Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Enea Bastianini berjaya menempatkan dirinya dikalangan pencabar kejuaraan musim 2023 setelah merekodkan kemenangan ketiga musim ini di GP Perancis, pada Ahad.

Kemenangan itu juga menyaksikan dirinya disebut sebagai calon yang bakal menggantikan Jack Miller – selain Jorge Martin – di pasukan ‘factory’ Ducati sekaligus bergandingan dengan Francesco Bagnaia musim depan.

Bagaimanapun, Bagnaia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa dia lebih gemar untuk terus digandingkan dengan Jack (Miller).

Bastianni menyifatkan Bagnaia mungkin ada sebabnya tersendiri.

“Saya rasa dia pilih (Jack) Miller sebab dia adalah ketua di Ducati dan dia tahu potensi saya dan Martin. Jadi itu boleh jadi satu masalah kepadanya,” jelas Bastianini.

Namun, Bastianini menjelaskan dia tidak kisah sekiranya terus kekal bersama Gresini yang penting dia dapat beraksi dengan jentera ‘factory’ musim depan.

Sementara itu, Bagnaia ketika ini ketinggalan lebih 44 mata dibelakang pendahulu Fabio Quartararo setelah mengalami kemalangan di Le Mans meskipun mendahului sebahagian besar perlumbaan.

Kemalangan itu menyaksikan Bastianini merekodkan kemenangan ketiga musim ini dengan Miller kedua dan wakil Aprilia, Aleix Espargaro ketiga.

Selepas Suzuki disahkan akan meninggalkan saingan MotoGP hujung musim ini, pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir tiada pilihan selain perlu mencari makan di tempat lain musim depan.

Dalam laporan terbaru, Rins dilaporkan sedang berbincang dengan empat pasukan lain bagi slot 2023.

Rins mengesahkan pengurusnya sedang mengadakan perbincangan bersama Aprilia, Honda, KTM dan Yamaha sebaik aksi GP Perancis di pada Ahad berakhir.

Saingan di Le Mans juga menyaksikan Rins dan Mir gagal menamatkan gagal menamatkan perlumbaan tatkala kedua-duanya mengalami kemalangan dan terpaksa bersara awal.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan Repsol Honda, Alberto Puig turut mengesahkan pihaknya telah dihubungi Rins dan Mir susulan pengumuman mengejutkan Suzuki minggu lalu.

Mir turut didakwa bakal menjadi pengganti Pol Espargaro dengan kontrak pelumba itu tidak akan disambung. – MotoGP

Sebagai langkah drastik dalam memastikan tahap keselamatan penunggang motosikal di jalan raya, Kesatuan Eropah hanya akan membenarkan penggunaan helmet dengan piawaian ECE22.06.

ECE22.06 merupakan standard terbaru diperkenalkan bermula Januari tahun ini di mana semua pengeluar helmet yang menjual produk mereka di benua itu perlu mematuhi syarat yang lebih ketat berbanding ECE22.05 sebelum ini.

Ujian ECE220.6 lebih lasak dan ketat berbanding ujian ECE22.05 di mana terdapat lebih banyak ujian baru dijalankan  termasuk ujian putaran (rotational test).

Sudut impak juga kini lebih menyeluruh dan babitkan kawasan yang lebih luas berbanding sebelum ini.

Menurut laporan media antarabangsa, penguatkuasaan standard ECE22.06 bakal menyaksikan pengeluar helmet menghasilkan cangkerang yang lebih tebal terutamanya yang dihasilkan dengan bahan ‘polycarbonate’ (plastik).

Walaupun bahan seperti gentian kaca (fiberglass) dan gentian karbon (carbon fiber) dapat mengekalkan tahap ketebalan sama namun lapisan dalam polisterin pastinya akan diolah semula.

Selain itu, standard terbaru itu juga bakal memberi kesan kepada harga sebuah helmet yang berkualiti sekaligus bakal menyaksikan helmet ECE22.06 lebih mahal berbanding ECE22.05.

Bagaimanapun, penggunaan helmet ECE22.05 masih dibenarkan dengan penguatkuasaan terbaru ini hanya babitkan aspek pengeluar yang wajib menghasilkan helmet dengan piawaian terbaru itu.

Selepas setahun sejak pelancaran global pada Mac 2021, Aprilia RSV4 1100 Factory 2022 kini dilancarkan di Malaysia.

Ditawarkan pada harga RM169,900, model terbaru ini telah pun dilancarkan pengedar, Didi Group di Ipoh Bike Big Pitstop dan Velocity Motorshow dengan kehadiran Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi bin Baharin dan Pengarah Urusan Didi Group, Goh Kian Sin.

Bagi tahun 2022, RSV4 1100 Factory ini telah menerima beberapa naik taraf terutamanya bahagian aerodinamik.

Selain tork yang lebih tinggi, ‘engine braking’ juga kini boleh diselaraskan manakala ECU Magneti Marelli 11MP kini menawarkan tiga mod ‘cornering ABS’ dan pemetaan enjin baharu.

Selain itu, tekanan kotak udara kini meningkat 7 peratus sementara penunggang kini berdepan rintangan angin 11 peratus lebih rendah.

Sistem suspensi turut dipertingkat dengan bantuan suspensi separa aktif Ohlins Smart EC 2.0 yang menawarkan tiga mod; A1 bagi penggunaan litar, A3 untuk kegunaan jalan raya dan A2 mod diantara mod A1 dan A3.

Aprilia RSV4 1100 Factory 2022 kini dikuasakan enjin V4 65-darjah, 1099cc yang mampu menghasilkan 217hp pada 13,000rpm dan 125Nm pada 10,500rpm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • brek Brembo Stylema depan
  • Bosch 9.1 ABS
  • enam mod menunggangn; tiga mod litar dan tiga mod jalan raya

Kerajaan negeri Perak telah meluluskan pembinaan lebuh raya sepanjang 64 kilometer dari Gopeng ke Kuala Kangsar.

Lebuh raya tersebut akan memintas Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang turut memberitahu projek tersebut telah diluluskan pada April.

Meskipun laluan itu lebih panjang namun penggun jalan raya akan menempuh masa yang lebih singkat kerana lebuh raya tersebut akan mengelak daripada kawasan berbukit sekaligus mengurangkan risiko kemalangan.

Laluan di Terowong Menora sering menjadi tumpuan ekoran kekerapan berlakunya kemalangan di jalan tersebut.

Terbaru, lima pelajar universiti rentung selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan dua lori berhampiran Kuala Kangsar.

Menurut laporan, pembinaan lebuh raya baharu itu akan menelan belanja RM5.75 bilion dan akan menempatkan tiga lorong utama dan satu laluan khas motosikal. – BERNAMA

Kebelakangan ini sebuah Perodua Bezza milik pengguna akaun TikTok FendyMojo mencuri tumpuan gara-gara telah membelanjakan sekitar RM37 ribu bagi tujuan modifikasi.

@fendymojo

Okey ini final total semua costing modified and accessories kt bezza facelift aku. #hitampremium #fendymojo

♬ original sound – Fendymojo – Fendymojo

Menurut video yang dikongsikan, FendyMojo telah membelanjakan RM37,903 untuk mengubah suai kereta jenis Perodua Bezza 1.0 (AT).

Menariknya, kos terbesar adalah diruang dalam dengan lebih RM15,000 dibelanjakan berbanding RM11,520 bagi bahagian luar.

Bagaimanapun, pelbagai reaksi dilontarkan netizen di ruangan komen dengan ada yang berpendapat menghabiskan hampir RM40 ribu untuk tujuan modifikasi adalah satu pembaziran.

Namun, bagi kaki modifikasi, perbelanjaan sebegitu adalah demi mencapai kepuasan semata-mata.

Ini merupakan kali kedua Perodua Bezza jadi sebutan dikalangan warganet selepas model kereta itu menjadi viral gara-gara perkongsian Khairul Aming di Twitter sebelum ini. – Motoqar

Baru-baru ini tular satu rakaman yang memaparkan sebuah kereta jenis Honda CRV telah bertindak menghalang sebuah ambulans di Kilometer 292 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Gopeng.

Honda CR-V (FAA5393) menghalang laluan ambulans Lokasi : KM291.9 Lebuhraya PLUS berhampiran RTC Gopeng Perak #inforoadblock

Posted by Inforoadblock on Saturday, 14 May 2022

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintedan Mohamad Nazri Daud mengesahkan pemandu berusia 62 tahun itu mengalami masalah pendengaran (Tinnitus-Acoustic Neuroma) sejak tiga tahun lalu dan masih menjalani rawatan.

Perkara itu disahkan selepas lelaki berkenaan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar jam 5 petang pada Ahad.

“Polis melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu berkenaan.

“Dalam perkara ini, polis akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan trafik bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,”jelas Mohamad Nazri. – SH

Selepas kejayaan memperkenalkan QJMotor SRK600 baru-baru ini, MForce Bike Holdings terus memperkembangkan jenama QJMotor di pasaran negara menerusi SRT800.

QJMotor SRT800 merupakan motosikal segmen ‘adventure tourer’ yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula dari RM38,888 bagi varian standard dan RM42,888 bagi varian X.

Dikuasakan enjin parallel-twin 754cc DOHC, motosikal ini menawarkan 75.1hp pada 8,000rpm dan 67Nm pada 6,5000rpm dengan kuasa disalurkan ke tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.

Antara ciri ditawarkan SRT800 dan SRT800X adalah seperti berikut:

  • fork depan USD boleh laras
  • penyerap hentakan belakang jenis ‘shock linkage’ boleh laras
  • cakera brek 320mm depan dan 260mm belakang
  • kaliper brek Brembo
  • Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran
  • klac Assist & Slipper

Selain daripada itu, QJMotor SRT800 juga didatangkan dengan ciri elektronik lain antaranya paparan skrin TFT berwarna serta pengecas USB.

Sebagai sebuah motosikal ADV, kedua-dua varian menawarkan tangki 18.5L sekaligus menjanjikan tunggangan jarak jauh.

Bagaimanapun, perbezaan ketara bagi kedua-dua varian menyaksikan SRT800X didatangkan dengan rim jenis spoke 19-inci depan (rim aloi 17″ pada varian Standard), luggage (top box dan panniers) serta ketinggian tempat duduk pada 835mm (berbanding 810mm pada Standard).

Menurut MForce, SRT800X didatangkan dengan pilihan warna Navy Blue dan Cadmium Green manakala varian standard menawarkan warna Stone Grey dan Passion Red.

Orang ramai yang berminat sudah boleh membuat tempahan di pengedar sah MForce seluruh negara dengan motosikal tersebut akan mula dipasarkan pada pertengahan Julai ini.

Selepas Zhejiang Qianjiang memfailkan paten motosikal ‘adventure’ pada Oktober tahun lalu, pengeluar motosikal China itu akhirnya memaparkan rupa sebenar QJ650 di China.

Imej QJ650 tersebut didedahkan menerusi permohonan paten terbaru yang difailkan di China yang turut mendedahkan beberapa info penting mengenai model terbaru itu.

Berdasarkan laporan sebelum ini, QJMotor QJ650 disahkan akan dikuasakan enjin V-Twin 649cc. Menariknya, dokumen kali ini mendedahkan bahawa QJ650 tersebut akan menawarkan sekitar 75hp dan mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 185km/j.

Terdapat dua dokumen difailkan dan mendedahkan QJ650 akan tampil dengan dua varian, dengan varian tertinggi menampilkan ciri ADV yang lebih ketara terutamanya dengan kelengkapan rim jenis lidi (spoke) serta ‘top box’ dan ‘panniers’.

Dokumen tersebut memaklumkan bahawa varian Standard adalah seberat 219 kilogram manakala varian ADV adalah 19kg lebih berat (238kg).

Walaupun spesifikasi lebih terperinci tidak didedahkan namun setakat ini QJ650 tersebut menawarkan ciri berikut:

  • panjang 2340mm
  • lebar 950mm
  • tinggi 1380mm
  • ‘wheelbase’ 1520mm
  • tayar 110/80-19 depan
  • tayar 150/70-17 belakang

QJMotor turut mendedahkan bahawa QJ650 serba baharu ini juga dilengkapi dengan ABS.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan bilakah QJMotor merancang untuk memperkenalkan model ADV serba baharu ini namun dijangkakan QJ650 ini akan dilancarkan lewat tahun ini.

Tidak dapat dinafikan pengguna dua roda paling terdedah dengan bahaya di jalan raya.

Jika melanggar orang lain pun sudah cukup untuk nyawa melayang apatah lagi jika dilanggar, risiko untuk terselamat daripada kecelakaan jalan raya amatlah tipis.

Saban minggu ada sahaja kes kemalangan maut babitkan penunggang motosikal yang diterbitkan berita tempatan dengan mangsa dilaporkan sebagai seorang ayah, ibu, suami, isteri dan anak.

Baru-baru ini, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berkongsi sedikit peringatan kepada pengguna dua roda di Malaysia.

*Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein

Tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Kapten Nik merupakan antara individu penting sewaktu tragedi MH370. Merupakan Ketua Juruterbang untuk syarikat penerbangan negara sebelum bersara, beliau juga merupakan seorang ‘rider’ tegar.

Memiliki pengalaman 50 tahun menunggang motosikal dan pernah memiliki lebih dari 200 buah jentera dua roda pelbagai ‘genre’.

Dalam perkongsian terbaru di akaun Facebook, Datuk Kapten Nik berkongsi beberapa poin penting sebagai peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia untuk menunggang dengan selamat.

  • Sentiasa ada jalan keluar
  • Kurangkan risiko kecederaan dengan memakai ‘riding gear’
  • Tetapi sentiasa beringat memakai ‘riding gear’ bukan menjadikan seseorang itu kebal.
  • Sentiasa menjaga jarak terutamanya menunggang bersama kumpulan yang kurang dikenali.
  • Jika tertinggal dibelakang sewaktu konvoi, TAK PERLU kejar. Kawan yang sebenar akan tunggu di depan.
  • Tak perlu beriya nak berada di depan, tiada trofi menanti.
  • Sentiasa pasang mata terhadap pemandu kereta/lori, kebanyakan pemandu adalah ‘buta’ dan ‘pekak’.
  • Sentiasa berjaga terhadap kenderaan yang bersaiz besar kerana terdapat banyak ‘blind spot’.
  • Berhati-hati di simpang atau pusingan ‘U’, walaupun anda berada di jalan yang betul.
  • Jangan ambil mudah Lampu Hijau, sentiasa berjaga-jaga.
  • Sentiasa periksa keadaan di belakang.
  • Perlahankan jentera sewaktu menghampiri kenderaan lain.
  • Jangan tunggang lebih laju daripada kemampuan untuk berhenti.
  • Berhati-hati di jalan raya utama dengan laluan dua hala.
  • Berjaga-jaga dengan kehadiran penghadang jalan raya yang hanya melindungi kereta tetapi boleh membunuh penunggang motosikal.
  • Lubang di jalan raya yang rata lebih bahaya dari lubang di jalan raya rosak.
  • Tumpahan minyak boleh berlaku di mana-mana sahaja.
  • Kemalangan pada 50km/j sudah cukup untuk membunuh.
  • Tiada adab menunggang sewaktu konvoi boleh membahayakan penunggang lain.
  • Keletihan dan tak cukup tidur adalah ‘silent killer’.
  • Sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa.
  • Penyahidratan (tak cukup air) boleh cetuskan rasa ngantuk dan kurangkan tahap kesedaran.

Selain daripada poin penting yang dikongsikan, Kapten Nik turut memberi peringatan bahawa lima tahun pertama menunggang motosikal adalah tempoh yang paling membahayakan.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan bahawa jangan hanya melabur pada helmet yang mahal tetapi juga sertai kursus menunggang motosikal bertauliah.

Perkongsian panjang oleh Kapten Nik hanyalah bertujuan untuk memberi peringatan kepada penunggang motosikal di Malaysia yang sering berdepan bahaya bukan hanya berpunca dari orang lain malah diri sendiri.

“Selama 50 tahun menunggang motosikal, saya telah menyaksikan sendiri beberapa kawan saya kemalangan di depan mata (beberapa daripadanya maut), berada di kawasan kemalangan babitkan kawan-kawan dan mendengar kawan saya maut dalam kemalangan.

“Beberapa kali juga saya berada di rumah mayat menunggu ketibaan ahli keluarga, sesuatu yang saya harap tidak akan berlaku kepada sesiapa pun,” jelasnya dalam perkongsian tersebut.

Suzuki bakal meninggalkan saingan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.

Suzuki dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sedang berbincang dengan Dorna akan kemungkinan untuk berhenti daripada saingan itu hujung musim ini.

Keputusan itu ternyata memberi impak besar kepada pelumba sedia ada, Alex Rins dan Joan Mir, yang ketika ini sedang memberi saingan terhadap kejuaraan dunia selepas enam pusingan.

Selepas pengumuman rasmi dibuat, Rins dan Mir akui terkilan dengan keputusan tersebut.

“Pada Isnin selepas ujian di Jerez, Livio (Suppo) dan Sahara-san memanggil saya ke dalam ofis dan memberitahu perkara ini dan sudah tentu keputusan ini amat sukar untuk ditelan.

“Saya menangis kerana saya telah berikan segalanya kepada pasukan ini sejak 2017.

“Ahli pasukan juga telah mencurahkan segalanya sejak 2015 ketika Suzuki kembali ke MotoGP. Jadi sudah tentu keputusan ini mengejutkan untuks saya dan seluruh pasukan,” jelas Rins.

Bagaimanapun, Rins akur dengan keputusan Suzuki.

“Sama ada saya faham atau tidak dengan keputusan ini itu sudah tidak penting tetapi pastinya saya kecewa. Kami sedang mencabar kejutaan dunia dan pertama dalam kedudukan pasukan.

“Tetapi orang besar di HQ Suzuki telah membuat keputusan, kami tidak mampu mengubahnya,” tambah Rins.

Menjelang aksi GP Perancis hujung minggu ini, Rins tekad membuktikan ‘orang besar’ di Suzuki bahawa keputusan yang diambil adalah tidak tepat.

“Bagi saya pakej (GSX-RR) kali ini adalah yang terbaik kami pernah ada di Suzuki. Jadi kami akan buktikan mereka telah membuat keputusan yang salah,” tegasnya.

Benelli telah menaik taraf Leoncino 800 dan 800 Trail bagi tahun 2022 dengan kemas kini terbesar dilaksanakan di bahagian enjin.

Bagi tahun 2022, Leoncino 800 dan 800 Trail kini menawarkan enjin berstatus Euro 5 setaraf dengan pelarasan emisi di Eropah.

Walaupun Leoncino 800 dan 800 Trail dilengkapi enjin dan kerangka yang sama namun kedua-duanya menawarkan ciri yang berbeza dengan Leoncino 800 menampilkan rekaan motosikal naked sementara 800 Trail bercirikan jentera scrambler.

Kedua-dua model ini dilengkapi enjin parallel-twin 754cc DOHC 4-valve yang sama dan menawarkan 75hp pada 8,500rpm dan 67Nm pada 6,500rpm dengan kuasa enjin disalurkan kepada tayar belakang dengan transmisi 6-kelajuan.

Selain daripada enjin Euro 5, Benelli turut menaik taraf bahagian chasis dan kerangka trellis yang sekaligus membantu meningkatkan tahap kelincahan dan lebih berkeupayaan menangani permukaan ‘off-road’.

Bahagian suspensi juga dipertingkat kepada fork USD 50mm di depan dengan ‘monoshock’ belakang boleh laras (preload/rebound).

Bagaimanapun, sistem membrek kekal dengan kedua-duanya didatangkan dengan cakera brek 320mm di depan yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo 4-pot. Sementara itu, Leoncino 800 dipadankan dengan tayar 17-inci depan dan belakang manakal Leoncino 800 Trail dilengkapi tayar 19-inci depdan dan 17-inci belakang.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh
  • tangki 15 liter
  • paparan skrin TFT
  • ekzos ‘double-barrel’

Buat masa ini Leoncino 800 dan Leoncino 800 Trail masih belum ditawarkan di Malaysia oleh pengedar rasmi MForce Bike Holdings.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube