Royal Alloy memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model GP125 dan GP180 untuk pasaran Malaysia.
Menurut info dikongsikan, GP125 kini didatangkan dengan pilihan warna Matte Black sementara GP180 mendapat warna Metal Blue.
Bagaimanapun, kemas kini bagi tahun 2022 itu tidak membabitkan spesifikasi lain yang masih kekal seperti generasi sebelumnya yang dilancarkan tahun lalu.
Pada masa sama, GP125 kekal ditawarkan pada harga RM12,497 dan RM15,252 bagi GP180.
Royal Alloy GP125 menawarkan 9.65hp pada 7,500rpm dan 9.2Nm pada 7,000rpm sementara GP180 menghasilkan 10hp pada 7,250rpm dan 10.6Nm pada 5,250rpm.
Walaupun ciri kedua-dua model ini adalah sama namun GP180 menawarkan fungsi ABS.
Suzuki akhirnya mengesahkan khabar angin mahu meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.
Suzuki Motor Corporation dalam satu kenyataan mendedahkan sedang mengadakan perbincangan dengan Dorna akan kemungkinan meninggalkan MotoGP sebaik musim ini berakhir.
Sekiranya Dorna bersetuju, maka Suzuki Ecstar akan tinggalkan MotoGP sekali lagi seperti yang berlaku pada musim 2012 hingga 2014.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan hari ini, Suzuki pastinya akan meninggalkan MotoGP buat selama-lamanya kerana mahu memberi fokus terhadap pembangunan teknologi baharu.
Ini sekaligus pelumba sedia ada, juara dunia musim 2020 Joan Mir dan rakan sepasukan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.
Ketika ini hangat diperkatakan bahawa Mir akan berhijrah ke Repsol Honda menggantikan Pol Espargaro dengan kontraknya bersama pasukan Jepun itu tamat tidak akan disambung.
Media Itali, La Gazetta Dello Sport mendakwa Mir telah pun menandatangani kontrak dua tahun bersama Repsol Honda dan bakal digandingkan bersama Marc Marquez musim depan.
Bagaimanapun, Repsol Honda menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai barisan pelumba bagi musim 2023 setakat ini.
Walaupun, pihak Honda menafikan perkara itu namun pengeluar motosikal Jepun itu sebelum ini mengakui telah mendekati Mir selepas usaha mendapatkan Fabio Quartararo gagal.
Sekiranya benar, ketibaan Mir di Repsol Honda bermakna Espargaro perlu mencari pasukan baharu musim depan.
Sementara itu, Rins pula dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing kendalian Razlan Razali. yang didakwa bakal bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia bagi musim 2023 setelah kerjasama dengan Yamaha akan berakhir musim ini.
Walaupun tiada pengesahan setakat ini namun apa yang pasti ketersediaan Mir dan Rins menjelang musim 2023 akan mencetuskan pelbagai rombakan pelumba di grid.
Selepas berminggu spekulasi dan pelbagai dakwaan timbul, akhirnya pihak Suzuki Motor Corporation buka mulut mengenai status semasa di MotoGP.
Dalam kenyataan terbaru dikeluarkan hari ini, Suzuki mendedahkan pihaknya dalam perbincangan bersama Dorna untuk menamatkan penyertaan di MotoGP pada penghujung musim 2022.
Menurut Suzuki, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira faktor ekonomi di dan perubahan besar dalam sektor Automotif sekaligus memaksa syarikat mengalihkan kos dan tenaga kerja dalam membangunkan teknologi baharu.
Dalam kenyataan tersebut, pihak Suzuki juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap pasukan Suzuki Ecstar yang selama ini menyokong aktiviti perlumbaan Suzuki di pentas dunia.
Dalam perkembangan sama, pengumuman Suzuki ini juga menyaksikan pelumba sedia ada Joan Mir dan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.
Lima mangsa telah dikenal pasti rentung dalam satu kemalangan maut babitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, kemalangan tragik itu membabitkan sebuah kereta bersama dua lori treler yang masing-masing membawa muatan besi dan mozek.
Nahas tersebut membabitkan keseluruhan lapan mangsa dengan lima penumpang kereta tersebut telah disahkan maut ditempat kejadian dalam keadaan rentung terbakar lebih 90 peratus.
Jelas JBPM Perak, treler bermuatan besi tersebut juga terbakar 90 peratus.
“Terdapat lima mangsa di dalam kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital. Kerja mengeluarkan mangsa masih dijalankan.
“Pemandu dua treler serta kelindan yang terbabit dalam nahas ini selamat, dengan treler bermuatan mozek hanya mengalami kemalangan kecil akibat pelanggaran dari arah belakang,” jelasnya. – HM
Seorang pelajar Tingkatan Satu maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dalam satu kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang, tengah malam tadi.
Mangsa baru berusia 13 tahun sedang dalam perjalanan ke Kepala Batas dari arah Penaga dan cuba memintas kereta yang berada di depan lalu memasuki lorong bertentangan.
Bagaimanapun, terdapat sebuah lagi motosikal datang dari arah bertentangan yang ditunggang pelajar berusia 14 tahun.
Kegagalan memintas kereta tersebut telah menyebabkan kedua-dua motosikal bertembung lalu pelajar berusia 13 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi alami cedera parah di kaki dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, kedua-dua motosikal tersebut adalah milik bapa masing-masing. – BH
Castrol Malaysia dan Continental Tyre Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka inisiatif bersama di seluruh negara.
Castrol Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan kerjasama kali ini adalah mengukuhkan kedudukan kedua-dua pihak dalam negara dengan memanfaatkan jaringan pengedar dan kepakaran untuk ditawarkan kepada pengguna.
“Kerjasama ini adalah bukti bahawa kedua-dua jenama komited dalam aspek keselamatan dan kepuasan pengguna dan bersama-sama kami dapat membina jenama kami di Malaysia.
“Menerusi gabungan kepakaran sedia ada kami akan terus berinovasi dalam meneraju pasaran global dalam aspek perkhidmatan dan penyelenggaraan,” jelas Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura, Gan Wee Kiong.
Sementara itu, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andera Somorova berkata permintaan kukuh terhadap kedua-dua jenama ini membuka peluang untuk kami terokai bersama.
“Ini adalah peluang yang baik untuk bersama-sama menawarkan perkhidmatan yang lebih baik terhadap pelanggang. Kami percaya servis dan perkhidmatan yang telah ditawarkan sekian lama membuatkan kami akan terus diberi kepercayaan sebagai jenama pilihan dalam penyelenggaraan kenderaan,” jelasnya.
Sudah tiga tahun sejak Harley-Davidson memperkenalkan motosikal elektrik sulung menerusi LiveWire.
Nama LiveWire itu kemudiannya bertukar kepada sebuah jenama motosikal elektrik dibawah Harley-Davidson dengan motosikal LiveWire tersebut dinamakan semula sebagai LiveWire One.
Tidak lama kemudian, timbul khabar angin bahawa LiveWire akan kembangkan portfolio syarikat dengan model baharu diinspirasikan daripada motosikal ‘flat-track’.
Khabar angin itu akhirnya bertukar realiti apabila LiveWire mendedahkan Del Mar, motosikal elektrik yang lebih ringan dan sesuai untuk tunggangan ‘off-road’.
Sebagai penghargaan kepada pelancaran platform baharu itu, LiveWire memperkenalkan Del Mar edisi terhad yang didatangkan dengan warna dan rim khas di samping menamakan model baharu itu sebagai Del Mar Launch Edition.
Terhad kepada 100 unit, Del Mar Launch Edition ini didatangkan dengan dua warna pilihan, Comet Indigo dan Jasper Gray dengan nombor siri turut dicat di bahagian sisi tangki.
Menariknya, 18 minit selepas pelancaran, kesemua 100 unit telah pun terjual.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, LiveWire Del Mar dibangunkan daripada platform S2 Arrow yang merangkumi bateeri, motor, pengecas dan sistem kawalan.
Platform tersebut juga dijangka akan mewujudkan lebih banyak model elektrik pada masa akan datang.
Menurut info, LiveWire Del Mar ini menawarkan 80hp dan berat sekitar 199kg di samping mampu mencapai jarak lebih 160km/j bagi setiap cas penuh. – CycleWorld
Seorang lelaki telah dijatuhkan hukuman penjara 12 hari dan denda RM10,000 setelah didapati bersalah menghalang tugas anggota poli yyang mengiringi konvoi Yang Dipertua Negeri Sarawak, Jumaat lalu.
Lelaki tersebut yang juga bekerja di syarikat penyelenggaraan melakukan kesalahan tersebut di Lebuh Raya Sultan Iskandar.
Erdy Errwan Hamdan, 36, mengaku bersalah menghalang tugas Lans Koperal Mohd Azwar Iqbal Chinang pada 6 Mei lalu sekitar jam 11.30 malam.
Dia juga kehilangan kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun setelah didapati memandu kereta jenis Honda Civic dalam keadaan melulu dan berbahaya. – SelangorKini
Berdasarkan rakaman berdurasi 10 saat tersebut jelas memaparkan pemandu kereta itu melawan arus dan hampir bertembung dengan kereta dan sebuah motosikal sebelum membuat pusingan ke laluan bertentangan.
Menurut pemangku Ketua Polis daerah Timur Laut, Superitendan V Saravanan, pihaknya sedang mengesan pemandu tersebut untuk tindakan lanjut.
“Polis sudah terima (maklumat) tetapi kita masih dalam proses mengesan pemilik kenderaan terbabit dan masih menyiasat,” jelasnya. – BH
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan kenaikan harga kenderaan akan berlaku ekoran peningkatan kos bahan mentah di samping kejatuhan nilai ringgit dan kekurangan cip komputer.
Perkara itu disuarakan presiden MAA, Aishah Ahmad yang memaklumkan kebarangkalian untuk harga kereta naik adalah tinggi susulan berlakunya peningkatan kos yang perlu ditanggung pengeluar.
Bagaimanapun, Aishah menjelaskan bahawa pengeluar kereta di Malaysia masih belum memutuskan sama ada untuk meningkatkan harga kereta ditawarkan atau terus menyerap kos tersebut.
“Peningkatan kos bahan mentah, logistik dan penurunan nilai ringgit merupakan antara sebab yang akan memberi kesan terhadap kenaikan harga kenderaan.
“Namun, perkara ini masih belum diputuskan,” jelas Aishah.
Peningkatan kos bahan mentah turut diperakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Roslan Abdullah.
“Kami masih belum membuat keputusan, buat masa ini kami masih cuba menyerap kos yang meningkat,” jelasnya. – BH
Jalan Bukit Tunku kini menjadi tumpuan orang ramai kerana menyajikan pemandangan ibu kota Kuala Lumpur.
Menjadi tumpuan sejak penghujung 2019, kawasan sepanjang 150 meter tersebut yang kini dikenali sebagai Bukit Tunku Viewpoint sering dipenuhi orang ramai terutamanya di waktu malam.
Bagaimanapun, tindakan segelintir pengunjung yang gemar membunyikan enjin kenderaan di kawasan tersebut di larut malam telah menyebabkan rasa tidak senang dikalangan penduduk disitu.
Menurut laporan, bunyi bising kadang kala boleh didengari hingga jam 3 pagi.
Bukan itu sahaja, orang ramai yang meletakkan kereta di bahu jalan juga mengundang kesesakan.
“Ada saja aktiviti dijalankan dikawasan tersebut. Ada yang sekadar singgah tetapi ada juga yang menghabiskan masa berjam-jam dan makan di situ.
“Walaupun tempat itu adalah kawasan awam dan orang ramai ada hak untuk berada disitu namun ada segelintir yang tidak bertimbang rasa dengan mengganggu ketenteraman penduduk,” jelas penduduk disitu.
Lebih mengejutkan salah sebuah rumah telah dibaling mercun oleh pemandu Volkswagen putih gara-gara diminta untuk berhenti ‘rev’ enjin sebelum melarikan diri. – The Star
Motosikal sememangnya memainkan peranan penting dikalangan penduduk di Malaysia bukan sahaja sebagai mod pengangkutan harian malah sebagai medium pencari rezeki (penghantar makanan/barangan).
Ekoran penggunaan yang lasak dengan ada yang menempuh lebih 200km ulang-alik kerja setiap hari, penjagaan motosikal terutamanya bahagian enjin menjadi keutamaan.
Ini sekaligus membuatkan pengguna terpaksa berdepan dilema pemilihan minyak enjin yang sesuai dan terbaik untuk kenderaan mereka.
*Katsuya Arai
Bagi membantu mengurangkan kerumitan pemilihan minyak enjin yang baik, Pengarah Urusan R&D Motul, Katsuya Arai berkongsi pengalamannya dalam menentukan apa sebenarnya minyak enjin yang baik untuk pengguna.
Umum sedia maklum, bahagian enjin hanya boleh beroperasi dengan baik apabila tahap kelinciran berada di paras optimum bagi memastikan kelancaran.
Berbanding kereta yang mempunyai minyak berasingan bagi bahagian enjin dan kotak gear, motosikal pula menggunakan minyak enjin yang sama untuk melincirkan kedua-dua bahagian sekaligus.
Ini menjadikan pemilihan minyak enjin yang sesuai untuk motosikal lebih mustahak kerana boleh menentukan jangka hayat enjin tersebut.
Kelikatan
Terdapat tiga jenis kelikatan pada minyak enjin; kelikatan kinematic (berkait dengan tekanan minyak), kelikatan suhu tinggi (berkait dengan tekanan dan suhu enjin) serta kelikatan untuk suhu sejuk (membantu menghidupkan enjin ketika suhu rendah).
Menurut Arai-san, pemilihan kelikatan minyak enjin yang sesuai perlu bergantung pada perbezaan suhu semasa dan tekanan semasa.
Sintetik penuh, separa sintetik atau mineral?
Fahaman di Malaysia kategori sintetik penuh, separa sintetik dan mineral menunjukan tahap “kualiti” namun bagi Arai-san pandangan itu hanyalah taktik pemasaran semata-mata.
Sebaliknya, Arai-san menjelaskan minyak enjin sintetik adalah lebih sesuai untuk enjin yang moden kerana minyak tersebut dibangunkan khas untuk menghapuskan proses pengoksidaan.
Motul 300V
Bagi memastikan pengguna dibekalkan minyak enjin yang sesuai untuk semua jenis enjin di samping berkualiti, Motul 300V yang dibangunkan dengan teknologi ESTERcore menawarkan kelebihan tersebut.
Menurut Arai-san, teknologi ESTERcore memaksimumkan kepekatan lapisan minyak sekaligus meningkatkan ketahanan terhadap geseran enjin.
Hasilnya, enjin terus terlindung dan prestasi enjin kekal berada di tahap optimum.
Di samping itu, Arai-san menjelaskan bahawa pemilihan minyak enjin yang sesuai juga bukan hanya bergantung pada jenis enjin malah purata jarak perbatuan dan permukaan jalan raya yang dilalui juga perlu diambil kira.
Tambahnya, apa yang penting adalah memastikan minyak enjin tersebut diperakui American Petroleum Institute (API) yang menjaminkan kualiti minyak tersebut.
Pada masa sama, Arai-san memaklumkan minyak enjin Motul 300V merupakan pilihan tepat bagi pengguna yang menggunakan jentera mereka untuk tujuan perlumbaan di litar kerana telah diuji mampu menangani tekanan tinggi.