Pengguna jalan raya yang bercadang menggunakan laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan diminta untuk merancang semula perjalanan ekoran penutupan sementara laluan tersebut pada 30 November (Rabu).
PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan sementara itu akan berlaku dari 10 pagi hingga 2.30 petang bagi tujuan latihan simulasi kecemasan.
Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang menghala ke Selatan daripada Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Jalan Persekutuan (FT240) (Jelapang-Ampang).
Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh kembali memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
Sementara itu, latihan kecemasan tersebut adalah bertujuan menguji tahap kecekapan dan masa tindak baals sekiranya berlaku kecemasan sekaligus memastikan tahap prosedur keselamatan di lebuh raya berada di tahap terbaik.
Ducati sememangnya jenama yang cukup gah dalam pasaran motosikal dunia.
Kejayaan di pentas dunia termasuk MotoGP dan WorldSBK terus mengukuhkan lagi jenama motosikal Itali itu.
Selain sibuk merangkul kejuaraan dunia, Ducati juga giat mengukuhkan portfolio bagi tahun 2023 dengan beberapa model baharu termasuk Panigale V4 R, Scrambler 800 dan Diavel V4.
Rata-rata motosikal jenama Ducati datang dengan tanda harga yang tinggi terutamanya model berprestasi tinggi yang kebiasaannya berharga RM100,000 ke atas.
Pengeluar lain, seperti Triumph dan MV Agusta sudah mula mengorak langkah dengan memperkenalkan model mampu milik hasil kerjasama dengan jenama lain.
Untuk rekod, Triumph telah berkerjasama dengan Bajaj bagi menghasilkan sebuah motosikal jenis scrambler dengan kapasiti bawah 500cc manakala MV Agusta pula jalin kerjasama dengan QJMotor bagi Lucky Explorer 5.5.
Usaha tersebut adalah memastikan jenama motosikal masing-masing bukan hanya menembusi pasaran premium malah turut menjadi sasaran pembeli yang mahukan motosikal mampu milik.
Bagaimanapun, temu bual bersama Ketua Pereka Ducati, Andrea Ferraresi, mengesahkan syarikat itu tidak berminat untuk menghasilkan model mampu milik dalam masa terdekat.
“Kami mahu terus meningkatkan jenama ini.
“Kami sudah pun sebuah jenama yang premium dan mahu kekal berada dalam segmen premium sebagai jenama teratas.
“Bagi memastikan perkara ini, kami akan mengekalkan harga pada tahap tertentu. Jadi kami akan pastikan tiada harga yang lebih rendah dari Ducati Monster,” jelasnya.
Ditanyakan apakah usaha Ducati untuk mendekatkan diri dengan penunggang muda dan baharu, ini jawapan Ferraresi.
“Kami ada model Scrambler yang lebih “mampu milik”.
“Perlu diingatkan tiada model ‘entry-level’ bagi Ferrari dan Porshce jadi mereka perlu bermula dengan jenama lain sebelum membeli motosikal Ducati sebaik berkemampuan melakukannya,” tambah Ferraresi.
Moto Morini sememangnya diambang kebangkitan setelah beberapa model baharu yang dilancarkan sebelum ini kembali mendapat tempat dipasaran Asia dan Eropah.
Moto Morini Seiemmezzo dan X-Cape 650 merupakan dua model baharu yang semakin mendapat permintaan tinggi dipasaran dunia termasuk Malaysia.
Ini kerana jenama motosikal Itali itu berjaya menawarkan barisan motosikal dengan harga lebih mampu milik susulan dikilangkan di China setelah syarikat itu dibeli Zhongneng pada 2018.
Bagaimanapun, Moto Morini masih lagi berpangkalan di Bologna, Itali sekaligus tidak hairan jenama itu cukup popular di sana.
Dalam perkembangan terbaru, Moto Morini bakal memperluaskan tawaran model bagi tahun akan datang menerusi X-Cape 1200.
Moto Morini X-Cape 1200 mula tampil dalam satu lakaran CAD pada September lalu namun pendedahan terbaru menunjukan model tersebut telah pun siap sepenuhnya dan akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Berdasarkan imej dikongsikan, X-Cape 1200 tersebut jelas mengikut acuan rekaan X-Cape 650 namun dengan panel badan yang lebih lebar dan besar.
Difahamkan, X-Cape 1200 ini dikuasakan enjin V-Twin V87 Bialbero Corsacorta yang sama terdapat pada model terdahulu, Corsaro 2005 dan Scrambler 1200 2020.
Menariknya, meninjau lebih dekat gambar tersebut menunjukkan X-Cape 1200 itu didatangkan dengan beberapa ciri premium termasuk brek Brembo.
Pengenalan model baharu itu selaras dengan pendedahan yang dibuat Pengarah Urusan Moto Morini, Alberto Monni sebelum ini yang memaklumkan terdapat 11 model baharu yang akan diperkenalkan dalam tempoh dua tahun ini.
MODENAS dengan rasminya memperkenalkan Ninja 250 Edisi Öhlins khas untuk pasaran tempatan dan dijual pada harga RM20,500.
Seperti namanya, Ninja 250 Edisi Öhlins ini didatangkan dengan suspensi belakang Öhlins jenis KA the 44, STX 36 Supersport dan hanya terhad kepada 180 unit sahaja.
Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa edisi Öhlins ini hanya ditawarkan pada model Ninja 250 tanpa ABS.
Untuk rekod monoshock Öhlins tersebut adalah jenis boleh laras dan turut didatangkan dengan waranti penuh dari pengilang.
Menurut MODENAS, monoshock Öhlins tersebut secara langsung meningkatkan tahap cengkaman dan kawalan jentera terutamanya ketika di selekoh.
Bagaimanapun, tiada perubahan spesifikasi lain berlaku pada Ninja 250 Edisi Öhlins ini yang masih lagi dikuasakan enjin ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.
Piaggio Group telah membuka kilang pengeluaran dan pemasangan baharu Indonesia dalam usaha untuk mengukuhkan jenama itu di pasaran Asia.
Kilang yang terletak di daerah Cikarang, Jawa Barat itu dibina atas tapak berkeluasan 55,000 meter persegi.
Perasmian kilang baharu itu juga merupakan yang kelapan dibangunkan Piaggio selepas Itali, India, Amerika Syarikat, Vietnam dan China.
Ini secara tidak langsung menjadikan pasaran Asia sebagai yang terpenting bagi jenama motosikal Itali itu.
“Kilang baharu di Indonesia ini membawa Piaggio Group selangkah ke depan dalam program pembangunan strategik antarabangsa yang telah dimulakan sejak 10 tahun lalu.
“Piaggio Group catat peningkatan jualan lebih 61 peratus di Indonesia pada 2021 dan kami jangkakan angka itu akan terus meningkat pada masa akan datang,” jelas CEO dan Pengerusi Kumpulan Piaggio, Roberto Colannino.
Umum mengetahui bahawa Ogos lalu, pihak MForce Bike Holdings Sdh Bhd telah pun ke Vietnam bagi menghadiri majlis pra-pelancaran WMOTO XDV 250i.
Majlis itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa skuter urban ‘adventure’ tersebut akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa WMOTO XDV 250i itu akan dilancarkan pada 9 Disember ini.
Untuk rekod, WMOTO XDV 250i adalah dijenamakan semula daripada Longjia XDV 250Si dan dipasang sepenuhnya MForce di Malaysia.
Berdasarkan spesifikasi Longjia XDV 250Si, skuter tersebut dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm.
Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.
Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.
Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin berwarna TFT serta penghadang angin boleh laras.
Menariknya, di pasaran China, skrin TFT tersebut boleh dihubungkan kepada telefon pintar namun belum dapat dipastikan sama ada fungsi tersebut akan dibawa pada WMOTO XDV 250i.
Apa pun kami akan bawakan info penuh dan terperinci pada hari pelancaran yang akan berlangsung 9 Disember ini.
KTM memperkenalkan jentera khas untuk litar lumba, RC 8C pada tahun 2021 dan ketika itu, kesemua 100 unit telah habis dijual tidak sampai lima minit.
Kegagalan mendapatkan motosikal tersebut membuatkan ramai pelanggan kecewa terutamanya peminat jenama Austria itu.
Bagaimanapun, KTM menaik taraf RC 8C bagi tahun 2023 dan menawarkan 200 unit lagi bagi pelanggannya, baru-baru ini.
Menariknya, meskipun 100 unit lebih banyak daripada model 2021 namun kesemua 200 unit habis dijual dalam tempoh dua minit sahaja.
Lebih mengagumkan, KTM mencatat jualan GBP8 juta (RM44 juta) dalam tempoh singkat tersebut.
Untuk rekod, KTM RC 8C 2023 merupakan versi yang telah dinaik taraf berbanding model 2021 dan dijual pada harga USD39,599 (RM162k).
Hasilnya, enjin parallel-twin LC8c 889cc itu kini menghasilkan 135hp berbanding 128hp pada model sebelum ini.
Kenaikan kuasa itu disumbang kelengkapan baharu di bahagian enjin termasuk bahagian ‘throttle body’ yang lebih besar sekaligus menyumbang kepada nisbah mamptan lebih tinggi.
Penggunaan ekzos Akrapovic baharu juga menyaksikan KTM RC 8C 2023 hanya seberat 142 kilogram.
Umum mengetahui baru-baru ini Suzuki telah pun memperkenalkan dua model serba baharu sewaktu pameran motosikal EICMA di Milan.
Suzuki GSX-8S dan 800DE merupakan dua model baharu yang bakal tiba tahun depan dengan kedua-duanya digerakkan platform parallel-twin 776cc serba baharu dibangunkan Suzuki.
Enjin tersebut memuatkan unit 776cc dengan penyejukkan cecair dan turut datang dengan konfigurasi ‘270-degree crank’ sekaligus menghasilkan bunyi seakan V-Twin yang ikonik pada jentera Suzuki.
Selain itu dengan bore 84mm dan stroke 70mm serta nisbah mampatan 12.8:1 memberi bayangan bahawa enjin tersebut menawarkan prestasi dan tahap praktikal yang baik.
Pada masa sama, Suzuki juga menyuntik tahap kejuruteraan tertinggi pada enjin tersebut antaranya kotak udara berkapasiti 6L yang menyumbang kepada penghasilan tork yang baik manakala sistem Cross Balancer pula memastikan gegaran enjin kurang dirasai sekaligus menghasilkan tunggangan yang lebih lancar.
Tidak cukup dengan itu, Suzuki juga memastikan operasi enjin kekal lancar dan efisien dengan menyalut dinding silinder dengan proses Composite Electrochemical Material (SCEM).
Salutan itu memastikan tahap geseran piston berada di tahap rendah sekaligus mengurangkan risiko kerosakan pada ‘piston ring’ di samping meningkatkan pelepasan haba.
Bahagian penyejukan enjin pula dikawal dengan sistem Inlet Control Thermostat Valve yang dibangunkan Suzuki sendiri. Sistem tersebut bukan hanya mengurus beban haba pada enjin malah turut menstabilkan pembakaran dan mengurangkan emisi.
Mengambil kira semua faktor di atas secara tidak langsung membuatkan kami teruja untuk merasai sendiri kemampuan Suzuki GSX-8S dan 800DE tahun depan.
Diharapkan dengan suntikan enjin baharu dan kelengkapan baharu, kedua-dua model serba baharu itu akan terus memperkembangkan jenama Suzuki di pasaran global.
Selepas lebih sembilan bulan diperkenalkan di Indonesia, akhirnya Honda Vario 160 generasi baharu masuk pasaran Malaysia menerusi Boon Siew Honda.
Bagi tahun 2022, Vario telah dikemas kini dengan rekaan baharu serta enjin bersesaran 160cc berbanding 150cc sebelum ini.
Menariknya, Vario 160 juga dilengkapi beberapa ciri baharu antaranya daytime running light (DRL), ciri sama yang sebelum ini terdapat pada ADV 150. Kehadirann lampu DRL juga menyaksikan Honda melaksanakan kemas kini di bahagian depan yang tampak lebih agresif dan sporty.
Malah, keseluruhan rupa Vario 160 ini juga tampak lebih lebar berbanding generasi 150.
Bagaimanapun, naik taraf terbesar adalah bahagian enjin, dengan Vario 160 2022 ini didatangkan enjin 160cc yang menjana 15.2hp pada 8,500rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm berbanding 13hp dan 12.9Nm sebelum ini.
Selain itu, Honda Vario 160 juga didatangkan dengan fungsi ABS menggantikan ciri Combine Braking System (CBS) yang ditawarkan pada model Vario 150 sebelum ini.
Menurut Boon Siew Honda, Honda Vario 160 ini datang dengan empat warna pilihan; Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic yang dijual pada harga RM9,998 manakala warna premium, Mat Charcoal Grey Metallic pula ditawarkan pada RM10,298.
QJMotor merupakan antara pengeluar motosikal dunia yang paling kerja keras di pameran motosikal EICMA yang berlangsung di Milan baru-baru ini.
Ini kerana pengeluar motosikal China itu mempamerkan sejumlah 30 model baharu bagi pasaran 2023.
Selain daripada motosikal ‘adventure’ SVT 650X, QJMotor turut mencuri tumpuan dengan memperkenalkan SRV 700.
SRV 700 merupakan motosika jenis cruiser yang ditawarkan QJMotor bagi tahun 2023. Model itu juga datang dengan dua lagi kapasiti enjin, 500 dan 250cc.
Menariknya, rekaan keseluruhan SRV 700 tampak seakan-akan Harley-Davidson Fat Bob namun mengambil kira kerjasama antara kedua-dua pihak ini tidak hairanlah motosikal jenama Amerika itu menjadi inspirasi utama pembangunan SRV 700.
Walaupun sebuah ‘cruiser’ namun SRV 700 dikuasakan enjin parallel-twin 689cc yang diambil daripada SRK 700 dan bukannya enjin V-Twin dari SVT 650X.
Hasilnya, enjin tersebut menawarkan 73hp dan 62Nm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘multi-disc’.
Sebagai sebuah ‘cruiser’, spesifikasi SRV 700 juga lebih konvensional berbanding model QJMotor lain. Antara kelengkapan ditawarkan adalah rim 16-inci depan dan belakang, kerangka jenis ‘tubular steel’, kaliper brek 4-piston berkembar depan dan tunggal di belakang.
Menariknya, dengan kehadiran tangki 16 liter, SRV 700 ini pastinya sesuai untuk tunggangan jarak jauh dan santai.
Namun ciri moden lain masih ditawarkan antarnaya lampu LED, panel meter digital LCD dan ‘handlebar’ jenis lurus dan ‘bar-end mirror’.
Buat masa ini belum ada pengumuman bilakah model ini akan mula dipasarkan di pasaran global namun apa yang pasti SRV 700 akan tiba tahun depan.
Untuk rekod, QJMotor SRV 250 ditawarkan di Malaysia menerusi pengedar rasmi MForce Bike Holdings dengan harga RM16,888.
Dalam satu perkembangan mengejut, pengendali pasukan Suzuki Ecstar, Livio Suppo mendedahkan bahawa jentera GSX-RR yang digunakan pasukan itu musim ini akan dihapuskan.
Ramai yang tertanya apakah penamat bagi jentera GSX-RR yang digunakan Alex Rins dan Joan Mir musim ini selepas pasukan itu menamatkan program permotoran sekaligus tidak lagi terlibat dengan sebarang kejuaraan dunia termasuk MotoGP.
Bagaimanapun, Suppo memaklumkan bahawa meskipun ada antaranya akan diselamatkan dan dipamerkan di muzium Suzuki di Hamamatsu namun selebihnya akan dihapuskan.
Jelas Suppo, tindakan itu perlu bagi menghapuskan beban cukai sekiranya jentera GSX-RR terbabti disimpan sebagai trofi.
“Dua daripada jentera ini akan disimpan di muzium tetapi yang lain akan dihapuskan bersama alat ganti dan lain-lain.
“Semua pengeluar Jepun melakukan perkara ini kerana jika tidak mereka perlu membayar cukai tinggi. Disebabkan tidak lagi digunakan, jentera tersebut akan dihapuskan,” jelasnya.
Untuk rekod, Rins ada meminta untuk memiliki jentera yang ditunggangnya musim ini namun tiada jaminan permintaannya akan ditunaikan.
“Saya ada bertanya tetapi mereka memberitahu bahawa jentera tersebut perlu dibeli. Jika peluang itu ada, saya akan melakukannya,” ujar Rins.
Tahun 2022 merupakan musim terakhir penglibatan Suzuki di MotoGP setelah mengumumkan penarikan diri di pertengahan musim.
Pengeluar motosikal elektrik dari China, Davinci bakal melangkah ke pasaran Eropah buat julung kalinya dengan model DC100.
Untuk rekod, Davinci DC100 tersebut telah pun mula dipasarkan di China dua tahun lalu sebagai jentera elektrik berprestasi tinggi.
Ini kerana DC100 menawarkan 135hp dan 850Nm sekaligus berupaya menandingi jentera berenjin petrol berkapasiti 1000cc.
Untuk rekod, DC100 dilengkapi sistem kawalan robotik pintar yang menawarkan pengalaman menunggang optimum dengan memberikan penunggang kawalan yang terbaik.
Menariknya, hasil penggunaan bateri ‘lithium terneary’ dengan ketumpatan tinggi (17. is kWh), Davinci DC100 ini hanya memerlukan 30 minit untuk dicas penuh menggunakan pengecas DC.
Selain daripada itu, DC100 juga dilengkapi sistem elektronik berteknologi tinggi termasuk ‘reverse assist’ dan ‘incline assist’.
Untuk rekod, DC100 tidak mempunyai panel meter sebaliknya pengguna perlu memuat turun aplikasi Davinci ke telefon pintar dan menggunakan peranti tersebut sebagai panel meter sewaktu menunggang.
Menurut Davinci, jentera elektrik ini mampu pergi sejauh 357km dengan jarak tersebut dibantu dengan sistem brek regeneratif yang menukarkan daya brek kepada kuasa.
Seperti dijangka, DC100 bukanlah murah sebaliknya dijual pada harga EUR26,000 (RM122.6k) di Eropah dengan penyerahan hanya akan dibuat pada suku ketiga 2023.