dipantau 360 darjah.
Ciri ini bukan saja menawarkan pandangan mata burung ketika mengundur, ia juga menyediakan pilihan panduan 3D dalam paparan 9 inci bagi meletakkan kereta dengan lebih tepat dan mudah.
Satu lagi ciri baru adalah pelantar cas tanpa wayar Qi yang terletak di ruang depan gear untuk kemudahan pengguna.
Sesuai digunakan untuk hampir semua telefon pintar, telefon boleh dicas dengan mudah dan tanpa gangguan.
Justeru, pemandu tetap dapat menggunakan Bluetooth untuk menikmati muzik dan melihat peta, dan pada masa sama bateri telefon tidak akan berkurang.
Satu lagi penambahan berdasarkan permintaan pelanggan yang popular adalah lampu alu-aluan di luar.
Terletak kemas di bahagian bawah, lampu LED ini akan menerangi kawasan sekitar kaki ketika membuka kunci kenderaan.
Apabila digunakan bersama-sama follow-me home lights, pemandu dan penumpang akan selamat, dan kasut anda juga tidak akan kotor, walaupun di tengah gelap malam.
Seiring dengan gaya rugged X-Terrain, model ini juga kini memiliki pelindung geseran (scuff plate) berlampu yang bukan saja melindungi bingkai pintu daripada calar kecil, ia juga menambah lagi ciri elegan model ini.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata populariti model Isuzu D-Max, terutama varian X-Terrain kekal tinggi dengan ramai pemilik kali pertama gembira dengan trak pikap moden ini.
“Tahap keselamatan dan keselesaan yang mengagumkan, serta ciri versatil untuk ke mana saja dan melakukan apa saja telah menyebabkan semakin ramai pengguna kereta sedan beralih kepadanya.
“Saya yakin dengan tambahan ciri dan warna baru, D-Max X-Terrain akan terus menarik lebih ramai pemandu untuk beralih ke kenderaan kategori ini,” kata beliau.
Isuzu D-Max X-Terrain baru ini akan dibuka untuk tempahan bermula sekarang di semua pengedar Isuzu sah dan akan mula diserahkan kepada pemilik pada pertengahan bulan Julai.
Model baru ini dijual dengan kenaikan harga minimum dengan harga atas jalan (tak termasuk insuran) daripada RM146,938.40.
Untuk maklumat lanjut mengenai D-Max baru yang hebat ini, kunjungi pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.