Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Pejam celik, Art Of Speed 2023 semakin hampir untuk berlangsung bagi tahun ke-11 di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), Selangor.

Menariknya, acara kali ini bakal menyaksikan peminat ‘custom culture’ di Malaysia berpeluang bawa pulang dua hadiah cabutan bertuah istimewa, sebuah kereta klasik JDM Toyota Celica Liftback 1979 dan motosikal elektrik Honda Dax e:.

Cara untuk melayakkan diri bagi memenangi kereta Toyota Celica tersebut adalah dengan berbelanja lebih RM100 dalam satu resit di AOS 2023 sementara Honda Dax e: pula menanti pembeli tiket atas talian (online) yang bertuah. 

Dalam pada itu, AOS2023 dijangka yang paling besar dan meriah pernah diadakan ekoran akan mengguna pakai kesemua dewan yang ada termasuk Dewan A, B, C dan D serta sebahagian kawasan lain yang merangkumi 8.6 ekar. Selain itu, penganjur juga telah mengubah aturan di dalam dewan bagi memastikan pengunjugn menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh. 

Selain itu, penganjur juga beri jaminan bahawa AOS kekal sebagai acara motosikal dan kereta meskipun terdapat pelbagai aktiviti lain yang akan memeriahkan acara kali ini. 

Pada masa sama, AOS2023 juga bakal menjadi syurga kepada peminat Hot Wheels di Dewan B yang akan dipenuhi koleksi berkenaan. Antara yang paling mencuri tumpuan adalah penganjuran Hot Wheels Collector Convention Rasmi Pertama di rantau Asia Tenggara. 

Menurut pihak AOS, model prototaip Hot Wheels Proton Saga yang akan mula dijual pada 2024 juga akan turut dipamerkan. 

Dalam pada itu, pihak AOS juga akan menawarkan beberapa koleksi khas hasil kolaborasi dengan jenama terkemuka antaranya Vans dan Mooneyes. Antara yang ditawarkan termasuk kasut Vans X AOS2023 dan baju Mooneyes X AOS2023.

Maklumat pembelian tiket:

  • pas hujung minggu – RM35/sehari (dewasa)
  • Speed Lane – RM60/dua hari (dibenarkan masuk lebih awal)
  • SoundCircus Festival + Weekend Pass – RM135

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia dengan rasminya melancarkan Kia Niro EV serba baharu yang ditawarkan pada harga RM255,880. 

Model generasi kedua ini dibangunkan daripada model konsep Kia HabaNiro yang didedahkan pada 2019. 

Hasilnya, Kia Niro EV ini kekal menawarkan ciri moden Kia termasuk identiti hidung harimau di bahagian depan yang dipadankan bersama lampu LED beserta DRL. 

Rupa sporty Kia Niro EV ditonjolkan lagi dengan kehadiran skid plate dan beberapa elemen lain yang memfokuskan pengaliran udara yang optimum dan lancar. Namun ciri unik pada Niro EV adalah Active Air Flap yang terdapat di bahagian gril. Menrutu Kia fungsi tersebut menyumbang kepada ‘drag coefficent’ serendah 0.29. 

Di bahagain dalam, pemandu disajikan dengan penggunaan bahan mesra alam selaras dengan tawaran sebagai kereta EV selain dua skrin 10.25 inci dalam satu panel tunggal yang menawarkan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Juga terdapat ‘wireless charging’ dan pencahayaan ambien dengan 64 warna pilihan. 

Ruang kargo pula menawarkan kapasiti 475 liter namun sebaik tempat duduk baris kedua dilipat, ruang tersebut menjadi 1,392 liter. Juga terdapat ruang tambahan di bahagian frunk bersaiz 20L. 

Menurut Kia Malaysia, Niro EV ini hanya datang dengan satu varian untuk pasaran tempatan dan dilengkapi motor elektrik dengna kuasa 201hp dan 255Nm. 

Antara ciri penting lain ditawarkan termasuk fungsi Vehicle-to-load (V2L) yang menyalurkan kuasa sehingga 3.6kWh. Fungsi ini membolehkan pemandu menggunakan Niro EV sebagai pembekal elektrik kepada sebarang peranti atau perkakas elektrik ketika di luar. 

Ciri keselamatan ditawarkan termasuk:

  • 8 beg udara SRS
  • Safe Exit Assist
  • Hill Assist Climb
  • traction control
  • ISOFIX

Penganjuran RXZ Members 5.0 yang dijadualkan berlangusng pada 12 Ogos ini kemungkinan besar akan ditunda ke tarikh baharu ekoran pengumuman terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menamatkan tarikh sama sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

SPR telah menetapkan 12 Ogos sebagai PRN yang akan diadakan serentak di enam negeri melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Pengumuman tersebut secara tak langsung memberi kesan kepada penganjuran RXZ Members 5.0 2023 yang dijadualkan berlangsung di Terengganu International Drag Strip (Gong Badak) pada 11 hingga 12 Ogos ini. 

Dalam perkongsian terbaru di Facebook, penganjur RXZ Members meminta agar orang ramai bertenang dan memberi jaminan bahawa pihak pengurusan sedang dalam perbincangan dalam menentukan langkah seterusnya. 

RXZ Members merupakan acara tahunan yang menyaksikan pemilik ribuan pemilik motosikal Yamaha RXZ berkumpul di Terengganu bagi meraikan motosikal ikonik itu. 

Beberapa tahun ini permintaan terhadap skuter jenis ‘urban adventure’ semakin meningkat naik bermula dengan pelancaran Honda ADV 150 (yang kini telah dinaik taraf kepada 160). 

Senario sama bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut meraih populariti di China. Tidak hairanlah pasaran China juga menawarkan pelbagai model skuter adventure antaranya Lifan KPV150 Pro dan Longjia XDV250. 

Terbaru, sebuah lagi motosikal ‘urban adventure’ diperkenalakn di China kali ini menerusi MVCagiva Crazy Weekend 150. Menariknya, walaupun nama MVCagiva itu seperti pernah kedengaran namun kami dengan yakinnya menjelaskan bahawa jenama itu tiada kaitan langsung dengan MV Agusta dan Cagiva. 

Sekali imbas, Crazy Weekend 150 ini juga tampak seiras ADV 150/160 yang dipasarkan Honda. 

Untuk rekod, Crazy Weekend 150 ini juga dikuasakan enjin yang dibekalkan QJMotor dan menawarkan 16.4hp dan 14Nm. Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik CVT seperti skuter lain. 

Meskipun datang dengan nama yang unik di samping reka bentuk mirip ADV 150/160, skuter baharu ini masih lagi didatangkan dengan ciri premium antaranya lampu LED, ABS dwi-saluran, panel meter TFT, keyless dan penghadang angin boleh laras. Selian itu, skuter ini juga dilengkapi kamera hadapan yang bertindak seperti ‘dashcam’ kereta. 

Menurut laporan, Crazy Weekend 150 ini dipasarkan di China dengna harga CNY14,998 (RM9.6k). 

Harley-Davidson dengan rasminya melancarkan Harley-Davidson X440 di India setelah berminggu ‘teaser’ motosikal tersebut tular. 

Dibangunkan bersama syarikat gergasi India, Hero MotoCorp, motosikal dengan kapasiti 440cc satu silinder itu datang dengan tiga varian dan dijual pada harga bermula INR229,000 (RM13k) hingga INR269,000 (RM15k) sahaja. 

Meskipun enjin tersebut dibangunkan sepenuhnya Hero MotoCorp namun pembangungan keseluruhan X440 ini masih lagi mendapat sentuhan Harley-Davidson di Milwaukee, Amerika Syarikat. Jadi tidak hairanlah, rupa keseluruhan X440 ini masih lagi jelas dengan imej ‘Harley-Davidson’. 

Untuk rekod, Harley-Davidson X440 ini dikuasakan enjin 440cc dengan sistem penyejukan udara/minyak yang berupaya menjana 27hp pada 6,000rpm dan 38Nm pada 4,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Sistem suspensi pula hadir menerusi fork USD 43mm dari KYB di bahagain depan dan dua penyerap hentak di belakang. Pakej brek pula terdiri daripada cakera brek 320mm depan dan 240mm belakang yang dipadankan bersama kaliper ByBre dan ABS dwi-saluran. 

Menariknya, meskipun ditawarkan sebagai motosikal Harley-Davidson mampu milik, model ini masih lagi menawarkan ciri premium termasuk panel meter TFT 3.5-inci dan lampu LED. 

Hong Leong Yamaha Motor telah memberi kesegaran baharu pada skuter kompak popular Yamaha Ego Gear. Bagi tahun 2023, skuter tersebut kini datang dengan warna Kuning, Biru dan Hijau. 

Menurut HLYM, barisan warna baharu sudah pun berada di pengedar rasmi seluruh negara bermula 4 Julai (hari ini) dengna harga jualan asas RM5,998. Harga tersebut juga meningkat berbanding sebelum ini. 

Seperti kebiasaan, setiap pembelian Yamaha Ego Gear akan disertakan dengan kunci cakera brek Yamaha bernilai RM100. 

Dalam pada itu, Yamaha Ego Gear 2023 ini terus dikuasakan enjin BluCore 125cc dengan Smart Motor Generator yang berupaya menjana 9.3hp pada 8,000rpm dan 9.6Nm pada 5,500rpm. Skuter ini juga dilengkapo port pengecas USB. 

Selain daripada laporan pembukaan tempahan bagi motosikal ‘tourer’ popular, Versys 650 ABS, Modenas juga dikhabarkan akan turut memperkenalkan Ninja 650 dan Z650 pada bulan Julai ini. 

Tinjauan di beberapa pengedar rasmi Modenas/Kawasaki juga mendapati ada yang sudah mengiklankan tempahan bagi kedua-dua mootsikal tersebut di samping Versys 650 ABS. 

Ini bermakna Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) sebagai pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia akan memperkenalkan tiga model 650 bulan ini. 

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan semasa, Modenas dan Kawasaki menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar motosikal Jepun itu turut memiliki peratusan besar saham Modenas. Senario itu membolehkan Modenas menjenamakan semula motosikal Kawasaki dengan kapasiti 650cc ke bawah dan dijual di Malaysia. 

Untuk rekod, Modenas telah pun menawarkan Ninja 250, Z250 dan Vulcan S dengan masing-masing dijual dengan lencana Modenas. Kesemua model tersebut juga dipasang di Gurun, Kedah sekaligus menyebabkan model ditawarkan datang dengan harga yang lebih rendah berbanding sebelum ini. 

Pelancaran Versys 650 ABS, Ninja 650 dan Z650 secara tak langsung bakal melengkapkan barisan model 650cc yang ditawarkan disini. 

Kami menjangkakan sebaik kesemua model 650cc ini dirasmikan, giliran seterusnya pastinya melibatkan model ditunggu-tunggu, Ninja ZX-25R. 

Umum sedia maklum bahawa Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) merupakan pengedar rasmi bagi jenama Kawasaki di Malaysia. Kerjasama itu menyaksikan Modenas akan menjenamakan semula model 650cc ke bawah dan dibuktikan menerusi pelancaran beberapa model sulung antaranya Modenas Ninja 250, Z250 dan Vulcan S. 

*Modenas Vulcan S 650

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa Modenas akan turut melancarkan Modenas Versys 650 untuk pasaran tempatan pada Julai. 

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan sudah ada pengedar yang mula menerima tempahan bagi motosikal segmen ‘touring’ itu. Menariknya, nama model tersebut juga didedahkan sebagai Modenas Versys 650 ABS. 

Perkembangan itu pastinya menggembirakan peminat motosikal di Malaysia yang menanti ketibaan model itu. Ini kerana setiap model yang dijenamakan Modenas dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah sekaligus menjaminkan harga yang lebih rendah berbanding ketika dipasarkan dahulu sebagai model CBU di bawah pengurusan lama. 

Menariknya, model yang akan diperkenalkan itu adalah generasi terkini yang dilengkapi dengan panel meter TFT dan enjin yang lebih efisien ekoran mencapai standard Euro 5. Pada masa sama, model terkini itu juga menawarkan fungsi KTRC (Kawasaki Traction Control) dan ABS. 

Untuk rekod, Versys 650 dikuasakan enjin parallel-twin 649cc 4-stroke DOHC, 8-valves dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 65hp dan 64Nm pada 7,000rpm.

Baru-baru ini Triumph Motorcycles mencuri tumpuan dengan pelancaran global Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X. Kedua-dua model ini dihasilkan dengan kerjasama syarikat motosikal gergasi India, Bajaj Auto. 

*(kiri) Triumph Scrambler 400 X, (kanan) Triumph Speed 400

Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X merupakan motosikal jenis ‘cafe racer’ serta ‘scrambler’ yang digerakkan platform TR-Series dibangunkan sepenuhnya Bajaj. Menariknya, platform tersebut bukanlah enjin yang sama terdapat pada Dominar 400 mahupun KTM RC 390 sebaliknya sebuah enjin serba baharu. 

*Scrambler 400 X

Sementara itu, kami telah pun diberitahu oleh pihak Triumph Motorcycles yang hadir ke Malaysia baru-baru ini bahawa kedua-dua model 400cc itu akan turut dipasarkan di Malaysia. 

Menurut Ketua Jualan Eksport Triumph Motorcycles, Cees De Rooij, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X itu akan turut dijual di Malaysia ekoran rantau ini antara tumpuan utama jenama tersebut bagi memasarkan jentera berkapasiti kecil. 

*Speed 400

“Model 400cc itu cukup sesuai untuk pasaran ini (Malaysia) dan beberapa pasaran lain di Asia. 

“Ini adalah usaha kami bagi menjadikan jenama Triumph lebih mampu milik berbanding model sedia ada,” jelasnya.

Sebaik dilancarkan di Malaysia kelak, kami yakin kedua-dua varian ini akan menerima sambutan baik ekoran membuka peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk merasai pemilikan motosikal jenama Britain itu. 

Untuk rekod, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 X dikuasakan enjin silinder tunggal 398cc yang berupaya menghasilkan 39.5hp dan 37Nm. Meskipun dikuasakan enjin yang sama namun masing-masing menawarkan pengalaman menunggang yang berbeza.

Ini kerana Speed 400 lebih sesuai untuk kegunaan harian sementara Scrambler 400 X tampil lebih lasak dengan rim 19-inci depan di samping fungsi ABS boleh dipadamkan bagi tunggan ‘off-road’.

Apa pun, kami akan bawakan perkembangan yang lanjut mengenai kemasukan dua model ini di Malaysia dari masa ke masa. 

Kementerian Pengangkutan sedang pertimbang cadangan untuk memperkenalkan nombor plat khas bagi kenderaan elektrik (EV). 

Perkara itu disampaikan Menteri Pengangkuta, Anthony Loke Siew Fook sewaktu pelancaran pusat servis dan jualan 4S GWM di Seremban, pada Sabtu. 

Jelasnya, kenderaan EV akan mengguna pakai nombor plat dengan huruf EV dihadapan bermula dengan EV1 hingga 9999 dan kemudian beralih kepada EVA, EVC. Menariknya, nombor plat tersebut akan turut mengintegrasikan sistem RFID. 

Tambah Loke lagi, penggunaan nombor plat khas EV ini juga akan menyumbang kepada aspek keselamatan terutamanya ketika kemalangan kerana terdapat risiko berlakunya nyahcas elektrik. Senario itu membolehkan petugas keselamatan mengaplikasikan cara yang berbeza bagi menangani kemalangan babitkan EV. 

Dalam pada itu, Loke juga mendedahkan pihaknya telah diarahkan untuk mengkaji semula struktur cukai jalan bagi kenderaan EV. 

Buat masa ini kiraan adalah dalam bentuk kilowat per jam dan jumlah terakhir cukai jalan bagi EV dikira berdasarkan jumlah penarafan kuasa motor elektrik di mana jumlah kuasa berbeza menentukan kadar asas. 

Penstrukturan semula itu akan menyaksikan cukai jalan EV menjadi lebih murah dari kenderaan ICE sekaligus akan menggalakkan orang ramai untuk beralih ke EV. 

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dengan rasminya memperkenalkan perlindungan waranti dua tahun dan perbatuan tanpa had bagi semua model Kawasaki termasuk yang dijenamakan semula sebagai Modenas merangkumi 250cc hingga 1000cc.

*Kawasaki Ninja 1000SX

EMOS dalam satu kenyataan memaklumkan program waranti terbaru itu akan berkuatkuasa pada model yang didaftarkan mulai 1 Julai 2023. 

Program waranti tersebut menggantikan waranti sebelum ini yang hanya menawarkan dua tahun atau 20,000km (mana yang tiba dahulu). 

Menariknya, program waranti terbaru ini turut merangkumi bantuan kerosakan tepi jalan 24/7 sekaligus memberi kelegaan kepada pemilik yang berdepan masalah jentera tidak kira waktu. 

*Modenas Vulcan S 650

Dalam pada itu, EMOS juga meminta pemilik Kawasaki untuk menghantar motosikal masing-masing di pusat servis rasmi Kawasaki mengikut jadual servis yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah. 

Ketika ini EMOS menawarkan pelbagai model Kawasaki termasuk Z900, Z900 RS, Versys 1000, Ninja 1000SX dan ZX-10R sementara yang dijenamakan semula Modenas melibatkan Ninja 250 ABS/Ohlins, Z250 dan Vulcan 650. 

Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri setelah berjaya melancarkan satelit telekomunikasi mini diberi nama PG-1 ke angkasa, baru-baru ini. 

Sehubungan itu, Pulau Pinang kini mempunyai satelit tersendiri dengan kapasiti menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi kepada pembekal di negeri itu. Menariknya, satelit tersebut juga akan merapatkan jurang akses digital di antara kawasan bandar dan luar bandar. 

Pelancaran PG-1 itu di Russia telah disaksikan sendiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang disiarkan secara langsung di Dewan Persidangan, Universiti Sains Malaysia (USM). 

Sementara itu, aktiviti PG-1 akan turut dipantau sekumpulan pereka, pakar ICT, ahli akademik dan pelajar kejuruteraan angkasa di USM. 

Menurut laporan, PG-1 juga berkeupayaan memantau lanskap Pulau Pinang dan pada masa depan mampu memberi amaran bencana alam kepada penduduk setempat terutamanya tentang perubahan cuaca. 

Untuk makluman, satelit PG-1 itu dibina sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dibawah pengurusan Angkasa-X. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube