Pengeluar helmet terkemuka, Arai, telah melancarkan helmet Arai VZ-RAM Snow Dome untuk pasaran global.
Helmet jenis ‘open-face’ itu merupakan pilihan ideal bagi mereka yang mahukan sesuatu yang tampak menonjol namun masih lagi mengekalkan ciri keselamatan yang optimum.
Ciri paling menonjol yang ada pada VZ-RAM Snow Dome ini sudah tentu tertumpu kepada bahagian grafik yang memaparkan rekaan seolah salji yang terperangkap pada bahagian luar helmet. Corak ‘snowflake’ juga membuatkan helmet tersebut tampak lebih unik.
Menurut Arai, model VZ-RAM Snow Dome ini tampil dengan tiga grafik berbeza; merah jambu, biru dan hitam dan helmet ini sesuai untuk lelaki dan wanita.
Selain itu, VZ-RAM Snow Dome ini masih lagi menawarkan ciri sama seperti model lain termasuk sistem ‘diffuser’ terbaru yang juga terdapat pada RX-7X di samping penggunaan kerang jenis gentian kaca.
Dalam pada itu, helmet tersebut juga mencapai standard SNELL dan JIS (Japanese Industrial Standards) di Jepun dan dijual pada harga JPY64,900 (RM2.1k).
Buat masa ini tiada maklumat bilakah model ini akan didapati di Malaysia.
Suzuki Malaysia dalam satu perkongsian di media sosial mengumumkan tempahan dibuka bagi dua model baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S 2023.
Pengambilan tempahan itu secara langsung mengesahkan ketibaan model jenis adventure dan sports naked itu. Menariknya, berdasarkan info dikongsikan, mereka yang membuat tempahan juga akan menerima jemputan ke majlis pelancaran tersebut.
Selain itu, pelanggan juga akan menerima pakej ‘Adventure Ride’ dan hadiah ‘Ride Beyond Boundaries’ secara percuma.
Berdasarkan info yang kami perolehi, kedua-dua model tersebut akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 18 Jun ini.
Untuk rekod, kedua-dua model ini mencuri tumpuan kerana dikuasakan enjin parallel-twin 800cc serba baharu yang dibangunkan Suzuki. Selain platform baharu, kedua-duanya juga mencerminkan langkah terbaru Suzuki dalam merangka motosikal yang lebih moden dan berteknologi tinggi untuk pasaran global.
Nantikan laporan penuh mengenai pelancaran dua model ini pada 18 Jun nanti.
Marc Marquez menegaskan sasaran utamanya adalah untuk kekal bersama Honda namun tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke pasukan lain seperti Ducati.
Marquez telah bersama Honda sepanjang kariernya dan walaupun Ducati sendiri telah menafikan khabar angin yang kaitkan pasukan Itali itu dengan Marquez, desas-desas tersebut masih lagi bertebaran.
Antara yang buka mulut mengenai khabar angin itu adalah lima kali juara dunia, Jorge Lorenzo yang menjangkakan Marquez akan ke Ducati sama ada sertai pasukan ‘factory’ ataupun satelit.
Bagaimanapun, Marquez tekad mahu kekal bersama Honda meskipun kontraknya tamat pada 2024.
“Jorge (Lorenzo) seorang pelumba yang hebat tetapi kita lihiat jika dia juga hebat dalam membuat tekaan.
“Apa pun, saya masih mempunyai baki kontrak bersama Honda dan saya kekal komited kepada mereka.
“Mereka (Honda) akan tetap menjadi pelan A saya tetapi pada masa sama saya akan terus mencari projek yang boleh menyumbang kejuaraan. Saya tak kisah tetang warna, nama atau pasukan nama,” jelas enam kali juara dunia MotoGP itu.
Walaupun beberapa tahun ini kurang memberangsangkan bagi Marquez namun mengambil kira kejayaan beberapa tahun sebelum ini Honda tetap keutamaan.
“Saya masih percaya pada Honda. Memang benar keadaan semasa agak sukar tetapi kami masih lagi mampu bersaing ketika di Le Mans. Saya tak tengok pada Honda sebaliknya pada diri sendiri,” tambahnya.
Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Mugello.
Kawasaki mencuri tumpuan baru-baru ini dengan pelancaran Ninja ZX-6R generasi terbaru yang telah dikemas kini dengan enjin Euro 5.
Kemas kini itu menyaksikan ZX-6R akan terus dijual dipasaran global berbanding pesaing terdekat Yamaha R6 dan Honda CBR600RR. Ini kerana Yamaha telah pun menghentikan jualan R6 atas faktor emisi ketat sementara CBR600RR hanya dijual di pasaran lain yang tidak terikat dengan peraturan emisi semasa.
Bagaimanapun, selain ZX-6R, Kawasaki turut memperkenalkan Ninja ZX-10RR baharu yang telah dikemas kini dengan ‘variable air intake system’ (VAI).
Dengan adanya VAI, kotak udara di dalam ZX-10RR kini menempatkan corong udara boleh gerak yang boleh meningkatkan prestasi jentera mengikut RPM tertentu. Ketika corong berada pada kedudukan atas, udara yang masuk akan memintas sistem VAI dan terus masuk ke ruangan enjin bagi menghasilkan prestasi optimum.
Ketik corong berada di kedudukan bawah, udara yang masuk akan melalui ruangan yang lebih tinggi lalu meningkatkan prestasi enjin pada rpm rendah.
Namun, bagi mengaktifkan sistem VAI tersebut, jentera perlu dilengkapi dengan ECU perlumbaan. Jadi bila dalam konfigurasi untuk jalan raya, sistem VAI tersebut tidak akan diaktifkan dan corong udara akan kekal dalam kedudukan atas.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-10RR 2024 ini terus dikuasakan enjin empat silinder 998cc dan berupaya menghasilkan 200hp dan 114.9Nm.
Ninja ZX-10RR ini juga dilengkapi dengan ‘connecting rods’ jenis titanium jenama Pankl dan piston yang lebih ringan berbanding model ZX-10R. Menariknya, ZX-10RR ini juga kurang satu ‘piston ring’ berbanding model standard sekaligus mengurangkan geseran di dalam enjin.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
rim ‘forged’ Marchesini
tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP
traction control
ABS
cornering management
quickshifter
stereng damper Ohlins
Ketika ini Kawasaki Malaysia masih belum menawarkan Ninja ZX-10RR untuk pasaran tempatan kecuali ZX-10R.
Triumph Motorcycles bakal melancarkan model berkapasiti kecil hasil kerjasama dengan pengeluar India, Bajaj Auto pada 5 Julai ini.
Seperti laporan sebelum ini, kerjasama Triumph-Bajaj itu menyaksikan beberapa model akan diperkenalkan termasuk jenisc scrambler dan cafe racer. Meskipun sehingga ini belum dapat dipastikan enjin yang akan diguna pakai namun terdapat desas-desus model tersebut akan membabitkan enjin bawah 400cc.
Apa yang pasti, model sulung itu akan digerakkan platform satu silinder dengan sistem penyejukan cecair. Antara ciri lain bakal ditawarkan termasuk cakera brek depan dan belakang serta sistem ABS.
Apa pun, segala info terperinci akan didedahkan pada hari pelancaran nanti yang akan dijadualkan berlangsung pada 5 Julai 2023. Nantikan laporan penuh di MotoMalaya.net.
Umum sedia maklum bahawa KTM bakal mengembangkan lagi portfolio sedia ada dengan memperkenalkan model skuter elektrik.
KTM turut mendedahkan jentera konsep tiga tahun lalu yang memaparkan reka bentuk radikal dan futuristik.
Selang ke masa kini, kita kini diberi peluang menyaksikan skuter KTM buat julung kalinya berdasarkan gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan media antarabangsa, Motorradonline.de.
Berdasarkan gambar tersebut, jelas menampakkan sebuah motosikal jenis skuter yang sedang menjalani ujian di Eropah.
Meskipun skuter ujian tersebut nampak hambar dengan dilitupi panel badan berwarna kelabu namun kami yakin KTM akan mewarnai skuter tersebut dengan kombinasi warna hitam dan oren sebaik dibawa ke peringkat pengeluaran kelak.
Buat masa ini tiada maklumat terperinci didedahkan namun melihat kepada rupa skuter tersebut, terdapat beberapa ciri yang kami kenal pasti. Antaranya, gabungan lampu LED projektor di bahagian depan, penghadang angin kecil, serta panel meter TFT.
Juga kelihatan penggunaan cakera brek depan dan belakang.
Suzuki Malaysia dijangka melancarkan dua model baharu untuk pasaran Malaysia pada pertengahan bulan ini.
Perkara itu disahkan menerusi perkongsian terbaru di media sosial yang mendedahkan ketibaan dua model baharu. Meskipun perkongsian itu tidak merujuk kepada model spesifik namun difahamkan, Suzuki Malaysia akan memperkenalkan V-Strom 800DE dan GSX-8S.
Laporan mengenai pelancaran dua model ini dalam masa terdekat juga pernah diterbitkan kami sebelum ini berdasarkan maklumat yang kami perolehi.
Untuk rekod, Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S merupakan motosikal segmen adventure dan naked yang dikuasakan enjin serba baharu dibangunkan Suzuki.
Difahamkan, Suzuki Malaysia akan melancarkan kedua-dua model tersebut pada 18 Jun ini. Nantikan laporan penuh mengenai kedua-dua model ini nanti.
Selepas beberapa tahun menyepi, Honda kembali menghidupkan nama Shadow bagi pasaran motosikal cruiser dengan memperkenalkan Honda Shadow Phantom 2024.
Honda Shadow Phantom itu akhirnya dinaik taraf dengan fungsi ABS bagi tahun 2024, ciri yang wajib ada pada motosikal masa kini. Namun begitu, Honda masih lagi menawarkan model tanpa ABS bagi mereka yang “ol’skool”.
Dalam pada itu, model Shadow Phantom ini juga dilengkapi dengan cakera brek dibelakang menggantikan brek drum yang ada pada generasi sebelum ini.
Dari segi estetik, rupa keseluruhan Honda Shadow generasi terbaru ini nampak lebih segar dengan gabungan warna dan grafik baharu, pelindung lampu depan baharu dan penggunaan lampu isyarat LED depan dan belakang.
Fender depan dan belakang juga telah direka semula dan kini lebih pendek. Namun, Honda telah mengetepikan tempat duduk pembonceng bagi edisi kali ini dan hanya memuatkan tempat duduk tunggal. Menurut Honda, tempat duduk baru itu lebih selesa dan lebih rendah pada 650mm.
Model 2024 ini juga 2.7kg lebih ringan berbanding generasi terdahulu dengan 250kg bagi versi ABS dan 246kg bagi versi tanpa ABS.
Walaupun terdapat pelbagai naik taraf, Honda Shadow Phantom 2024 ini masih lagi dilengkapi tangki 14L di samping terus dikuasakan enjin V-Twin 745cc dengan transmisi 5-kelajuan yang menawarkan 44.6hp dan 65Nm.
Ketika Yamaha telah mematikan pengeluaran YZF-R6 ekoran peraturan emisi yang ketat diekori Honda yang tidak menaik taraf CBR600RR bagi mencapai standard Euro 5, lain pula ceritanya di kem Kawasaki.
Ini kerana pengeluar motosikal dari Jepun itu tidak takut untuk mengemas kini jentera ‘supersport’ popular, Ninja ZX-6R agar model ikonik itu terus relevan untuk tahun akan datang.
Bagi tahun 2024, Kawasaki melahirkan semula Ninja ZX-6R dengan kemas kini drastik, terutamanya memastikan enjin 4-inline 636cc 4-stroke, DOHC, 16-valve dengan sisstem penyejukan cecair itu mencapai status Euro 5.
Naik taraf itu secara tidak langsung meletakkan ZX-6R sebagai jentera yang lebih efisien berbanding R6 dan CBR600RR ekoran menjalani ujian yang lebih ketat bagi mencapai peraturan emisi di Eropah.
Meskipun begitu, Kawasaki berjaya memastikan Ninja ZX-6R kekal sebagai jentera ‘supersport’ berkuasa dengan 128hp. Angka kuasa tersebut berjaya dicapai dengan mengemas kini profil cam, corong udara, dan menaik taraf sistem ekzos. Menurut Kawasaki, sistem ekzos terbaru itu menjanjikan prestasi optimum pada RPM tinggi dan rendah.
Selain itu, Kawasaki turut melengkapkan Ninja ZX-6R 2024 ini dengan pelbagai ciri moden termasuk fork Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston), quickshifter, serta sistem traction control tiga-mod.
Segala tetapan tersebut boleh dilakukan menerusi panel meter TFT 4.3-inci yang boleh disambung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology.
Tidak cukup dengan itu, Kawasaki turut menaik taraf panel badan ZX-6R 2024 ini yang diinspirasikan daripada jentera ZX-10R. Menurut Kawasaki, Ninja ZX-6R generasi terbaru ini akan mula dipasarkan di seluruh dunia bermula Oktober tahun ini.
CFMoto membuat kejutan ketika mempersembahkan jentera konsep SR-C21 kepada umum pada 2021 sebelum model sebenar diperkenalkan setahun kemudian sebagai 450SR.
Kami juga berpeluang ke Istanbul, Turki, Mac lalu bagi menguji kemampuan jentera bersesaran 450cc itu di Litar Inter City.
Namun, selang beberapa bulan kemudian, CFMoto telah menaik taraf model ‘sportsbike’ itu baru-baru ini di China.
Bagi tahun 2023, CFMoto 450SR dinaik taraf dengan beberapa ciri baru namun paling mencuri tumpuan adalah kehadiran ‘single-sided swingarm’ menggantikan ‘swingarm’ konvensional yang ditawarkan sebelum ini. Ciri baharu itu membuatkan rupa keseluruhan jentera itu tampak lebih agresif dan sporty.
Turut dinaik taraf adalah panel badan yang sedikit berbeza berbanding sebelumnya. Namun, winglet masih lagi dikekalkan seperti model 2022. Selain itu, model 2023 ini juga datang ekzos yang lebih pendek sekaligus mendedahkan bahagian tayar belakang.
Akhir sekali, CFMoto 450SR 2023 ini mendapat pilihan warna baharu yang terdiri daripada Zircon Black dan Starlight White. Model baharu ini dijangka akan diperkenalkan ke pasaran global tidak lama lagi.
Untuk rekod, CFMoto 450SR dikuasakan enjin parallel-twin 450cc DOHC dengan 270-degree crank yang berupaya menghasilkan 50hp dan 39Nm.
Baru-baru ini kami telah diberikan peluang menyertai Ducati DRE Racetrack Academy 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
DRE Racetrack Academy merupakan program khas yang disediakan Ducati bagi membolehkan para Ducatisti untuk menimba ilmu teknik menunggang motosikal berkuasa tinggi (dalam kes ini Ducati Panigale V4 S) yang betul.
Program ini diketuai Pengarah Teknikal Ducati, Dario Marchetti yang juga merupakan pelumba berpengalaman lebih 30 tahun. Dia pernah beraksi dalam perlumbaan GP dari tahun 1988 hingga 1992 dan pernah pernah memenangi GP Itali pada 1990 bagi kategori 250cc.
Menariknya, program di Sepang itu turut dihadiri beberapa nama besar sebagai tenaga pengajar termasuk Chaz Davies (WorldSBK), Karel Abraham (MotoGP), Alex De Angelis (MotoGP).
Sementara, kami pula diberi tunjuk ajar khas daripada bekas pelumba Moto2 dari Indonesia, Doni Tata Pradita yang kini merupakan antara salah satu ‘instructor’ Ducati DRE Indonesia.
Program tersebut terbahagi kepada empat kumpulan, Intro, Warm Up, Evo dan Master dengan setiap kumpulan memberi fokus pada teknik tunggangan yang betul di samping mengenal pasti ‘racing line’ yang tepat. Meskipun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada aspek keselamatan kerana bukan mudah untuk menunggang jentera dengan 214hp.
Terdapat empat sesi kesemuanya dengan sesi pertama beri fokus kepada mengenal pasti tahap pengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi. Sesi kedua pula membenarkan ‘instructor’ mengenal pasti fahaman peserta terhadap ‘racing line’ dan kedudukan badan ketika menunggang.
Sesi ketiga pula menyaksikan pengajar akan mengekori peserta dari belakang dan merakam cara menunggang. Sesi ini paling menarik kerana peserta akan duduk bersama pengajar dan diberikan tunjuk ajar satu demi satu apa yang perlu dilakukan disetiap bahagian litar.
Sesi keempat pula membolehkan peserta menggunakan segala informasi yang diturunkan dari barisan pengajar dan mempraktikan di litar. Sejujurnya, penulis berasa lebih pantas kerana dapat membaca ‘racing line’ dengan lebih baik.
Secara keseluruhan, DRE Racetrack Academy bukanlah ‘sekolah’ yang mengajar cara mencecah lutut sebaliknya, memberi panduan teknik yang betul untuk menunggang di litar. Selain itu, program ini juga menumpukan aspek keselamatan di samping meningkatkan tahap keyakinan di litar lumba yang seterusnya boleh dipraktikan di jalan raya.
Yamaha telah pun mengesahkan bahawa pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin akan kembali ke kejuaraan dunia MotoGP hujung minggu ini dan akan beraksi di saingan Moto2.
Yamaha dalam satu perkongsian terbaru di media sosial memberitahu bahawa Kasma akan beraksi bersama pasukan Correos Prepago Yamaha VR46 Master Camp menggantikan Kohta Nozane yang masih lagi dalam proses pulih dari kecederaan.
Ini bermakna Kasma akan kembali ke pentas Moto2 setelah meninggalkan pasukan ONEXOX TKKR SAG Team pada penghujung musim 2020 setelah pasukan tersebut berpindah tangan ke Pertamina yang memilih untuk menamatkan kontraknya dan menggantikan tempatnya dengan Bo Bendsneyder.
Susulan daripada penguman baharu itu, ini bermakna Kasma tidak akan terlibat dengan pusingan ke-4 Cub Prix Malaysia yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.