Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Kerajaan bakal putuskan peraturan baharu berkait dengan penggunaan skuter elektrik atau e-skuter.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, peraturan baharu itu termasuk pelaksanaan lesen terhadap pengguna dan pembekal kenderaan terbabit.

“Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-undang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu, mereka perlu mempunyai lesen,” jelas Wee Ka Siong.

Peraturan tersebut dilihat sebagai langkah wajar susulan penggunaan e-skuter semakin menjadi trend dikalangan orang ramai.

Pada masa sama, Wee Ka Siong menyifatkan kelajuan e-skuter yang sama seperti motosikal membuatkan pengguna terdedah kepada risiko kemalangan.

Penggunaan mobiliti elektrik sudah pun termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 yang merangkumi aspek kenderaan mikro mobiliti .

“Saya rasa kita kena perhalusi setiap satu dan sebenarnya libat urus telah dibuat berkali-kali.

“Jumlah mikro mobiliti ini banyak, nama e-basikal tapi bukan basikal, iaitu kelajuan sangat tinggi dan tidak menggunakan pedal.

“Kita kena lihat setiap satu supaya tidak terlepas pandang. Definisi kena jelas dan kita kena kawal (penggunaan mikro mobiliti) demi kebaikan semua orang,” tambahnya. – FMT

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan bahawa terdapat lima jenis kesalahan trafik yang dilakukan sewaktu Ops Hari Raya yang hanya boleh diselesaikan di mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

Lima kesalahan trafik tersebut adalah memandu di laluan kecemasan, menggunakan telefon ketika memandu, gagal mematuhi lampu isyarat merah, potong ‘Q’ dan melebihi had laju.

Sebarang pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan trafik tersebut akan dihadapkan ke mahkamah dan tidak lagi dikenakan kompaun serta-merta.

Sementara itu, Wee Ka Siong turut mengumumkan larangan menggunakan lebuh raya bagi kenderaan berat berkuat kuasa tiga hari sebelum Aidilfitri dan dua hari selepas Aidilfitri.

“Larangan tersebut adalah bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya ekoran bercampur dengan kenderaan berat di samping mengurangkan kesesakan,” jelasnya.

Di samping itu, seramai 2,200 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terlibat dengan Ops Hari Raya kali ini, termasuk menyamar sebagai penumpang bas ekspress. – MM

Suzuki Malaysia ternyata mengorak langkah tepat sejak mengambil alih tugas edar dan pasang jenama motosikal Suzuki untuk pasaran tempatan.

Selepas kejayaan melancarkan SV650, V-Strom 650 XT, GSX-S750, GSX-R1000, GSX-R1000R, Katana, Hayabusa, GSX-S1000 dan V-Strom 1050 XT, Suzuki Malaysia juga memperkenalkan model 150cc menerusi GSX-R150, GSX-S150 dan model moped, Raider R150 Fi.

Suzuki Raider R150 Fi juga semakin mencuri perhatian apatah lagi menjadi topik bualan dikalangan rakyat Malaysia akan kemampuannya mencapai kelajuan 177km/j di atas mesin dyno.

Bagaimanapun, rata-rata ada berasakan Suzuki Malaysia wajar pertimbang untuk membawa masuk motosikal kapcai bagi menyaingi jenama Honda dan Yamaha di sini.

Antara yang disebut adalah model Suzuki Smash Fi Next Edition yang diperkenalkan di Thailand pada suku ketiga 2021.

Aspek yang paling mencuri tumpuan tentang Smash Fi Next Edition adalah tahap penjimatan minyak yang ditawarkan.

Menurut ujian yang dijalankan Suzuki Motosales Thailand, Suzuki Smash Fi Next Edition mampu mencapai jarak 246.79km walaupun hanya dilengkapi tangki 3.7L.

Ini menjadikan Smash Fi Next Edition medium pengangkutan paling sesuai untuk kegunaan harian terutamanya bagi yang mahukan kapcai mampu milik namun berjenama.

Suzuki Smash Fi Next Edition digerakan enjin 112.8cc 4-stroke SOHC dengan suntikan bahan api elektronik yang menjana 9.25hp pada 8,000rpm dan 9.1Nm pada 6,000rpm.

Melihat kepada ciri ditawarkan, Suzuki Smash Fi Edition sememangnya wajar dipertimbang untuk pasaran tempatan apatah lagi memberi pilihan luas kepada pembeli untuk mencari kapcai yang diinginkan dan tidak lagi hanya terhad kepada jenama Y dan H sahaja.

Kerajaan Melaka dengan rasminya memperkenalkan servis e-wallet menerusi aplikasi Touch ‘n Go bagi perkhidmatan beca di negeri itu.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada Isnin.

Inisiatif tersebut diperkenalkan Divisyen Promosi Pelancongan dan sejajar dengan pembangunan teknologi di samping lebih mesra pengguna dan dapat mengurangkan penyebaran Covid-19.

Menurut laporan, seramai 80 peratus penarik beca di Melaka telah beralih ke e-wallet Touch ‘n Go sebagai cara bayaran setakat ini.

Namun, kerajaan negeri kesemua 305 penarik beca berdaftar di negeri itu akan beralih ke kaedah sama tidak lama lagi.

“Penarik beca di Melaka merupakan yang pertama dalam negara untuk menggunakan kaedah bayaran e-wallet dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang beralih ke aplikasi ini,” ujar Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, kerajaan negeri Melaka juga telah menyerahkan bantuan tunai RM200 secara ‘one-off’ dan beberapa barangan keperluan lain kepada penarik beca berdaftar di negeri tersebut. – BERNAMA

Pada penghujung Mac lalu, jenama pengeluar motosikal China, CFMoto telah pun memperkenalkan jentera terbaru, 450SR untuk pasaran dunia.

Motosikal tersebut, yang dibangunkan daripada model prototaip SR-C21 merupakan jentera segmen ‘sportsbike’ serba baharu yang diperkenalkan CFMoto.

Dalam perkembangan yang lebih menarik, kami dimaklumkan bahawa model 450SR serba baharu itu akan turut dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Menurut info yang disampaikan kepada kami, pengedar tempatan, CFMOTO Malaysia akan melancarkan CFMoto 450SR itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini sewaktu pusingan MotoGP Malaysia.

GP Malaysia sememangnya platform paling sesuai bagi pelancaran model terbabit apatah lagi CFMoto mempunyai pasukan di kelas Moto3.

Ini secara tidak langsung menyaksikan 450SR akan sertai 250SR yang telah dilancarkan sebelum ini.

CFMoto 450SR merupakan jentera sportsbike bernadikan enjin parallel-twin 449cc 270-darjah yang berkeupayaan menghasilkan 50hp dan 39Nm.

Angka kuasa itu sekaligus meletakkan CFMoto 450SR antara pesaing utama Kawasaki Ninja 400 (49hp) dan KTM RC390 (44hp).

Selain daripada enjin berkuasa, CFMoto 450SR juga datang dengan rekaan yang sporty dan agresif termasuk menawarkan ciri ‘winglet’ yang terdapat pada model prototaip SR-C21 sebelum ini.

CFMOTO juga mendakwa 450SR ini mampu merekodkan kelajuan maksima 190km/j.

Belum sempat isu segelintir warga Singapura dirakam mencuri minyak bersubsidi RON95 di selatan tanah air berakhir, timbul lagi cerita kurang senang babitkan pemandu warganegara jiran itu.

Kali ini, seorang pemandu Singapura kantoi mencuri elektrik di stesen pengecas pantas (DC) Shell Recharge terletak di Tangkak, Johor.

Gambar insiden tersebut dimuat naik oleh bos besar Shell Malaysia, Shairan Huzani – atau lebih dikenali di media sosial sebagai Pakcik Shell.

Berdasarkan imej dikongsikan, jelas pemandu Singapura tersebut tidak meletakkan kenderaan jenis BYD T3 itu dalam ruang letak kereta disediakan.

Ini kerana mana-mana pemilik kenderaan yang mahu menggunakan Shell Recharge perlu membayar terlebih dahulu menerusi aplikasi ParkEasy bagi membolehkan pengadang di parkir diturunkan.

Melihat keadaan palang masih lagi tegak, ini bermakna pemandu tersebut telah menggunakan fasiliti tanpa membayar sekaligus mencuri perkhidmatan yang disediakan Shell Malaysia.

Lebih mengejutkan, bayaran untuk menggunakan fasiliti tidaklah mahal, hanya RM4 untuk yuran pengesahan dan seterusnya RM20 bagi 25 minit pertama dan RM20 bagi setiap lima minit seterusnya.

Sempena kempen #drivesafenoregrets, PUSPAKOM menawarkan Pemeriksaan Kenderaan Secara Percuma untuk semua pemandu kenderaan persendirian dari 17 hingga 29 April 2022 ini.

Tawaran pemeriksaan percuma itu akan berjalan di semua pusat pemeriksaan PUSPAKOM seluruh negara – kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan untuk kenderaan komersial berat sahaja.

Orang ramai yang berminat boleh membuat janji temu di www.mypuspakom.com.my.

Sementara itu, orang ramai juga boleh dapatkan pemeriksaan percuma secara ‘walk-in’ melalui Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM pada tarikh dan lokasi berikut:

  • Pusat Komuniti Lembah Pantai – 16 April
  • Wisma DRB-Hicom Shah Alam – 20 April
  • Lotus Ara Damansara – 22 April
  • PLUS Restoran Jejantas Sungai Buloh – 23 April
  • Balai Polis Sri Lalang, Kluang Johor – 23 April

Kesemua Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM ini akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang pada tarikh ditetapkan.

“Untuk pengetahuan orang ramai, di PUSPAKOM kami menggunakan alat pemeriksaan  berkomputer untuk menguji kecekapan dan keberkesanan komponen sesebuah kenderaan seperti cengkaman brek dan tahap pelepasan asap.

“Laporan VVI dengan bacaan yang mengikut piawaian antarabangsa akan diberikan kepada pemilik kenderaan sebagai rujukan supaya mereka dapat mengetahui kondisi sebenar kenderaan yang dipandu atau kerosakan yang mungkin terdapat pada komponen kenderaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail.

Kempen percuma ini akan memfokuskan 25 aspek utama; brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, ketelusan cahaya cermin dan lain-lain.

Tahun lalu, gergasi motosikal India, Bajaj Auto telah memperkenalkan Dominar UG 400 yang telah dikemas kini dengan ciri ‘touring’.

Motosikal yang dilabel sebagai jentera ‘sport tourer’ itu telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu antaranya penghadang angin tinggi, handguard, slot pengecas UBS, pelindung enjin (bash plate) dan ‘carrier’ serta ‘back stopper’.

Dalam perkembangan terbaru, rakan media Paultan.org melaporkan bahawa Dominar baharu versi ‘touring’ itu akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi oleh pengedar tempatan, Modenas yang turut bertanggungjawab menjenamakan semula motosikal Bajaj untuk pasaran negara.

Bagaimanapun, model baharu itu akan terus menawarkan spesifikasi sama seperti Dominar D400 UG termasuk enjin satu silinder 373.3cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 40hp pada 8,650rpm dan 35Nm pada 7,000rpm.

Dengan permintaan semasa terarah kepada motosikal jenis ‘touring’, ternyata kemasukan Dominar versi baharu ini akan menggembirakan ramai kaki ‘touring’ yang mahukan motosikal seumpamanya dengan harga mampu milik. – Paultan.org

Polis berjaya menahan sekumpuan remaja warga asing yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal jenis Honda EX5 di sekitar Kuala Lumpur.

Kumpulan remaja tersebut, yang berusia antara 14 dan 16 tahun mensasarkan Honda EX5 kerana mudah dicuri selain dijual untuk tujuan lerai bagi dijadikan alat ganti.

Penahan empat remaja warga asing itu disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar.

Difahamkan, kes kecurian motosikal EX5 milik pembantu stor telah membawa kepada penahan kumpuan tersebut.

“Pada Jumaat lalu kira-kira 9.30 pagi, seorang pembantu stor telah melaporkan kehilangan motosikal jenis Ex5 miliknya yang diparkir berdekatan Hotel Boutique, Cheras.

“Pada hari sama, polis telah menahan seorang remaja lelaki warga asing berusia 14 tahun yang menunggang motosikal di Jalan Bukit Bintang tanpa memakai topi keledar kira-kira pukul 9.49 malam.

“Remaja berkenaan juga tidak mempunyai lesen memandu dan pemeriksaan mendapati, motosikal tersebut merupakan motosikal yang baru dilaporkan hilang,” jelas Mohammad Idzam.

Polis kemudiannya menahan dua lagi remaja warga asing, berusia 14 dan 26 tahun di Taman Maluri, Cheras termasuk merampas sebuah motosikal EX5 berwarna ungu yang dipercayai turut dicuri.

Difahamkan, salah seorang suspek yang ditahan juga masih khayal akibat kesan menghisap gam. – Kosmo

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah menahan seramai 13 lelaki ekoran didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi yang diadakan di ibu negara, pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh setelah pihaknya melakukan operasi di sekitar Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

“Seramai 13 lelaki tempatan berusia 21 hingga 44 tahun telah ditahan kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol dan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Sarifudin turut mendedahkan tiga penunggang motosikal turut ditahan dalam operasi tersebut.

“Kita juga telah menahan tiga lelaki kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) AKta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Menurut Sarifudin lagi, operasi tersebut turut menyaksikan sebanyak 253 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manalala 12 motosikal dan empat kereta disita. – Kosmo

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberkas seorang remaja perempuan 16 tahun yang disyaki mengelar leher pemandu e-hailing warga emas.

Menurut laporan, mangsa, 63, telah mengambil suspek di Tangkak, Johor lalu membawa ke Sentul, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di destinasi, suspek enggan membayar tambang RM400 sekaligus memaksa mangsa memandu ke balai polis.

Namun, remaja perempuan tersebut telah bertindak mengelar leher mangsa menggunakan pisau lipat dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.55 pagi.

Suspek kemudiannya melarikan diri namun meninggalkan pisau digunakan dalam kereta mangsa yang sempat memandu ke Balai Polis Sentul bagi dapatkan bantuan dan seterusnya digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, polis telah menahan suspek perempuan berusia 16 tahun terbabit dekat premis perniagaan di hadapan bank sekitar Jinjang, di sini hari,” jelas Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai. – Kosmo

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology memperkembangkan ciri keselamatan motosikal dengan melancarkan ATAS (Accidental Throttle Activation Safety) khas bagi Yamaha 135LC Fi terbaru.

ATAS berfungsi dengan mengelakkan daripada pecutan yang tidak disengajakan sewaktu enjin dihidupkan tatkala penunggang tidak sedar motosikal berada dalam gear.

Menurut FSR Technology, sistem ATAS disertakan dalam ECU TuneBoss bagi 135LC Fi ini juga akan menyekat enjin daripada dihidupkan sekiranya mengesan ‘throttle’ dibuka 10 peratus.

Lampu enjin akan menyala bagi memaklumkan ‘throttle’ telah dibuka dan motosikal hanya boleh dihidupkan selepas ‘throttle’ berada di bawah 10 peratus.

Sementara tiu, ECU TuneBoss juga disertakan dengan ciri ‘Engine Immobilizer’ yang boleh diaktifkan menggnakan aplikasi TuneBoss Manager Pro.

Bagi yang berminat, ECU Stage 1 bagi Yamaha 135LC Fi ditawarkan pada harga RM399 dan boleh dinaik taraf ke Stage 2 yang memberikan julat penalaan yang lebih terperinci bagi pemetaan bahan api.

Menariknya, fungsi ATAS ini juga akan diserapkan kepada semua ECU TuneBoss secara standard bagi model lain pada masa akan datang.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube