Francesco Bagnaia mencatat rekod baharu bersama Ducati apabila muncul pelumba pertama pasukan itu yang berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut selepas memenangi pusingan GP San Marino di Litar Misano, pada Ahad.
Pelumba Itali itu mempamerkan tunggangan cemerlang dan berjaya menepis kemaraan Enea Bastianini dan Maverick Vinales untuk menang di Misano.
Bermula di petak kelima ternyata tidak memberi kesan terhadap Bagnaia untuk merebbut kelompok depan.
Rakan sepasukan, Jack Miller, yang bermula di petak pertama buat julung kalinya selepas empat tahun, gagal menamatkan perlumbaan apabila kemalangan di lap kedua.
Tidak lama selepas itu, Marco Bezzechi turut menambah kumpulan kemalangan apabila terbabas di lap sama pada Turn 10.
Terdahulu, Johann Zarco, Michelle Pirro dan Pol Espargaro terlibat dalam kemalangan tiga pelumba di Turn 1.
Sementara itu, Bastianini yang mendahului perlumbaan selepas kemalangan Miller gagal mengekalkan status pendahulu apabila berjaya dipintas Bagnaia.
Vinales kemudiannya memintas Bastianini dan mula mengekori rapat Bagnaia.
Bagaimanapun, Bagnaia cekal mengekalkan peneraju perlumbaan dengan Bastianini kembali di tempat kedua sementara Vinales semakin ketinggalan di tempat ketiga.
Memasuki lap terakhir, Bastianini cuba untuk membuat pancungan terakhir namun Bagnaia berjaya mengesahkan kemenangan selepas kesudahan ‘photo-finish’ dengan kelebihan 0.034s.
Dalam perkembangan sama, pertahan juara, Fabio Quartararo terpaksa berpuas hati dengna kedudukan kelima selepas percubaan untuk memintas Luca Marini di tempat keempat gagal.
Walaupun terus mendahului kejuaraan dengan 211 mata namun Bagnaia semakin menghampiri dengan perbezaan 30 mata.
Sementara itu, pelumba WithU Yamaha RNF, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya di MotoGP selepas membuat keputusan untuk bersara.
Menariknya, dalam penampilan terakhir di Misano, Dovizioso berjaya menyumbang mata selepas menamatkan saingan di tempat ke-12.