Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Minggu lalu, tular rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaan di tengah Jalan SS 8/2, Petaling Jaya. 

Lelaki tersebut bukan sahaja dilihat memarahi pemandu kereta malah dirakam mengambil batang kayu dan cuba menghayun. 

Dalam perkembangan terbaru, Polis Daerah Petaling Jaya telah pun mengesahkan lelaki terbabit telah pun ditahan 26 Disember lalu.

Ketua Polis PJ, ACP Mohamad Fakharudin Abdul Hamid memaklumkan lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu van itu telah ditahan ditepi jalan di Jalan Penchala Petaling Jaya, tiga hari selepas video itu tular.

“Pada 26 Disember, lebih kurang jam 3.20 petang, pasukan polis dari bahagian siasatan jenayah IPD PJ telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan di tepi jalan di Jalan Penchala, yang terlibat dalam kes yang diadukan.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Pemohonan reman dibenarkan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Disember 2022,” jelasnya. 

Ogos lalu, kami telah pun melaporkan bahawa jenama motosikal baharu di Malaysia, Aveta bakal memperkenalkan model 250cc sulung. 

Pada waktu itu, info model tersebut disampaikan Pengarah Urusan Aveta, Hon See Long dan Timbalan Pengarah Urusan Aveta, Caden Gan.

Dalam perkembangan terbaru, kami telah pun menerima maklumat bahawa model ‘full fairing’ itu akan dilancarkan pada 12 Januari depan. 

Dinamakan Aveta VZR 250, model tersebut dipasang sepenuhnya di Malaysia (CKD) dan bakal tampil dengan harga mampu milik, jangkaan bawah RM20,000. 

Untuk rekod, Aveta juga bakal memperkenalkan skuter 250cc serba baharu namun info terperinci termasuk tarikh pelancaran masih belum diumumkan lagi. 

Buat masa ini, Aveta telah pun berada di pasaran tempatan menerusi beberapa model antaranya Aveta VS110, V13R dan terbaru SVR180. 

Komuniti motosikal berkuasa tinggi di Malaysia telah dikejutkan dengan insiden kemalangan babitkan lima motosikal di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, siang tadi.

Kemalangan tersebut yang didakwa disebabkan sebuah kereta menukar lorong secara tiba-tiba telah menyebabkan lima penunggang motosikal alami cedera parah dengan ada yang turut alami kebakaran. 

Difahamkan, daripada lima motosikal berkenaan, tiga daripadanya adalah BMW S 1000 RR manakal dua buah lagi jenis Honda CBR1000RR. 

Bagaimanapun, tular di WhatsApp yang didakwa sebagai laporan kes kemalangan tersebut.

Berdasarkan perkongsian itu, hanya satu daripada lima mangsa tersebut mempunyai lesen B (Full) manakala dua lagi hanya memiliki lesen B2. Sementara itu, seorang lagi hanya memiliki lesen E,D dan seorang lagi tidak memiliki sebarang lesen memandu. 

Dalam pada itu, salah seorang mangsa disahkan alami kecederaan serius di kepala manakala yang lain alami patah tulang tangan dan bahu. Salah seorang daripadanya turut disahkan alami kebakaran pada bahagian tangan dan kaki. 

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke ibu kota mengalami kesesakan sehingga lapan kilometer susulan berlakunya kemalangan babitkan lima motosikal berkuasa tinggi di KM26.5, tengah hari tadi. 

Kejadian itu disahkan Pengurus Besar Kanan, ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi.

Memetika laporan Berita Harian, kemalangan tersebut berlaku jam 1.45 tengah hari tadi dan menyebabkan lorong kanan terhalang. 

“Setakat jam 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup. Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.

“Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” jelasnya.

Terdahulu, kejadian kemalangan tersebut turut tular di media sosial yang memaparkan lima buah motosikal antaranya Honda CBR1000RR dan BMW S 1000 RR. 

Pemilik motosikal yang didapati melakukan ubah suai terhadap enjin dan ekzos bakal berdepan tindakan yang lebih tegas dibawah pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Memetik laporan NST, denda RM300 yang dikenakan sebelum ini akan dinaikkan kepada RM10,000. 

Pada masa sama, peruntukan baharu itu juga bakal menyaksikan mereka yang terlibat dengan lumba haram akan dikenakan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah. 

Tidak cukup dengan itu, cadangan pindaan itu juga bakal menghukum ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengubah suai motosikal untuk tujuan berlumba.

Pemilik bengkel juga akan dikenakan tindakan jika diadpati terlibat dengan pengubahsuaian tersebut. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penganktan, Datuk Isham Ishak memaklumkan bahawa cadangan pindaan itu masih dalam peringkat “amalan kawala selia yang baik (GRP)”.

“Pentingnya untuk meningkatkan denda kerana ramai anak muda yang melanggar undang-undang dan sertai lumba haram.

“Ini kerana mereka mampu membayar denda RM300 jadi disebabkan itu kami mahu meningkatkan amaun kepada RM10,000 di samping meningkatkan tahap kesedaran tentang bahayanya lumba haram,” jelasnya. 

Isham juga menegaskan ibu bapa yang membenarkan anak mereka menggunakan motosikal untuk tujuan modifikasi dan berlumba akan turut dikenakan kompaun. 

Bagaimanapun, Isham menjelaskan bahawa pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun depan. – NST

Yamaha telah memperkenalkan skuter Cygnus Gryphus 125 edisi Monster Energy di Jepun. 

Skuter kompak berkapasiti 125cc tersebut membuat penampilan sulung pada tahun lalu dan mula mencuri perhatian ekoran tampil dengan reka bentuk sporty meskipun bersaiz kecil. 

Sempena memasuki tahun baru 2023, Yamaha telah mengemaskini skuter tersebut dengan pilihan grafik Monster Energy yang diinspirasikan daripada jentera YZR-M1 milik pasukan MotoGP Yamaha. 

Selain daripada grafik, turut terpampang adalah lencana Monster Energy Drink di bahagian panel depan. 

Menariknya, grafik Monster Energy itu membuatkan rupa Cygnus Gryphus tampak lebih menarik. 

Untuk rekod, Yamaha Cygnus Gryphus didatangkan dengan kerangka yang telah direka semula, sistem suspensi baharu dan tayar yang lebih lebar (120/70-12 depan dan 130/70-12 belakang).

Sementara itu, enjin 125cc satu-silinder itu kini menawarkan peningkatan kuasa 20 peratus berbandung model sebelumnya dan 20 peratus lebih jimat minyak hasil penggunaan sistem VVA (Variale Valve Actuation).

Hasilny,a Yamaha Cygnus Gryphus 2022 menawarkan 11.8hp pada 8,000rpm dan 9.8Nm pada 6,000rpm.

Sistem membrek pula dikendalikan cakera brek depan dan belakang namun model ini ketiadaan fungsi ABS.

Yamaha Cygnus Gryphus edisi Monster Energy ini dijual di Jepun pada harga JPY368,500 (RM12.3k).

Penunggang motosikal dijangka akan dibenarkan menggunakan Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor dalam tempoh seminggu lagi.

Perkara itu disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut memaklumkan pemantauan rapi akan dibuat terlebih dahulu bagi memastikan laluan terbabit benar-benar selamat untuk penunggang motosikal.

Memetik laporan Berita Harian, pertimbangan pembukaan laluan itu kepada kenderaan dua roda dibuat setelah mengambil kira laluan alternatif memakan masa lebih lama bagi mereka yang ulang-alik ke tempat kerja.

“Kita mendapat permintaan supaya laluan berkenaan dibuka kerana walaupun terdapat laluan alternatif, ia jauh dan mengambil masa.

“Setiap permohonan kita akan pertimbangkan dan kita jangkakan dalam tempoh seminggu lagi laluan berkenaan akan dibuka kepada pengguna motosikal sahaja,” jelasnya. 

Sebelum ini, kerajaan telah pun mengumumkan bahawa laluan tersebut akan ditutup selama setahun.

Dalam pada itu, tragedi tanah runtuh di laluan Jalan Batang Kali-Genting itu menggemparkan seluruh negara apabila seramai 30 orang disahkan meninggal dunia dengan seorang lagi mangsa masih belum ditemui manakal 61 lagi disahkan selamat. – Berita Harian

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mencari penunggang motosikal di Malaysia bagi menguji Sistem Amaran perlanggaran Motosikal (MCAS).

Sistem yang dibangunkan bersama pihak PLUS itu beertujuan mengkaji keberkesanan sistem tersebut bagi pengguna dua roda di Malaysia.

Orang awam yang berminat untuk terlibat dengan kajian rintis sistem ini boleh mengisi borang saringan awal dengan menekan LINK INI.

Peserta terlebih dahulu perlu menjawab beberapa siri soalan bagi mencapai kriteria tertentu sebelum terpilih.

Berdasarkan info dikongsikan MIROS mencari penunggang motosikal yang bergerak seharian untuk pergi dan balik dari rumah ke tempat kerja sekitar Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang. 

Untuk rekod, MCAS merupakan sistem yang mengesan kehadiran kenderaan lain di jalan raya sama ada dalam keadaan pegun atau bergerak lalu menghantar maklumat kepada penunggang untuk melakukan tindakan selanjutnya sekaligus mengelakkan daripada berlakunya perlanggaran dan kemalangan. 

Ketika ini, sistem sama sudah mula diterapkan pada motosikal berkuasa tinggi termasuk Ducati Multistrada V4 dan KTM 1290 Super Adventure. 

Bagaimanapun, MIROS mendakwa sistem yang dihasilkan mereka bersama PLUS itu melibatkan kos yang lebih rendah dan mudah dipasang pada motosikal kapcai sedia ada. 

Bagi memastikan skuter kompak, Yamaha Ego Avantiz kekal segar memasuki tahun baharu, Hong Leong Yamaha Motor mengemas kini model tersebut dengan pilihan warna baharu.

Bagi tahun 2023, Ego Avantiz datang dengan warna merah, Grey, Cyan dan Red. 

Menurut HLYM, Yamaha Ego Avantiz dengan pilihan warna baharu ini sudah boleh didapati di pengedar rasmi Yamaha bermula 22 Disember (hari ini). 

Selain itu, HLYM turut mengumumkan harga baharu bagi Ego Avantiz yang kini tampil dengan harga jualan RM5,998. 

Untuk rekod, Yamaha Ego Avantiz dikuasakan enjin satu silinder 125cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 9hp pada 8,000rpm dan 9.6Nm. Enjin tersebut juga mencapai standard Euro4. 

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sememangnya kurang digemari pengguna motosikal di Malaysia. 

Ini kerana badan itu sering mengemukakan cadangan yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dikalangan penunggang motosikal antaranya menghadkan kelajuan motosikal bawah 150cc kepada 70km/j dan hanya membenarkan penggunaan laluan kiri di jalan raya.

Memetik laporan Paultan.org, pengerusi MIROS, Wong Shaw Voon mencadangkan agar penunggang motosikal di Malaysia beralih ke pengangkutan awam sebagai pergerakan harian.

“Kami harap pada masa hadapan, kami dapat membawa kumpulan pengguna jalan ini dari cara pengangkutan yang paling bahaya kepada yang paling selamat, iaitu pengangkutan awam, seperti keretapi,” katanya dalam satu sidang media yang berlangsung pada Rabu.

Jelas Wong, selain kereta, pengangkutan awam merupakan medium pergerakan paling selamat.

“Di Malaysia kita ada kumpulan penunggang motosikal yang bergerak jarak jauh setiap hari. Sebagai contoh, mereka mungkin tinggal di Serdang atau Kajang, bekerja di Shah Alam dan menggunakan motosikal setiap hari. 

“Jaraknya adalah jauh, dan memakan masa (menggunakan motosikal), yang mana adalah tidak selamat dan tidak sihat untuk penunggang,” tambahnya. 

Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menerima 40 unit motosikal berkuasa tinggi jenis BMW R 1250 RT bagi kegunaan rasmi. 

Penyerahan model dari BMW Motorrad Malaysia itu disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain ketika  Perasmian Penyerahan Motosikal Penguatkuasa Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), hari ini.

Kehadiran motosikal tersebut adalah sebahagian daripada usaha mempertingkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan KPTD. 

Perolehan 40 unit BMW R 1250 RT itu adalah secara sewaan untuk tempoh lima tahun bagi membantu tugas KPTD.

Untuk rekod, BMW R 1250 RT merupakan motosikal jenis ‘grand-tourer’ yang dihidupkan enjin boxer 1,254cc dengan teknologi ShiftCam yang menawarkan 136hp pada 7,750rpm dan 143Nm pada 6,250rpm.

Model ini berupaya mencapai tahap kelajuan lebih 200km/j dibantu tangki berkapasiti 25L. 

Honda mencuri tumpuan apabila memperkenalkan motosikal gaya ‘scrambler’ menerusi CL500 di EICMA pada November lalu. 

Bagaimanapun, pengaruh ‘scrambler’ itu tidak berhenti disitu apabila jenama motosikal Jepun itu turut memperkenalkan varian lebih kecil menerusi CL300 di China, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, pengenalan CL300 bukanlah satu kejutan. 

Ini kerana CL500 dibangunkan dari model Rebel 500 maka kewujudan Rebel 300 di beberapa pasaran dunia secara tidak langsung beri bayangan langkah sama akan turut berlaku bagi memperkenalkan CL300. 

Pada masa sama Honda juga telah memfailkan tanda dagangan bagi nama CL300 awal tahun ini jadi pelancaran model itu China sudah pun dijangka.

Menurut laporan, CL300 datang dengan dua varian di China, Standard dan Premium dengan kedua-duanya dibezakan dengan kemasan dan estetik berbeza. 

Honda CL300 menawarkan 25.7hp dan bernadikan enjin satu silinder 286cc. Honda mendakwa model tersebut mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 125km/j dan datang dengan berat sekitar 171kg. 

Meskipun berkongsi platform dengan Rebel 300 namun beberapa ciri telah diubah mengikut kesesuaian antaranya penggunaan tayar 19-inci depan dan 17-belakang. 

Untuk rekod, model scrambler tersebut turut dipasarkan di Jepun namun dengan kapasiti enjin 250cc. 

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube