Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Sebelum ini, dunia ‘sneakers’ dan dua roda tidak pernah ada sebarang hubungan antara satu sama lain apatah lagi pemakaian ‘sneakers’ bukanlah pilihan yang selamat terutamanya sewaktu menunggang motosikal.

Bagaimanapun, jenama kasut seperti Vans mula sinonim dengan penunggang motosikal jenis Harley-Davidson, retro klasik seperti Triumph dan geng skuter.

Namun, Adidas mengorak langkah berbeza apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal Jepun, Kawasaki bagi menghasilkan kasut model ZX khas. 

Berkolaborasi buat kali ketiga, Kawasaki dan Adidas memperkenalkan kasut Adidas ZX22 KAWASAKI selepas melancarkan ZX800 dan ZX 5K BOOST.

Kasut ZX22 KAWASAKI tersebut menggabungkan pilihan warna Silver Metallic/Core Black dengan hijau ikonik Kawasaki yang terdapat pada bahagian lidah, dan midsole. 

Pemakaian juga tambah selesa dengan kehadiran midsole BOOST. 

Menariknya, kasut ZX22 KAWASAKI ini dihasilkan dengan penggunaan bahan kitar semula sekaligus mesra alam sekitar. Selain itu, kasut tersebut juga menawarkan ciri reflektif (3M).

Di Jepun, Adidas ZX22 KAWASAKI ini dijual pada harga JPY20,900 (RM671). 

KTM mungkin melakar nama di pentas kejuaraan dunia MotoGP kebelakangan ini terutamanya bagi kategori Moto2 dan Moto3. 

Meskipun begitu, pengeluar motosikal dari Austria itu masih ketandusan motosikal jenis ‘sportsbike’ berkuasa tinggi untuk pasaran global selepas terhentinya pengeluaran KTM RC8 pada 2015.

Walaupun KTM memperkenalkan RC 8C yang meminjam teknologi jenama itu di pentas MotoGP namun model tersebut hanyalah untuk kegunaan di litar lumba sahaja. 

Bagaimanapun, situasi itu akan berakhir tidak lama lagi selepas KTM dilihat sedang menguji jentera yang disebut sebagai RC990 baru-baru ini.

Ketika ini KTM tidak mempunyai enjin berkapasiti 990cc namun meninjau laporan media Eropah, KTM telah mengguna pakai enjin parallel-twin LC8c 889cc – yang terdapat pada KTM 890 Duke – lalu membesarkan ‘bore’ dan ‘stroke’ untuk mencapai kapasiti tersebut.

Ini bukanlah kali pertama jentera akan datang ini didedahkan namun perkembangan terbaru ini memberitahu bahawa model itu kini berada dalam keadaan siap berbanding sebelum ini. 

Melihat kepada reka bentuk keseluruhan model prototaip RC990 ini jelas menampakkan rekaan yang diilhamkan daripada KTM RC 8C. 

Selain itu, model prototaip itu juga menampakkan kerangka serba baharu seperti yang terdapat pada prototaip 990 Duke sebelum ini dan suspensi dari WP serta brek Brembo. 

Meskipun info lebih terperinci belum didedahkan setakat ini namun kami menjangkakan KTM RC990 ini mungkin akan membuat penampilan sekitar lewat tahun 2023. 

Apatah lagi melihat kepada kejayaan KTM menjual kesemua 200 unit KTM RC 8C 2023 dalam tempoh dua minit baru-baru ini, kedatangan RC990 pastinya akan mencipta impak sama. 

Budak Kimia BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 (B2H) akan berlangsung 11 Disember ini di Litar Antarabangsa (Litar Selatan) sebagai perlumbaan endurance dua jam pertama yang berlangsung di sebelah malam.

Lebih menarik, B2H akan turut dihangatkan dengan penyertaan pelumba negara, Hafizh Syahrin yang akan terlibat dalam kategori MP150 Elite.

Hafizh pastinya akan beri saingan sengit apatah lagi bakal turun dengan semangat tinggi selepas kontraknya bersama MIE Racing di WorldSBK disambung lagi bagi musim 2023.

Turut dijangka memberi saingan termasuk beberapa pelumba tempatan lain serta pelumba jemputan antarabangsa. 

Sementara itu, orang ramai dijemput hadir memeriahkan B2H dan menyaksikan perlumbaan di Grandstand Utama (masuk adalah percuma).

Menurut penganjur, perlumbaan kali ini menyaksikan penyertaan dari empat negara lain selain Malaysia termasuk Thailand, Taiwan, Indonesia dan Singapura dengan kesemuanya membabitkan penglibatan 77 pasukan dan 120 peserta.

Menariknya, pihak penganjur B2H berharap acara itu akan dapat diadakan secara bersiri di setiap negeri selepas ini. 

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Aprilia Tuono 660 Factory untuk pasaran tempatan. 

Berbanding (model standard) Tuono 660 yang menawarkan 95hp daripada enjin 659cc parallel-twin, versi Factory pula menawarkan kuasa yang lebih tinggi, 100hp dan 67Nm.

Selain daripada kuasa yang lebih tinggi, Tuono 660 Factory ini juga hanya datang dengan pilihan warna Factory Black di samping memaparkan nama ‘factory’ di bahagian sisi fairing depan.

Bagaimanapun, ciri lain yang terdapat pada model standard masih dikekalkan pada model ini antaranya gear lebih pendek serta pakej APRC sama seperti RS660 yang merangkumi:

  • traction control
  • wheelie control
  • cornering ABS
  • mod menunggang
  • quickshifter
  • auto-blipper


Selain itu, varian Factory ini juga lebih ringan dibantu dengan penggunaan bateri lithium yang berjaya mengurangkan berat sekitar 2kg.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk cakera brek berkembar (depan) 320mm, cakera berk tunggal (belakang) 222mm, kaliper brek Brembo dan lampu LED penuh. 

Menariknya, Aprilia Tuono 660 Factory ini juga datang dengan harga lebih murah berbanding versi standard yang diperkenalkan tahun lalu (2021).

Menurut Didi Group, Tuono 660 Factory ini dijual pada harga RM73,900.

Berita gembira untuk peminat YSuku apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengemas kini kapcai popular itu bagi tahun 2023.

Menurut HLYM, Yamaha Y15ZR kini datang dengan pilihan warna; Yellow, Silver, Matte Green dan Orange.

Kesemua model baharu ini sudah mula dipasarkan di pengedar rasmi Yamaha seluruh negara bermula hari ini (7 Disember) dengan harga baharu, RM8,998. 

Seperti biasa, setiap pembelian produk Yamaha akan disertakan dengan Yamaha ‘safety disc lock’ bernilai RM100 secara percuma.

Bagaimanapun, kemas kini terbaru itu tidak melibatkan spesifikasi enjin yang kekal dikuasakan enjin satu silinder 150cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 15.4hp dan 14.4Nm. 

Sempena meraikan ulang tahun ke-40 Mattel Inc di Malaysia, syarikat itu telah menjalinkan kerjasama dengan Proton bagi mengembalikan Saga dalam bentuk Hot Wheels berskala 1:64!

Mengesahkan perkata itu adalah Presiden dan Ketua Pegawai Komersil Mattel Inc, Steve Totzke.

“Ini adalah kerjasama yang mengujakan bagi membangunkan sebuah kereta Hot Wheels yang berupa sebuah Proton Saga, kereta pertama yang dihasilkan Proton. 

“Objektif utama kerjasama ini adalah menegakkan legasi Mattel dan Proton dalam terus menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi untuk peminat pelbagai umur seluruh dunia,” jelasnya.

Lebih menarik, model Hot Wheels Proton Saga itu akan turut dipasarkan secara global bermula penghujung tahun 2023.

Proton Saga sememangya cukup ikonik di Malaysia kerana memegang takhta sebagai kereta nasional pertama negara ini yang diperkenalkan pada tahun 1985 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Brembo sememangnya mempunyai pertalian erat dengan dunia perlumbaan dua roda termasuk kejuaraan dunia MotoGP dan WorldSBK.

Bagi tahun 2023, pengeluar aksesori motosikal Itali itu menggunakan pengalaman di pentas kejuaraan dunia bagi menghasilkan ‘radial master cylinder’ 19RCS Corsa Corta Race Replica. 

Menurut Brembo, 19RCS Corsa Corta RR tersebut mempunyai daya tahan yang lebih tinggi di samping mampu mengurangkan kesan geseren sekaligus lebih lasak.

Lebih menarik, beberapa komponen terutamanya bahagian ‘floating piston’ dan gasket adalah bahan sama yang diguna pakai pada jentera MotoGP.

Meskipun reka bentuk ‘lever’ berbeza berbanding sebelum ini namun Brembo masih mengekalkan pemutar di bahagian atas yang membolehkan pengguna menyelaraskan titik cengkaman brek mengikut kesesuaian. 

Pada masa sama, 19RCS Corsa Corta RR itu juga menawarkan tiga tetapan berbeza iaitu Normal, Sport dan Race.

Seperti kebiasaan, ‘radial master cylinder’ Brembo ini juga menawarkan fungsi RCS (Ratio Click System) yang membolehkan penukaran jarak antara titik tumpuan ‘lever’ ke piston antara 18 dan 20mm. 

Meskipun harga belum diumumkan namun komponen baharu ini akan mula berada dalam pasaran bermula 2023. 

Umum mengetahui KTM sebelum ini telah pun menghentikan pengeluaran KTM 790 Adventure dan 790 Duke dan digantikan dengan model 890.

Keputusan itu dibuat setelah hak pembuatan enjin parallel-twin 799cc itu diserahkan kepada rakan sekerja di China, CFMOTO.

CFMOTO menggunakan enjin tersebut bagi menghasilkan motosikal adventure mereka sendiri menerusi CFMOTO 800MT sementara KTM pula beralih dengan enjin lebih besar dengan memperkenalkan 890 Duke dan 890 Adventure.

Bagaimanapun, bagi tahun 2023, KTM menghidupkan semula 790 Adventure dan 790 Duke untuk pasaran global dengan bantuan CFMOTO yang akan menghasilkan kedua-dua model keluaran 2023 ini.

Hasilnya, KTM 790 Adventure 2023 masih lagi menawarkan 95hp dan 88Nm daripada enjin 799cc tersebut. 

Meskipun enjin kekal sama, namun terdapat beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan pada model 2023 ini termasuk kotak udara dan ‘friction plates’ baharu.

KTM juga mendakwa kadar putaran jisim turut naik 20 peratus sekaligus meningkatkan prestasi jentera sewaktu di selekoh.

Bagaimanapun, naik taraf terbesar adalah IMU 6D yang menawarkan fungsi Cornering Motorcycle Traction Control, ABS, Motor Slip Regulation dan ‘riding mode’. 

Model 2023 ini juga mendapat fungsi Quickshifter+ sebagai standard. 

Ciri lain ditawarkan termasuk:

  • fork depan WP Apex 43mm dengan jarak pergerakan 200mm.
  • tayar Pirelli Scorpion STR.
  • tangki 20L.

MIE Racing Honda Team mengesahkan Hafizh Syahrin sebagai pelumba pasukan itu bagi musim 2023 di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).

Keputusan mengekalkan Hafizh bagi musim baharu itu adalah satu perkembangan yang baik bagi pelumba berusia 28 tahun itu. 

Ini bermakna Hafizh akan digandingkan dengan pelumba Brazil, Eric Granado musim depan. 

Sementara itu, pemilik pasukan, Midori Moriwaki, menyifatkan prestasi konsisten ditonjolkan Hafizh dalam musim pertamanya bersama pasukan itu cukup memberangsangkan. 

“Kami sangat teruja untuk menyambung kontrak Hafizh yang telah membuat penampilan sulung di WorldSBK dan mempamerkan peningkatan sepanjang musim.

“Saya percaya dia dan Eric (Granado) akan mewujudkan satu gandingan yang baik adn membantu kami dalam pembangunan projek bersama Honda di samping mempromosikan WorldSBK di Amerika Selatan dan Asia,” jelasnya.

Pada masa sama, Hafizh berkongsi rasa gembira dengan kepercayaan yang diberikan MIE Racing. 

“Saya sangat gembira kerana dapat kekal bersama pasukan ini musim depan.

“Saya tahu Midori (Moriwaki) sedang membentuk satu pakej yang lebih kuat bagi musim 2023. Jadi saya akan memberikan segalanya musim depan.

“Sasaran utama saya adalah menjadi lebih kompetitif dan mengutip mata dalam setiap perlumbaan,” ujar Hafizh.

Saingan WorldSBK akan kembali buka tirai di Australia pada 24 Februari depan. 

Tindakan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke alami sendiri situasi menaiki LRT pada waktu puncak mendapat pujian orang ramai apatah lagi ‘tinjauan’ tersebut dilakukan tanpa pengetahuan pihak Prasarana.

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen rata-rata turut meminta Loke untuk turut melakukan tinjauan di beberapa kawasan lain termasuk laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. 

Seorang pengguna Facebook dengan akaun Charles Leong, mengharapkan YB Anthony Loke membuat sesuatu terhadap jalan motosikal di sepanjang lebuhraya tersebut yang berada dalam keadaan tidak selamat. 

“Hi YB, mungkin ini bukan isu yang sepatutnya diselesaikan oleh Menteri Pengangkutan tapi saya ingin melaporkan bahawa lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dalam keadaan yang buruk dan tidak selamat. 

“Lampu dalam terowong tidak berfungsi, jalan tak diterangi oleh lampu, dan jalan berlubang dan tidak rata. 

“Lorong motosikal sepatutnya lebih selamat untuk penunggang tapi nampaknya ia lebih berbahaya. Harap pihak YB boleh membangkitkan isu ini dengan Menteri Kerja Raya,” jelasnya di ruangan komen. 

Bagaimanapun, isu jalan motosikal tersebut adalah dibawah kendalian Kementerian Kerja Raya di samping pemantauan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Namun, kerisauan yang dibangkitkan itu adalah sesuatu perkara yang wajib diberi perhatian oleh kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru beberapa hari dilantik Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke terus bergegas menjalankan tugas apabila merasai sendiri kepayahan ditanggung rakyat yang menaiki LRT pada waktu puncak.

Anthony Loke dalam satu perkongsian di Facebook, telah menaiki LRT Laluan Kelana Jaya pada jam 5 hingga 7 petang.

Menariknya, beliau menaiki LRT tersebut secara sendiri dan bukannya sebagai acara rasmi. 

Sambil mengenakan topi dan pelitup muka serba hitam, Loke akui mahu merasai kesulitan orang ramai. 

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa  yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan halatuju dan cara untuk menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” jelasnya di Facebook.

Sementara itu, tindakan secara senyap-senyap itu mendapat pujian netizen yang membanjiri ruangan komen. 

Sebanyak 87 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di Pulau Pinang dan Kedah berjaya diselesaikan dengan tangkapan dua lelaki di Butterwoth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.

Suspek berusia 41 dan 46 tahun itu berjaya diberkas menerusi Op Lejang Wave Alpha yang diadakan pada hujung November lalu. 

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, kedua-dua suspek menjadikan tapak letak motosikal di stesen kereta api Bukit Mertajam dan Bukit Tengah sebagai sasaran utama.

“Melalui siasatan yang dijalankan, suspek akan hantar sendiri motosikal curi ke negara jiran menggunakan nombor plat pendaftaran miliknya bagi mengaburi mata pihak berkuasa melalui jalan sah,” jelasnya.

Berdasarkan petikan HMetro, suspek menjadikan Honda Wave Alpha sebagai sasaran utama dan menjual motosikal tersebut di negara jiran, Thailand ekoran terdapat permintaan tinggi.

Difahamkan, pihak polis juga berjaya mengenal pasti orang tengah yang terlibat menjual motosikal curi kepada pembeli di Thailand. – HMetro

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube