Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Selepas memperkenalkan Harley-Davidson X300 bulan lalu, Harley-Davidson dengan kerjasama QJ Motor telah melancarkan Harley-Davidson X500 di pasaran China dengan harga jualan CNY44,388 (RM28.5k). 

Menurut Harley-Davidson, X500 itu datang dengan tiga pilihan warna; Vibrant Orange, Bright Silver dan Dazzling Black.

Kerjasama dengan QJ Motor menyaksikan Harley-Davidson X500 dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Benelli Leoncino 500, dengan enjin parallel-twin 500cc itu menawarkan 47hp dan 46Nm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Selain daripada enjin, Harley-Davidson X500 juga berkongsi kerangka yang sama dengan Leoncino 500. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk tangki 13L, lampu LED penuh depan dan belakang, panel meter digital, fork USD dan ABS dwi-saluran.

Harley-Davidson X500 merupakan model kedua hasil kerjasama antara jenama motosikal Amerika Syarikat itu bersama QJ Motor. Mengambil kira kedua-dua model ini dibina berlandaskan model di bawah jenama QJ Motor, pastinya bakal ada juga model akan datang yang berkongsi platform dengan model lain.

Persoalannya, adakah model mampu milik ini akan turut menembusi pasaran Malaysia?

Motosikal jenis naked terbaru keluaran Honda, CB750 Hornet telah pun memasuki pasaran negara jiran, Thailand. 

Datang dengan dua pilihan warna; Graphite Black dan Pearl Glare White, Honda CB750 Hornet ini ditawarkan pada harga THB319,000 (RM41.2k). 

Honda Hornet 750 dihidupkan enjin parallel-twin 755cc 8-valve dengan penyejukan cecair dan menampilkan sistem Unicam serta ‘270-degree crank’. 

Menariknya, bahagian silinder enjin telah disalut dengan bahan jenis ‘nickel-silicon carbide’ yang sebelum ini diguna pakai pada CBR1000RR-R Fireblade dan CRF450R.

Honda mendakwa enjin tersebut berupaya menghasilkan 92hp pada 9,500rpm dan 75Nm pada 7,250rpm. Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada transmisi 6-kelajuan dan dibantu klac ‘assist/slipper’. 

Menurut Honda, Hornet 750 ini mampu mencapai kelajuan maksima 205km/j. 

Sementara itu, bahagian suspensi dikendalikan fork depan Showa SFF-BP 41mm yang menawarkan jarak pergerakan 130mm. Bahagian belakang pula tampil dengan ‘monoshock’ dengan swingarm Pro-Link yang menawarkan jarak pergerakan 150mm. 

Brek pula dikawal kaliper berkembar 4-pot Nissin di depan dengan cakera brek 296mm manakala kaliper brek satu piston dengan cakera 240mm mengawal brek belakang. Honda juga memuatkan sistem ABS dwi-saluran sebagai langkah keselamatan ekstra.

Honda Hornet 750 dilengkapi sistem ride-by-wire yang secara tidak langsung menawarkan empat mod menunggang; Standard, Sport, Rain dan User. Selain itu motosikal tersebut juga didatangkan dengan fungsi Honda Selectable Torque Control dan Wheelie Control. Sistem tersebut boleh diakses menerusi skrin TFT 5-inci yang juga boleh disambung kepada peranti Android dan iOS. 

GALERI: HONDA CB750 HORNET

KTM telah menghentikan pengeluaran model 790 selepas memperkenalkan 890 Adventure dan 890 Duke pada tahun 2021. 

Pada waktu itu, hak pemilikan enjin 790 juga telah diserahkan kepada CFMoto yang merupakan rakan kongsi KTM di China. 

Bagaimanapun, memasuki tahun 2023, KTM membuat keputusan untuk mengembalikan semula model 790 untuk pasaran global termasuk 790 Duke dan 790 Adventure dengan bantuan CFMoto yang bertanggungjawab menghasilkan kedua-dua model ini di China.

Dalam perkembangan terbaru, KTM akan turut menghidupkan semula varian tertinggi 790 Adventure menerusi 790 Adventure R sepertimana yang disahkan oleh dokumen jenis-kelulusan yang difailkan di China, baru-baru ini. 

Berdasarkan gambar yang disertakan dalam dokumen terbabit, jelas menampakkan KTM 790 Adventure R itu datang dengan ciri lebih lasak terutamanya menerusi fork depan WP XPLOR 48mm, fender yang lebih tinggi dan tayar knobby. 

Meskipun maklumat dalam dokumen tersebut tidak mendedahkan angka kuasa namun kami menjangkakan KTM 790 Adventure R itu kekal menawarkan 94hp dan 87Nm seperti model standard. 

Walaupun info lain masih samar namun apa yang pasti KTM 790 Adventure R akan datang ini menawarkan ciri motosikal off-road yang lebih berkemampuan berbanding model asas. 

Namun lebih penting, mengambil kira pengeluaran 790 Adventure R ini kini dibawah CFMoto di China, pastinya model akan datang itu didatangkan dengan tanda harga yang lebih kompetitif berbanding sebelum ini. 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak telah merekodkan kutipan RM6 juta bagi bidaan nombor pendaftaran siri ‘AMY’ yang telah berjalan selama lima hari. 

Memetik laporan BERNAMA, jumlah kutipan bagi nombor plat ‘AMY’ tersebut telah melangkaui kutipan bagi siri ‘AMG’ sebelum ini. 

“Jika plat ‘AMG’ khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG namun plat ‘AMY’ jauh mengatasi kutipan kerana hampir semua nombor popular telah dibida.

“Jumlah harga bidaan tertinggi ialah RM400,000 untuk ‘AMY 1’ manakala bagi plat ‘AMY 2 – 9’ mencecah sehingga RM80,000 bagi setiap nombor terbabit malah setakat ini hanya ada sekitar 16 lagi plat berbaki bagi nombor popular yang masih belum terjual,” jelas Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan. 

Kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) telah dihentikan serta-merta sempena Aidilfitri. 

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Operasi dan Penyelenggaraan Anih Berhad, Ainul Hasri Shah Abu Hassan ekoran berlakunya kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah Timur) yang disebabkan oleh penutupan lorong kiri dan kecemasan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Difahamkan, ekoran daripada kerja penyelenggaraan tersebut, kesesakan teruk berlaku dari Kilometer (KM) 20.1 hingga KM30.8 berhampiran Bentong. 

Ekoran daripada pengumuman terbaru itu, semua lorong telah pun dibuka pada 11 pagi semalam (Selasa), bagi memastikan kelancaran trafik. 

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah pun mengarahkan agar kerja-kerja penyelenggaraan di setiap lebuh raya dihentikan sehingga 7 Mei bagi memastikan kelancaran orang ramai pulang ke kampung dan balik ke bandar. 

“Kerja penyelenggaraan itu perlu bagi memastikan lebuh raya berada dalam keadaan terbaik tetapi boleh ditangguh dulu agar tidak mengganggu perjalanan orang ramai semasa perayaan,” jelasnya. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan sempena Aidilfitri. 

Menurut pengumuman yang dibuat hari ini, cuti tersebut bergantung kepada tarikh 1 Syawal yang akan diumumkan. 

Jelasnya, jika 1 Syawal jatuh pada Jumaat ini, hari kelepasan am akan ditetapkan pada Isnin depan namun jika 1 Syawal jatuh pada Sabtu, hari kelepasan am tambahan tersebut akan ditetapkan pada Jumaat ini. 

Sebelum itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tol percuma selama empat hari bermula Rabu, Khamis, Jumaat dan Isnin. 

Kerajaan juga memperkenalkan kadar khas bayaran saman RM50 bagi kesalahan trafik pada 2022 dan tahun sebelumnya mulai 21 April hingga 21 Mei. 

Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 telah pun memasuki pusingan keempat hujung minggu lalu yang menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara. 

Tidak jauh dibelakang adalah pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara juara dunia musim 2021, Fabio Quartararo melengkapkan podium di tempat ketiga. 

Bagi yang menyaksikan perlumbaan tersebut pastinya menyedari Quartararo berada pada kedudukan kedua sebaik Francesco Bangnaia kemalangan namun mudah dipintas Marini ketika di penghujung perlumbaan. 

Oleh sebab itu, Quartararo terus meluahkan rasa kecewa kerana berasakan dia tidak memiliki jentera yang mampu bersaing dengan Ducati bukan sahaja dari segi kelajuan malah aerodinamik. 

Ketika perlumbaan pada Ahad berakhir, Quartararo ditanyakan sama ada dia akan pilih jentera yang kelihatan seperti Ducati atau Aprilia. 

“Masalahnya untuk menggunakan aerodinamik (seperti Aprilia dan Ducati), kami perlu mempunyai enjin yang sama hebat. Tetapi kami (Yamaha) tidak boleh menggunakannya kerana kedua-dua jentera ini langsung tak kelihatan seperti motosikal tetapi nampak macam roket. 

“Jentera mereka ada winglet di bahagian atas, bawah, tengah dan belakang. Jadi untuk menerapkan aerodinamik sama perlu diiringi dengan kuasa yang tinggi. 

“Jadi mengambil kira faktor ini, kami ketinggalan bertahun di belakang,” ujar Quartararo. 

Quartararo pastinya masih terasa perit apabila mudah dipintas jentera GP22 ditunggang Marini pada Ahad. Ketika insiden tersebut berlaku, pengulas menyifatkan jentera YZR-M1 milik Quartararo tampak seperti jentera Moto2 kerana cukup mudah dipotong Marini. 

CFMoto bakal menambah sebuah lagi model baharu untuk pasaran global, kali ini menerusi CFMoto 450NK berdasarkan dokumen terbaru yang difailkan di China. 

Menariknya, 450NK berkongsi banyak kelengkapan dan ciri sama dengan model ‘full-fairing’ 450SR yang telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga jualan rasmi RM28,888

*CFMoto 450SR

Antara ciri sama yang ditawarkan termasuk enjin parallel-twin 450cc dengan ‘firing order’ 270-darjah yang sama terdapat pada 450SR. Hasilnya, CFMoto 450NK ini menawarkan 50hp pada 9,500rpm dan 39Nm pada 7,600rpm. 

Melihat kepada gambar yang disertakan bersama dokumen tersebut, jelas 450NK datang dengan rekaan mirip 800NK yang telah pun dilancarkan baru-baru ini. 

*CFMoto 800NK

Bagaimanapun, 450NK adalah dua kilogram lebih ringan berbanding 450SR dengan 165kg. 

Selain itu, ciri premium pada 450SR turut dibawa pada 450NK antaranya kaliper brek Brembo dengan cakera brek 320mm depan, panel meter TFT 5-inci dan fork depan jenis USD. 

Pada masa sama, 450NK juga mengguna pakai kerangka dan ‘swingarm’ yang sama seperti 450SR kecuali panel badan yang lebih terdedah. Meskipun begitu, CFMoto telah mereka semula bahagian tangki yang kini lebih bersegi. 

Sayangnya, CFMoto tidak mengekalkan ciri ‘winglet’ yang ada pada 450SR. Meskipun begitu, rupa keseluruhan 450NK ini masih lagi moden dan tampak agresif. 

Sementara itu, ‘handlebar’ pada 450NK ini juga lebih tinggi bagi memastikan kedudukan penunggang lebih menegak sementara tempat letak kaki juga lebih rendah dan kedepan berbanding 450SR. 

Persoalannya, bilakah model baharu ini akan diperkenalkan di pasaran dunia? Mengambil kira laporan terdahulu membabitkan model CFMoto kami jangka 450NK ini akan diperkenalkan tahun ini. 

CFMoto telah memperkenalkan motosikal naked, CFMoto 800NK untuk pasaran Filipina sekaligus menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk menerima model serba baharu itu. 

CFMoto 800NK merupakan antara model yang paling ditunggu-tunggu, ekoran dikuasakan enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Duke dan Adventure. 

Menurut laporan di Filipina, enjin LC8c itu menawarkan 100.8hp dan 81Nm dan mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 220km/j. Hanya seberat 185kg, CFMoto 800NK ini ternyata ringan seangkatan motosikal jenama premium dan mewah yang ada dalam pasaran. 

Difahamkan spesifikasi bagi pasaran Filipina merangkumi suspensi KYB (Kayaba) boleh laras di bahagian depan dan belakang, lampu LED penuh, panel meter TFT 8-inci dan kaliper brek J.Juan. 

Meskipun CFMoto 800NK ini datang dengan dua varian namun hanya varian tertinggi sahaja di pasarkan di Filipina dan dijual pada harga PHP488,800 (RM38.6k). 

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menegaskan bahawa kemalangan di GP Amerika pada Ahad bukan salah sendiri. 

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan selepas turut kemalangan di Argentina, dua minggu lalu. 

Bagaimanapun, insiden di COTA paling mengecewakan apabila dia kecundang ketika sedang mendahului perlumbaan di samping kehilangan 45 mata setakat ini. 

“Saya tak tahu apa yang berlaku. 

“Sejujurnya, saya tidak tahu berapa lap saya lakukan minggu ini, mungkin 80 atau 100. Saya lakukannya dengan penuh kawalan dan fahaman tinggi tetapi ketika hari perlumbaan, saya kemalangan meskipun ketika sedang dalam kawalan.

“Saya sangat marah kerana saya pasti 100 peratus ini bukan salah saya.

“Di Argentina saya sedar saya terlalu memaksa tetapi bukan hari ini. Cumanya saya tak pasti apakah yang menjadi punca,” jelas Bagnaia. 

Saingan di Austin, Texas pada Ahad menyaksikan pelumba LCR Honda, Alex Rins muncul juara sekaligus menghadiahkan podium ke-100 bagi pasukan itu. Tempat kedua jadi milik pelumba VR46-Ducati, Luca Marini sementara Fabio Quartararo (Yamaha) ketiga. 

Dalam pada itu, perlumbaan MotoGP akan kembali bersambung pada penghujung bulan ini di Sepanyol. 

Kejadian kebakaran di Suria KLCC telah menyebabkan sembilan motosikal dan empat skuter elektrik hangus terbakar dalam satu kejadian yang berlaku petang semalam. 

Susulan daripada kejadian itu, ada yang mendakwa kebakaran itu berpunca daripada skuter elektrik yang diletakkan disitu. 

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan skuter elektrik sekitar Kuala Lumpur, Beam  dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa setelah disiasat pihak berwajib, kebakaran tersebut bukan berpunca daripada skuter elektrik yang berada di tapak kejadian. 

Dalam pada itu, Beam meluahkan rasa simpati terhadap pemilik motosikal yang terkesan dengan kejadian tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, polis telah pun menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam membakar motosikal dan skuter elektrik di KLCC, petang semalam.

Memetik laporan Berita Harian, semakan CCTV mendapati lelaki berkenaan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku.

“Ketika penahanan, polis merampas sebuah motosikal jenis RS, serangkai kunci motosikal, satu helai baju, satu helai seluar, satu sarung tangan, satu beg, satu jam tangan dan satu pemetik api,” jelas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya,.

Baru-baru ini Suzuki Malaysia dalam perkongsian terbaru di media sosial mengesahkan model serba baharu, GSX-8S bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. 

Pengumuman itu selari dengan perkongsian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Ahmad Faez Yahaya sebelum ini yang mendedahkan bahawa GSX-8S akan dipasarkan di Malaysia sekitar Suku Pertama 2023. 

*Suzuki GSX-8S

Bagaimanapun, persoalannya adakah kemasukan GSX-8S ke pasaran Malaysia akan memberi kesan kepada penjualan GSX-S750?

*Suzuki GSX-S750

Untuk rekod, Suzuki GSX-8S ini merupakan entri terbaru bagi segmen motosikal naked dan dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC serba baharu yang dibangunkan kilang Hamamatsu di Jepun. 

Enjin tersebut direka bagi menghasilkan kuasa pada rev rendah di samping dlengkapi dengan Suzuki Cross Balancer, yang menjaminkan tahap gegaran yang lebih rendah. Platform baharu itu menghasilkan 81.7hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm dan dikawal oleh sistem ‘ride-by-wire’. 

Dari aspek kuasa, GSX-8S masih berada di belakang GSX-S750 yang bernadikan platform 4-inline. 

Namun begitu, dengan GSX-8S menawarkan pelbagai ciri moden dan baharu termasuk pencahayaan LED, panel meter TFT dan sistem quickshifter, pastinya permintaan terhadap model baharu ini disambut baik dan memberi kesan pada jualan GSX-S750. 

Bagaimanapun, segalanya terserah pada pihak Suzuki Malaysia bagi menentukan masa depan GSX-S750 di pasaran Malaysia. 

Apa yang pasti, ketibaan GSX-8S sememangnya ditunggu-tunggu. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube