Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Jenama jam terkemuka, G-SHOCK dengan rasminya mengumumkan pelancaran jam tangan G-SHOCK DW-6900AL22 hasil kolaborasi dengan jenama ‘streetwear’ tempatan, Against Lab.

Jam tangan eksklusif itu hanya akan dipasarkan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Menariknya, model ini diinspirasikan daripada ketahanan mental rakyat Malaysia yang bangun setiap hari untuk berdepan cabaran hidup terutamanya penunggang motosikal.

Inspirasi itulah yang melahirkan ‘The Grind’ yang melambangkan ketahanan, lasak dan daya tahan penunggang motosikal di Malaysia.

Motosikal merupakan medium pengangkutan utama di Malaysia kerana mampu milik, mudah dijaga, laju dan tahan lasak. DNA itu juga dibawa kepada model G-SHOCK X Against Lab DW-6900AL22.

Menurut Against Lab, bahagian pemuka jam berwarna krom turut mencerminkan paip ekzos pada motosikal sementara garisan berwarna oren pula diinspirasikan daripada lampu isyarat.

Jam tangan G-SHOCK X Against Lab ini boleh didapati pada harga RM550 dan mula dijual 28 Mei ini di Casio Lazada Official Store dan 3 Jun di pusat jualan G-SHOCK terpilih.

RNF Racing dan Aprilia Racing akan bergabung tenaga apabila pasukan kendalian Datuk Razlan Razali itu disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.

RNF Racing dan Aprilia bersama-sama membuat pengumuman rasmi itu yang menyaksikan kedua-dua belah pihak akan berkerjasama selama dua musim dan boleh disambung untuk tempoh dua musim lagi.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah MotoGP, Aprilia mempunyai pasukan satelit dan akan menurunkan empat jentera RS-GP.

Sementara itu, RNF Racing akan mengekalkan prinsip sama, iaitu menjadi platform pembangunan pelumba muda dan berbakat yang kemudiannya akan dibentuk menjadi pelumba pasukan ‘factory’.

Falsafah itu ternyata selaras dengan perkembangan Aprilia yang turut mengikat Aleix Espargaro dan Mavercik Vinales untuk tempoh dua tahun lagi.

“Kami amat teruja dengan kerjasama jangka masa panjang ini dengan Aprilia Racing.

“Falsafah kami adalah untuk berkerjasama dengan pasukan factory bagi membangunkan pelumba yang satu hari nanti menjadi pelumba factory Aprilia.

“Kami akan membantu mereka (Aprilia) dalam aspek pembangunan bagi memastikan kami terus kekal kompetitif dan kemudiannya merekodkan kemenangan bersama Aprilia Racing,” jelas Razlan.

Pengumuman ini sekaligus menyaksikan kerjasama Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas beberapa musim.

“Kertas kerja dikemukakan Aprilia Racing memenuhi perancangan jangka masa panjang kami dan saya mahu berterima kasih kepada Massimo (Rivola) atas kepercayaan diberikan.

“Kami amat teruja dengan musim depan dan kerjasama terbaru ini. Pada masa sama saya mahu berterima kasih kepada Yamaha atas kerjasama yang telah terjalin selama beberapa tahun ini,” tambah Razlan.

Seorang pemandu warga Singapura telah didapati tidak membuat pembayaran selepas selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Bukit Indah, Johor Bahru.

Menurut laporan, pemandu kereta jenis Kia Sorento itu telah mengisi minyak jenis diesel namun setelah selesai mengisi, pemandu tersebut telah cabut tanpa selesaikan bayaran.

Stesen minyak tersebut kemudiannya meletakkan notis dan gambar (dari CCTV) dan menggesa pemandu tersebut untuk kembali dan membuat pembayaran.

26May2022 #SNA9151S KIA Sorento Diesel failed to made payment for fuel at Bukit Indah, Johor. Quoted Bukit Indah JB petrol station cashier asks to post.

Posted by SGRV ADMIN on Thursday, 26 May 2022

Makluman kejadian telah dikongsi di laman Facebook SGRV Admin dengan kapsyen “Kia Sorento Diesel gagal membuat bayaran di Bukit Indah, Johor” dan turut mendedahkan juruwang stesen minyak tersebut telah meminta agar hebahan tersebut dibuat.

Untuk rekod, kereta dengan pendaftaran asing dibenarkan untuk mengisi diesel di Malaysia namun terhad kepada 20L sehari dan hanya di stesen minyak dalam radius 25 kilometer dari sempadan Malaysia-Singapura.

Jika dibandingkan, harga diesel di Singapura adalah SGD3 (RM9.60) seliter manakala di Malaysia diesel diletakkan pada RM2.15 seliter bagi Euro 5 B10 dan B20.

Ini bermakna pemandu Kia Sorento itu menikmati penjimatan yang banyak dengan mengisi di Malaysia apatah lagi apabila mengelak daripada membuat pembayaran.

Kawasaki telah dikaitkan dengan penyertaan di MotoGP susulan Suzuki disahkan mahu meninggalkan perlumbaan kejuaraan dunia itu hujung musim ini.

Senario itu juga dianggap ideal untuk Kawasaki apatah lagi dengan rata-rata berpendapat Jonathan Rea wajar diberikan peluang kembali ke kejuaraan dunia tersebut.

Bagaimanapun, laporan terbaru mengesahkan Kawasaki tidak akan melompat ke MotoGP sebaliknya mengukuhkan pendirian untuk terus bersaing di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).

Bercakap kepada Crash.net, Pengurus Pasukan KRT, Guim Roda
menjelaskan KMC Japan telah memutuskan untuk memberi fokus pada WorldSBK dan  perkara itu tidak akan berubah.

“Pendedahan jenama Kawasaki menerusi WorldSBK membantu dalam penjualan motosikal Kawasaki bukan hanya Ninja.

“Di WorldSBK, Kawasaki menggunakan jentera pengeluaran besar-besaran jadi lebih logik untuk berlumba dengan cara ini berbanding daripada menghasilkan chasis, enjin dan aerodinamik serba baharu setiap tahun seperti di MotoGP.

“Bagi KRT, adalah lebih mudah untuk mengaitkan jentera di WorldSBK dengan motosikal untuk pengguna daripada cuba menghasilkan mesin perlumbaan MotoGP yang tidak boleh digunakan pengguna di jalan raya,”  jelas Roda.

Penjelasan Roda itu sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa pasukan yang akan menggantikan Suzuki seperti yang didakwa Dorna sebelum ini pastinya melibatkan mereka yang sedang bertanding di MotoGP ketika ini. – Crash.net

Aprilia telah pun menyambung kontrak Aleix Espargaro dan Maverick Vinales untuk tempoh dua tahun lagi.

Perkara itu diumumkan sewaktu sidang media yang diadakan pada Khamis di Mugello yang menyaksikan Espargaro dan Vinales akan kekal bersama pasukan Aprilia MotoGP hingga 2024.

*Aleix Espargaro #41

“Pengesahan ini sememangnya dinantikan.

“Kami telah bekerja keras dan membangun bersama. Daripada satu harapan bertukar jadi realiti.

“Pada 2021, kami telah pun nampak tanda jelas untuk maju kedepan dan kini kami mampu memberi saingan secara konsisten dengan pelumba terbaik dunia.

“Dapat meneruskan perjuangan ini bersama Aprilia adalah satu kebanggaan bagi saya. Kami akan terus membangun dan membuktikannya di litar,” jelas Espargaro.

Penyambungan kontrak Espargaro sememangnya dijangka apatah lagi pelumba Sepanyol itu berjaya meletakkan diri dikalangan pencabar kejuaraan musim ini selepas merekodkan satu kemenangan dan tiga podium berturut-turut.

*Maverick Vinales #12

Walaupun kecemerlangan Espargaro gagal dicerminkan rakan sepasukan, Vinales, namun Aprilia terus meletakkan kepercayaan terhadap pelumba itu yang masih lagi dalam proses penyesuaian dengan jentera RS-GP.

“Saya sangat teruja dapat meneruskan kerja saya bersama Aprilia Racing. Pasukan ini telah berkembang dan kami akan meneruskan usaha untuk mencapai sasaran.

“Saya percaya dengan projek ini, dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripadanya. Pengesahan ini memberi saya ketenangan untuk bangun bersama pasukan ini,” ujar Vinales.

Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Itali.

Penunggang motosikal yang gemar melakukan ‘wheelie’ dan beberapa aksi membahayakan lain di jalan raya awam kini menjadi sasaran penguatkuasa Austria.

Ini kerana kerajaan negara itu sedang membanteras aktiviti sedemikian dengan penunggang motosikal boleh dikenakan denda sehingga EUR10,000 (RM47 ribu).

Austria telah meminda akta kenderaan bermotor bagi mengekang beberapa aktiviti antaranya ‘wheelie’ dan ‘stoppie’ termasuk melakukan ‘wheelspin’, dan donut.

Pindaan tersebut bukan hanya boleh diguna pakai di jalan raya awam malah di tapak letak kereta persendirian.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga boleh menyita motosikal tersebut sehingga 72 jam. – BMF

Polis sedang mencari sekumpulan remaja yang tular membuat bising dengan membunyikan ekzos motosikal dengan kuat di Meru, Klang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao yang dimaklumkan dengan klip di Facebook persatuan penduduk Meru, semalam.

“Kita setakat ini belum menerima laporan berkaitan insiden berkenaan. Polis masih sedang mengenal pasti kumpulan remaja yang membuat bising tersebut,” katanya.

Rakaman berdurasi 1.27 saat tu jelas memaparkan sekumpulan remaja berpakaian baju Melayu telah menganggu orang ramai dengan membuat bising sebelum beredar.

Sehubungan itu , Viaya Rao meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara atau hubungi talian 03-32912222 untuk menyalurkan info berkaitan. – Kosmo

Mac lalu, muncul satu paten yang merujuk kepada enjin V-Twin 896cc DOHC yang sama terdapat pada Aprilia Shiver dan Dorsoduro.

Bagaimanapun, paten tersebut didatangkan dengan lencana Gilera sekaligus menandakan kembali jenama ikonik itu untuk pasaran global.

Laporan terbaru mengesahkan projek Gilera akan diteruskan rakan Piaggio di China, Zongshen yang ketika ini menghasilkan jenama motosikal Aprilia di pasaran Asia.

Zongshen sebelum ini telah pun mendedahkan model prototaip RA9 yang menampilkan enjin sama yang terdapat pada Shiver 900. Bagaimanapun, RA9 didatangkan dengan panel badan dan rekaan serba baharu yang ternyata menyimpang daripada rupa Aprilia Shiver 900.

Menariknya, beberapa gambar terbaru yang dirakam di China turut mengesahkan Aprilia Shiver 900 akan dijenamakan semula sebagai Gilera.

Berdasarkan gambar dikongsikan, meskipun motosikal tersebut terselindung disebalik grafik ‘camo’ namun jelas reka bentuk motosikal tersebut memaparkan sebuah Aprilia Shiver 900.

Lencana Aprilia juga telah diganti dengan Gilera dan terpampang di bahagian skrin TFT serta lampu depan.

Menariknya, perkembangan terbaru ini juga sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa beberapa model Aprilia terdahulu termasuk Dorsoduro dan Caponord akan diteruskan di bawah jenama Gilera untuk pasaran global.

Tak dinafikan apa sahaja yang berkaitan dengan Yamaha RX-Z akan disusuli dengan tanda harga tak masuk akal.

Kali ini, seorang penjual di media sosial menawarkan ‘main jet’ karburator Yamaha RX-Z pada harga RM3,500!

Menurut perkongsian di Facebook, alat ganti tersebut dibelinya di ibu pejabat (HQ) Yamaha di Jepun.

“Main jet ni kalau kat Jepun orang-orang kat sana swap dengan dua biji karburator Yoshimura boss, tupun siap berlutut nak swap,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.

‘Main jet’ tersebut masih lagi dalam kondisi NOS (new old stock).

Bagaimanapun, ‘main jet’ RX-Z masih lagi boleh dibeli di pelbagai platfrom termasuk laman e-commerce seperti Shopee yang dijual pada harga sekitar RM4 hingga RM5 sahaja.

Meskipun kejuaraan dunia MotoGP baru memasuki pusingan ketujuh namun pelbagai aktiviti belakang tabir sudah mula mengambil tempat.

Pengumuman Suzuki untuk undur diri dari kejuaraan itu hujung musim ini telah mencetuskan pelbagai ketidaktentuan terutamanya membabitkan slot pelumba menjelang musim 2023.

Ketika pasukan lain sedang mengorak langkah bagi memancing Joan Mir dan Alex Rins musim depan, Ducati memberi fokus penuh terhadap pelumba sedia ada termasuk yang berada di pasukan satelit.

Terbaru, Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti mengesahkan pihaknya enggan kehilangan dua bakat muda, Enea Bastianini (Gresini Racing) dan Jorge Martin (Pramac).

Bercakap kepada Autosport, ini komen Ciabatti mengenai status kedua-dua pelumba muda itu.

“Saya sering berkata kami mahu mengikat Jorge (Martin) dan Enea (Bastianini).

“Ketika ini Jorge sedang bergelut tetapi dia sudah pun membuktikan kemampuan sementara Enea sedang mencabar kejuaraan dunia. Sementara itu, Johann (Zarco) sedang menunggang dengan cemerlang namun kurang sengat untuk menaiki podium,” jelasnya.

Martin dan Bastianini disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan Jack Miller di pasukan factory.

Bagaimanapun, pelumba tonggak, Francesco Bagnaia mengharapkan Miller terus kekal sebagai rakan sepasukan ekoran sudah mempunyai persefahaman baik dengan pelumba Australia itu.

Kerajaan Malaysia sedang pertimbang cadangan mewajibkan fungsi Anti-lock Braking System (ABS) pada motosikal 150cc ke atas.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut beliau, penguatkuasaan sistem ABS itu akan diperincikan sebaik pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selesai membuat kajian.

MIROS telah diberikan tempoh enam bulan bagi menyempurnakan kajian tersebut sebelum pelaksanaan dikuat kuasakan dalam tempoh dua tahun daripada tarikh keputusan kajian dikeluarkan.

Tambah Wee Ka Siong, kajian tersebut adalah menyeluruh dan membabitkan semua pihak termasuk industri pengeluar motosikal dan wakil pengguna.

“Ini bermaksud kita ada tempoh transisi ynag kita boleh benarkan. Mana-mana pembuat atau pengilang yang sudah bersiap siaga tidak ada masalah, boleh teruskan.

“Kalau mereka yang masih ada masalah, dia boleh gunakan tempoh diberikan untuk melakukan. Kita akan lihat keberkesanan apabila dipasang pada mereka penunggang motosikal lebih 150cc seterusnya kita akan melihat ke bawah,

” jelasnya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan MIROS setakat ini, kehadiran sistem ABS pad motosikal mampu mengurangkan peratusan kemalangan dan kematian penunggang motosikal sehingga 30 peratus

ABS merupakan sistem yang membantu dalam menghalang motosikal daripada tergelincir dan hilang kawalan terutamanya sewaktu brek mengejut.

Kerajaan Thailand telah membenarkan kenderaan milik warganegara Malaysia yang terkendas di negara itu susulan penutupan sempadan sewaktu tempoh Covid-19 untuk pulang ke tanah air tanpa sebarang caj bermula 1 hingga 30 Jun ini.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Zailah Mohd Yusoff yang menjelaskan bahawa kenderaan yang terkandas boleh dibawa pulang ke tanah air menerusi pusat pemeriksaan sempadan di Rantau Panjang.

“Perkara ini telah dipersetujui sewaktu mesyuarat bersama dengan 13 agensi berkaitan selaras dengan pembukaan sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand di Kelantan pada Jun 1,” jelas Zailah.

Zailah, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat mengharapkan pengumuman ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia yang berdepan permasalahan tersebut.

“Saya menyeru rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan terkandas di Thailand untuk segera bertindak sebelum kerajaan Thailand mengenakan caj selepas 30 Jun,” tambahnya. – MM

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube