Bikesrepublic

Keshy Dhillon

CFMOTO membuat kejutan apabila memperkenalkan 1250TR-G untuk pasaran global sekitar Mac tahun lalu. Ini kerana motosikal ‘grand-tourer’ itu pada awalnya hanya dibangunkan sebagai kegunaan pihak polis di China sebelum membuat keputusan untuk membuka jualan kepada orang ramai. 

Pelancaran 1250TR-G itu sekaligus menyaksikan CFMOTO akan bersaing dengan beberapa model terkemuka termasuk BMW R 1250 RT, Yamaha FJR1300, Suzuki GSX-S1000GT serta Honda GL1800 Gold Wing. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa rakyat Malaysia juga akan berpeluang memiliki 1250TR-G ini tidak lama lagi. 

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, CFMOTO Malaysia akan membawa masuk 1250TR-G sekitar Oktober tahun ini bagi tujuan Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pelancaran model itu juga dijadualkan berlangsung tahun ini dengan kumpulan pertama melibatkan 50 unit sahaja. 

Seperti pesaing lain dalam segmennya, 1250TR-G juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Marzocchi boleh laras dan kaliper brek Brembo Stylema 4-pot depan yang dipadankan bersama cakera brek 320mm dan Brembo 2-pot belakang dengan cakera brek 270mm. Model ini juga dilengkapi dengan Cornering ABS dan ‘steering damper’ secara standard. 

Ciri lain pula terdiri daripada pencahayaan LED penuh, penghadang angin boleh laras secara elektronik serta panel meter 12.5-inci MMI. Penunggang juga disajikan dengan pembesar suara jenama JBL sekiranya mahu menikmati muzik sewaktu pengembaraan. 

Juga tidak ketinggalan sistem keyless, TPMS (tire pressure monitoring system) serta ‘heated grip’. Melengkapkan lagi pengalaman menunggang, CFMOTO 1250TR-G juga menawarkan ciri ‘quickshifter’ (atas/bawah). 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • cruise control
  • RDS electronic radar
  • HHC hill start assist
  • tangki 23L
  • berat 304kg

Untuk rekod, CFMOTO 1250TR-G dikuasakan enjin V-Twin 1,279cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 140hp pada 8,500rpm dan 120Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin V-Twin itu dibangunkan daripada platform LC8 milik KTM yang menggerakan 1290 Super Duke R dan 1290 Super Adventure. 

Buat masa ini kami masih belum mendapat maklumat mengenai harga penjualan namun segalanya pasti akan diumumkan pada hari pelancaran nanti yang dijadualkan berlangsung tahun ini. Untuk rekod, beberapa pengedar CFMOTO di Malaysia juga telah ke China bagi menghadiri CFMOTO Day yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuzhou. Mereka juga berpeluang menyaksikan 1250TR-G dengan lebih dekat. 

Seramai 1,500 pengunjung telah hadir memeriahkan CFMOTO Day yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuzhou, China, hujung minggu lalu. 

Mereka yang hadir telah disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk didedahkan dengan projek akan datang oleh CFMOTO. 

Menariknya, mereka yang mengisi tempat duduk Litar Antarabangsa Zhuzhou juga telah disajikan dengan penampilan sulung jentera prototaip CFMOTO 675SR yang akan dipasarkn di pasaran global tidak lama lagi. 

Seperti namanya, 675SR dikuaskan platform tiga-silinder serba baharu dibangunkan syarikat motosikal China itu. Menurut CFMOTO, 675SR in bakal menjadi model paling berkuasa dalam keluarga “SR” selepas 250SR, 450SR serta prototaip 500SR. 

Apa yang mencuri tumpuan, CFMOTO mendedahkan 675SR itu akan menawarkan 100hp dan 100Nm. 

Dalam pada itu, kami juga tertarik dengan pembangunan jentera baharu tersebut kerana ini bukan kali pertama enjin tiga silinder bersesaran 675cc dibangunkan. Sebelum ini, Triumph Motorcycles juga terkenal dengan enjin yang sama dan menggerakan beberapa model popular termasuk Street Triple 675 dan Daytona 675. 

Bagaimanapun, Triumph telah pun menghentikan pembangunan model 675 sekitar 2016.

Apa yang pasti, CFMOTO cukup berani membangunkan pelbagai jentera supersport untuk pasaran global tatkala Honda, Yamaha dan Suzuki sudah mula kibarkan bendera putih ekoran peraturan emisi ketat di Eropah.

Baru-baru ini telah berlangsungnya CFMOTO Day di Litar Antarabangsa Zhuzhou bertempat di Zhuzhou, China. Acara itu menyaksikan seramai 1,500 pengunjung telah hadir meraikan pemilik dan peminat jenama motosikal China tersebut. 

Menariknya, selain pelbagai aktiviti diadakan, CFMOTO turut membuat kejutan dengan mempamerkan jentera prototaip yang akan diperkenalkan untuk pasaran global. 

Antara yang mencuri tumpuan adalah jentera 500cc yang diberi nama 500SR yang bakal menjadi model ketiga dalam keluarga SR selepas 250SR dan 450SR yang diperkenalkan hujung tahun lalu. 

Menurut CFMOTO, 500SR dibangunkan dengan beberapa ciri premium antaranya ‘forged aluminium piston’, ‘low-inertia crankshaft’ dan ‘stretch-bolt connecting rod’. CFMOTO juga mendakwa 500SR ini – yang dikuasakan enjin 4-silinder 500cc – mampu merekodkan kelajuan maksima (top speed) sekitar 230km/j. 

Apa yang mencuri tumpuan kami, CFMOTO mendedahkan 500SR turut dilengkapi dengan sistem Ram-Air seperti yang terdapat pada Kawasaki Ninja ZX-25R, ZX-4R dan ZX-10R.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, tak banyak yang kami boleh ceritakan namun bentuk samar di bahagian panel depan ternyata mengikut acuan sama dengan 450SR. 

Apa pun, kami nantikan perkembangan seterusnya mengenai pembangunan 500SR ini dari masa ke semasa. 

Pusingan kesebelas MotoGP di Litar Barcelona berlangsung penuh drama apabila perlumbaan awal terpaksa dihentikan ekoran berlakunya kemalangan melibatkan Alex Marquez, Enea Bastianini, Johann Zarco, Fabio Di Giannantonio dan Marco Bezzecchi di Turn 1.

Namun detik lebih mendebarkan berlaku sejurus selepas itu di Turn 2 apabila pertahan juara, Francesco Bagnaia yang sedang mendahului perlumbaan mengalami ‘highside’ lalu terbabas di tengah-tengah litar. Senario itu juga menyebabkan kakinya dilanggar pelumba KTM, Brad Binder yang gagal mengelak.  

Sebaik bendera merah dikebarkan, Bagnaia terus dikejarkan ke Medical Centre untuk rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, perlumbaan dimulakan semula dengan Aleix Espargaro berada di grid paling depan namun kedudukannya terus hilang dipintas Jorge Martin. 

Rakan sepasukan Espargaro, Maverick Vinales kemudiannya menerajui sebahagian besar perlumbaan sehingga membuka jurang selesa hampir 2 saat dihadapan Espargaro. 

Bagaimanapun, ketika berbaki 5 lap terakhir, Espargaro berjaya merapatkan jurang dan bingkas memintas Vinales satu lap selepas itu. Bergelut dengan cengkaman tayar ekoran melakukan asakan awal, Vinales terus ketinggalan dan terpaksa akur dengan tempat kedua sementara Espargaro julang GP Catalunya. 

Dalam pada itu, wakil Pramac Racing-Ducati, Jorge Martin melengkapkan podium di tempat ketiga. 

Marco Bezzecchi akan terus berlumba bagi pasukan Mooney VR46 Racing Team-Ducati bagi musim 2024 sekaligus menamatkan khabar angin bahawa dia akan berhijrah ke Pramac Racing-Ducati.

Ini juga bermakna Bezzecchi akan terus beraksi dengan jentera Desmosedici GP yang telah berusia setahun (GP23) dan bukan pakej GP24 bagi musim depan.

“Saya teruja untuk mengesahkan bahawa pada 2024 saya akan berada di litar bersama Mooney VR46 Racing Team. Pasukan ini cukup penting dalam pembangunan karier saya sehingga kini. 

“Bagi meneruskan perkembangan bersama dengan sokongan Ducati, pilihan untuk kekal adalah pilihan yang semula jadi,” jelas Bezzecchi. 

Honda telah memperkenalkan varian baharu bagi skuter maxi Honda Forza 350 di Thailand. Bagi tahun 2023, Forza kini datang dengan varian Dark Gravity Special Edition.

Menariknya, varian SE ini bukan hanya menawarkan gabungan warna hitam dan ungu serta grafik baharu malah, model ini juga telah dinaik taraf dengan pakej suspensi dari Hyperpro Suspension Technology berwarna ungu. 

Selain daripada warna dan suspensi baharu itu, Forza 350 Dark Gravity Special Edition ini masih menawarkan kelengkapan sama seperti model sedia ada termasuk sistem HSTC (Honda Selectable Torque Control), ABS dwi-saluran, lampu LED, port USB dan sistem Honda Smart Key (keyless). 

Menurut Honda Thailand, Forza 350 edisi khas ini ditawarkan pada harga THB231,900 (RM30.6k). 

Jenama beg kalis air terkemuka di Malaysia, Hypergear telah melancarkan kempen Merdeka untuk pengguna dua roda di Malaysia merangkumi aktiviti berbasikal dan motosikal. 

Kempen tahun ini melibatkan pelbagai barisan produk termasuk beg yang sesuai untuk penunggang motosikal dan basikal yang mahu menempuh perjalanan merentasi laluan indah di Malaysia. 

Sebagai jenama tempatan yang popular, rangkaian beg Hypergear bukan sahaja hadir dengan produk pelbagai malah turut menawarkan kualiti dan ketahanan tinggi serta ciri yang praktikal bagi setiap pengembaraan. 

Selain itu, rangkaian beg Hypergear juga memastikan barang yang disimpan kekal dilindungi daripada cuaca hujan dan panas yang tidak menentu disini. 

Sempena sambutan Kemerdekaan yang memasuki tahun ke-66, Hypergear mengajak penunggang dua roda untuk menerokai keindahan Malaysia dengan barisan produk sedia ada. 

Untuk maklumat lanjut layari laman web Hypergear Malaysia. 

Benelli merupakan antara jenama yang cukup popular di Eropah dan di rantau Asia terutamanya menerusi motosikal adventure, TRK 502 dan TRK 502 X. 

Selain daripada rekaan yang menarik dan menawarkan elemen ‘adventure’ yang jitu, TRK 502 juga datang dengan harga yang lebih mampu milik berbanding jenama lain. Maka tidak hairanlah TRK 502 kekal motosikal popular di Itali dalam tempoh 5 tahun ini. 

Malaysia juga antara negara yang menerima model tersebut yang diedarkan MForce Bike Holdings, sebagai pengedar rasmi jenama Benelli di sini termasuk QJMotor, Brixton, SYM, Keeway dan WMoto. 

Terbaru, kami diberitahu bahawa pasaran negara akan turut menerima model baharu dari keluarga TRK, kali ini menerusi TRK 800. 

Difahamkan, motosikal ‘adventure’ itu yang telah membuat penampilan di EICMA tahun lalu, akan memasuki pasaran Malaysia pada 2024. 

TRK 800 masih lagi mengekalkan elemen ADV dari TRK 502 dengan kehadiran mudguard depan, lampu LED berkembar dengan fungsi DRL (daytime running light).

Sementara itu, aspek terpenting adalah bahagian enjin yang dikuasakan silinder berkembar 754cc dengan penyejukan cecair yang sama terdapat pada Leoncino 800.

Hasilnya, TRK 800 menawarkan 76.2hp pada 8,500rpm dan 67Nm pada 6,500rpm dan dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac assist/slipper.

Motosikal ini juga mengekalkan penggunaan kerangka tubular trellis dengan plat ‘high-strength steel’ sekaligus menjaminkan tunggangan lebih lincah dan selesa terutamanya untuk tunggangan jarak jauh.

Menariknya, Benelli turut memberi tumpuan pada tahap keselesaan penunggang dan pembonceng.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork depan upside/down Marzocchi 50mm (rebound/compression boleh laras)
  • monoshock belakang dengan preload/damping boleh laras
  • tangki 21L
  • paparan skrin TFT 7″
  • brek kaliper 4-pot Brembo dengan cakera brek 320mm depan dan 260mm belakang
  • tayar 19″ depan dan 17″ belakang

Pada Januari lalu, QJMotor telah pun mendedahkan prototaip jentera superbike sulung dari China menerusi SRK1000RR. Prototaip itu dibangunkan hasil kerjasama dengan MV Agusta. 

Terbaru, QJMotor mengesahkan SRK1000RR itu kini telah pun memasuki peringkat pengeluaran berdasarkan dokumen jenis kelulusan (type-approval documents) yang difailkan di China. Dokumen itu juga mendedahkan beberapa perkara penting mengenai model serba baharu itu. 

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SRK1000RR dilengkapi dengan enjin 4-silinder 921cc yang sama terdapat pada MV Agusta 921S yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. 

*MV Agusta 921S

Menariknya, ketika jentera Itali itu menawarkan 115hp dan 118Nm, SRK1000RR pula hadir dengan 127hp pada 10,500rpm dan 95Nm pada 8,100rpm. Ini bermakna platform 921cc itu telah ditala semula oleh QJMotor. Tinjauan di media antarabangsa melaporkan bahawa enjin tersebut dibangunkan QJMotor dan akan diguna pakai MV Agusta pada 921S. 

Bagaimanapun, sebagai jentera superbike, ternyata SRK1000RR ketinggalan jika dibandingkan dengan pesaing semasa antaranya Honda CBR1000RR-R Fireblade (214hp), Yamaha R1M (198hp) dan Kawasaki Ninja ZX-10R (203hp). 

Namun begitu, SRK1000RR hadir dengan beberapa komponen premium antaranya ‘single-sided swingarm’ serta fork dan monoshock Marzocchi. Kedua-dua kelengkapan ini diambil terus dari MV Agusta Brutale 1000 RS. 

Tidak ketinggalan pakej brek pula terdiri daripada Brembo Stylema yang dipadankan bersama rim 17-inci. 

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, ternyata QJMotor mengambil pendekatan yang lebih original berbanding “meniru” rekaan model sedia ada daripada jenama lebih terkemuka. Apa pun, kami akan tunggu sehingga hari pelancaran yang dijangka akan berlaku di EICMA 2023 pada November ini. 

Beberapa tahun ini penghasilan jentera sportsbike 1000cc dan supersport 600cc berprestasi tinggi telah terjejas ekoran peraturan emisi ketat yang melanda pasaran Eropah dan Asia. 

Hasilnya, model popular seperti Yamaha YZF-R6 telah pun dihentikan pengeluaran sementara Honda CBR600RR pula hanya dijual dibeberapa pasaran sahaja. 

Bagaimanapun, peralihan masa menyaksikan pengeluar dua roda beralih kepada pembangunan jentera yang lebih “jinak”, kurang ekstrim dan lebih mampu milik antaranya Yamaha YZF-R7, Honda CBR650R dan Aprilia RS660. 

Terbaru, Triumph Motorcycles turut akan menyertai segmen sama menerusi Daytona 660. 

*Triumph Daytona 765 Moto2 Edition

Jenama motosikal Britain itu meninggalkan arena supersport pada 2017 apabila tidak lagi menawarkan Daytona 675. Meskipun kembali dengan Daytona 765 edisi terhad – hanya 1,530 unit dihasilkan –  bagi meraikan kejayaan menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020, tiada lagi model Daytona dihasilkan selepas itu. 

Namun, penampakkan sebuah jentera Triumph dengan panel badan penuh (full-fairing) menjalani ujian di Eropah baru-baru ini mengesahkan kemunculan semula model Daytona. Ketibaan model itu sudah pun dijangka apabila Triumph memfailkan tanda dagangan Triumph Daytona tahun lalu. 

*enjin 3-silinder 660cc

Bagaimanapun, berbanding Daytona 765 yang merupakan jentera berprestasi tinggi, Daytona 660 pula menerapkan ciri sama seperti Honda CBR650R dan Aprilia RS660 antaranya ergonomik yang lebih selesa dan tidak agresif.  Gambar spy shot yang dikongsikan juga mengesahkan perkara ini. 

Dalam pada itu, Daytona 660 itu dijangka mengguna pakai enjin tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660 dan Tiger Sport 660 sedia ada. Ini bermakna, kami menjangkakan penghasilkan kuasa sekitar 80hp dan 64Nm. 

*lampu hadapan Daytona 660 dipinjamkan dari Tiger Sport 660.

Dari segi rekaan, Daytona 660 jelas meminjam beberapa ciri daripada jentera model 660 sedia ada termasuk lampu depan dari Tiger Sport 660. Namun, Daytona 660 ini masih lagi datang dengan beberapa aspek serba baharu antaranya panel badan dan reka bentuk tangki. 

Buat masa ini Triumph Motorcycles masih belum mengumumkan tarikh rasmi bagi pelancaran model baharu ini namun mengambil kira pameran EICMA 2023 semakin hampir, kemungkinan acara itu bakal menjadi platform pendedahan sulung Triumph Daytona 660. 

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JP) untuk meneliti sedalam-dalamnya cadangan menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B secara automatik. 

Memetik laporan Berita Harian, Mat Aris berkata MOT dan JPJ perlu menghormati kompetensi penunggang motosikal. 

“Saya mohon kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghormati kompetensi seseorang bagi melayakkan dia memandu sesuatu kelas kenderaan di Malaysia.

“Apabila bercakap mengenai kompetensi, ia bertentangan dengan pengalaman kerana pengalaman itu bersifat subjektif, mungkin dia ada lesen B2 tetapi dia tidak pernah menunggang (motosikal berkuasa tinggi) mungkin ada lesen B2 tetapi penunggang itu terdedah kepada kemalangan. Ini membabitkan soal nyawa,” jelasnya. 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa kertas cadangan naik taraf lesen B2 kepada B secara automatik kepada MOT untuk diteliti. 

Jelasnya, perkara itu bukan satu masalah kerna merupakan isu pentadbiran sahaja. 

Dalam pada itu, cadangan tersebut adalah bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat B2. – Berita Harian

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan kertas cadangan naik taraf lesen memandu motosikal Kelas B2 kepada B secara automatik kepada Kementerian Pengangkutan (MOT). 

Kertas cadangan itu telah pun diserahkan Presiden Superbikers Association Malaysia (SAM), Datuk Abdul Halim Suleiman ketika Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66 pada Ahad. 

Memetik laporan Berita Harian, Zahid berkata cadangan itu akan dikemukan kepada MOT untuk diteliti terlbih dahulu. Namun, baginya menjelaskan perkara itu bukanlah satu masalah.

“Saya tidak fikir ujian memandu (diperlukan) kerana mereka pemandu (penunggang) yang berpengalaman, dan saya juga fikir mereka tidak memerlukan syarat-syarat ketat.

“Saya akan kemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dahulu, saya tidak fikir ini satu masalah kerana ia merupakan isu pentadbiran sahaja,” jelasnya.  

Dalam pada itu, cadangan menaik taraf lesen memandu B2 kepada B itu adalah bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat B2. – Berita Harian

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube