Meskipun gergasi motosikal India, Bajaj mencuri tumpuan dengan kerjasama Triumph dan KTM namun dari segi penghasilan model jenama sendiri, mereka agak suram kebelakangan ini.
Ini kerana selain memperkenalkan Pulsar NS200 2023 yang telah dinaik taraf dengan ABS dwi-saluran dan lebih ringan berbanding generasi sebelumnya, model itu masih lagi tampil dengan reka bentuk yang sama.
Namun, perkara itu dijangka berubah bagi tahun depan apabila mereka Bajaj dilaporkan akan memperkenalkan Pulsar NS400.
Berdasarkan laporan Gaadiwaadi.com, Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj sendiri mengesahkan perkara itu dengan pelancaran akan dibuat lebih awal dari jangkaan.
Difahamkan, Pulsar NS400 itu akan dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Dominar 400 sekaligus menawarkan sekitar 40hp @ 8,800rpm dan 35Nm pada 6,500rpm.
Bagi memastikan kos kekal rendah, NS400 itu juga akan mengguna pakai kerangka sama digunakan pada NS200. Namun begitu, kerangka tersebut akan diperkuat bagi memuatkan enjin yang lebih besar itu.
Antara ciri lain yang akan ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, panel meter digital, fork USD, serta ABS dwi-saluran.
Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan Ducati Panigale V4 SP2 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM299,900.
Panigale V4 SP2 merupakan generasi kedua selepas V4 SP yang membuat penampilan sulung pada 2020. Namun, generasi terbaru kali ini tampil lebih ringan di samping telah dinaik taraf dengan komponen dan aksesori unik.
Untuk rekod, V4 SP2 masih lagi dikuasakan enjin Desmosedici Stradale V4 1103cc yang menawarkan 228hp dan 123.6Nm @ 9,500rpm.
Namun, V4 SP2 ini telah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk:
Ohlins NPX 24/30 front end
TTX36 rear shock and steering damper
Ohlins Smart EC 2.0 system
four power modes (Full, High, Medium and Low)
Brembo MSC 19.21 master cylinder
Marchesini forged wheels.
Brembo Stylema
STM EVO ‘dry clutch’
Bagi menjamin prestasi cemerlang di litar lumba, Panigale V4 SP2 ini turut menawarkan mod Street dan Sport (dengan tetapan Race A dan Race B), Track Evo dan Ducati Data Analyser dengan modul GPS.
Bagi memastikan jentera berkuasa 228hp ini menawarkan pengalaman mengujakan, Ducati turut menawarkan pakej elektronik lengkap yang terdiri daripada:
Cornering ABS EVO
Ducati Traction Control (DTC) EVO
Ducati Wheelie Control (DWC) EVO
Ducati Slide Control (DSC)
Engine Brake Control (EBC) EVO
Auto tyre calibration
Ducati Power Launch
Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2
Akhir sekali, Ducati Panigale V4 SP2 ini datang dengan gabungan warna hitam matt dengan livery Winter Test.
Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan Diavel V4 serba baharu untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM178,900.
Bagi memudahkan pembacaan, kami senaraikan lima ciri menonjol tentang Ducati Diavel V4 2023.
1. Enjin
Ducati membuat keputusan untuk beralih daripada enjin V-Twin kepada konfigurasi V4 bagi Diavel 2023.
Meskipun sudah lama setia dengan platform V-Twin namun disebabkan prestasi enjin terbabit hampi mencapai had memaksa Ducati beralih kepada enjin V4.
Bagaimanapun, enjin yang diguna pakai bukanlah enjin V4 yang ada pada Panigale V4 dan Streetfighter V4 sebaliknya enjin Granturismo V4 yang terdapat pada Multistrada V4.
Ini bermakna, servis utama (major service) Diavel V4 diletakkan pada setiap 60,000km.
Untuk rekod, Ducati Diavel V4 menghasilkan 168hp dan 126Nm.
2. Berat
Selain daripada enjin baharu yang 5kg lebih ringan berbanding Diavel 1260, Diavel V4 juga beralih kepada kerangka ‘monocoque’ jenis aluminium ringan menggantikan ‘steel trellis’.
Hasilnya, Ducati Diavel V4 adalah 13kg lebih ringan berbanding Diavel 1260.
3. Keselesaan
Walaupun sebuah motosikal jenis cruiser namun dengan ketinggian tempat duduk berada pada 790mm, Diavel V4 ini menawarkan ergonomik seakan motosikal ‘naked’.
Namun dengan jarak handlebar kini 20mm lebih dekat kepada penunggang menjadikan model V4 ini lebih selesa berbanding Diavel 1260.
Bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan, Ducati turut menambah jarak pergerakan suspensi kepada 145mm, naik 15mm berbanding model terdahulu.
Ducati mendakwa dengan jarak pergerakan suspensi yang lebih panjang, tempat duduk ‘pillion’ juga lebih selesa.
4. Teknologi
Ducati Diavel V4 ini didatangkan dengan skrin paparan TFT yang boleh mengakses empat mod menunggang; Sport, Touring, Urban dan terbaru mod Wet.
Model ini turut dilengkapi dengan ‘wheelie control’, ‘launch control’, quickshifter dan ‘cruise control’.
5. Reka Bentuk
Antara perubahan terbesar yang dibawa kepada Diavel V4 adalah pengayaan serba baharu.
Susulan daripada enjin yang lebih kompak, reka bentuk Diavel baharu ini juga lebih lebih kecil berbanding Diavel 1260. Namun, tidak dinafikan, model V4 ini masih lagi mengekalkan DNA Diavel yang agresif.
Walaupun seorang ‘purist’ akan kurang senang dengan generasi baharu Diavel ini namun tidak dinafikan Diavel V4 ini menjanjikan sesuatu yang serba baharu.
Namun, perbezaan terbesar adalah dibahagian belakang yang menampilkan ekzos-quad yang sangat menonjol. Selain itu, lampu belakang juga datang dengan corak ‘honeycomb’ yang tidak pernah lagi ditampilkan pada mana-mana motosikal Ducati.
Bagaimanapun, sukar untuk kami bayangkan kepayahan untuk membersihkan bahagian lampu tersebut.
Pasaran motosikal di China semakin sengit ketika ini namun disebalik persaingan itu, beberapa jenama sudah mula menempatkan diri dikalangan jenama terkemuka antaranya CFMOTO, QJMOTOR, Voge dan Zontes.
Namun begitu, dalam memastikan barisan model ditawarkan adalah berkualiti dan setaraf jenama Jepun dan Eropah, kebanyakkan model ditawarkan jenama berkenaan adalah lebih mahal.
Bagi memastikan pelanggan di China masih mendapat akses kepada motosikal mampu milik, muncul beberapa jenama tempatan yang menghasilkan motosikal yang mirip dengan jenama terkemuka.
Terbaru, salah sebuah jenama yang hanya dipasarkan di China, Ducasu, telah mencuri tumpuan apabila memperkenalkan DK400.
Selain daripada nama yang mirip Ducati, DK400 pula tampil dengan reka bentuk yang jelas diciplak daripada Ducati SuperSport 950.
Meskipun begitu, ciri ditawarkan masih lagi boleh tahan, termasuk panel meter TFT berwarna, kaliper brek 4-pot, winglet, single-swingarm dan kerangka aluminium. Aspek keselamatan juga tidak diketepikan apabila DK400 ini dilengkapi ABS.
Namun berbanding Ducati SuperSport 950 yang menawarkan 110hp dan 93Nm, Ducasu DK400 pula dengan enjin dua-silinder 385cc hanya menghasilkan 30hp dan 28.5Nm. Meskipun bernadikan 400cc namun kuasa dihasilkan pula hanyalah setaraf jentera 250cc.
Bagi sebuah jentera yang berharga hanya CNY20,000 (RM12.8k), sememangnya memadai spesifikasi dan kuasa yang ditawarkan terutamanya bagi mereka yang mahu ‘merasai’ jentera seakan Ducati.
Baru-baru ini kami telah pun melaporkan bahawa MForce Bike Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan jenama Voge untuk pasaran tahun depan menerusi Voge 900 DS.
Jenama premium milik Loncin itu semakin mencuri tumpuan ekoran membekalkan enjin kepada BMW termasuk bagi model C 400 X, C 400 GT, F 850 GS, F 900 R, F 900 XR dan terbaru F 900 GS. Menariknya, enjin yang diguna pakai pada 900 DS merupakan yang sama terdapat pada F 900 R, XR dan GS.
Terbaru, Voge turut akan perkembangkan barisan model sedia ada untuk pasaran global tidak lama lagi selepas memperkenalkan RR 666 S di China, baru-baru ini.
Menariknya, RR 666 S ini dilabel sebagai motosikal paling berteknologi tinggi dan berkuasa pernah dihasilkan Voge. Pertamanya, ‘sportbike’ ini dikuasakan enjin 4-silinder 660cc 16-valves serba baharu dengan sistem penyejukan cecair yang didakwa berupaya menghasilkan lebih 100HP.
Voge mendakwa jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 240km/j dan mampu mencatat 0-100km dalam tempoh 3.5 saat sahaja. RR 666 S ini juga dilengkapi dengan komponen suspensi dari KYB (Kayaba) serta kaliper brek Brembo yang dipadankan bersama ABS dan ‘traction control’.
Sebaik dilancarkan di pasaran global kelak, RR 666 S ini akan bersaing dengan Aprilia RS 660, Yamaha YZF-R7 dan akan datang Triumph Daytona 660.
Baru-baru ini, Yamaha Motor Vietnam telah pun melancarkan Yamaha Exciter 155 VVA 2023.
Pelancaran itu turut mencuri perhatian peminat Yamaha di Malaysia ekoran model itu – yang dikenali sebagai Y16ZR di Malaysia – telah dinaik taraf dengan fungsi ABS.
Sehubungan itu, kami menjangkakan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akan turut memperkenalkan Y16ZR yang dinaik taraf dengan ABS tidak lama lagi.
Buat masa ini, HLYM menawarkan Y16ZR dengan harga bermula RM11,118 bagi versi standard. Kami menjangkakan akan berlaku peningkatan harga sekiranya model dinaik taraf dengan ABS itu diperkenalkan.
Berdasarkan tinjaun pada motosikal lain, versi ABS tampil dengan perbezaan harga antara RM1,000 hingga RM2,000 berbanding dengan model tanpa ABS. Maka tidak hairanlah jika Y16ZR generasi baharu nanti akan turut datang dengan harga yang lebih tinggi.
Apa pun, menarik untuk melihat reaksi peminat Yamaha sebaik Y16ZR dengan ABS diperkenalkan kelak.
Royal Enfield Malaysia dengan rasminya mengumumkan senarai harga bagi barisan model Super Meteor 650 untuk pasaran tempatan.
Menurut Royal Enfield, Super Meteor 650 kini boleh dimiliki dengan harga berikut:
Super Meteor Single (Astral) – RM37,900
Super Meteor Dual (Interstellar) – RM38,300
Super Meteor Tourer (Celestial – RM39,300
Untuk rekod, Super Meteor 650 merupakan motosikal serba baharu yang dibangunkan Royal Enfield sekaligus tampil dengan beberapa ciri moden. Pertamanya, Super Meteor 650 merupakan model 650cc pertama yang dilengkapi lampu LED dan fork jenis USD (upside/down).
Meskipun datang dengan enjin parallel-twin 650cc yang sama terdapat pada Continental GT 650 dan Interceptor namun keseluruhan komponen dan kelengkapan yang ada pada Super Meteor 650 adalah serba baharu termasuk bahagian casis dan swingarm.
Super Meteor 650 ini menawarkan 46.4hp pada 7,250rpm dan 52.3Nm pada 5,650rpm. Untuk pasaran tempatan, Super Meteor 650 akan tampil dengan dua varian, Standard dan Tourer dengan masing-masing hadir dengan kombinasi warna berbeza.
Tidak dinafikan nama Kawasaki kembali menjadi sebutan setelah kejayaan memperkenalkan Ninja ZX-25R dan ZX-4RR untuk pasaran global.
Kedua-duanya berjaya mencipta revolusi baharu bagi pasaran motosikal berkapasiti kecil sekaligus menjadi petanda aras bagi pengeluar lain.
Mendapati terdapat permintaan bagi segmen itu, Honda juga didakwa bakal mengorak langkah sama berdasarkan laporan media Jepun, Young-Machine.
Edisi terbaru Young-Machine mendakwa Honda telah kembali menghidupkan semula projek 400cc 4-silinder yang akan membawa kepada penghasilan beberapa model baharu termasuk CB400, CB400SB dan CBR400RR.
*Young-Machine
Tumpuan pastinya terarah kepada CBR400RR yang bakal menyaingi ZX-4RR. Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan kuasa yang bakal ditawarkan CBR400RR buat masa ini.
Untuk rekod, Honda pernah menghasilkan jentera 400cc 4-silinder sekitar 80an menerusi CBR400 (NC17). Menariknya, Honda CBR400 merupakan model pertama Honda yang memakai lencana CBR.
Model itu dikuasakan enjin 4-silinder 399cc DOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 59hp pada 13,000rpm dan 38Nm pada 7,500rpm.
Ducati dengan rasminya melancarkan Multistrada V4 S Grand Tour 2024 untuk pasaran global sekaligus memperkembang tawaran motosikal ‘touring’ daripada keluarga Multistrada.
Seperti Multistrada V4 lain, varian V4 S Grand Tour ini juga dikuasakan enjin Granturismo V4 1,158cc yang menawarkan 170hp dan 125Nm. Enjin ini dihasilkan khas untuk pengembaraan jarak jauh ekoran hanya memerlukan servis tukar minyak bagi setiap 15,000km dengan pemeriksaan valve (valve clearance) hanya perlu dilakukan bagi setiap 60,000km.
Menurut Ducati, Multistrada V4 S Grand Tour ini datang dengan empat mod menunggang; Sport, Touring, Enduro dan Urban dengan varian Sport dan Touring menawarkan kuasa sepenuhnya sementara Enduro dan Urban pula menyelaraskan kuasa enjin kepada hanya 112.6hp.
Menariknya, Multistrada V4 S Grand Tour ini juga dilengkapi dengan pakej Travel dan Radar yang didatangkan secara standard sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan ‘blind spot detection’.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif Ducati Skyhook dengan fungsi Minimum Preload dan Easy Lift. Tidak dilupakan Grand Tour ini juga tampil dengan penghadang angin boleh laras, ‘handguard’, lampu kabus, TPMS (tyre pressure monitoring system), grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas.
Bagi memudahkan kendalian sewaktu berhenti, Grand Tour juga datang dengan ‘center stand’. Ciri ini juga membantu ketika membuat selenggara biasa terutamanya menyembur pelinciri di rantai selepas seharian menunggang.
Baru-baru ini KMSB Motors Sdn Bhd telah pun memperkenalkan AFAZ sebuah jenama motosikal tempatan baharu.
Menariknya, KMSB Motors juga mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Suzuki Motor Corporation (Jepun) bagi pembangunan motosikal tempatan serba baharu itu.
Menurut kenyataan tersebut, Suzuki akan membekalkan enjin dan alat ganti bagi model 110cc hingga 150cc bermula suku pertama 2024.
Maklumat itu secara tak langsung memberi bayangan barisan model yang akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan. Model 110cc pastinya tertumpu pada motosikal dalam kategori mampu milik manakala 150cc pula pastinya terarah pada kapcai yang akan menyaingi Yamaha Y15ZR dan Honda RSX 150.
Lebih menarik jika enjin 150cc itu merupakan platform sama yang diguna pakai pada Suzuki Raider R150Fi yang sememangnya berkuasa dan tahan lasak.
Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan perpindahan ekuiti dari Zhuzhou Jianshe Yamaha Motor Co. Ltd (ZJYM) selaku usahama pembuatan motosikal di China dengan Chongqing Jianshe Mechanical and Electric Co., Ltd. kepada Zhejiang CFMOTO Power Co. Ltd. berkuatkuasa November ini.
Usahama terbaru itu akan dinamakan Zhuzhou CF Yamaha Motor Co. Ltd. (ZCYM) yang ketika ini mempunyai 500 kakitangan.
CFMOTO akan memegang 50 peratus saham dalam ZCYM manakala Yamaha memiliki 44.23 peratus diikuti baki 5.77 peratus lagi dipegang Tair Yea Limited.
Ketika ini, CFMOTO telah pun mempunyai kerjasama erat dengan KTM dengan pengeluar motosikal China itu turut menghasilkan enjin bagi 790 DUKE dan 790 Advenuture.
Susulan itu, kerjasama terbaru bersama Yamaha ini akan terus mengukuhkan jenama CFMOTO dalam industri motosikal global.
Umum sedia maklum bahawa penggal kedua Parlimen baru sahaja selesai persidangan dari 11 hingga 19 September 2023 yang lalu yang menyaksikan pelbagai isu dan cadangan dikemukakan dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan rakyat.
Meskipun bangkit pelbagai kontroversi namun tumpuan kami terarah kepada cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Haji Mohd Suhaimi Abdullah.
Ini kerana MP Langkawi itu telah mencadangkan kepada Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke untuk pertimbang pembinaan “MRT” – seperti yang ada di Kuala Lumpur – dari Alor Setar ke Kuah di Langkawi.
“YB Menteri (Anthony Loke) ada cadangan..kerana dah ‘fed up’ dengan feri ini mereka mencadangkan supaya menteri melihat perlukah diadakan keretapi dari Alor Setar ke Kuah macam MRT di Kuala Lumpur,” ujar Mohd Suhaimi.
Anthony Loke secara spontan juga seakan tidak menjangkakan soalan itu kerana laluan itu perlu merintasi laut (Selat Melaka) sekaligus cadangan itu pastinya mustahil untuk dilaksanakan.
Parlimen akan kembali bersidang pada 9 Oktober 2023.