Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Ducati telah berkongsi imej terkini mengenai jentera prototaip elektrik sulung yang akan dibekalkan sebagai jentera lumba rasmi MotoE World Cup bermula 2023.

Pengeluar motosikal berprestasi tinggi dari Itali itu giat membangunkan jentera elektrik serba baharu sejak diumumkan sebagai pembekal utama MotoE bermula 2023 menggantikan Energica Ego yang diguna pakai sejak 2019.

Selepas didedahkan kepada umum menerusi sesi pra-ujian pada Disember lalu, Ducati akhirnya mendedahkan video dan gambar yang lebih terperinci mesin MotoE – kod nama V21L – menjalani sesi ujian di Litar Vallelunga, Itali.

Bekas pelumba MotoGP, Alex de Angelis dan pelumba uji Ducati, Michelle Pirro dipertanggungjawabkan untuk menguji jentera serba baharu itu.

Walaupun ini merupakan percubaan sulung Ducati dalam pembangunan jentera elektrik, Pengarah eMobility Ducati, Roberto Cane mendakwa syarikat itu tidak pernah berhenti dalam proses pembangunan.

“Sejak kami membawa prototaip Ducati MotoE untuk sesi ujian kali pertama, projek pembangunan tidak pernah berhenti walaupun untuk sektika.

“Usaha keras pasukan telah membuahkan hasil dan memberi kami kepuasan.

“Dalam tempoh empat bulan sahaja, prototaip kami telah berjaya mendominasi beberapa litar utama di Itali di samping memberikan respon yang positif. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan tapi kami berada di landasan betul,” jelasnya.

Sementara itu, musim 2022 MotoE – yang juga musim terakhir bersama mesin Energica – akan membuka tirai pada 30 April ini.

Siapa tak kenal Abang Viva? Hamba Allah yang mencuri tumpuan apabila giat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir kilat yang melanda negara bermula Disember lalu.

Ke hulu hilir sambil memandu Perodua Viva dan beratapkan bot kecil, pengorbanan Abang Viva – atau nama sebenar Azwan Omar – sememangnya dihargai.

Umum sedia maklum baru-baru ini Abang Viva telah menerima sumbangan berupa trak pikap sebagai usaha membantu kegiatannya menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas banjir.

Bagaimanapun, sejak itu kelibat kereta ikonik Perodua Viva tidak lagi kelihatan.

assalam..untk org yg brtnyakan dmana viva…haa ni nk update skit…viva msih lgi dlam proses perubatan di hosp Pusat…

Posted by Azwan Omar on Friday, 15 April 2022

Dalam perkembangan terbaru oleh tuan punya badan, rupa-rupanya Perodua Viva miliknya sedang menjalani proses restorasi dan baik pulih di Pusat Servis Perodua Bachang.

Berdasarkan info dikongsikan di Facebook, proses baik pulih itu ditaja sepenuhnya pihak Perodua.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa Perodua Viva milik Abang Viva akan kembali beraksi dalam keadaan siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Pada masa sama, perkembangan ini menamatkan dakwaan yang dia telah menjual kereta Viva tersebut.

Pengeluar skuter Itali, Vespa telah pun memperkenalkan sebuah model khas hasil kolaborasi dengan jenama fesyen terkemuka, Christian Dior pada Jun 2020.

Dilancarkan sebagai model edisi terhad, kelibat model itu ternyata sukar untuk dijumpai.

Bagaimanapun, bagi yang berminat untuk menambah koleksi motosikal yang amat ‘rare’, Vespa Kuala Lumpur mempunyai satu unit Vespa 946 X Dior ini untuk dilepaskan.

VESPA 946 ❌ CD . Ready stock, beli harini esk amik bwk balik simpan rumah. Very The Limited Model guyss Selling price :…

Posted by Vespa Kuala Lumpur on Thursday, 14 April 2022

Namun, perlu dimaklumkan bahawa Vespa 946 X Dior itu ditawarkan pada harga RM1XX,000!

Menurut perkongsian di Facebook Vespa Kuala Lumpur, model edisi terhad itu sudah pun tersedia ‘ready stock’ dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi nombor tersedia.

Vespa 946 merupakan model perdana (flagship) dalam keluarga Vespa dan merupakan skuter pilihan pereka Itali, Giorgio Armani.

Sejak itu, Vespa 946 terus hidup sebagai model edisi terhad hasil kolaborasi dengan beberapa nama besar.

Vespa 946 X Dior ini menampilkan warna ‘beige’ dan keemasan di samping logo Dior yang terpapar di bawah tempat duduk.

Setelah beberapa bulan penantian, akhirnya Boon Siew Honda melancarkan Honda RS-X edisi Repsol untuk pasaran tempatan.

Menurut BSH, sejak RS-X membuat penampilan pada November tahun lalu, sambutan yang diterima cukup menakjubkan.

Bagi tahun 2022, BSH meningkatkan tahap sporty RS-X dengan livery dan grafik Repsol yang diinspirasikan oleh pasukan Repsol Honda di MotoGP.

Menurut BSH, hanya 5,000 unit Honda RS-X edisi Repsol dihasilkan untuk pasaran tempatan dan ditawarkan pada harga RM9,948.

Bagaimanapun, spesifikasi utama termasuk enjin masih lagi kekal sama dengan RS-X dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan penyejukan cecair (Euro4) yang menawarkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm pada 7,000rpm.

Pengeluar motosikal elektrik, Trouve, telah pun mendedahkan ‘teaser’ pertama yang merujuk kepada model H2, sebuah skuter maxi elektrik pertama yang akan dilancarkan di India.

Dilabel sebagai skuter maxi hyper, Trouve H2 menawarkan motor dengan penyejukan cecair, transmisi satu kelajuan, fork depan USD dan penyerap hentakan tunggal di belakang.

Menurut Trouve, H2 ini juga menyokong keterhubungan 4G.

Bagaimanapun, aspek paling mencuri tumpuan adalah kuasa yang ditawarkan dengan Trouve mendakwa H2 ini mampu merekodkan 0 ke 60km/j kurang 4.3 saat hasil penggunaan motor berkuasa.

Bukan itu sahaja, Trouve H2 ini juga mampu mencapai jarak antara 130 hingga 230km, bergantung kepada kelajuan motosikal.

Menurut laporan di India, Trouve H2 ketika ini sedang dibangunkan di pusat penyelidikan dan pembangunan di Bangalore, India.

Dijadualkan untuk pelancaran pada 2023,. H2 ini juga akan dilengkapi lampu LED penuh, kaliper 2-piston dan rim 14-inci.

Tempahan bagi Trouve H2 akan mula dibuka pada Ogos 2022 dengan pelancaran rasmi dijadualkan berlangsung pada separuh pertama 2023.

Kerani wanita, Sam Ke Ting, yang dijatuhkan hukuman enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor baru-baru ini telah pun memfailkan permohonan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Rayuan tersebut dibuat setelah Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,009 kerana memandu secara melulu lalu menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak dalam satu kejadian pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

*Sam Ke Ting

Permohonan rayuan itu dibuat oleh peguam Ke Ting, Muhammad Faizal Mokhtar yang turut memfailkan sijil segera bagi mempercepatkan proses pendengaran rayuan.

“Notis usul kebenaran merayu dan sijil perakuan segera sudah difailkan hari ini melalui sistem e-filing,” jelasnya.

Ke Ting sebelum ini telah pun dibebaskan daripada kesalahan memandu secara melulu oleh Mahkamah Majistret sebelum Mahkamah Tinggi menterbalikan keputusan tersebut.

Ke Ting, 27, juga diarah membayar denda RM6,000 jika tidak akan berdepan tambahan hukuman penjara selama enam bulan.

Insiden helikopter mendarat di Padang Ipoh, Perak untuk mengambil 36 bungkus ‘nasi ganja’ pada bulan Julai tahun lalu masih lagi aktif.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang turut memaklumkan tindakan kompaun atau tuduhan di mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak berkenaan.

“Kes helikopter berkenaan masih tidak ditutup lagi, ia masih hidup. Kita sudah selesaikan siasatan dan kita sudah rujuk siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

“Jadi di pihak polis, Insya Allah kita akan pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin dan kita akan rujuk kepada agensi berkenaan untuk dapatkan arahan,” jelas Mior Faridalathrash.

Kertas siasatan lengkap telah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum ini namun satu arahan baharu telah dikeluarkan untuk pihak polis mengambil tindakan susulan berhubung beberapa isu berkait perundangan.

“Siasatan perkara itu juga sudah kita lengkapkan dan kembali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Jadi di pihak polis, kita sudah pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin.

“Insya Allah dalam masa terdekat ini kita akan ambil tindakan, sama ada kompaun kepada pihak terbabit atau menuduh di mahkamah.

“Saya akan umumkan mengenainya selepas mendapat keputusan terkini,” tambah Mior lagi. – HM

CFMoto 650MT 2022 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi yang telah dikemas kini dengan beberapa ciri baharu.

Menurut CFMOTO Malaysia, 650MT terbaru itu telah dinaik taraf dengan skrin TFT 5-inci terbaru.

Motosikal segmen ‘sport tourer’ itu pada masa sama masih lagi didatangkan dengan komponen menarik lain termasuk ‘side panniers’ dan pelindung enjin (engine guard).

Bagaimanapun, model generasi terbaru itu masih lagi dikuasakan enjin dua silinder 649.3cc dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 60hp pada 8,750rpm dan 56Nm pada 7,000rpm.

Dibangunkan sebagai jentera ‘touring’, 650MT ini juga dilengkapi tangki 18L dan menawarkan ketinggian tempat duduk 820/840mm serta jarak kelegaan tanah 170mm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • kaliper brek J.Juan
  • ABS dwi-saluran
  • dua mod tunggangan
  • fork depan USD dengan penyerap hentakan belakang boleh laras

Berdasarkan info dikongsikan, CFMoto 650MT V2 ini ditawarkan pada harga RM31,500.

Polis telah mengenal pasti pemandu Toyota CH-R yang tular baru-baru ini selepas dirakam terlibat dalam kes langgar lari sebuah motosikal di dua lokasi berbeza.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukthar yang memaklumkan pihaknya sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut.

Dzulkhai turut menjelaskan terdapat dua laporan polis telah dibuat berhubung kejadian.

“Kejadian pertama membabitkan kes langgar lari di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru – Air Hitam dan kes kedua berlaku di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada 11 April lalu, jam 9.30 malam.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut polis,” jelasnya.

Kes Langgar Lari Sebuah suv jenis Toyota C-HR no pendaftaran JTE1827 terlibat 2 kes langgar lari pada 11 April 2022…

Posted by Inforoadblock on Wednesday, 13 April 2022

Sementara itu, dua rakaman video – berdurasi 33saat dan 21 saat – memaparkan pemandu kereta jenis Toyota CH-R tersebut telah melanggar seorang penunggang motosikal dan terus melarikan diri dan dikejar orang awam yang merakam kejadian tersebut. – HM

Seorang remaja perempuan telah menemui ajal setelah motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan basikal lalu terjatuh dan dirempuh sebuah kereta di KM198.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, Bagan Serai, Perak, semalam.

Nurul Izzah Abdul Wahab, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang basikal alami patah kaki kanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat, kejadian tersebut berlaku pada jam 7.50 malam dan mangsa telah bergesel dengan penunggang basikal lelaki di lorong kecemasan lalu hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kiri.

Akibatnya, sebuah kereta yang memandu di lorong tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Sementara itu, Mazuki Mat menjelaskan kes sedang disiasat termasuk motif penunggang basikal berada di lebuh raya. – HM

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sememangnya antara ahli politik yang merupakan peminat jentera dua roda.

Beliau juga pernah dilihat menunggang motosikal jenis Honda X ADV 750 sebelum ini.

Bercakap tentang isu pengharaman motosikal kapcai berprestasi tinggi yang menjadi bualan hangat kebelakangan ini, Zahid Hamidi berpendapat saranan itu hanya akan membawa kesan buruk kepada negara.

Baginya, pengharaman tersebut – sekiranya dikuatkuasakan – akan menjejaskan pengedar, penjul dan pekerja industri berkaitan.

“Pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda.

“Langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula.

“Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja,” ujar Zahid Hamidi dalam perkongsian di akaun Facebook miliknya.

Tambah beliau lagi, beberapa perkara juga perlu diperhalusi termasuk motosikal kapcai sebagai pilihan utama bagi jutaan penduduk di Malaysia.

“11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain.

“Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

“Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir.

“Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas,” tambahnya.

Sebaliknya, Zahid berpendapat aspek utama dalam menangani isu kemalangan jalan raya dikalangan pengguna kapcai adalah berkait dengan sikap pengguna itu sendiri.

Maka, adalah penting fokus utama adalah ke arah menerapkan kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang selain mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya.

Isu pengharaman kapcai berkuasa tinggi timbul selepas Ketua Polis Negara, Acyrl Sani Abdullah Sani mencadangkan kapcai seperti Suzuki Raider R150 Fi diharamkan gara-gara tular video motosikal tersebut mencapai kelajuan 177km/j atas mesin dyno lantas melebihi had laju kebangsaan iaitu 110km/j.

Januari lalu, Benelli telah pun memfailkan paten enjin terbaru yang merujuk kepada platform parallel-twin 799cc yang akan menggerakan model TNT akan datang.

Rupa bentuk enjin tersebut juga tampak seiras dengan enjin KTM LC8.

Dalam perkembangan terbaru, syarikat motosikal China, Qianjiang – yang juga pemilik kepada Benelli – telah memfailkan paten enjin kedua tahun ini yang merujuk kepada platform V-Twin 1,301cc.

Menariknya, rekaan enjin tersebut juga kelihatan mirip dengan enjin KTM 1301cc yang terdapat pada Super Duke R.

Menurut paten tersebut, enjin itu membawa kod nama ‘QJ2V108MYL’ yang sekaligus memberi penjelasan mengenai spesifikasi ditawarkan.

Dua huruf pertama – QJ – merujuk kepada Qianjiang manakala dua huruf seterusnya, 2V bermaksud V-Twin. Seterusnya, angka 108 mendedahkan ‘bore’ iaitu 108mm – sama seperti enjin KTM 1290.

Persamaan ketara antara enjin terbaru dibangunkan Qianjiang ini dengan KTM tidak bermakna syarikat China itu meniru bulat-bulat enjin KTM, sebaliknya menandakan kerjasama baharu telah pun termeterai antara dua syarikat itu yang akan diumumkan kelak.

Qianjiang sebelum ini telah pun menjalinkan kerjasama dengan beberapa pengeluar motosikal luar antaranya MV Agusta dan Harley-Davidson.

Tidak lupa juga, KTM turut menjalinkan kolaborasi dengan pengeluar motosikal China, CFMoto sebelum ini.

Apa yang pasti, enjin terbaru yang difailkan itu pastinya akan diterapkan pada model Benelli yang akan dipasarkan di Eropah dan Asia. Benelli ketika ini sedang menikmati kejayaan di beberapa pasaran Eropah terutamanya di Itali dengan TRK 502 muncul model paling popular selama beberapa tahun ini.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube