Perodua dengan rasminya membuka tempahan bagi generasi Perodua Axia untuk pasaran Malaysia.
Perodua turut berkongsi risalah Axia D74A itu di ruangan media sosial dan mendedahkan beberapa ciri penting mengenai model akan datang itu.
Namun, laporan media tempatan sebelum ini yang mendakwa model generasi baharu itu akan datang dengan enjin turbo ternyata meleset apabila Perodua mengesahkan Axia akan datang itu akan dikuasakan enjin 1KR-VE 1.0L 3-silinder VVT-i.
Atas kertas, platform tersebut berupaya menghasilkan 67hp dan 91Nm dan gabungan transmisi D-CVT menghadirkan kecekapan bahan api yang efisien antara 25.3km/l atau 27.4km/l.
Bagaimanapun, ramai warga media sosial terutamanya di Facebook yang berasa kecewa Axia generasi baharu itu ketiadaan enjin turbo sepertimana abangnya, Ativa.
Desas-desus mengenai Axia baharu itu akan dikuasakan enjin turbo mula tular sejak tahun lalu dengan ramai yang berasa teruja dengan perkembangan tersebut. Namun, Perodua telah pun mengesahkan sebaliknya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen juga kurang senang dengan tanda harga yang diperkenalkan Perodua bagi generasi baharu Axia itu.
Memetik laporan Careta, harga bagi Axia serba baharu itu dijangka bermula dari RM38.6k bagi varian G, RM40k bagi varian X, RM44k untuk varian SE dan model ‘full-spec’ (varian AV) akan dijual pada harga RM49.5k.
Untuk rekod, model terdahulu (2019) bermula dari RM33,490 sehingga RM43,190. Ini sekaligus menandakan kenaikan harga sekitar RM5 ribu bagi setiap varian.
Motosikal jenis ‘underbone’ atau lebih dikenali sebagai kapcai merupakan model popular terutamanya di Asia. Saban tahun jutaan motosikal jenis ini dipasarkan di Asia terutamanya di Asia Tenggara.
Meskipun begitu, kapcai merupakan motosikal yang seakan tidak pernah wujud diluar pasaran Asia.
Namun, senario itu bakal berubah apabila jenama motosikal Itali, Malaguti yang terkenal dengan model skuter telah melancarkan Spectre GP125, motosikal ‘underbone’ sulung untuk pasaran Eropah.
Tampil dengan reka bentuk seakan Honda RS150R, Malaguti Spectre GP125 ini dikuasakan enjin satu silinder 125cc, 4-stroke dengan penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 10hp pada 8,500rpm dan 9.6Nm pada 6,500rpm.
Kuasa enjin pula dikawal menerusi transmisi manual 5-kelajuan.
Spesifikasi lain juga sama dengan kapcai dipasarkan di Malaysia termasuk rim-17, cakera brek tunggal 320mm depan dan 190mm belakang dan fork depan jenis teleskopik.
Tinjauan di laman web rasmi Malaguti mendedahkan Spectre GP125 mempunyai berat 123kg dan datang dengan tangki minyak berkapasiti 5L.
Menurut Malaguti, SpectreGP125 ini boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 94km/j dan dijual di Eropah pada harga EUR2,499 (RM11.5k).
Untuk rekod, setiap model Malaguti dihasilkan oleh Zongshen-Piaggio di China.
Tahun baharu membawa pelbagai makna kepada rakyat Malaysia, ada yang mungkin teruja memulakan azam baharu ada pula yang gembira bakal menamatkan zaman bujang.
Namun, bagi peminat dua roda, tahun baru juga bermakna ada model baharu yang akan dipasarkan di Malaysia.
Berdasarkan beberapa info yang berjaya kami perolehi sebelum ini, kami senarai enam motosikal baharu yang akan dipasarkan di Malaysia tahun ini.
1. BMW CE-04
BMW Motorrad Malaysia bakal merancakkan pasaran motosikal elektrik di Malaysia dengan melancarkan CE-04 bulan Mac tahun ini.
Model skuter elektrik itu telah pun dipertonton kepada umum pada 11 Januari lalu dengan pihak BMW mendedahkan motosikal terbabit akan dijual pada harga sekitar RM60,000.
Untuk rekod, BMW CE 04 dikuasakan motor elektrik dengan penyejukan cecair yang berupaya menjana 42hp pada 4,900rpm dan 62Nm. Angka kuasa itu sekaligus menjadikan CE 04 mirip skuter berenjin petrol.
2. Modenas Dominar 250
Sejak pelancaran Dominar 400, Modenas agak menyepi kecuali sibuk dengan mempromosikan jenama Kawasaki di Malaysia.
Namun, kami difahamkan bahawa Modenas akan memperkembangkan barisan model Bajaj – yang dijenamakan semula – menerusi Dominar 250.
Bernadikan enjin KTM Duke 250, Dominar 250 sertai barisan jentera bersesaran 250cc lain antaranya, Yamaha R25, Honda CB250, KTM Duke 250 dan Ninja 250.
Bagaimanapun, sebagai motosikal berkonsepkan ‘touring’, enjin 248cc satu silinder DOHC itu telah ditala untuk menghasilkan 27hp pada 8,500rpm dan 23.5Nm pada 6,500rpm berbanding DUKE 250 yang menjana 29.6hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,500rpm.
3. CFMoto 450SR
Pihak CFMoto Malaysia telah pun mengesahkan bahawa model ‘sportsbike’ baharu, 450SR akan dipasarkan di Malaysia bermula Mac tahun ini.
Pengumuman itu dibuat sewaktu musim MotoGP Malaysia pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, kami telah pun dimaklumkan bahawa pengurusan jenama CFMoto di Malaysia akan berpindah milik ke pihak MForce Bike Holdings berkuat kuasa Mac ini sekaligus mungkin memberi kesan pada pelancaran rasmi model tersebut.
CFMoto 450SR merupakan jentera sportsbike bernadikan enjin parallel-twin 449cc dengan ‘270-degree crank’ yang berkeupayaan menghasilkan 50hp dan 39Nm.
Selain daripada enjin berkuasa, CFMoto 450SR juga datang dengan rekaan yang sporty dan agresif termasuk menawarkan ciri ‘winglet’ yang terdapat pada model prototaip SR-C21 sebelum ini.
4. Moto Morini Seiemmezzo
Jenama Moto Morini semakin mendapat perhatian di Malaysia terutamanya menerusi model ‘adventure’, X-Cape 650 dan X-Cape 650 X.
Manakan tidak, jenama Itali itu yang dipasarkan pihak MForce disini boleh dimiliki pada harga sekitar RM40,000 sahaja. Namun, MForce akan kembangkan lagi model Moto Morini menerusi Seiemmezzo.
Seiemmezzo merupakan bahasa Itali yang bermaksud enam setengah sekaligus merujuk kepada kapsasiti enjin 650cc.
Moto Morini Seiemmezzo STR/SCR dikuasakan enjin parallel-twin 649cc dengan penyejukan cecair yang menawarkan 61hp dan 54Nm. Enjin tersebut merupakan yang sama terdapat pada X-Cape 650 yang ditawarkan di Malaysia ketika ini.
5. Suzuki GSX-8S
Meskipun baru sahaja diperkenalkan di EICMA tahun lalu, motosikal berkonsepkan ‘naked’ itu dijangka masuk Malaysia pada penghujung suku pertama tahun ini.
Perkara itu didedahkan sendiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan Suzuki Malaysia, Ahmad Faez Yahaya dalam perkongsiannya di media sosial.
Untuk rekod, Suzuki GSX-8S ini merupakan entri terbaru bagi segmen motosikal naked dan dikuasakan enjin parallel-twin 776cc DOHC serba baharu yang dibangunkan di Hamamatsu.
Enjin tersebut direka bagi menghasilkan kuasa pada rev rendah di samping dlengkapi dengan Suzuki Cross Balancer, yang menjaminkan tahap gegaran yang lebih rendah. Platform baharu itu menghasilkan 81.7hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm dan dikawal oleh sistem ‘ride-by-wire’.
6. Modenas Ninja ZX-25R
Setelah beberapa tahun penantian, model yang ditunggu-tunggu, Kawasaki Ninja ZX-25R akan dipasarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini.
Bagaimanapun, kami diberitahu model itu akan dipasang di Gurun, Kedah dan akan dijenamakan semula sebagai Modenas.
Difahamkan, model yang akan dipasarkan nanti adalah varian ABS SE, yang merupakan varian tertinggi yang ketika ini ditawarkan di negara jiran, Indonesia dan Thailand.
Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-25R dilengkapi dengan enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves) yang berupaya menghasilkan 51hp pada 15,500rpm (dengan RAM Air) dan 22.9Nm pada 14,500rpm.
Apa yang pasti, kami menjangkakan tawaran harga yang menawarik dari Modenas bagi model ‘4-dapur’ ini.
Demikian enam model yang dijadualkan akan memasuki pasaran tempatan tahun ini. Namun, terdapat beberapa model lain yang kami jangka akan turut diperkenalkan tahun ini antarnaya Yamaha X-Max 250 Tech MAX.
Dalam pada itu beberapa model MV Agusta dan Fantic Motor juga akan dipasarkan di Malaysia tahun ini menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI).
Kami juga menjangkakan terdapat lebih banyak model yang akan diperkenalkan tahun ini termasuk daripada Ducati Malaysia, Boon Siew Honda dan beberapa lagi jenama lain.
Gergasi motosikal India, Bajaj telah pun melancarkan Dominar 250 untuk pasaran negara itu pada Mac 2020 sebagai varian lebih kecil berbanding Dominar 400.
Kemunculan versi 250cc itu adalah bagi memberi akses meluas pada pelanggan yang mahukan motosikal ‘sport-touring’ namun pada harga lebih mampu milik.
Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa Dominar 250 itu akan turut diperkenalkan di Malaysia. Kemungkinan besar model tersebut akan dilancarkan sekitar suku kedua (Q2) tahun ini.
Seperti Modenas Dominar 400, model dengan kapasiti 250cc itu akan turut dipasarkan dengan lencana Modenas.
Bernadikan enjin KTM Duke 250, Dominar 250 sertai barisan jentera bersesaran 250cc lain antaranya, Yamaha R25, Honda CB250, KTM Duke 250 dan Ninja 250.
Bagaimanapun, sebagai motosikal berkonsepkan ‘touring’, enjin 248cc satu silinder DOHC itu telah ditala untuk menghasilkan 27hp pada 8,500rpm dan 23.5Nm pada 6,500rpm berbanding DUKE 250 yang menjana 29.6hp pada 9,000rpm dan 24Nm pada 7,500rpm.
Atas kertas, Dominar 250 ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 132km/j.
Berdasarkan rekaan keseluruhan, Dominar 250 masih lagi mengekalkan ciri yang terdapat pada Dominar D400 kecuali beberapa perubahan ketara antaranya tayar, fork (USD) dan cakera brek yang lebih kecil.
Menariknya, versi 250 ini masih lagi dilengkapi ABS dual-channel.
Untuk rekod, Bajaj Dominar 250 ditawarkan pada harga Rs 1.60 lakh (sekitar RM9,061) di India.
Honda XR150L sememangnya antara model popular yang cukup popular terutamanya di pasaran Asia. Model tersebut juga dipasarkan di Australia dan New Zealand sebagai motosikal kegunaan sektor pertanian.
Ini kerana sebagai motosikal ‘dual-purpose’ XR150L terkenal dengan ciri lasak dan mempunyai daya ketahanan tinggi untuk kegunaan ‘off-road’.
Atas faktor tersebut, Honda XR150L akan mula dipasarkan di pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi berdasarkan data VIN (vehicle identification number) yang telah difailkan di negara itu.
Untuk rekod, Honda XR150L dikuasakan enjin satu silinder 149cc SOCH dengan sistem penyejukan udara dan karburator yang berupaya menghasilkan 12.5hp pada 7,750rpm dan 12.1Nm. Kuasa enjin pula disalurkna kepada tayar belakang menerusi transmisi 5-kelajuan.
Menurut laporan, enjin pada XR150L dibangunkan sepenuhnya Sundiro Honda – usahasama antara Honda dan syarikat China, Sundiro – dan akan dikilangkan di Mexico. Kilang tersebut juga bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi Honda Navi yang dipasarkan di AS ketika ini.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
‘electric starter’ dan ‘kick-starter’
fork teleskopik depan
kaliper brek depan dua piston dan drum brek belakang
Apa yang mengagumkan, Honda XR150L in didatangkan dengan tangki berkapasiti 12L sekaligus menawarkan penjimatan dan perbatuan yang baik.
Bagi pasaran Filipina, Honda XR150L ini dijual pada harga PHP96,900 (RM7.5k).
Pemilik sebuah kedai aksesori kereta terletak di Dataran Mentari, Bandar Sunway kini berdepan tindakan undang-undang gara-gara membuat laporan polis palsu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Memetik laporan Berita Harian, pihak polis menerima laporan daripada pemilik berusia 39 tahun itu pada jam 1.09 tengah hari (Sabtu) mendakwa kedainya telah dipecah masuk dan mengalami kerugian sekitar RM600,000.
Mohamad Fakhrudin kemudan mengarahkan anggotanya untuk melakukan siasatan di tapak kejadian bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Bagaimanapun, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati tiada sebarang pecah masuk direkodkan.
“Hasil soal siasat, pengadu mengaku kejadian pecah kedai tidak berlaku dan tujuan laporan polis dibuat adalah untuk tuntutan insurans,” jelas Fakhrudin.
Dalam pada itu, pemilik kedai aksesori kereta itu kini berdepan tindakan susulan ekoran membuat laporan palsu.
Tambah Fakhrudin, kes tersebut kin disiasat mengikut Sekseyn 182 Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – Berita Harian
SHOEI merupakan antara jenama helmet motosikal terkemuka dunia seangkatan pesaing lain antaranya Arai dan AGV.
Maka tidak hairanlah, SHOEI turut menjadi pilihan beberapa pelumba motosikal berstatus juara dunia seperti Marc Marquez. Sehingga kini, Marquez beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP dengan menyarung helmet SHOEI.
Musim lalu, Marquez turut memakai helmet SHOEI X-SPR Pro yang merupakan helmet serba baharu menggantikan X-Spirit III.
Bagaimanapun, bagi tahun 2023, SHOEI memperkembangkan lagi kerjasama dengan Marquez dengan memperkenalkan SHOEI Neotec II edisi MM93.
SHOEI Neotec II merupakan helmet jenis ‘sport-touring’ premium yang ditawarkan jenama itu dan diminat oleh semua penunggang motosikal kerana menawarkan ciri praktikal.
Selain kekal menawarkan fungsi yang versatil, SHOEI Neotec II siri MM93 ini juga tampil dengan pilihan warna yang lebih garang dengan gabungan warna kelabu dan perak serta kemasan hitam.
Logo MM93 juga termpampang dibahagian belakang helmet dengan warna merah.
Selain itu, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini masih lagi mengekalkan ciri sama seperti model Neotec II lain antaranya ‘padding’ boleh ditanggalkan, sunvisor dan mekanisme modular yang boleh dibuka dan tutup dengan hanya sebelah tangan.
Untuk rekod, SHOEI Neotec II ini juga mudah dipadankan bersama sistem komunikasi motosikal seperti Cardo dan Sena.
Menurut laporan di Jepun, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini akan dipasarkan pada harga JPY82,500 (RM2.6k).
Beberapa minggu lalu, Aveta telah pun melancarkan model kelapan untuk pasaran tempatan menerusi VZR250.
Aveta VZR250 merupakan motosikal segmen sportsbike 250cc sulung diperkenalkan jenama itu.
Dalam pada itu, Aveta turut mengorak langkah dengan mengemas kini model kapcai V13R bagi tahun 2023.
Meskipun baru setahun lebih berada dalam pasaran namun Aveta telah menaik taraf model 124cc itu dengan rekaan lampu depan yang lebih moden.
Menariknya, reka bentuk lampu depan itu tampak mirip dengan Yamaha Y15ZR.
Bagaimanapun, pengesahan daripada pihak Aveta sendiri memaklumkan bahawa spesifikasi V13R 2023 kekal sama seperti model 2021.
Hasilnya, enjin satu silinder 124cc dengan sistem karburator itu terus menawarkan 7.8hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm pada 5,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi 4-kelajuan.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
tangki 4.5L
lampu depan LED dengan DRL
cakera brek (depan)
port pengecas USB
Menurut Aveta, V13R 2023 ini ditawarkan pada harga (baharu) RM7,259.
Dani Pedrosa akan kembali ke kejuaraan dunia MotoGP menerusi entri ‘wild-card’ bagi pusingan GP Sepanyol di Jerez, tahun ini,
Berita tersebut disampaikan pengurus pasukan Red Bull KTM, Francesco Guidotti pada Khamis.
“Saya telah pun dimaklumkan bahawa Dani (Pedrosa) akan beraksi di Jerez. Ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya dia pada kami.
“Sumbangannya cukup besar jadi kami berinya peluang untuk menunjukkan potensinya sewaktu ujian dan seterusnya sebagai entri ‘wild-card’, ujar Guidotti kepada media antarabangsa, Crash.net.
Untuk rekod, Pedrosa mencatatkan 31 kemenagan Grand Prix antara 2006 hingga 2008 lantas menjadikannya pelumba kelas premier paling berjaya yang tidak pernah merangkul kejuaraan dunia.
Sebaik bersara, Pedrosa berkhidmat sebagai pelumba uji KTM dan didakwa menjadi tunjang utama pembangunan jentera RC16.
Dalam pada itu, selain Pedrosa, Guidotti juga mendedahkan bahawa bekas pelumba MotoGP, Jonas Folger akan terlibat dengan sesi ujian KTM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan.
Suzuki merupakan antara pengeluar motosikal dunia yang komited dalam pembangunan teknologi hijau apabila sanggup menghentikan projek permotoran di Kejuaraan Dunia MotoGP dan EWC.
Penarikan diri daripada sebarang kejuaraan dunia permotoran itu adalah bagi mengalihkan perbelanjaan kepada pembangunan karbon neutral termasuk penghasilan jentera elektrik.
Suzuki sebelum ini telah pun mendedahkan perancangan untuk memperkenalan lapan motosikal elektrik menjelang tahun 2030.
Dalam perkembangan terbaru, kilang Hamamatsu itu mengesahkan akan memperkenalkan motosikal elektrik sulung pada 2024.
Pendedahan itu dibuat dalam pelan strategi pembangunan bagi tahun kewangan 2030 yang diterbitkan baru-baru ini.
Pelan tersebut memaklumkan bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan memperkenalkan motosikal elektrik (kelas kecil sehingga pertengahan) pada tahun 2024.
Bagaimanapun, Suzuki dalam kenyataan menjelaskan bahawa pembangunan motosikal elektrik hanyalah melibatkan model kegunaan harian manakala motosikal berkapasiti tinggi akan mengguna pakai teknologi bahan api karbon neutral.
Ini bermakna, barisan model sedia ada terutamanya motosikal berprestasi tinggi akan terus hidup dalam portfolio Suzuki.
Untuk rekod, Suzuki telah pun meningkatkan kapasiti penjana kuasa solar di kilang Hamamatsu dalam usaha mencapai karbon neutral pada 2027. Pelan tersebut juga mendedahkan Suzuki merancang membelanjakan RM129 billion dalam projek elektrik dan seangkatan dengannya.
Benda merupakan antara pengeluar motosikal China yang mempunyai visi yang besar dalam memasarkan jenama itu di pasaran global.
Tahun lalu, Benda mencuri tumpuan dengan pelancaran beberapa model terutamanya berkonsepkan cruiser seperti LFC700, LFS700 dan VTC300.
Bagaimanapun, Benda mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model ‘sportsbike’ apabila memfailkan paten nama VTR300 Turbo, tahun lalu.
Ketika LFS700 dan VTC300 dilancarkan penghujung tahun lalu, VTR300 Turbo masih belum kelihatan.
Projek VTR300 Turbo itu sememangnya mencuri tumpuan kerana perkataan ‘Turbo’ itu sendiri.
Namun, perkembangan terbaru berdasarkan paten terkini difailkan mendedahkan enjin V-Twin 300cc itu tidak akan menampilkan teknologi turbo seperti namanya sebaliknya akan menerapkan sistem ‘supercharger’ yang digerakkan secara mekanikal.
Menurut laporan, sebuah enjin V-Twin 300cc mampu menghasilkan sekitar 30hp namun dengan kehadiran ‘supercharger’ enjin terbabit dengan mudah boleh mengeluarkan 50hp.
Berdasarkan paten yang dikongikan, jelas sistem ‘supercharger’ Benda bukanlah konvensional, kerana kuasa bukanlah terhasil di crankshaft sebaliknya sistem ‘blower’ dipasang pada satu daripada ‘cylinder head’ dan menyalurkan pergerakan pada ‘camshaft’.
Rekaan sistem ‘supercharger’ dihasilkan Benda juga berbentuk ‘centrifugal’ sama seperti sistem ‘supercharger’ pada Kawasaki H2.
Bagaimanapun berbanding Kawasaki, sistem pemanduan rekaan Benda ini tampil lebih kompak kerana perlu berpaut pada ‘camshaft’ enjin berbanding ‘crankshaft’. Pada masa sama, mengambil kira ‘camshaft’ berpusing pada separuh kelajuan ‘crankshaft’ bermakna sistem ‘supercharger’ itu perlu ditala lebih tinggi untuk mencapai kelajuan putaran yang lebih baik.
Walaupun perkembangan enjin ini cukup menarik perhatian namun Benda belum lagi membuat sebarang pengumuman rasmi.
Ini bermakna, kita mungkin hanya akan berpeluang menyaksikan model VTR 300 Turbo dalam beberapa tahun lagi. Apa yang pasti, tiada khabar angin sama ada model Benda akan dipasarkan di Malaysia.
Seorang penunggang motosikal tergamak meninggalkan tunangnya di tepi jalan gara-gara terkejut melihat sekatan jalan raya yang diadakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.
Difahamkan, pemuda tersebut terperanjat lalu membrek secara mengejut sehingga menyebabkan tunangnya terjatuh daripada motosikal.
Bagaimanapun, lelaki tersebut terus memecut meninggalkan tunangnya terkapai-kapai.
Menurut Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, pemuda itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC berkemungkinan tidak mempunyai dokumen lengkap.
“Lelaki itu mungkin terkejut dan ketika dia membrek, pemboncengnya yang juga wanita terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di tapak tangan.
“Ketika kami mengarahkannya membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki itu terus membuat pusingan U dan memecut dengan meninggalkan wanita itu.
“Wanita itu mengakui lelaki berkenaan tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pusat bandar,” katanya pada Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina.
Wanita berusia 20-an itu tidak ditahan kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.