Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Polis Terengganu menafikan dakwaan yang kononnya sebanyak 230 kecurian motosikal jenis Yamaha RXZ milik peserta acara RXZ Members 4.0 telah direkodkan hujung minggu lalu.

Dakwaan yang tular di media sosial itu disangkal Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang menjelaskan bahawa pihaknya hanya menerima dua laporan berhubung kehilangan motosikal Yamaha RXZ.

“Hanya dua motosikal Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang. Kedua-duanya telah dicuri di sebuah inap desa di daerah ini pada Ahad lalu,” jelasnya.

Pada masa sama, Datuk Rohaimi juga menafikan tuduhuan sesetengah pihak yang  berkata pihaknya dengan sengaja mengadakan sekatan jalan raya bagi peserta program RXZ Members 4.0 di Terengganu.

Sementara itu, program RXZ Members 4.0 yang menghimpunan sekumpulan besar pemilik motosikal Yamaha RXZ telah berlangsung dengan jayanya apabila acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak itu berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung. – KOSMO

Kumpulan aktivis jalan raya menyatakan penaikan had usia permohonan lesen motosikal ke 21 tahun seperti dicadangkan seorang perunding pengangkutan bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kemalangan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye dan Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berpendapat faktor usia muda bukan punca utama berlakunya nahas tetapi kegagalan pengguna mematuhi peraturan.

Lee berkata, sepatutnya fokus pihak berkuasa diletakkan kepada mendisiplinkan pengguna kerana kemalangan tidak mengira usia, sebagai contoh dalam kes melibatkan Mat Rempit atau samseng jalanan.

“Tiada guna naik had usia mohon lesen motosikal kepada 21 tahun sekiranya tahap kesedaran pematuhan jalan raya masih rendah, ini patut diselesaikan,” katanya.

Lee mengulas cadangan perunding pengangkutan Rosli Azad Khan supaya kerajaan menaikkan had umur minimum kelayakan lesen motosikal daripada 16 kepada 21 tahun.

Beliau mengulas statistik terbaharu dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menunjukkan terdapat 25,958 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan di negara ini dari 2014 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Lee berkata pihak berkuasa juga perlu tegas menguatkuasakan undang-undang terutama di kawasan berisiko kemalangan dan menyelenggara jalan raya supaya dalam keadaan baik.

“Sepatutnya jalan raya diselenggara dan dibaiki segera apabila terima aduan, pihak berkuasa tempatan juga perlu banyakkan lampu di laluan berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Lando berkata usia 21 tahun untuk memohon lesen motosikal sudah terlalu lewat kerana ramai belia memerlukan lesen bagi menunggang motosikal ke tempat kerja.

“Kalau hendak naikkan pun saya cadangkan usia 18 tahun jika ramai berpandangan 16 tahun belum cukup matang dalam selok belok tunggangan,” katanya.

Segmen motosikal ‘sport tourer’ di Malaysia kini mendapat pesaing baharu, menerusi Suzuki GSX-S1000GT yang telah diumumkan Suzuki Malaysia.

Untuk pasaran tempatna, GSX-S1000GT itu ditawarkan pada harga RM85,700 sekaligus menjadikan model itu sebagai motosikal ‘sport tourer’ dengan harga paling rendah ditawarkan di Malaysia berbanding jenama lain dalam segmennya.

Menggantikan GSX-S1000F, model terbaru ini menawarkan segala aspek bagi sebuah motosikal ‘sports tourer’ antaranya tempat duduk yang selesa, sistem elektronik terkini dan ergonomik yang sporty namun praktikal terutamanya bagi yang gemar merekodkan perbatuan tinggi di hujung minggu.

Meskipun dibina menggantikan GSX-S1000F, model baharu ini tampil dengan rekaan serba berbeza dan langsung tidak mengikut acuan rekaan yang ditawarkan model Suzuki 2021 lain.

Bahagian fairing bersegi dipadankan bersama penghadang angin boleh laras manakala lampu LED penuh dilengkapkan bersama DRL (daytime running light).

Suzuki GSX-S1000GT ini dibangunkan daripada model GSX-S1000 (yang akan dilancarkan Disember nanti di Malaysia).

Ini bermakna, meskipun bercirikan ‘touring’, GSX-S1000GT ini dikuasakan enjin inline empat silinder Euro 5 daripada GSX-R1000 dan menawarkan 152hp pada 11,000rpm dan 106Nm pada 9,250rpm.

Bagaimanapun, beberapa komponen telah dikemas kini bagi menyesuaikan fungsi sebagai motosikal ‘tourer’ antaranya sistem ekzos serta air-box baharu.

Sementara itu, seperti GSX-S1000, motosikal baharu ini juga didatangkan dengan sistem ‘electronic actuated throttle’ dan Suzuki Intelligent Ride System yang merangkumi mod enjin, traction control dan cruise control.

Pada masa sama, Suzuki GSX-S1000GT ini turut bertulangkan kerangka aluminium jenis ‘twin-spar’ sama seperti GSX-S1000 kecuali bahagian ‘subframe’ yang telah diolah agar lebih kukuh untuk membawa pillion dan ‘panniers’. Menurut Suzuki Malaysia, ciri ‘panniers’ tersebut didatangkan secara standard untuk pasaran tempatan.

Antara ciri lain yang menarik perhatian adalah skrin TFT 6.5″ yang menawarkan fungsi meluas antaranya sistem navigasi, jawab panggilan telefon dan kawalan muzik yang boleh diakses melalui aplikasi Suzuki mySPIN pada telefon pintar.

Ciri menarik lain yang turut ditawarkan:

  • tangki 19L
  • berat (kering) 226kg
  • fork depan teleskopik inverted
  • tayar 120/70-17 depan dan 190/50-17 belakang

Tidak dinafikan dunia kini sedang melangkah ke alam mobiliti elektrik sebagai usaha merendahkan penghasilan karbon yang selama ini menjejaskan alam sekitar.

Rata-rata pengeluar motosikal terkemuka dunia antaranya Yamaha, Honda, Kawasaki, BMW dan KTM telah pun mula mengorak langkah dalam membangunkan enjin elektrik.

Selain itu, jenama mobiliti lain juga memperkenalkan pelbagai lagi model elektrik seperti skateboard (papan luncur), e-skuter, basikal elektrik dan banyak lagi.

Bagaimanapun, ekoran tidak menggunakan enjin petrol, kebanyakan mobiliti elektrik termasuk motosikal tidak menghasilkan sebarang bunyi berbanding enjin pembakaran dalaman (ICE).

Ini sekaligus menjadikan kehadiran motosikal elektrik atau sebarang kenderaan elektrik lain tidak disedari pengguna jalan raya lain lantas boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

Menyedari perkara ini, sebuah syarikat antarabangsa Mothorn telah melancarkan aplikasi unik bagi menangani permasalahan tersebut.

Menurut Mothorn, aplikasi tersebut – yang masih berada dalam peringkat prototaip namun sudah boleh dimuat turun dari Google Play – berfungsi dengan menghasilkan bunyi unik dan futuristik untuk kenderaan elektrik.

Bunyi tersebut akan bertindak sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki sekaligus mengelakkan daripada berlakunya kemalangan.

Menggunakan pengesan kelajuan GPS, aplikasi tersebut akan menghasilkan bunyi mengikut kelajuan semasa mobiliti elektrik terbabit. 

Terdapat tiga modul bunyi yang ditawarkan aplikasi terbabit, antaranya bunyi dari filem futuristik terkemuka, bunyi enjin konvensional dan bunyi yang dirakam pengguna menggunakan telefon pintar.

Menurut Mothorn, bagi menikmati bunyi tersebut pada skala yang lebih besar, pengguna dinasihatkan untuk menyambung telefon pintar kepada pembesar suara mudah alih atau pembesar suara yang terdapat pada kenderaan elektrik terbabit.

Aplikasi Mothorn boleh dimuat turun secara percuma di Google Play. Untuk maklumat lanjut, layari https://mothorn/io/ 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menahan seorang remaja selepas didapati menunggang sebuah motosikal yang belum didaftarkan dengan jabatan tersebut dalam Ops Lejang di Jalan Kota Bharu-Bachok di sini kelmarin.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, motosikal jenis Honda RS-X itu ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun semasa operasi dijalankan.

Katanya, remaja terbabit dikenakan saman kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita turut menyita motosikal tersebut bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Misuari berkata, sebanyak 135 notis saman dikeluarkan kepada penunggang dan pemilik motosikal atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, beberapa kesalahan dilakukan penunggang motosikal antaranya ubah suai kelajuan, tidak mempamerkan pelekat P, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Selain itu, kesalahan paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

“Sebanyak tujuh buah kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kita sering memerhati penunggang motosikal memakai jaket terbalik, tetapi adakah kita pernah terfikir jika perkara ini merupakan kebiasaan di negara lain?

Rupanya ada pihak telah mengatakan bahawa trend ini hanya berlaku di Malaysia, dan antara sebabnya adalah ia dianggap lebih cepat.

Walaubagaimanapun, trend ini boleh membahayakan, keranajaket yang dipakai secara terbalik kebiasaannya tidak dizip dan ini menyebabkan jaket tersebut mengibas dengan kuat ketika motosikal bergerak dalam keadaan laju.

Jaket yang mengibas boleh menyebabkan tersangkut pada kenderaan lain ketika mencelah atau memotong serta boleh tersangkut pada tayar atau rantai motor sendiri.

Kami juga pernah melaporkan kemalangan berlaku akibat jaket terbalik, di mana lengan seorang penunggan motosikal telah sangkut di tayar dan hancur.

Orang ramai juga turut meluahkan pendapat mereka di media sosial dan turut akui pemakaian seperti itu boleh menyebab kemalangan jiwa.

“Kalau tak pakai hitam pula tangan, Malaysia ni panas. Kalau pakai macam biasa nampak tidak ikut trend pula nanti, ” jelas Zulhisham Zulkifli.

“Penunggang kita pentingkan masa, kalau pakai secara betul nanti lambat, walaupun bukan ambil masa terlalu lama tapi itulah orang kita, janji trend sahaja, ” kata Mat Luqie Fauzi.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif mendedahkan tiada jaminan bahawa pelumba negara, Syarifuddin Azman @ Damok akan mendapat tiket ‘wildcard’ pada GP Malaysia akan yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober ini.

Damok sebelum ini telah pun membuat empat penampilan di Kejuaraan Dunia MotoGP di kelas Moto3 di Portimao, Jerez, Catalunya dan Aragon, musim lalu.

Walaupun mempamerkan aksi memberangsangkan namun kelibatnya gagal memancing sebarang pasukan di Moto3 bagi pembukaan musim 2022. 

Sebaliknya, pelumba berusia 20 tahun itu kekal beraksi di FIM Junior GP bersama pasukan Monlau Motorsport. 

Meskipun meduduki tempat kedua keseluruhan kejuaraan ketika ini, namun senario itu belum cukup untuk memikat SIC.

“Setakat ini kebanyakan pelumba kita belum menunjukkan prestasi memberangsangkan, kita ada Damok yang sudah empat kali beraksi di Moto3, jadi untuk dia yakinkan kami (SIC) dia perlu me­ningkatkan prestasinya.

“Kami tidak mahu hantar pelumba sekadar menyertai perlumbaan, kami mahu pelumba yang mampu bersaing dan menunjukkan keputusan bagus,” jelas Shafriman kepada Utusan.

Damok kini mempunyai peluang terakhir untuk memikat SIC pada pusingan keenam FIM Junior GP yang akan berlangsung di Misano pada 3 September 2022. – Utusan

Seorang penunggang motosikal di India maut selepas lehernya dikelar tali layang-layang ketika dalam perjalanan bersama isteri dan anaknya yang berusia 8 tahun.

Vipin Kumar, 35, dalam perjalanan ke rumah kakaknya untuk menyambut perayaan Rakhi Khamis lalu apabila tali bersalut serbuk kaca tajam itu mengenai lehernya di atas jejambat Taman Shastri.

Susulan kejadian, mangsa yang berlumuran darah dibawa ambulans ke pusat trauma di Civil Lines di mana doktor memaklumkan Vipin telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dibedah siasat dan kes itu sedang disiasat pihak berkuasa.

Kematian Vipin bukan satu-satunya kes membabitkan tali bersalut kaca di Delhi.

Pada 2016, dua kanak-kanak dan seorang penunggang motosikal maut selepas leher mereka dikelar tali layang-layang jenis itu pada perayaan Hari Kemerdekaan negara.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua kanak-kanak itu dilapor berdiri dan menjengah keluar melalui bumbung kereta.

Seorang lagi mangsa, Zafar Khan, 22, sedang menunggang motosikalnya apabila kerongkongnya dikelar, lapor BBC.

Layang-layang ialah aktiviti popular ketika perayaan di India, namun penggunaan tali jenis itu amat berbahaya kerana ia disalut dengan serbuk kaca untuk menjadikannya lebih tajam dan kuat.

Tali bersalut kaca yang digunakan untuk permainan layang-layang telah diharamkan di Delhi sejak 2016 susulan beberapa tragedi yang antaranya meragut nyawa.

Namun, tali murah bersalut serbuk kaca dipercayai dari China itu masih digunakan secara meluas di seluruh negara.

Seorang anggota polis disahkan maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di KM 2, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, semalam.

Anggota polis tersebut menunggang motosikal jenis Benelli TNT600 sewaktu kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi.

Mangsa disahkan sebagia Koperal Zarif Affandi, 31, bertugas di Balai Polis Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Arsad Kamaruddin mengesahkan motosikal mangsa telah merempuh sebuah kereta jenis BMW.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa anggota polis tersebut menunggang motosikal dari Petaling Jaya menuju Genting Highlands.

“Sebaik tiba di tempat kejadian yang merupakan selekoh tajam, motosikal mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta BMW yang datang dari arah tersebut,” jelasnya.

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian setelah mengalami pendarahan dalaman sementara pemandu BMW berusia 63 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, insiden kemalangan tersebut turut dirakam dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman berdurasi 5 saat itu, mangsa seakan tidak menjangka selekoh yang tajam lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan kereta BMW terbabit. – KOSMO

Lebih 30,000 pengunjung telah membanjiri perkarangan Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak di Terengganu bagi menghangatkan program RXZ Members 4.0 yang berlangsung pada Sabtu.

Program tersebut turut memperlihatkan himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia yang dianjurkan buat kali keempat selepas kali pertama diadakan pada 2017 dan kali terakhir pada 2019.

Perhimpunan terbesar itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang membuat pengumuman yang mengujakan peminat sukan permotoran tempatan.

Menurut beliau, kerajaan bercadang untuk membina litar khas bagi perlumbaan ‘drag’ di setiap negeri sebagai usaha membangunkan sukan permotoran tempatan disamping memberi platform lebih selamat untuk anak muda negara berlumba.

“Apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” jelasnya ketika perasmian RXZ Members 4.0 pada Sabtu.

Sementara itu, program RXZ Members 4.0 turut menyaksikan beberapa pengunjung bertuah membawa pulang hadiah berupa sebuah Yamaha R1 dan dua unit Yamaha RXZ. – BH

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu pengumuman telah membenarkan semua jenis basikal untuk menaiki perkhidmatan KTM Komuter.

Kebenaran tersebut telah pun bermula pada 6 Ogos lalu dengan tiada sebarang caj dikenakan pada waktu tertentu. 

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata pihaknya sebelum ini mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal.

Sejak 18 April lalu, tiada lagi sebarang caj dikenakan namun pada waktu itu hanya basikal jenis ‘folding bike’ (basikal lipat) dibenarkan menaiki tren pada hujung minggu. 

Bagaimanapun, dalam pengumuman terbaru, KTM Komuter kini membuka pintu kepada semua jenis basikal untuk dibawa naik. 

Jelas Mohd Zain, semua jenis basikal boleh dibawa naik tren (di luar waktu puncak) pada hari bekerja dan (sepanjang masa) pada hujung minggu. – HM

Hasrat seorang pekerja buruh lelaki berusia 40 tahun untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus, Terengganu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di KM 397.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Ajil, hari ini. 

Mangsa, Mohd. Nazli Dasuki, disahkan meninggal dunia setelah mengalamai kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud memaklumkan mangsa ketika itu sedang berkonvoi bersama 18 rakannya yang turut menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.

“Sebanyak empat kenderaan pacuan empat roda turut serta dalam konvoi tersebut dari Tanjung Karang, Selangor.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan menyertai program Perhimpunan Rakan Motosikal RXZ 4.0 di Gong Badak, Kuala Nerus yang dijadual berlangsung esok (hari ini),” jelasnya.

Difahamkan, motosikal mangsa hilang kawalan lalu menyebabkan kemalangan. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu  untuk tindakan lanjut. – KOSMO

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube