Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Ghairah melakukan aksi ‘superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah kepada pasangan kembar apabila mereka ditahan polis, petang tadi.

Kembar berusia 20 tahun dari Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun, itu ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah stesen minyak jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Berang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata terdahulu pihaknya melakukan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di daerah berkenaan.

Beliau berkata, seramai 14 anggota daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Hulu Terengganu bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu melakukan pemantauan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, ketika membuat pemerhatian di KM388 LPT2 jam 4.13 petang, pihaknya terserempak dengan dua lelaki menunggang motosikal secara berasingan sambil melakukan aksi ‘Superman’.

“Anggota kemudian mengekori motosikal terbabit sejauh dua kilometer sebelum menahan mereka di hadapan sebuah stesen minyak di pekan Ajil,” katanya menerusi kenyataan, hari Ini.

Selepas diperkenalkan sebagia jentera konsep sewaktu di pameran motosikal EICMA 2019, Husqvarna dengan rasminya memperkenalkan Norden 901 secara global pada November, tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas lebih lapan bulan, akhirnya motosikal ‘adventure’ sulung dari syarikat motosikal Sweden itu diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM98,800.

Meskipun dibina berdasarkan platform KTM 890 Adventure, Norden 901 ini tampil dengan rekaan yang jauh berbeza.

Panel badan Norden 901 tampak lebih menonjol dan lebar berbanding 890 Adventure yang lebih minimalis dan lansing.

Bagaimanapun, enjin parallel-twin 890cc yang menghidupakn Norden 901 ini tetap menawarkan 103hp dan 100Nm.

Husqvarna Norden 901 ini juga didatangkan dengan rim depan 19″ dan 18″ belakang dan dipadankan bersama tayar Pirelli Scoprion Rally STR (tubeless) yang sesuai digunakan untuk permukaan jalan dan off-road.

Menariknya sistem suspensi depan dari WP Apex menawarkan jarak perjalanan lebih tinggi dari KTM, iaitu 215mm dan 220mm berbanding 200mm pada 890 Adventure.

Norden 901 juga lengkap dengan ciri elektronik moden antaranya tiga mod menunggang (Rain, Street dan Off-Road) sementara pelanggan juga boleh memilih mod ‘Explore’ yang ditawarkan secara bersaingan.

Ciri menarik lain ditawarkan adalah seperti berikut:

  • quickshifter
  • slipper clutch
  • traction control
  • cornering ABS (dengan mod off-road)
  • lampu LED
  • tangki 19L

Suatu ketika jalan raya di Malaysia ternyata di penuhi dengan jentera KTM terutamanya model 200 hingga 250cc.

Bagi kembali memeriahkan segmen motosikal berkapasiti bawah 250cc di Malaysia, pengedar rasmi jenama KTM disini, Eurotech dengan rasminya melancarkan KTM RC 200 baharu.

Meskipun RC 200 ini kekal dihidupakn enjin satu silinder 199.5cc 4-stroke dengan penyejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan namun KTM telah menala semula platform tersebut,

Hasilnya, KTM RC 200 2022 ini menawarkan 25.4hp dan 19.5Nm.

KTM turut mendakwa model baharu ini juga 1.5kg lebih ringan hasil penggunaan kerangka yang baharu sementara kaliper brek ByBre pula berjaya menjimatkan berat sehingga 960g. Rim juga 1kg lebih ringan berbanding generasi sebelumnya.

Antara ciri lain yang turut ditawarkan:

  • sistem suspensi WP APEX big piston fork
  • monoshock belakang WP APEX
  • cakeran brek 320mm depan dengan kaliper 4-pot
  • cakera brek 230mm belakang
  • ABS Supermoto
  • tangki 13.7L

Antara ciri lain yang turut melengkapi KTM RC 200 baharu ini adalah paparan meter digital LCD dan gabungan lampu depan dan belakang LED.

KTM Malaysia dengan rasminya melancarkan 890 Duke dan 890 Adventure untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua motosikal ini merupakan generasi baharu bagi menggantikan versi 790 sebelum ini.

KTM 890 Duke R – RM75,800

Ketika KTM melancarkan 790 Duke tahun lalu, jentera berkonsep naked itu terus mencuri tumpuan dan mendapat reviu positif. Namun, KTM buat keputusan untuk menaik taraf model 790 kepada 890 bagi tahun 2020.

Kini selepas dua tahun, akhirnya 890 Duke R mendarat di pasaran tempatan dan tampil dengan kuasa lebih tinggi.

Diberi jolokan ‘Super Scalpel’, jentera baharu ini menawarkan 122hp pada 9,250rpm dan 99Nm pada 7,750rpm.

Buat julung kalinya dalam sejarah KTM, model 890 Duke R sememangnya didatangkan dengan enjin bersesaran 890cc, tidak seperti 790 Duke yang sebenarnya menggunakan enjin 799cc.

Sistem transmisi turut dinaik taraf kali ini dengan penggunaan spring lebih ringan bagi memudahkan pertukaran gear.

Kalau nak kejar lebih keterujaan, pelanggan boleh memilih tetapan Quickshifter+.

KTM 890 Duke R ini turut didatangkan dengan pelbagai elektronik terbaru antaranya:

  • Cornering ABS
  • Traction Control
  • Mod tunggangan – RAIN, STREET, SPORT (opsyen TRACK)
  • Kaliper brek Brembo Stylemo Monoblock
  • Fork depan WP (USD) 43mm boleh laras
  • Penyerap hentakan belanag WP APEX boleh laras

Bagi menawarkan keselesaan tunggangan, tempat duduk 890 Duke R naik 15mm berbanding 790 sekaligus ‘ground clearance – 20mm – yang lebih baik.

KTM 890 Adventure – RM96,800

KTM 890 Adventure membuat penampilan sulung sewaktu pelancaran global ketika dunia dilanda Covid-19 sekitar Oktober 2020.

Sama seperti 890 Duke R, model ADV ini juga menggantikan 790 Adventure yang pernah dilancarkan di Malaysia beberapa tahun lalu.

Hasilnya, KTM 890 Adventure tampil dengan enjin parallel-twin 899cc (Euro5) dengan penyejukan cecair yang menawarkan 105hp pada 8,000rpm dan 100Nm pada 6,500rpm berbanding 95hp dan 88Nm pada model 790 Adventure.

KTM turut mendakwa kotak gear kali ini turut telah diperkemas bagi memastikan pertukaran gear lebih efisien dan pantas hasil bantuan klac yang telah diperkukuh di samping opsyen quickhsifter.

Bukan itu sahaja, KTM turut menaik taraf sistem penyerap hentakan WP Xplor yang kini boleh laras sepenuhnya termasuk sistem ABS yang turut merangkumi off-road ABS dan cornering ABS.

Kedua-dua varian turut dilengkapi KTM Motorcycle Traction Control (MTC), sistem yang bertindak mengukur tahap kegelinciran tayar dan ‘lean angle’ bagi memastikan kadar traction yang diperlukan sewaktu menunggang.

Sementara itu, model ini turut didatangkan dengan paparan TFT 5 inci dan tangki berkapasiti 20L.


Pada masa sama, pengalaman tunggangan diperkukuh dengan penunggangan fork USD WP XPLOR 48mm depan dan mono-shock WP XACT PDS belakang serta penggunaan tayar Metzeler Karoo 3 21’depan dan 19′ belakang.

Kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 50 peratus sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Hari ini, pada program Road March 2022, sempena sambutan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka di ibu negara, orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi, walaupun kaunter hanya dibuka pada jam 9 pagi.

Abu Kassim Karim berkata, dia memilih untuk membayar saman di Dataran Merdeka walaupun terpaksa beratur panjang, kerana dia boleh membuat penjimatan dengan berbuat demikian.

“Saya beratur seawal jam 7 pagi, tetapi tidak mengapa kerana saya boleh menjimatkan banyak terutama dalam keadaan ekonomi semasa. Memang berbaloi,” katanya ke Bernama.

Seorang pelajar, Asyraf Mustafa, 18, berkata, diskaun yang diberikan sememangnya dapat meringankan beban semua pihak dan dia amat bersyukur dengan pengurangan itu.

“Pemberian diskaun ini sebenarnya memberi ruang kepada pengguna jalan raya untuk menjelaskan saman masing-masing yang mungkin sudah lama tertunggak,” katanya.

Terdahulu, PDRM dalam satu catatan di akaun Facebook dan Twitter rasminya, mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kesalahan trafik terpilih akan diberikan kepada orang ramai yang membuat pembayaran pada sambutan itu.

Bagaimanapun, kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus waran tangkap, memotong garisan berkembar, melanggar lampu merah, memotong secara berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan tidak termasuk dalam senarai diskaun.

Selain itu, ia juga tidak melibatkan kesalahan dalam kategori tidak boleh kompaun (NC), berstatus percubaan, serta kesalahan berkaitan kenderaan berat dan ubah suai ekzos kenderaan.

Baru-baru ini, seorang pengguna ‘anonymous’ telah berkongsi pengalamannya di Facebook tentang bekas teman wanitanya yang berpisah dengannya kerana seorang lelaki yang memandu kereta Honda City.

Dalam hantarannya beliau berkata:

“4 tahun lalu, gaji bulanan saya RM4,000 dan saya memandu Myvi, dan teman wanita saya meninggalkan saya untuk seorang lelaki yang memandu Honda City.

“Kini, saya memandu BMW316 dan saya berjaya meminta seorang gadis meninggalkan teman lelakinya yang memandu Honda Civic. Saya menganggap ini sebagai membalas dendam yang berjaya! Hati-hati wahai pemandu Honda!”

Ramai netizen menganggapnya lucu dan inilah yang dikatakan sebahagian daripada mereka:

“Lebih baik anda berhati-hati bahawa lelaki yang memandu Ferrari akan mencuri teman wanita anda… Tetapi saya rasa tidak mengapa, kerana anda akan memandu Rolls Royce untuk membalas dendam sekali lagi dalam masa beberapa tahun.”

“Dia boleh mempunyai pemandu yang menghantarnya sekarang.”

“Saya akhirnya faham sekarang, ia kerana saya memandu Proton Saga, sebab itu saya tidak mempunyai teman wanita.”

“Saya dan teman wanita saya selalu membawa Benz ke sekolah semasa kami di sekolah menengah. Kami juga mempunyai pemandu.”

“Bas?,” seorang netizen bertanya kepada komen di atas. “Adakah ini Benz yang anda maksudkan?”

Sebagai pengguna media sosial, kami kadang-kadang terjumpa pelbagai jenis ‘pengakuan’ di Facebook.

Sesetengahnya mungkin serius, lucu, atau langsung tidak masuk akal.

Memandangkan ia adalah siaran tanpa nama, kami juga mengingatkan semua orang, “baca boleh, percaya jangan”.

Aktivis jalan raya Azlan Sani Zawawi, atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi, meminta kerajaan menangani masalah “bottleneck” bagi meredakan sebarang kesesakan ketika pembinaan lebuh raya baharu sebagai penghubung antara koridor lalu lintas timur dan utara Lembah Klang selesai.

Dia turut mencadangkan supaya kerajaan melebarkan jalan raya, khususnya di persimpangan percantuman antara lebuh raya sekitar Lembah Klang bagi mengurangkan risiko kesesakan jalan raya sementara menunggu lebuh raya baharu berkenaan siap dibina.

Katanya, kebanyakan kesesakan berlaku khususnya di waktu puncak melibatkan persimpangan pencantuman antara lebuh raya termasuk laluan keluar-masuk jalan utama.

“Secara amnya kami menyokong semua pelan kemajuan infra negara demi kemudahan pengguna di masa hadapan, namun seringkali pihak kami mendapati tahap pemantauan dan penyelenggaraan amat lemah sehingga menimbulkan banyak masalah terhadap pengguna termasuk kemalangan dan kerugian harta benda.

“Dari satu aspek lain wujud juga masalah trafik teruk di lokasi percantuman lebuh raya ini di laluan lama yang masih belum dinaik taraf,” katanya dalam satu temuduga bersama Free Malaysia Today.

Beliau memberikan sebagai contoh, laluan keluar dari UiTM Puncak Perdana yang bertembung menjadi satu laluan seterusnya mewujudkan keadaan “bottleneck” teruk.

Berikutan itu, katanya, sewajarnya fokus pelebaran jalan sedia ada perlu diselaraskan dengan pembangunan lebuh raya yang dirancang.

Selain itu Azlan yang juga pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya berkata, masalah pemilikan persempadanan yang kompleks di negara ini juga menyukarkan pembangunan infrastruktur jalan raya yang sempurna sehingga mengakibatkan kesesakan khususnya di persimpangan susur keluar lebuh raya.

“Perkara yang sama dilihat berlaku di susur keluar Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta sekitar kawasan Ampang,” katanya.

Katanya, walaupun pihaknya secara asasnya menyokong usaha kerajaan membina lebuh raya baharu, penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya serta menggalakkan orang ramai menggunakannya sebenarnya langkah paling berkesan dalam usaha menangani kesesakan jalan raya di Lembah Klang.

“Kami percaya penambahbaikan sistem pengangkutan awam antara bandar raya lebih baik daripada pembangunan lebuh raya yang tidak teratur,” katanya.

Ducati bakal memperkenalkan tujuh model baharu selepas mendedahkan akan menayangkan tujuh episod sempena Ducati World Premier 2023.

Menurut Ducati , kesemua tujuh episod akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan bermula dengan episode pertama pada 2 September sebelum berakhir pada 7 November 2022, sehari sebelum pembukaan tirai pameran motosikal EICMA di Milan pada 8 November 2022.

Berikut tujuh episod yang akan ditayangkan sempena DWP 2023:

  • Episod 1—The Unexpected (September 2)
  • Episod 2—Ready for More? (September 15)
  • Episod 3—Unlock Earth (September 29)
  • Episod 4—This is Racing (October 7)
  • Episod 5—Push Forward (October 20)
  • Episod 6—Dare to be Bold (October 28)
  • Episod 7—Next Gen Freedom (November 7)

Berbanding DWP sebelum ini yang datang dengan tajuk yang mudah dirungkai (memberi bayangan model apa yang akan dilancarkan) namun Ducati mengambil langkah berbeza kali ini dengan menggunakan tajuk yang am.

Bagaimanapun, episod 4 “This Is Racing” hampir pasti merujuk pada model Panigale terbaru sementara episod akhir, “Next Gen Freedom” mungkin merujuk kepada generasi terbaru Multistrada V4.

Meskipun bakal mendedahkan tujuh model baharu secara virtual seperti edisi sebelumnya namun Ducati sebelum ini telah pun mengesahkan akan kembali ke EICMA.

Ini bermakna, jenama motosikal Itali itu berkemungkinan besar akan membuat satu kejutan besar di Milan nanti selepas selesai kesemua tujuh episod DWP 2023.

Seperti biasa, kami akan membawakan info terperinci bagi setiap satu episod.

Juara dunia empat kali Sebastian Vettel mengumumkan persaraannya daripada Formula Satu pada penghujung musim ini dengan mahu menumpukan lebih masa kepada keluarga serta aktitivi di luar sukan itu.

Jaguh berusia 35 tahun dari Jerman itu menjuarai gelaran dengan Red Bull pada 2010-13 dan menyertai Ferrari selama enam musim sebelum berpindah ke Aston Martin yang sekadar menduduki tempat kesembilan daripada 10 pasukan.

Dia membuat pengumuman itu menjelang Grand Prix Hungary hujung minggu ini, perlumbaan ke-13 dan yang terakhir sebelum berehat seketika Ogos depan.

“Saya dengan ini mengumumkan persaraan daripada Formula Satu pada penghujung musim 2022,” katanya dalam sidang video di Instagram.

“Saya cintakan sukan ini. Ia menjadi sebahagian hidup saya tetapi kehidupan di luar litar perlu difikirkan. Menjadi pelumba kereta tidak pernah menjadi satu-satunya identiti saya.

“Selain perlumbaan, saya ada keluarga yang semakin membesar dan saya mahu berada di samping mereka. Saya mempunyai perkara lain di luar Formula Satu,” kata Vettel, bapa kepada tiga cahaya mata.

Vettel menduduki tangga ketiga dalam senarai pemenang terbanyak perlumbaan sepanjang zaman dengan 53 kemenangan di belakang juara tujuh kali Lewis Hamilton (103) dan Michael Schumacher (91). Kemenangan terakhirnya bersama Ferrari di Monza pada 2019.

Hanya kerana dihalang menggunakan motosikal, seorang lelaki bersenjatakan pisau sanggup mengugut mahu membunuh ibunya di rumah mereka di Bandar Perdana, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, lelaki berusia 20 tahun berkenaan baru tiba di rumah sebelum dia meminta untuk menggunakan motosikal milik ibunya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ibu suspek yang berusia 40 tahun bagaimanapun tidak membenarkannya menggunakan motosikal itu kerana dia baru pulang selepas tiga hari keluar rumah.

“Suspek yang berang secara tiba-tiba mengamuk sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu membunuh ibu dan juga adik-beradiknya yang berada dalam rumah.

“Bimbang dengan tindakan anaknya serta keselamatan mereka sekeluarga, wanita terbabit terus menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota unit peronda polis (MPV) yang menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui bilik gerakan bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja kilang tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selepas dua tahun sejak dipertontonkan kepada umum ketika pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020, akhirnya MODENAS secara rasmi memperkenalkan beberapa model Kawasaki yang dijenamakan semula.

Tiga model dilancarkan untuk pasaran tempatan hari ini menerusi MODENAS Ninja 250 ABS, Ninja 250 dan Z250 ABS.

MODENAS NINJA 250 ABS – RM20,500

Berdasarkan model Kawasaki Ninja 250 ABS sebelum ini, MODENAS Ninja 250 ABS turut didatangkan dengan ciri sama termasuk enjin yang masih kekal bernadikan platform ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘assist/slipper’.

Antara ciri lain turut ditawarkan adalah cakera brek di depan dan belakang dengan fungsi ABS manakala sistem suspensi pula merangkumi fork teleskopik di depan dan monoshock di belakang.

Selain itu MODENAS Ninja 250 ABS ini juga tampil dengan ciri berikut:

  • lampu LED depan dan belakang
  • meter separa digital dan analog
  • tangki 14L

MODENAS Z250 ABS – RM19,500

Turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan adalah MODENAS Z250 ABS yang berkonsepkan motosikal ‘naked’.

Meskipun tampil dengan rekaan berbeza namun Z250 ABS ini turut dikuasakan enjin ‘parallel-twin’ 249cc DOHC yang menghasilkan 36hp dan 23Nm.

Berbanding rekaan ‘full-fairing’ pada Ninja 250 ABS, Z250 ABS pula menampilkan reka bentuk naked dengan elemen Sugomi yang diterapkan Kawasaki pada kesemua model ‘hypernaked’ sedia ada.

Hasilnya, Z250 ABS ini lebih ringan, hanya 165kg.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • fork depan teleskopik 41mm
  • cakera brek 310mm depan
  • ABS dengna kaliper brek Nissin
  • ketinggian tempat duduk 785mm
  • skrin separa digital

Kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat seperti treler dan lori bertembung dengan kenderaan ringan kelihatan seperti makin kerap berlaku baru-baru ini.

Mangsa maut dalam keadaan mengerikan dan ramai jumlahnya membuatkan kes kemalangan ini sangat menyayat hati.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pemandu kenderaan terbabit kemalangan maut ini kadangkala terbabit dengan pengambilan dadah, terlelap ketika memandu dan kenderaan mengalami kerosakan.

Namun, berdasarkan kajian dilakukan penyelidik dan penyiasat forensik kemalangan, kebanyakan kes kemalangan ngeri membabitkan kenderaan berat mempunyai kaitan langsung dengan sikap pemandu.

Pemandu kenderaan berat seperti treler dan lori dilaporkan mengabaikan keselamatan kenderaan lain dan bersikap ego, sekali gus menyumbang kepada kes kemalangan maut.

Ada pemandu dikatakan tidak begitu mengambil peduli ciri-ciri keselamatan pemanduan berhemah seperti menganggap kenderaan ringan patut memberi laluan serta keutamaan kepada mereka di atas jalan raya kerana kenderaan dipandu mereka lebih besar.

Sikap mementingkan diri sendiri ini tidak dinafikan turut menjadi punca utama berlaku kemalangan tragik meragut banyak nyawa pengguna kenderaan ringan.

Antara kemalangan tragik membabitkan kenderaan berat seperti kes seorang lelaki dan tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (km) 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Ipoh, minggu lalu.

Dalam kejadian di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, empat cedera termasuk seorang bayi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, termasuk lori muatan pasir dan besi.

Antara punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku berkemungkinan daripada syarikat pengangkutan atau logistik tidak mendapat maklumat rekod lampau kesalahan pemandu serta latar belakang pekerja sebelum diambil bekerja.

Pihak syarikat juga tidak mempunyai akses untuk melihat latar belakang dan rekod lampau pemandu bakal diambil bekerja dengan syarikat mereka sama ada pemandu pernah melakukan kesalahan lalu lintas dan mempunyai saman ‘berkepuk’.

Selain itu, kebanyakan syarikat pengangkutan didapati tidak memasang alat pengehad kelajuan pada kenderaan berat mereka kerana membabitkan kos tambahan operasi.

Alat ini wajar dipasang dalam usaha untuk mengawal pemandu daripada memandu kenderaan berat melebihi had laju ditetapkan, sekali gus berupaya mengurangkan kadar kemalangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengadakan kursus khas kepada pemandu kenderaan berat khususnya treler dan lori untuk meningkatkan tahap pemanduan dan kualiti servis yang baik.

Beliau turut mengarahkan agensi dan pihak berkaitan termasuk JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) meneliti kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat secara lebih menyeluruh dan mencari kaedah penyelesaian berkesan.

Sementara itu, beliau juga berpendapat JPJ patut lebih tegas dan menyeluruh dalam menyemak rekod pemandu kenderaan berat sebelum meluluskan pembaharuan lesen memandu mereka.

Syarikat pengangkutan juga patut mewajibkan pemandu mereka menghadiri kursus selama satu hingga dua jam bagi meningkatkan semula asas pemanduan serta mengingatkan mereka semula pemanduan berhemah.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube