Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Umum sedia maklum bahawa BMW Motorrad bakal memperkenalkan BMW R 1300 GS serba baharu bagi menggantikan R 1250 GS sedia ada. Pelancaran R 1300 GS itu telah pun dijadualkan berlangsung pada 28 September ini. 

Dalam pada itu, perkembangan terbaru di Eropah mengesahkan pelancaran R 1300 GS pada September nanti bakal menjadi permulaan pertama kepada beberapa barisan model yang akan dikuaskaan enjin boxer 1300cc tersebut.

Memetik laporan media antarabangsa, BMW akan turut memperkenalkan R 1300 R, R 1300 RS dan R 1300 RT. Mengambil kira kesemuanya dikuasakan enjin baharu, maka tidak hairan setiap model 1300cc itu akan turut didatangkan dengan kerangka baharu. 

Selain itu, media antarabangsa juga mendakwa R 1300 R dan RS akan tampil lebih sporty berbanding model sedia ada dengan panel badan yang lebih terdedah serta reka bentuk yang lebih agresif dan minimal. 

Dalam pada itu, BMW juga dijangka memperkenalkan teknologi sistem radar kepada kesemua model 1300 sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan blind spot detection. 

Ketika tiada info rasmi didedahkan BMW Motorrad membabitkan kesemua model baharu yang diperkatakan namun berdasarkan dokumen yang difailkan di Eropah sebelum ini, BMW R 1300 GS yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu menawarkan 145.5hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. 

Apa pun, kami jangkakan lebih banyak info menarik akan diterbitkan sebaik BMW melancarkan R 1300 GS pada 28 September ini. 

Jenama motosikal Itali, Moto Morini dalam satu temu bual bersama Moto.it mendedahkan syarikat itu merancang untuk memperkenalkan beberapa model baharu – 12 model kesemuanya – menjelang 2025. 

Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif Moto Morini, Alberto Monni mendedahkan syarikat itu akan terus mempertaruhkan enjin V-Twin pada masa akan datang ketika pengeluar lain telah beralih ke platform  parallel-twin yang lebih kompak dan jimat untuk dihasilkan. 

Dalam pada itu, Moto Morini turut berkongsi perancangan syarikat itu sehingga 2025 yang memaparkan pelancaran  model baharu. 

*Gambar model akan datang dari Moto Morini.

Sebelum ini, telah pun didedahkan bahawa Moto Morini bakal memperkenalkan jentera adventure tourer terbaru menerusi X-Cape 1200 di EICMA 2023. Menariknya, portfolio dikongsikan itu juga memberitahu bebeerapa motosikal 750cc akan turut diperkenalkan yang merangkumi motosikal adventure dan naked. 

*Moto Morini Milano

Laporan antarabangsa juga mendakwa Moto Morini akan memperkenalkan sebuah motosikal retro moden yang dikuasakan enjin 1200cc. Kami jangkakan model tersebut merupakan penyambung generasi baharu Moto Morini Milano yang dijual sebelum ini. 

*Moto Morini X-Cape 1200 antara yang akan diperkenalkan di EICMA 2023.

Pada masa sama, Moto Morini juga akan memperkenalkan beberapa model V-Twin 925cc. Melihat kepada gambar dikongsikan, terdapat tiga model akan diperkenalkan termasuk sebuah sports tourer, naked dan sebuah lagi yang kelihatan seperti jentera sportbike. 

Meskipun perkembangan semasa ini cukup menarik namun segalanya hanya boleh disahkan ketika tibanya hari pelancaran rasmi. Apa yang pasti Moto Morini ada beberapa kejutan untuk pasaran global di EICMA, November ini.  

Honda telah mendedahkan CBR600RR terbaru ketika di Suzuka 8 Hours beberapa hari lalu.

Model keluaran 2024 itu telah dinaik taraf bagi mematuhi standard emisi di Jepun (bersamaan Euro 5) yang dikuatkuasa tiga tahun lalu. 

Selain daripada naik taraf bagi mencapai emisi terkini, CBR600RR 2024 itu juga dilengkapi dengan ‘winglet’ dan lampu LED penuh.

Walaupun perubahan yang diumumkan itu tidak terlalu signifikan jika dibandingkan dengan model terdahulu namun berdasarkan gambar di bawah jelas terdapat beberapa perbezaan. 

Gambar di atas merujuk pada susun atur aliran ekzos antara model sedia ada (kiri) dan model 2024 (kanan). Jelas terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Perubahan tersebut dilaksanakan agar model 2024 ini berjaya mematuhi peraturan emisi semasa berbanding model sebelumnya. 

Selain itu, kami difahamkan CBR600RR terbaru ini juga dilengkapi dengan sistem ‘quickshifter’ secara standard berbanding sebelum ini yang hanya ditawarkan sebagai opsyen tambahan. 

Untuk rekod, pengedar rasmi jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) menawarkan CBR600RR keluaran 2021 dengan harga jualan RM98,888. Sekiranya model 2024 ini dipasarkan disini kami jangkakan akan berlakunya kenaikan harga ekoran naik taraf terbaru yang dilaksanakan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan mengesahkan bahawa motosikal adventure segmen 250cc, Versys X 250 akan dilancarkan tahun ini. 

Perkara itu disampaikan kepada orang ramai yang menghadiri program Green Mania yang berlangsung di Gamuda Cove, pada Ahad. 

Seperti kerjasama dengan Kawasaki membabitkan model lain, Versys X 250 ini juga akan dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah dan akan dijual dibawah lencana Modenas. Ini bermakna orang ramai boleh menjangkakan harga yang mampu milik. 

Untuk rekod, Versys X 250 ini menawarkan ciri yang menarik antaranya ‘panniers’ berkapasiti 17 liter, crash guard, penghadang angin tinggi, serta ‘handguard’. 

Versys X 250 itu akan dikuasakan enjin parallel-twin 249cc yang menawarkan 32.5hp pada 11,500rpm dan 21Nm pada 10,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac assist & slipper. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • rim jenis spoked (lidi) 19-inci depan, 17-inci belakang
  • suspensi fork teleskopik 41mm depan, monoshock belakang
  • tangki 17L
  • ABS dwi-saluran

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dengan jayanya telah meraikan pemilik dan pelanggan Modenas serta Kawasaki menerusi program Green Mania yang telah berlangsung di Discovery Park, Gamuda Cove, pada Ahad. 

Acara itu bukan sahaja berjaya menghimpunkan pemilik Kawasaki dan Modenas malah turut mempromosikan produk sedia ada kepada mereka yang berminat.

Menariknya, program tersebut turut dihadiri beberapa orang penting Modenas termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran, Yusaku Kashiwagi. 

Ketika sesi sidang media, kami telah dimaklumkan tentang beberapa perkara menarik antaranya melibatkan kemunculan model baharu tidak lama lagi termasuk Ninja ZX-25R yang akan dilancarkan sekitar September dan Versys X 250 yang turut akan diperkenalkan sejurus selepas itu. 

*Ninja ZX-25R

Tidak cukup dengan itu, Roslan juga memberitahu bahawa pihak EMOS sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk Ninja ZX-4R dan ZX-6R generasi terbaru ke pasaran tempatan tahun depan. 

*Ninja ZX-6R

Perkembangan itu sudah tentu mengujakan peminat motosikal ‘sportsbike’ tempatan yang mengharapkan lebih banyak pilihan ditawarkan di Malaysia terutamanya menerusi Kawasaki. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR ini dikuasakan enjin 399cc 4-stroke DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan ‘rev limit’ lebih 15,000rpm. 

Sementara itu, Ninja ZX-6R telah pun dilahirkan semula dengan kemas kini drastik, terutamanya memastikan enjin 4-inline 636cc 4-stroke, DOHC, 16-valve dengan sistem penyejukan cecair itu mencapai status Euro 5. Naik taraf itu secara tidak langsung meletakkan ZX-6R sebagai jentera yang lebih efisien berbanding R6 dan CBR600RR ekoran menjalani ujian yang lebih ketat bagi mencapai peraturan emisi di Eropah. 

Walaupun dengan pelbagai kemas kini bagi mencapai emisi dibenarkan, Ninja ZX-6R kekal sebagai jentera ‘supersport’ berkuasa dengan 128hp.

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dengan rasminya mengumumkan pembukaan tempahan bagi model ditunggu-tunggu, Modenas Ninja ZX-25R ketika berlangsungnya Green Mania di Gamuda Cove, pada Ahad.

Pembukaan tempahan Ninja ZX-25R ini bukanlah satu kejutan kerana kami juga telah menerbitkan laporan mengenai pelancaran jentera 250cc 4-inline itu pada September ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ninja ZX-25R akan hadir dengan dua varian, SE dan RR dengan varian kedua itu datang dengan spesifikasi lebih premium termasuk fork depan Showa Separate Function Fork-Big Piston 37mm dan monoshock belakang  BFRC boleh laras yang turut diilhamkan dari ZX-10R. 

Untuk rekod, Modenas Ninja ZX-25RR dikuasakan enjin 249.8cc empat silinder DOHC 16-valve dengan penyejukan cecair yang berkemampuan menghasilkan 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm pada 14,500rpm.

Ducati Malaysia dengan rasminya memperkenalkan barisan Ducati Scrambler 2023 untuk pasaran tempatan yang hadir menerusi varian Icon, Nightshift dan Full-Throttle.

Walaupun masih lagi dihidupakn enjin dua silinder 803cc Desmodue yang sama seperti generasi sebelum ini dengan 73hp pada 8,250rpm dan 65.2Nm pada 7,000rpm namun terdapat beberapa penambahbaikan telah dilakukan. Antarnaya enjin terbaru ini adalah 2.5kg lebih ringan hasil penggunaan klac yang lebih kecil. 

*Scrambler Full Throttle

Keterampilan juga tampak lebih sporty hasil penggunaan subframe baharu yang kini dipisahkan daripada kerangka utama sementara penggunaan ‘bearing-mounted shift’ pula menjanjikan pertukaran gear yang lebih lancar. 

Dalam pada itu, naik taraf terbesar juga hadir menerusi sistem Ride-by-Wire yang merangkumi dua mod menunggang dan Ducati Traction Control di samping bahagian tangki yang telah direka semula. 

*Scrambler Icon

Sementara itu, varian Full-Throttle juga dilengkapi dengan fungsi Ducati Quick Shift  dan Cornering ABS secara standard.

Menurut Ducati Malaysia, varian Icon (standard) ditawarkan pada harga RM62,900 sementara Full-Throttle dan Nightshift pula dijual pada harga RM69,900. 

*Scrambler Nightshift

Varian Full-Throttle paling menonjol dengan gabungan warna merah dan angka #62 di bahagian sisi. Angka tersebut merupakan rujukan kepada model Scrambler pertama yang diperkenallkan pada 1962. Sementara itu, Nighshift pula dibezakan dengan handlebar yang jenis rata dengan ‘bar-end mirror’ di samping penggunaan rim jenis lidi (spoked). 

Dalam pada itu, kami dimaklumkan Ducati Malaysia telah menerima hampir 50 tempahan awal bagi barisan model Scrambler ini dengan penyerahan akan dilakukan pada Oktober. 

Venom Motorsports merupakan syarikat motosikal berpangkalan di Amerika Syarikat yang menawarkan motosikal dan skuter yang dikilangkan di China. Namun, kepakaran utama Venom adalah menawarkan motosikal tanpa gear, dalam kes ini motosikal automatik. 

Antara model yang mencuri tumpuan adalah Venom X 22 GT yang merupakan motosikan berenjin satu silinder yang menawarkan 15hp dihasilkan Jonway di China. Namun, apa yang menarik perhatian kami adalah motosikal tersebut sebenarnya sebuah skuter namun dengan penampilan ‘sportsbike’. 

Venom X 22 GT dikuasakan enjin satu silinder 4-strok dengan sistem penyejukan air yang berupaya menghasilkan 15hp pada 7,000rpm dan 17.6Nm pada 5,500rpm. 

Menariknya, meskipun berimej ‘sportsbike’ bahagian belakang mirip skuter konvensional termasuk kehadiran tayar bersaiz 14-inci yang dipadankan bersama penyerap hentakan berkembar. 

Seperti skuter lain, X 22 GT ini juga tidak didatangkan dengan transmisi manual dan boleh dioperasikan seperti skuter biasa. 

Venom mendakwa X 22 GT ini boleh merekodkan kelajuan maksima sekitar 145km/j tetapi mengambil kira faktor 15hp, kami menyifatkan syarikat itu mungkin terlalu optimistik dalam mengeluarkan angka tersebut.  Meskipun begitu, daya pecutan dijangka agak bagus kerana Venom X 22 GT ini hanya seberat 133kg.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk rim 17-inci depan (14-inci belakang), fork teleskopik, cakera brek berkembar depan, lampu LED penuh dan panel meter digital LCD. Bagi pasaran Amerika Syarikat, X 22 GT ini dijual pada harga USD3,299.99 (RM14.9k).

Triumph Tiger Sport 660 telah diperkenalkan semula untuk pasaran tempatan di bawah pengedar baharu dengan harga jualan bermula dari RM50,900. 

Dibangunkan dengan enjin tiga silinder 660cc sama yang terdapat pada Trident 660, Tiger Sport tampil dengan elemen motosikal ‘sport tourer’ sekaligus menawarkan ciri praktikal dan serba boleh.

Model baharu ini juga bakal memberi saingan terhadap Modenas Versys 650 dan Suzuki V-Strom 650 XT di Malaysia.

Tiger Sport 660 ini menghasilkan 79hp pada 10,250rpm dan 64Nm pada 6,250rpm dengan Triumph dakwa 90 peratus tork dapat dirasai seawal 3,600rpm.

Ciri lain yang turut dibawa dari Trident adalah fungsi dua mod tunggangan, Rain dan Road, sistem Ride-by-Wire dengan transmisi 6-kelajuan serta ciri klac assist/slipper.

Sementara itu, sistem membrek dikendalikan ABS dwi-saluran yang dipadankan dengan kaliper brek Nissin dua piston depan bersama cakera brek 310mm depan dan 255mm belakang.

Bagaimanapun, perlu diingatkan sistem ABS tersebut tidak boleh dipadamkan.

Antara ciri menarik lain turut ditawarkan adalah seperti berikut:

  • fork depan USD 41mm Showa
  • monoshock belakang Showa
  • tinggi tempat duduk 835mm
  • tangki 17.2L
  • lampu LED penuh
  • paparan TFT berwarna dengan fungsi My Triumph Connectivity

Dalam pada itu, Triumph Motorcycles Malaysia juga sedang mengadakan promosi Merdeka yang membolehkan pemilik Tiger Sport 660 menikmati pakej aksesori rasmi (bernilai RM9,542) dengan tambahan RM5,900 sahaja. 

Bermula 15 September Ini, individu yang ingin mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi kereta atau motosikal hanya perlu menjalani satu ujian teori sahaja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa bermula tarikh tersebut, individu yang mengambil lesen tidak lagi perlu menduduki dua ujian teori berasingan. 

“Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian KPP01(Teori) dalam lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 untuk kali kedua apabila mengambil lesen memandu kereta.

“Namun, calon masih wajib menjalani latihan dan menduduki ujian KPP02 (Praktikal di Litar) dan KPP03 (Praktikal di jalan raya) secara berasingan apabila mengambil LMM motosikal dan LMM kereta.

“Individu tersebut hanya perlu memperbaharui semula Lesen Belajar Memandu (LDL) dan seterusnya mendaftar di Institut Memandu untuk melengkapi latihan dan ujian di peringkat KPP02 dan KPP03 dalam kelas kenderaan berkaitan,” jelasnya kepada pemberita. 

Difahamkan, inisiatif terbaru ini diambil setelah mengambil kira maklum balas orang ramai di samping menjimatkan masa dan kos rakyat dalam percubaan mendapatkan lesen memandu sah. – Utusan Malaysia

Setiap tahun terutamanya ketika menghampiri penganjuran RXZ Members akan muncul berita yang ‘mengejutkan’ dan tahun 2023 juga tidak kurang hebatnya. 

Terbaru, sepasang rim Kawasaki GTO original telah berjaya terjual dengan harga RM43,000

Berdasarkan perkongsian akaun Mat Nor Tempang di Facebook, rim Kawasaki GTO bersaiz 18-inci yang pada awalnya diiklankan dengan harga RM45,000 asalnya telah terjual dengan harga RM43,000. 

Menariknya, rim tersebut terus dipasang pada Yamaha RX-Z yang masih dalam kondisi ‘new old stock’ (NOS). 

Sejauh mana kebenaran ini hanya penjual dan pembeli sahaja yang tahu namun mengambil kira populariti barangan RX-Z serta rim GTO di Malaysia kami tidak terkejut jika urusan berkenaan adalah benar. 

Namun, berdasarkan pemerhatian di Facebook, harga RM43,000 tersebut turut merangkumi beberapa komponen lain termasuk ‘cover set’

Teka-teki siapakah bakal menjadi gandingan baharu Fabio Quartarao do Monster Energy Yamaha akhirnya terjawab selepas pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat Alex Rins dari LCR Honda. 

Pelumba Sepanyol berpengalaman itu akan menggantikan Franco Morbidelli yang disahkan tidak lagi akan bersama pasukan itu musim depan. 

Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis mengesahkan penyertaan Rins bagi musim 2024. 

“Kami jangkakan Alex (Rins) sebagai aset penting. Dia memiliki pengalaman luas di MotoGp dan terkenal memiliki bakat semulajadi selain memenangi beberapa perlumbaan di kelas premier. 

“Dia juga berpengalaman mengendalikan dua jentera MotoGP (Suzuki GSX-RR dan Honda RC213V) sekaligus memudahkannya untuk membiasakan diri dengan Yamaha YZR-M1. 

“Kemenangannya di COTA tahun ini juga membuktikan kemampuannya untuk berjaya,” jelas Jarvis. 

Dalam pada itu, perjalanan Morbidelli – yang telah bersama Yamaha sejak 2019 – akan berakhir pada hujung musim ini. Morbidelli merekodkan enam podium termasuk tiga kemenangan bersama pasukan itu. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube