Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan nombor pendaftaran MDP dan akan dibuka untuk bidaan menerusi platform atas talian JPJ eBid.
Menurut info yang dikongsikan, bidaan bagi nombor siri MDP akan dibuka pada 12 Mei ini dan akan berjalan selama lima hari dan akan tamat pada jam 10 malam pada 16 Mei dengan keputusan bidaan akan dikeluarkan pada hari berikutnya.
Sementara itu, orang ramai masih berpeluang untuk membida nombor siri QAB_E (Sarawak) yang sedang berjalan dan akan berakhir pada 11 Mei ini (esok) dengan keputusan akan diumumkan pada hari berikutnya.
Bagi yang berminat, segala proses bidaan nombor siri hanya boleh dilakukan menerusi platform JPJ eBid yang boleh diakses secara atas talian atau muat turun aplikasi di Google Play dan Apple AppStore.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bercadang untuk menambah lima lagi dron dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan di negeri itu.
Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, penggunaan dron ternyata efektif sewaktu Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 yang berjalan sejak 29 April lalu.
Jelas Hanif, ini merupakan kali pertama dron tersebut diguna pakai secara meluas pada Ops HRA 2022 kali ini.
“Sebanyak dua dron telah digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.
“Sepanjang operasi kali ini, dua orang pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron dengan 30 notis saman telah dikeluarkan (pemantauan dron) bagi kesalahan utama tersebut,” jelas Hanif.
Tambah Hanif lagi, pihaknya juga bercadang untuk menghantar pegawai menjalani latihan agar dapat mengendalikan dron dengan lebih baik.
Penggunaan dron ternyata berkesan dalam menangani pesalah trafik terutamanya merakam aksi pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, langgar lampu merah dan potong barisan. – UTUSAN
Sempena World Ducati Week 2022 yang akan berlangsung secara besar-besaran di Misano World Circuit Marco Simoncelli pada Julai nanti, Ducati Malaysia bersama-sama Ducatisti telah bersatu di bawah motto ‘Let’s Ride As One’.
Program ‘We Are Ducati, We Ride As One’ menyaksikan pemilik motosikal Ducati seluruh negara berkumpul di Ducati Petaling Jaya, Ducati Welly dan Ducati Penang bagi bersama-sama meraikan WDW 2022.
Kami turut diberi peluang menyertai acara kali ini berbekalkan jentera Ducati Multistrada 950S yang merupakan antara model ditawarkan Ducati Malaysia sebelum ini.
Berkumpul di Ducati Petaling untuk sesi sarapan pagi, konvoi kemudiannya bergerak ke Ducati Welly untuk menghadiri rumah terbuka.
Konvoi kemudiannya bergerak ke pusat pameran terbaru Ducati Welly yang dijangka akan dibuka hujung tahun ini.
Sebagai pelengkap, konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka untuk sesi bergambar dengan jentera masing-masing sambil berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Menariknya, pemilik Ducati di negara Asia lain termasuk Korea Selatan, India, Singapura, Filipina, Thailand dan Myanmar turut menghangatkan ‘We Ride As One’ dengan mengadakan acara konvoi masing-masing sempena WDW 2022.
WDW 2022 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai ini merupakan edisi yang ke-11 dianjurkan.
Berbeza kali ini, WDW 2022 akan memberi tumpuan kepada acara ‘The Race of Champions’ di mana pelumba MotoGP, Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dan World Supersport Ducati bersaing antara satu sama lain di Litar Misano.
Pengeluar motosikal Jepun, Honda dilaporkan telah memfaikan permohonan nama NX dan NX500 di Kesatuan Eropah, baru-baru ini.
Nama baharu itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Honda akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi.
Honda NX650 Dominator
Menariknya, kod nama NX500 itu mengembalikan nostalgia NX500 dan NX650 Dominator yang diperkenalkan Honda pada 1988 sehingga 2003.
Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa NX500 akan datang itu merujuk pada sebuah motosikal ‘dual sport’ atau ‘adventure’ seperti generasi NX500 terdahulu.
Apatah lagi permintaan terhadap motosikal seumpama itu semakin meningkat naik di seluruh dunia, maka tidak hairanlah jika NX500 bakal menjadi antara tawaran baharu Honda untuk pasaran global.
Honda CRF1100L, CB500X dan CRF250L Rally serta (akan datang) Transalp 750 menjadi bukti fizikal bahawa peminat motosikal ‘dual sport’ dan ADV meningkat saban tahun ekoran menawarkan ketahanan tinggi di samping ciri praktikal.
Penggunaan nama NX juga lebih relevan bagi menghidupkan semula legasi NX500 dan NX650 apatah lagi nama Dominator itu kini menjadi hak milik Norton Motorcycles.
Selain itu, nama NX juga sinonim dengan sejarah Honda di Dakar tatkala jentera prototaip Honda NXR750V dan NXR800V berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut dari 1986 hingga 1989.
Namun, berbeza seperti generasi NX500 sebelumnya yang menggunakan enjin satu silinder, NX500 terbaru ini pastinya digerakkan enjin parallel-twin 471cc yang sama terdapat pada CB500X.
Honda CB500X
Honda CB500X juga dijangka bakal menjadi asas utama pembangunan NX500 terutamanya bahagian kerangka dan swingarm namun digabungkan dengan rekaan yang lebih agresif dan lasak.
Honda juga telah memfailkan nama NX200 dan NX150 di beberapa negara Asia Tenggara yang secara langsung mencadangkan terdapat beberapa varian NX yang akan ditawarkan bersama NX500 tidak lama lagi.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 16,377 saman kesalahan jalan raya setakat semalam sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 29 April lalu.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim yang memaklumkan jumlah saman tersebut dikeluarkan setelah memeriksa lebih 89,490 kenderaan.
““JPJ juga telah mengeluarkan sejumlah 776 saman Notis P22 iaitu notis arah periksa melibatkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju,” jelasnya.
Sementara itu, lima kesalahan utama dalam tempoh Op HRA 2022 itu akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.
Sebelum ini, JPJ turut melaporkan sebanyak 35,618 kenderaan telah dirakam kamera AWAS ekoran memandu melebihi had laju.
Jika disabitkan, pemandu kenderaan yang didapati melakukan lima kesalahan utama jalan raya boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. – BERNAMA
Pelumba muda negara, Hakim Danish berjaya mencipta nama untuk dirinya di samping melakar sejarah baru sukan permotoran negara apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam Race 2 European Talent Cup yang berlangsung pada Ahad.
Kejayaan di Litar Estoril, Portugal itu turut menyaksikan Hakim muncul pelumba Malaysia pertama yang berjaya menaiki podium di ETC.
Walaupun ketinggalan lebih 7 saat di belakang juara Joel Estaban namu Hakim mempamerkan tunggangan cemerlang untuk mengekang asakan enam pelumba lain untuk memastikan kedudukan kedua jadi miliknya sekaligus perbaiki kedudukan kelima di Race 1.
Bagaimanapun, kejayaan menduduki P5 di Race 1 dan P2 di Race 2 telah meletakkan Hakim di tangga kedua kejuaraan ETC musim ini.
Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Ricardo Tormo pada 22 Mei ini.
Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menahan seorang pemandu kereta jenis BMW selepas enggan memberhentikan kereta.
Pemandu tersebut diarahkan berhenti selepas dikesan menggunakan lorong kecemasan di Kilometer (KM) 434 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.
Bagaimanapun, lelaki berusia 35 tahun itu terus memecut ke lorong kanan dan cuba melarikan diri.
Walaupun polis beberapa kali mengarahkan berhenti namun suspek terus memandu dalam keadaan melulu dan membuat zig zag sebelum berjaya ditahan di KM22.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Menurut Pegawai Turus Lebuhraya Tengah Zon A JSPT Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak, suspek cuba memberi alasan konon ibunya sakit dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Namun, pemeriksaan lanjut dengan menghubungi hospital dan doktor bertugas mengesahkan alasan diberikan hanyalah satu helah semata-mata.
Pada masa sama, polis juga mendapati cukai jalan kereta BMW yang dipandu juga telah tamat tempoh pada 6 Mei 2020.
Suspek yang ditahan bersama tiga wanita lain akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH
Kebelakangan ini timbul berita mengejutkan dari kem MotoGP apabila Suzuki didakwa akan meninggalkan kejuaraan dunia itu sebaik musim 2022 berakhir.
Bukan itu sahaja, Suzuki turut dikhabarkan akan meninggalkan segala jenis perlumbaan dua roda termasuk EWC.
Meskipun tiada pengumuman rasmi daripada pihak Suzuki sendiri namun tindakan berdiam diri daripada pengeluar motosikal Jepun itu secara tidak langsung mengesahkan dakwaan tersebut.
Bukan itu sahaja, media antarabangsa melaporkan pihak Suzuki telah pun memberitahu kakitangan mengenai perkara tersebut sewaktu sesi ujian rasmi di Jerez, minggu lalu.
Bagaimanapun, setakat ini masih tidak dapat dikenal pasti apakah punca penarikan diri itu namun terdapat laporan yang mendakwa keputusan tergempar itu berkait dengan faktor kewangan.
Melihat kepada laporan tahunan terkini (2021) daripada Suzuki, syarikat berpangkalan di Hamamatsu, Jepun itu hanya berjaya menjual 153,000 unit motosikal seluruh dunia tahun lalu.
Jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain, Kawasaki catat jualan 400,000 unit manakala Honda berjaya menyerahkan lebih 10 juta motosikal tahun lalu sahaja.
Sementara itu, jualan motosikal Suzuki jatuh 36 peratus dari 2010-2019 dan turun 10 peratus lagi pada 2020.
Ini sekaligus memberi bayangan bahawa permintaan terhadap motosikal Suzuki semakin menurun manakala pesaing lain antaranya Honda, Yamaha dan Kawasaki meningkat naik.
Walaupun terdapat banyak pemboleh ubah yang boleh memberi kesan terhadap angka jualan namun hakikatnya teknologi yang ditawarkan motosikal Suzuki agak ketinggalan jika dibandingkan dengan jenama lain.
*Suzuki GSX-S1000 GT
Sebagai contoh, model GSX-S1000GT 2022 masih lagi menggunakan enjin 4-silinder 999cc daripada K5 GSX-R1000 yang berusia lebih 17 tahun.
*Suzuki GSX-S1000
Suzuki GSX-S1000 2021 pula masih ketandusan beberapa ciri penting antaranya IMU 6-axis yang kini dianggap sebagai elemen standard pada motosikal berkuasa tinggi.
*Adaptive Cruise Control
Tidak lupa juga, jenama Eropah dan Jepun lain juga telah melangkah jauh ke depan dengan ciri terkini antaranya sistem radar yang menawarkan fungsi ‘Adaptive Cruise Control’ dan ‘Blind Spot Detection’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure, Kawasaki H2SX, BMW R 1250 RT dan Triumph Tiger 1200.
Walaupun perancangan semasa Suzuki bagi segmen dua roda masih lagi samar namun melihat kepada laporan tahunan 2021, pelan ‘Mid-Term Management’ Suzuki yang berjalan dari April 2021 hingga Mac 2026 langsung tidak menyebut tentang motosikal.
Sebaliknya, pelan tersebut memberi fokus terhadap mempertingkatkan usaha dalam pembangunan mobiliti elektrik.
Pelan itu secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kos perbelanjaan Suzuki di MotoGP dan pembangunan jentera dua roda.
Namun perlu diingatkan, semua ini hanyalah spekulasi ketika ini dan segala jawapan bakal terjawab sebaik pihak Suzuki memberi kenyataan rasmi tidak lama lagi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah peruntukkan RM10 juta sebagai kos jangka pendek tangani masalah banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur telah dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali sejak Disember tahun lalu sekaligus menimbulkan rasa tidak senang dikalangan orang ramai yang tinggal dan bekerja di sekitar ibu kota.
Susulan itu, Pengarah Eksekutif DBKL, Datuk Azmi Abdul Hamid berkata daripada kos RM10 juta itu, separuh daripadanya akan digunakan bagi membeli peralatan termasuk 20 pam air dan beg pasir.
Sementara baki RM5 juta lagi akan dibelanjakan bagi menaik taraf sistem saliran sedia ada di kawasan ‘hotspot’.
Menurut Azmi, setakat ini DBKL hanya mempunyai empat pam air.
“Untuk fasa pertama, kami akan tambah 20 unit pam air berharga RM20,000 seunit.
“Proses ini dijangka siap selepas Aidilfitri dan semua pam tersebut akan diletakkan di pejabat DBKL yang berhampiran dengan kawasan ‘hotspot’,” jelasnya. – NST
Khabar angin tentang KTM 490 telah pun berlegar sejak beberapa tahun dengan pengeluar motosikal Austria itu dijangka memperkenalkan varian Duke, RC dan Adventure.
Akhirnya berita baik tiba untuk peminat KTM apabila syarikat itu didedahkan akan memperkenalkan model 490 tidak lama lagi.
Menurut laporan, beberapa model KTM 490 itu akan dilancarkan secara rasmi lewat tahun ini.
Berdasarkan maklumat yang bocor ketika persembahan terkini oleh syarikat induk Pierer Mobility baru-baru ini , terdapat lima model 490 yang akan diperkenalkan untuk pasaran dunia.
Ini bermaka selain 490 Duke, RC 490 dan 490 Adventure, terdapat dua lagi model 490 yang akan sertai barisan terbaru itu.
Walaupun tiada maklumat tambahan setakat ini namun timbul dakwaan bahawa KTM 490 itu akan dikuasakan enjin parallel-twin 490cc.
Ini kerana rakan KTM di China, CFMoto telah pun melancarkan 450SR yang turut mengguna pakai enjin parallel-twin.
Sementara itu, selain daripada enjin parallel-twin, model 490 ini juga dijangka dilengkapi beberapa ciri premium antarnaya suspensi WP, mod tunggangan pelbagai, sistem ABS, traction control dan paparan TFT.
Sebanyak 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sewaktu Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) setakat Khamis minggu lalu.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 4.7 juta kenderaan telah direkodkan melalui kamera AWAS di lebuh raya seluruh negara sepanjang Ops HRA diadakan sejak 29 April lalu.
Sementara itu, sebanyak 10,355 lagi telah dirakam kamera AWAS melanggar lampu isyarat merah daripada 1.5 juta kenderaan yang melalui.
Ini sekaligus menyaksikan pesalah jalan raya yang dirakam melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah sepanjang tempoh Ops HRA 2022 akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.
Pelaku yang didapati bersalah akan dikenakan denda sehingga RM2,000 mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, pelaku yang didapati melakukan kedua-dua kesalahan (lebih had laju dan langgar lampu merah) akan dikenakan empat mata demerit berjadual dibawah sistem KEJARA (Pemberian Mata Demerti Kesalahan Jalan Raya).
Kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan melebihi had laju ketika Ops HRA 2022 merupakan antara lima kesalahan trafik yang diumumkan pihak JPJ yang tidak boleh dikompaun sebaliknya akan dikenakan tindakan mahkamah. – FMT
Baru-baru ini Harley-Davidson memperkenalkan model Nighster yang dikuasakan enjin Revolution Max 975T serba baharu.
Menariknya, enjin 975cc dengan penyejukan cecair itu sepatutnya diperkenalkan lebih awal menerusi model Bronx.
Harley-Davidson memperkenalkan motosikal konsep ‘Bronx’ pada 2018 dan merupakan sebuah model ‘streetfighter’ yang didedahkan bersama-sama Pan America dan Sportster S pada waktu itu.
Pan America
Ketika projek Pan America dan Sportster S diteruskan dan telah pun dilancarkan, Harley-Davidson membuat keputusan untuk menghentikan projek Bronx ekoran strategi ‘Hardwire’ yang bertujuan mengolah semula arah tuju syarikat.
Bagaimanapun, laporan terkini mengesahkan projek motosikal ‘streetfighter’ itu akan kembali dihidupkan setelah Harley-Davidson memfailkan semula tanda nama Bronx di Amerika Syarikat.
Bronx
Berbeza dengan permohonan pada 2017 yang sekadar untuk mendapatkan hak kepada nama ‘Bronx’, permohonan tanda nama kali ini pula meliputi segala aspek termasuk ‘dengan niat untuk digunakan’ .
Jika diimbas kembali, Harley-Davidson tidak pernah (secara rasmi) memaklumkan bahawa projek Bronx diberhentikan.
Sebaliknya, permohonan tanda nama Bronx buat kali kedua mengesahkan projek itu hanyalah ditangguh buat sementara waktu dan bukannya dihentikan.
Namun, buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada rekaan Bronx akan mengikut rupa prototaip yang didedahkan lima tahun lalu.
Apa yang pasti, Harley-Davidson Bronx akan digerakan enjin Revolution Max 975T yang sama terdapat pada Nightster.