Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Kawasaki semakin hampir untuk memperkenalkan motosikal elektrik sulung menerusi Ninja E-1 dan Z E-1 selepas kedua-dua model itu mendapat homologasi di Australia. 

Kemunculan motosikal elektrik sulung dari Team Green itu sudah pun dijangka selepas membuat pengumuman besar itu di EICMA, November tahun lalu. Berdasarkan data homologasi yang difailkan di Australia, kini boleh disahkan bahawa ‘streetbike’ elektrik dari Jepun itu akan diperkenalkan tidak lama lagi dan akan dipasarkan sebagai Ninja e-1 dan Z e-1. 

Menariknya, dokumen tersebut juga disertakan dengan gambar e-1 dan Z e-1 dengan masing-masing menyerupai Ninja 400 dan Z400. Meskipun begitu, kedua-dua model elektrik ini tampil dengan kuasa lebih rendah dengan dokumen tersebut menyatakan 9kw atau 12.1hp. 

Dokumen tersebut juga menyatakan berat e-1 diletakkan pada 140kg sementara Z e-1 adalah 5kg lebih ringan. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama angka tersebut termasuk dengan bateri. 

Kawaski sebelum ini menyatakan bahawa e-1 dan Z e-1 akan dilengkapi dua bateri (boleh tanggal) dengan masing-masing seberat 12kg dan menawarkan 3.0kWj. 

*Kawasaki bakal melancarkan model hibrid pada 2024.

Mengambil kira perkembangan Kawasaki sebelum ini, pengeluar motosikal Jepun itu juga sedang membangunkan model hibrid yang telah dipertontonkan kepada umum ketika Suzuka 8 Hours tahun lalu. 

KTM antara pengeluar yang giat menguji beberapa jentera baharu yang akan dipasarkan dalam tempoh setahun dua ini. 

Sebelum ini, pengeluar motosikal Austria itu dilihat menguji beberapa jentera prototaip antaranya RC 990 dan 990 Duke. 

Tidak cukup dengan itu, KTM juga didapati sedang giat menguji jentera berkapasiti kecil di India yang didakwa sebagai RC 390 generasi terbaru. 

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ dikongsikan, ternyata RC 390 akan datang itu tampil dengan rekaan serba baharu berbeza dengan generasi sedia ada. 

Bermula di bahagian depan, penggunaan lampu berbentuk bujur telah digantikan dengan lampu jensi projektor tunggal sementara panel depan juga lebih melengkung berbanding bersegi. 

Fender, tangki, panel sisi juga berbeza dan tampak lebih tajam berbanding model sedia ada. Bahagian lampu belakang juga kini ditempatkan pada fender dan tidak lagi di bahagian ekor seperti model sedia ada. Konsep sama itu turut diguna pakai BMW pada S 1000 RR. 

Turut kelihatan kerangka trellis baharu yang melangkui sproket depan berbanding sebelum ini dan dipadankan bersama subframe berlainan. Kedudukan monoshock juga berbeza namun masih lagi dibekalkan WP. 

Susun atur enjin juga kelihatan berbeza, dengan ‘header’ baharu, ekzos ‘underbelly’ yang berlainan dan ‘catalytic converter’ baharu. Kelainan ini dilaksanakan bagi mencapai standard Euro 5 terkini. 

Namun sejauh mana perubahan itu akan memberi kesan pada kuasa 43hp dan 36Nm sedia ada hanya akan diketahui pada hari pelancaran nanti yang dijangka berlaku pada 2024.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan ‘product recall’ (panggilan semula) beberapa motosikal 250cc. 

Berdasarkan perkongsian terbaru di media sosial, JPJ mengeluarkan ‘product recall’ bagi motosikal jenis Yamaha YZF-R25, MT-25 dan Honda CB250R. 

Notis panggilan semula bagi dua model Yamaha itu telah pun dikeluarkan pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada bulan Mei lalu namun disebabkan terdapat kesukaran menghubungi pemilik – susulan maklumat tidak dikemas kini – memaksa JPJ mengeluarkan notis siri kedua. 

Notis siri kedua ini juga menyaksikan, Boon Siew Honda (BSH) mengeluarkan notis ‘product recall’ babitkan Honda CBF250NAP. Nama model tersebut merujuk kepada CB250R.

Menurut Boon Siew Honda, panggilan semula ini bagi menggantikan penutup ‘crankcase’ sebelah kanan disebabkan kerosakan ‘cone plug’ yang boleh menyebabkan kebocoran. Panggilan semula ini babitkan CB250R yang dihasilkan antara 22 Julai 2022 hingga 3 Ogos 2022 dengan nombor casis dari MLHMC5293P5100007 hingga MLHMC5295P5100008.

Pemilik yang terkesan diminta menghubungi pusat servis rasmi untuk tujuan penggantian yang akan ditanggung sepenuhnya Boon Siew Honda.

Dalam pada itu, JPJ juga menggesa pemilik untuk lebih bertanggungjawab dengan mengemas kini maklumat maklumat peribadi di pusat servis rasmi sekiranya motosikal telah bertukar hak milik. 

Prototaip KTM RC 990 mula jalani ujian jalan raya sekitar Disember tahun lalu dan tidak banyak yang boleh diceritakan daripada imej ‘spy shot’ yang dikongsikan. 

*imej prototaip KTM RC 990 pada 2022

Pada waktu itu, apa yang kelihatan adalah reka bentuk ‘supersport’, fairing penuh, lampu depan LED tunggal, fork USD, brek Brembo serta subframe yang terdedah. 

Namun, berdasarkan ‘spy shot’ terbaru, jelas menampakkan rupa RC990 yang jauh berbeza berbanding yang dikongsikan sebelum ini. 

Imej ‘spy shot’ terbaru itu menunjukkan kehadiran panel badan yang lebih agresif dan bersegi sementara bahagian depan pula menampakkan kehadiran ‘winglet’ yang diinspirasikan daripada jentera KTM RC16 di MotoGP. 

Penghadang angin juga lebih kecil dan melengkung berbanding prototaip awal. Selain itu, bahagian ‘subframe’ yang sebelum ini terdedah juga kelihatan lebih kemas. 

Menariknya, melihat kepada perkembangan semasa, jentera yang dijangka membuat penampilan rasmi pada 2025 itu tampak mirip dengan jentera KTM RC 8C yang dikhaskan untuk litar lumba. 

Untuk rekod, RC 990 ini akan dikuasakan enjin LC8c terbaru dibangunkan KTM yang turut akan menggerakan 990 Duke yang juga sedang menjalani ujian ketika ini. Laporan media antarabangsa mendakwa platform terbaru itu akan menyumbang sekitar 140hp dengan tork yang belum dikenalpasti. 

Pada masa sama, melihat kepada rupa RC 990 terbaru itu berbeza dengan prototaip 2022 kami jangkakan akan berlaku beberapa perubahan lagi termasuk pakej suspensi dan brek. 

Apa pun kami jangkakan akan lebih banyak maklumat mengenai RC 990 ini akan timbul dalam masa akan datang. 

Art Of Speed (AOS) 2023 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang telah pun melabuhkan tirai pada Ahad yang menyaksikan 65,000 pengunjung hadir meraikan acara ‘custom culture’ terbesar di Malaysia itu. 

Seperti edisi sebelumnya, tahun 2023 juga menyaksikan pameran kenderaan kustom dari dalam dan luar negara sebagai tumpuan utama antaranya; Wild Road Choppers dari Jepun yang mempamerkan Harley-Davidson Chopper Show Bike 1941, Cosmic Chopper City (Jepun) dengan Harley-davidson Chopper Show Bike 2020 dan Side Yakotani (Jepun) yang membawa Volkswagen Type2 Safari Custom 1959. 

Seperti kebiasaan, beberapa nama besar turut mewarnai edisi kali ini antaranya Sunny Yano dan Hiro ‘Wildman’ Ishii dari Mooneyes, Rough Craft, Kustomstyle, Joinst Custom Show, 2 Percenter, Vibes Magazine, Weller Magazine, Old Coin Company dan ramai lagi.

Bagaimanapun, kehadiran Hot Wheels juga turut mencuri tumpuan dengan penganjuran ‘Official Hot Wheels Collector Convention’ pertama dianjurkan di Asia Tenggara. Turut menghangatkan program julung kalinya itu adalah pereka Hot Wheels sendiri, Matt Gabe dari Amerika Syarikat. 

Dalam pada itu, saudara Mohd Shahlan Mohd Nasir juga dinobatkan pemenang bagi Hot Wheels Legends Tour Malaysia yang mempertaruhkan Proton Arena yang telah dikustom. 

Tidak cukup dengan itu, AOS bersama Hot Wheels juga mengumumkan Saw Jane Harn, 9 tahun mencul pemenang peraduan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition 2023. Karya pereka cilik tersebut akan dicetak pada kad HotWheels Proton Saga edisi khas yang akan mula dijual pada 2024.

Sementara itu, pengunjung juga disajikan dengan previu khas Royal Enfield Super Meteor 650 yang akan dilancarkan secara rasmi pada lewat September ini oleh Royal Enfield Malaysia. 

Seperti kebiasaan, beberapa pemenang cabutan bertuah telah berpeluang membawa pulang hadiah istimewa. Pada Sabtu, Norilah Mohd Norzi memenangi sebuah basikal elektrik dari Zeus sementara hari Ahad pula menyaksikan Rizal Azman bawa pulang kereta Toyota Celica 1979 milik AOS sendiri. Ketika sesi cabutan bertuah atas talian, Nor Adila Nor Hashimi berjaya memenangi sebuah motosikal elektrik Honda e-DAX. 

GALERI: ART OF SPEED 2023

Ducati membuka tirai episod pertama Ducati World Premier 2024 dengan mendedahkan Ducati Monster 30th Anniversario edisi terhad. 

Terhad kepada 500 unit, Monster 30th Anniversario ini meraikan ulang tahun ke-30 model Monster sejak diperkenalkan kali pertama pada 1993.

Monster merupakan model yang cukup ikonik pada sejarah Ducati kerana bukan sahaja berjaya menyelamatkan jenama itu malah muncul antara model paling popular sehingga kini. 

Ducati Monster 30th Anniversario ini tampil dengan gabungan warna ‘tricolour’ yang cukup menonjol termasuk rim bewarna emas dan fork dan monoshock dari Öhlins. Selain itu, versi Anniversario ini juga dilengkapi dengan ekzos Termignoni yang sebelum ini hanya didapati pada varian SP sahaja. 

Gabungan beberapa kompoen gentian karbon juga menyaksikan Monster 30th Anniversario ini 4kg lebih ringan sekaligus menyumbang kepada berat keseluruhan hanya 164kg. 

Bagaimanapun, versi Anniversario ini masih lagi dikuasakan enjin Testastretta 937cc yang menghasilkan 111hp pada 9,250rpm dan 93Nm. 

Sebagai model edisi terhad, pastinya jentera ini wajib dimiliki terutamanya bagi mereka yang menghargai jentera Ducati terutamanya Monster. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil kesemua lima pemandu kereta jenis Lamborghini yang dirakam melakukan pemanduan melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru-baru-baru ini. 

Perkara itu disampaikan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora yang turut memaklumkan kesemua pemandu tersebut telah dikenal pasti menerusi rakaman video yang tular di media sosial. 

“Aksi memandu kereta secara berbahaya itu didapati dilakukan di Lebuhraya Senai-Desaru dan pergerakan kenderaan adalah dari Senai menghala ke Bandar Penawar kerana dikatakan terlibat dalam satu program di sana.

“Aksi tersebut dirakamkan oleh orang awam dan dimuat naik ke laman facebook ‘Jabatan Netizen Negara’ pada Jumaat sekitar jam 9.13 malam,” jelasnya. 

Dalam pada itu, polis mengenal pasti kesemua lima individu tersebut berusia antara 44 hingga 64 tahun. 

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dimana jika disabit kesalahan, suspek akan berdepan penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000. – Astro Awani

Royal Enfield Malaysia telah pun mempersembahkan Royal Enfield Super Meteor 650 buat julung kalinya ketika hari pembukaan Art Of Speed 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang. 

Bagaimanapun, pihak Royal Enfield Malaysia mendedahkan bahawa pelancaran rasmi model tersebut hanya akan dilakukan pada lewat September tahun ini.

Apa pun, kami dimaklumkan bahawa Super Meteor 650 akan dipasarkan dengan harga bawah RM40k dengan orang ramai boleh membuat pra-tempahan awal. Berdasarkan maklumat diperolehi, Royal Enfield Malaysia telah pun menerima tempahan yang memberangsangkan sekaligus membuktikan populariti model Royal Enfield di Malaysia. 

Untuk rekod, Super Meteor 650 merupakan motosikal serba baharu yang dibangunkan Royal Enfield sekaligus tampil dengan beberapa ciri moden. Pertamanya, Super Meteor 650 merupakan model 650cc pertama yang dilengkapi lampu LED dan fork jenis USD (upside/down). 

Meskipun datang dengan enjin parallel-twin 650cc yang sama terdapat pada Continental GT 650 dan Interceptor namun keseluruhan komponen dan kelengkapan yang ada pada Super Meteor 650 adalah serba baharu termasuk bahagian casis dan swingarm. 

Super Meteor 650 ini menawarkan 46.4hp pada 7,250rpm dan 52.3Nm pada 5,650rpm. Untuk pasaran tempatan, Super Meteor 650 akan tampil dengan dua varian, Standard dan Tourer dengan masing-masing hadir dengan kombinasi warna berbeza.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan skuter maxi popular, Yamaha XMAX 250 2023 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM23,998

Model 2023 ini paling ditunggu-tunggu peminat motosikal tempatan ekoran tampil dengan pelbagai ciri terkini dan lebih moden berbanding generasi sebelumnya. 

Pertamanya, panel meter pada XMAX 250 2023 ini datang dengan paparan skrin TFT 4.2-inci yang menawarkan fungsi navigasi Garmin dan boleh dihubungkan dengan telefon pintar.

Yamaha XMAX 250 itu juga tampil dengan panel depan baharu yang mengetengahkan susunan lampu dan hidung depan berbentuk ‘X’. Bentuk ‘X’ itu juga ditayangkan ketika lampu belakang dinyalakan.

Yamaha turut mengemas kini panel sisi agar melindungi penunggang dengan lebih baik di jalan raya manakala penghadang angin kini boleh diselaraskan. Yamaha XMAX baharu ini juga dilengkapi dengan pencahayaan LED sepenuhnya termasuk di bahagian lampu isyarat.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk sistem Smart Key (penghidup tanpa kunci) dan sistem Answer Back yang membantu memudahkan pencarian motosikal.

Meskipun datang dengan pelbagai ciri baharu namun, model keluaran 2023 ini masih lagi dikuasakan enjin yang sama. Hasilnya, platform 250cc satu silinder Blue Core yang menawarkan 22.5hp dan 24.3Nm. 

Bagi pasaran tempatan, Yamaha XMAX 250 2023 ini datang dengan dua warna pilihan; Icon Blue dan Max Silver.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Suzuki Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Suzuki Raider R150Fi 2023 yang telah dikemas kini dengan dua pilihan warna baharu. 

Menurut perkongsian di media sosial, Raider R150Fi 2023 itu tampil dengan warna Matte Bordeaux Red/Metallic Matte Fibroin Grey dan Bright Ivory/Titan Black.

Skim warna baharu itu merupakan yang sama dipasarkan di Vietnam dan Filipina. 

Menurut Suzuki Malaysia, Raider R150Fi 2023 ini sudah boleh didapati di semua pengedar rasmi seluruh negara dengan harga jualan rasmi RM8,838.

Bagaimanapun, selain pilihan warna baharu, Raider R150Fi ini masih mengekalkan spesifikasi sama seperti model sebelum ini termasuk enjin enjin satu silinder 147.3cc DOCH dengan penyejukan cecair yang menawarkan 18hp pada 10,000rpm dan 13.8Nm pada 8,500rpm. 

KTM telah berkolaborasi dengan jenama pakaian sukan popular, PUMA bagi menawarkan kasut KTM Powerwear Replica Team untuk pasaran global. 

PUMA bukan jenama asing bagi segmen permotoran apabila pernah bekerjasama dengan beberapa jenama automotif lain antaranya Ducati, BMW dan Ferrari. 

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kasut PUMA X KTM Powerwear Replica Team ini bukanlah kasut ‘riding motosikal’ sebaliknya untuk pengayaan harian sahaja kerana tidak memiliki ciri yang selamat sekiranya berlaku kemalangan. 

Namun, PUMA mendakwa kasut ini masih lagi selesa untuk kegunaan harian. 

Seperti dijangka kasut PUMA X KTM Powerwear Replica ini tampil dengan gabungan warna ikonik KTM dengan kemasan berwarna biru di bahagian sisi dan tapak. Logo KTM juga jelas kelihatan di bahagian depan. 

Buat masa ini tiada maklumat sama ada produk ini akan ditawarkan di Malaysia namun tinjauan di laman web UK mendapati kasut tersebut dijual pada harga GBP126.50 (RM741). 

Cardo System telah mengemas kini Cardo Packtalk Edge dan Packtalk Neo dengan fungsi rakaman audio. 

Ciri terbaru ini membolehkan pengguna Cardo Packtalk Edge dan Neo merakam audio berkualiti tinggi dengan hanya satu butang.

Fungsi terbaru ini membenarkan pelanggan bukan sahaja merakam audio sendiri malah malah rakan-rakan yang berhubung menerusi DMC (Dynamic Mesh Communication) dan Bluetooth. 

Bagi menikmati ciri terbaru ini, pemilik Cardo Packtalk Edge dan Neo hanya perlu memuat turun perisian terbaru di aplikasi Cardo Connect. 

Berikut adalah langkah bagi menggunakan ciri rakaman audio tersebut menerusi aplikasi Cardo Connect:

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube