Bikesrepublic

Keshy Dhillon

Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal secara berbahaya sewaktu berkonvoi untuk bersiar-siar di Pantai Sura, Dungun menerima padah apabila ditahan polis pada kelmarin.

Mereka diekori sepasukan polis sejauh kira-kira 29 kilometer dari Kampung Jambu Bongkok di sini sebelum ditahan di Jalan Pantai Sura, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sembilan remaja lelaki yang berkonvoi itu dikesan melakukan aksi berbahaya oleh sepasukan polis yang sedang melaksanakan Op. Samseng Jalan di Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini.

“Mereka didapati bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi zig zag dan ‘superman’ dengan motosikal masing-masing.

“Ia yang jelas membahayakan bukan sahaja keselamatan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kesemua remaja bermotosikal berkenaan telah diekori sebelum ditahan sewaktu mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Sura.

Tambah beliau, sembilan remaja telah dibawa bersama motosikal masing-masing ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM15,000 dan penjara maksimum lima tahun serta lesen memandu digantung bagi tempoh sama jika sabit kesalahan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya ‘menghidu’ taktik penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menggunakan lesen L (lesen memandu percubaan) bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, kebanyakan golongan itu menggunakan alasan belum memperbaharui lesen penuh (Kelas B) semasa pemeriksaan dijalankan.

“Penunggang motosikal kuasa tinggi yang tidak mempunyai lesen penuh sepatutnya tidak boleh membawa kenderaan berkenaan.

“Mereka membawa kenderaan itu tanpa lesen penuh, namun tidak mempunyai rancangan untuk memperbaharui lesen percubaan dimiliki,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan Ops Lejang di Plaza Tol Bentong, di sini hari ini.

Susulan itu, Aedy meminta agar penunggang motosikal berkuasa tinggi mendapatkan lesen penuh dan tidak bergantung kepada lesen percubaan yang boleh memberi kesan jika berlaku sebarang kemalangan.

Sementara itu, sebanyak 3,000 motosikal diperiksa menerusi Ops Lejang yang dijalankan sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur bermula di Plaza Tol Bentong melibatkan 12 lokasi ‘blackspot’.

Dalam operasi itu, sebanyak 796 buah motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu serta tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

Selepas lima hari umpama mimpi ngeri, pemilik Honda Civic Type-R yang dicuri di Genting, Damien Yeo, akhirnya disatukan semula dengan keretanya pada Rabu (20 Julai).

Namun, kegembiraan apabila dia dimaklumkan keretanya sudah ditemui ternyata agak singkat.

Pihak polis Malaysia telah menemui keretanya di Kondominium Puteri Palma di Putrajaya, iaitu lebih kurang sejam dari Genting, dan Yeo telah dipanggil untuk mengenal pasti keretanya.

Lelaki berusia 28 tahun itu berkata bahawa keretanya hampir “tidak dapat dikenali” kerana bahagian seperti tayar dan rim keluli telah ditanggalkan dan diganti dengan yang lebih murah.

Beberapa bahagian kereta yang dileraikan pencuri turut ditinggalkan di dalam bahagian belakang kereta. Selain itu, balutan kereta hitam juga telah tercabut sehingga menampakkan cat putih asal kereta tersebut.

Malah, kunci kereta juga turut diformat semula supaya kereta itu tidak boleh dipandu dan plat kereta yang didaftarkan di Singapura digantikan dengan kereta Malaysia.

Selain alat ganti kereta, barangan berharga seperti kad tunai dan wang tunai turut dilarikan.

Secara keseluruhannya, eksekutif operasi ini mengira bahawa alat ganti dan barang berharga bernilai lebih $8,000 telah dicuri daripada kenderaan yang diubah suai itu.

Yeo berkata beliau berhasrat untuk memasang alat ganti baharu dan menjangkakan perlu “berbelanja banyak” untuk berbuat demikian.

Pada masa ini, kereta itu berada dengan polis Malaysia.

Walaupun mengalami kerugian, Yeo memberitahu Shin Min dia tidak merungut.

“Saya tidak dapat tidur selama beberapa hari dan kini saya akhirnya lega,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak terlalu berminat untuk membiarkan sejarah berulang.

“Dalam masa terdekat, saya tidak akan berani memandu ke Malaysia,” katanya kepada Shin Min.

Kereta Yeo dicuri ketika dia membuat perjalanan ke Genting Highlands bersama teman wanitanya dan dua lagi rakannya pada 15 Julai.

Kereta itu telah diletakkan di sebuah pusat beli-belah bernama SkyAvenue sekitar jam 12 tengah hari pada hari mereka masuk.

Apabila Yeo pulang keesokan harinya, dia mendapati kereta itu hilang dan membuat laporan polis dengan polis Malaysia ketika itu.

Dia menganggarkan Honda miliknya bernilai kira-kira $220,000.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan hukuman yang lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau ‘mat rempit’ susulan kedegilan golongan itu yang suka menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

“Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1 di sini hari ini.

Beliau berkata ini bertujuan memastikan kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

Selain itu pihak JPJ juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang tahu kawasan-kawasan yang sering menjadi tumpuan kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram.

“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik.

“Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau.

“JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Menurutnya, buat masa ini kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuk tiada lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh.

Pihak JPJ berkata ia tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

Dalam pada itu, JPJ juga memberi amaran kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan laluan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu dan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Jelasnya, JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

Ops Lejang Fasa 1 ini akan diteruskan ke seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan khusus kepada penunggang motosikal di negara ini.

Dalam operasi yang dijalankan di sepanjang laluan Gombak menghala Bentong hari ini, JPJ telah memeriksa lebih 3,000 buah motosikal dengan hampir 800 daripadanya telah dikenakan tindakan saman dan sita atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan paling tinggi hari ini adalah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memilik cukai jalan yang sah.

“Ini kesalahan utama yang tidak sepatutnya berlaku.

“JPJ akan memperketatkan kaedah dan juga tindakan bagi penunggang-penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya dan kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya kepada media.

Selain itu sejak 2018 hingga Jun 2022, sebanyak 3.7 juta motosikal telah diperiksa di mana 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.

Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu (471,665 kesalahan), LKM tamat tempoh (313,174 kesalahan) dan tiada perlindungan insuran (299,772 kesalahan).

Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap pembekal dengan mengharamkan kemasukan alat ganti modifikasi motosikal sebagai usaha menangani gejala lumba haram dalam negara.

Perkara itu disampaikan ketua aktivis, Kamarudin Mohd Hussain yang berkata tidak mungkin anak muda boleh mengubah suai motosikal mereka jika tidak kerana pembekal dibenarkan membawa masuk alat ganti berkaitan ke dalam negara.

“Kenapa hanya pemilik kenderaan khususnya anak-anak muda yang berdarah muda sahaja yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengubah suai motosikal mereka sedangkan pembekal dibebaskan begitu sahaja?

“Jika benar kerajaan ingin menyelesaikan isu ini, lebih baik kerajaan memainkan peranan utama mereka mengharamkan kemasukkan alat-alat ganti pengubahsuaian dan bukannya menzalimi rakyat sendiri.

“Jangan hanya tahu menghukum, tetapi dalam masa yang sama kerajaan yang bertanggungjawab membenarkan alat-alat ganti pengubah suaian dibawa masuk dalam negara dijual kepada rakyat,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Isu ubah suai motosikal dan lumba haram kembali mendapat perhatian selepas insiden kemalangan maut di Pulau Pinang baru-baru ini meragut lima nyawa. – SH

Bengkel yang dikenal pasti melakukan perkhidmatan modifikasi secara melampau dan tidak mengikut standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu ditarik semula lesen perniagaan.

Demikian cadangan dikemukakan pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua

Menurutnya, sebarang ubah suai yang dilakukan tidak boleh mengubah identiti atau menggangu ciri keselamatan yang terdapat pada kenderaan terbabit.

Tambahnya lagi, Akta Pengangkutan Jalan 1987 jelas menyatakan sebarang individu tidak dibenarkan mengubahsuai kendereaan melebihi modifikasi ditetapkan.

“Penguat kuasa mesti ambil tindakan serta-merta dan beri hukuman paling berat kepada pemilik, termasuk menarik semula lesen perniagaan.

“Jika sudah dapat bukti bahawa pemilik bengkel ubah suai motosikal sehingga tidak diterima oleh JPJ, ia sudah menjadi bukti kukuh untuk mereka diambil tindakan,” jelasnya.

Namun, Law Teik Hua mengakui rata-rata yang melakukan modifikasi melampau ini dilakukan secara senyap-senyap di samping perkhidmatan sebegitu ditawarkan ekoran terdapat permintaan.

“Kena ingat, tidak ada permintaan maknanya tidak ada penawaran. Sekarang ada permintaan yang tinggi, jadi pemilik bengkel ini tidak akan berhenti.

“Persoalannya, bagaimana kita nak hentikan permintaan itu?

“Ramai kata polis kena buat kerja, tapi ada kalanya kita pun kasihan dengan polis kerana sebenarnya agak sukar untuk mat rempit dimasukkan ke penjara, melainkan mereka menyebabkan kemalangan yang membawa kematian,” tambahnya. – SH

Pengeluar motosikal China, CFMoto telah menambah varian ketiga dalam keluarga 700CL-X apabila memperkenalkan versi ADV.

CFMoto 700CL-X ADV itu sertai varian Sport dan Heritage yang telah pun diperkenalkan sebelum ini.

Berbanding Heritage yang menampilkan rekaan neo-retro sementara Sport pula lebih bercirikan kontemporari, 700CL- X ADV tampak lebih lasak dan agresif dengan elemen scrambler.

Model 700CL-X ADV itu diperkenalkan tiga tahun selepas syarikat motosikal China itu mendedahan model konsep ketika di EICMA 2019.

Difahamkan, varian ketiga dalam portfolio 700CL-X itu alami kelewatan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini.

Perbandingan ketara antara ADV dan dua varian sedia ada adalah ciri Scrambler yang lebih ketara, ini termasuk penggunaan tayar depan 19-inci dengan rim jenis lidi (wire-spoke), serta kedudukan ‘beak’ (paruh) depan yang lebih tinggi.

Di samping itu, CFMoto turut memasang panel khas bagi memudahkan pemasangan ‘panniers’.

Bukan itu sahaja, CFMoto 700CL-X ADV ini juga menawarkan mod menunggang ‘off-road’.

Namun, model baharu ini masih lagi dikuasakan enjin 693cc dua silinder yang sama seperti varian Heritage dan Sport, yang mampu menghasilkan 74hp pada 8,500rpm dan 68Nm pada 6,500rpm.

Sementara itu, kami sempat menjengah CFMOTO Malaysia yang merupakan pengedar rasmi jenama CFMoto di Malaysia.

Menurut info disampaikan, model 700CL-X ADV itu dijangka akan tiba di pasaran tempatan sekitar awal tahun depan (2023).

Buat masa ini hanya satu varian Heritage ditawarkan di pasaran Malaysia dengan harga RM28,800.

Lumba jalanan haram kekal sebagai jenayah biasa di negara-negara di seluruh dunia, tetapi menurut seorang pakar psikologi trafik, “tiada penyelesaian sebenar” untuk masalah sejagat ini.

Presiden Persatuan Psikologi Lalu Lintas Jerman, Wolfgang Fastenmeier, mengatakan bahawa pendekatan pendidikan memang wujud, seperti “kursus kemalangan” di mana pemandu laju dimaklumkan tentang akibat kemalangan jalan raya.

Tetapi tidak jelas sama ada pendekatan ini membantu atau tidak`, profesor psikologi trafik Berlin memberitahu akhbar Mannheimer Morgen.

Kebanyakan pelumba jalan raya yang menyalahi undang-undang kelihatan hidup “dalam sejenis dunia selari”, kata Fastenmeier. “Mereka hanya mahu berlakon dan menunjukkan kelebihan mereka (yang hanya mereka rasa) berbanding orang lain.”

Jerman adalah antara negara yang bergelut dengan masalah lumba jalanan haram yang berterusan, dan denda dan juga sabitan pembunuhan berprofil tinggi tidak berjaya menghalang mereka daripada menggunakan jalan awam untuk menguji had kereta mereka.

Hukuman yang lebih keras juga selalunya tidak membantu pelumba haram, kata Fastenmeier.

“Hukuman hanya berkesan jika terdapat tingkah laku alternatif bagi pesalah untuk melanggar peraturan atau jika tingkah laku yang tidak diingini – dalam kes ini, memandu laju – tidak begitu tegas dalam kelakuan mereka,” katanya kepada akhbar itu.

“Tetapi itu tidak berlaku dengan pelumba. Sebaliknya, itulah yang mereka mahu lakukan.”

Pelaku kebanyakannya adalah golongan muda yang berasal dari latar belakang sosial yang sukar dan boleh mewakili sesuatu dengan kereta mereka “yang mereka tidak akan menjadi”.

Pada 2019, dua lelaki di Jerman disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Berlin selepas perlumbaan jalanan haram yang mengakibatkan kematian seorang lelaki warga emas.

Perlumbaan sebegitu juga telah menyebabkan berpuluh-puluh kematian dan penangkapan yang tidak terkira banyaknya di Amerika Utara, manakala di Hong Kong polis kerap merampas kereta sport mewah daripada pelumba jalanan yang disyaki haram.

Di Vietnam, polis telah menggunakan senjata api untuk menjenamakan pelumba haram di jalanan Hanoi, di mana perlumbaan popular di kalangan belia tempatan dan selalunya bertepatan dengan acara sukan besar.

Daripada mengejar penunggang motosikal muda dan berisiko mengalami kemalangan, polis menggunakan senjata api untuk mengenal pasti pelumba selepas perlumbaan tamat dan orang ramai telah bersurai.

Di Malaysia pula, keadaan tidak jauh berbeza dengan kejadian baru-baru ini apabila empat maut dan tiga cedera parah akibat perlumbaan haram motosikal.

Oleh itu, pihak berkuasa seluruh dunia seharusnya mencari penyelesaian kepada masalah ini demi kebaikan masyarakat.

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengatakan bahawa jika ia menceburi kenderaan elektrik (EV), ia akan menjadi EV tulen dan bukan EV hibrid plug-in.

“Jika kita menceburi EV, ia akan menjadi EV yang lengkap dan sesuai,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad pada majlis pelancaran Perodua Alza baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Zainal, bagaimanapun, mencadangkan bahawa usaha EV oleh Perodua tidak akan datang dalam masa terdekat kerana beliau berkata kenderaan sedemikian masih memerlukan kajian pasaran dan pelanggan, manakala tabiat pemanduan juga perlu diubah.

Sementara itu, Ismail Sabri menggesa Perodua dan syarikat utiliti nasional Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama dalam memperkenalkan kadar caj EV mampu milik untuk rakyat.

Perdana menteri berkata TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran tenaganya dengan menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menyediakan stesen pengecas EV yang mencukupi.

“Pada masa sama, Perodua boleh menggunakan peluang ini dengan meneroka bidang baharu seperti menghasilkan EV berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh keluarga Malaysia.

Malah, syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia juga boleh bekerjasama dengan kedua-dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang membolehkan pengguna untuk menempah sesi pengecasan EV dalam talian,” tambahnya.

Perodua Alza 1.5L 2022 baharu telah menerima 30,000 tempahan yang memecahkan rekod sebelum pelancaran rasminya, yang turut dihadiri rakan kongsi strategik Perodua Daihatsu Motor Co, Soichiro Okudaira dan pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin.

Pesanan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah jenama itu setakat ini, menurut Zainal.

Beliau berkata hampir 4,000 pelanggan telah menukar pesanan Alza mereka kepada versi terkini walaupun sebelum ia dibuka untuk tempahan pada 23 Jun.

“Sesetengah pelanggan kami akan menerima Alza serba baharu mereka daripada 195 bilik pameran jualan sah di seluruh negara mulai hari ini.

Kami juga memberi jaminan kepada pelanggan kami yang menempah Alza 2022 mereka pada atau sebelum 30 Jun bahawa mereka akan menerima kenderaan mereka sebelum 31 Mac , tarikh akhir 2023,” tambahnya.

Perodua telah melabur RM770 juta untuk membangunkan model baharu Alza mulai April 2018.

Ia dibangunkan bersama di bawah Daihatsu New Global Architecture (DNGA) di mana pereka dan jurutera Malaysia bekerja dengan rakan sejawatan mereka dalam Daihatsu Motor Co. dari Jepun.

Ia merupakan model kedua dibangunkan di bawah DNGA selepas Perodua Ativa yang diperkenalkan pada Mac 2021.

“Perkongsian ini telah membolehkan Perodua dan pembekalnya bekerjasama dengan Daihatsu untuk mencapai skala ekonomi dan meningkatkan kos pembangunan model baharu – yang dalam kes ini ialah Alza 2022,” kata Zainal.

Alza baharu boleh didapati dalam tiga varian dan dijual pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk H dan AV berspesifikasi tinggi pada harga RM75,500.

Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia dengan cukai jualan dan tanpa insurans.

Tumpuan kenderaan pelbagai guna itu adalah ruang dalamannya yang lebih besar berbanding pendahulunya terutamanya di baris ketiga, dan kini dengan unit penghawa dingin belakang.

Semua varian dijalankan pada enjin 1.5L Dwi VVT-i EEV yang dipasangkan dengan transmisi D-CVT kecekapan bahan apinya juga telah dipertingkatkan dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya dengan sehingga 22km seliter.

Ciri baharu lain termasuk pemandangan panoramik 360, brek letak kereta elektronik dengan penahan brek automatik, brek cakera belakang dan mod pemanduan baharu: Normal, Eko dan Kuasa.

Semua varian datang dalam lima pilihan warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, dan Elegant Black dan Vintage Brown yang baharu.

MIMOS Bhd membangunkan motosikal Range Extended Electric Vehicle (RE-EV) yang pertama di Malaysia dengan kerjasama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

MIMOS, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan projek RE-EV adalah melalui program High Value-Added and Complex Product Development Programme (HVA), iaitu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan sektor pembuatan dalam membangunkan produk bernilai tambah tinggi serta kompleks.

Projek RE-EV yang mengambil masa selama dua tahun itu disepadukan dengan genset enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk memberi pengecasan tambahan kepada bateri yang boleh memanjangkan jarak perjalanan.

“Jika dibandingkan dengan EV hibrid di mana kedua-dua ICE dan motor elektrik dijadikan sistem drivetrain, RE-EV pula ialah sebuah sistem yang lebih ringkas, di mana ia tidak memerlukan rantai pemacu untuk memutar roda.

“Ini akan mengurangkan kerisauan penunggang ketika memandu jarak jauh kerana genset akan diaktifkan apabila tenaga bateri sedia ada menurun di bawah ambang tertentu,” menurut kenyataan itu.

Motosikal RE-EV yang disempurnakan bulan lalu itu dibangunkan dengan penggunaan bateri boleh ditanggalkan yang juga boleh disokong dengan pertukaran bateri.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Dr Iskandar Samad, berkata geran kerajaan seperti HVA terbukti mampu membantu industri dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan pengkomersialan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi, terutama untuk perusahaan Malaysia dengan menawarkan banyak peluang ekonomi.

“Pembangunan motosikal RE-EV ini diharapkan dapat menjadi pendorong utama industri kenderaan dua roda bukan sahaja di pasaran domestik, malah pasaran serantau.” katanya.

Selain motosikal RE-EV, MIMOS juga telah menyempurnakan dua lagi projek di bawah geran HVA iaitu Application Specific Integrated Circuit (ASIC) dengan kerjasama Oppstar Technology Sdn Bhd dan Asset Optimisation Leveraging on IIOT Technologies for O&G Industry dengan kerjasama Neu Zenith Sdn Bhd yang berjaya disiapkan pada April 2021.

ASIC ialah sebuah projek mereka bentuk harta intelek (IP) dengan klasifikasi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pemain industri semikonduktor dengan menyediakan IP ASIC yang boleh disepadukan ke dalam set cip AI semikonduktor mereka dan menyediakan klasifikasi AI pada cip data raya.

Projek IIOT Technologies for O&G Industry pula, MIMOS membangunkan Sistem Pemerolehan Data berasaskan IOT Tanpa Wayar untuk Persekitaran Kasar (iDASH) untuk mengukur pelbagai parameter seperti getaran, akustik dan suhu dalam persekitaran yang kasar seperti minyak dan gas.

Menurut kenyataan itu, MIMOS komited untuk menyokong dan bekerjasama dengan pemain industri dalam menjayakan projek bagi memacu industri dan perniagaan Malaysia ke arah automasi dan pendigitalan bagi membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain memperkasakan industri.

Kejadian kemalangan maut babitkan lima individu di Pulau Pinang baru-baru ini mendapat perhatian ramai pihak susulan berkait dengan gejala lumba haram di negeri itu.

Sehubungan dengan itu, ramai pihak yang berpendapat bahawa kejadian seumpamanya itu boleh ditangani sekirannya kerajaan negeri mewujudkan litar lumba agar kejadian lumba haram yang meragut lima nyawa itu tidak berulang.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah pun membuka proses permohonan pengemukaan cadangan (Request for Proposal) tahun lalu namun tiada satu syarikat pun yang memberi maklum balas.

“Sebelum ini kita ada satu cadangan untuk membuka satu litar besar di Batu Kawan, kita telah menjemput syarikat-syarikat yang layak untuk menyertai RFP projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

“Kita telah berusaha untuk elak kejadian sedemikian (kemalangan) tetapi tidak ada syarikat yang memberi respond kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” jelasnya.

Pulau Pinang sebelum ini telah pun bercadang untuk membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri dengan tanah berkeluasan 2.8 hektar itu dilihat lokasi sesuai untuk pembinaan tersebut. – KOSMO

Satu video memaparkan bekas Imam Masjidilharam menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi lengkap dengan berpakaian moden, menjadi tular dalam media sosial.     

Berdasarkan video dirakam oleh seorang peminat di aplikasi Snapchat, Sheikh Adel Al-Kalbani dilihat sedang duduk di atas motosikal jenis Harley Davidson di tepi jalan. 

Malah, Sheikh Adel juga kelihatan memakai jaket dengan bendera negara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa lagi ikon di atas pakaian itu.  

“Sheikh Adel tersenyum dan menunjukkan isyarat dua jari berbentuk `V’ sebagai simbol kedamaian selepas peminat yang merakam video meminta beliau berbuat demikian,” jelas laporan Al Arabiya

Nama Sheikh Adel menjadi sohor kini di Twitter sejak rakaman video itu tular dalam media sosial, Isnin lalu.

Malah, tindakan bekas Imam Masjidil Haram itu juga mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh Arab Saudi kerana dianggap luar biasa dan berbeza dengan ulama lain.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berpandangan cara Sheikh Adel berpakaian mungkin sukar diterima oleh sesetengah rakyat. 

“Pada hemat saya, Sheikh Adel tidak melakukan sebarang perkara yang dilarang. Beliau bebas membuat apa sahaja dimahukan.

“Namun, kita sudah biasa melihat golongan imam terutama Imam Masjidil Haram berpakaian dengan cara tertentu. Jadi, kami sukar menerima perkara ini,” katanya di Twitter.

Bagaimanapun, rata-rata warganet memuji penampilan baharu Sheikh Adel dengan ada yang menggelar beliau sebagai tokoh luar biasa.     

Ramai juga yang menganggap apa yang dilakukan oleh bekas Imam Masjidil Haram itu sebagai satu bentuk kebebasan baginya.  

“Apa salahnya memakai pakaian moden. Ini adalah kebebasannya. Tiada siapa yang akan mempertanggungjawabkan individu itu melainkan Allah.

“Jadi, mengapa mahu kecoh mengenai isu ini,” kata seorang pengguna yang menjawab komen negatif pada video tersebut.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube