Sebanyak 3,302 kes kematian telah direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga September tahun lalu.
Angka kematian tersebut adalah sebahagian daripada 255,532 kemalangan yang dilaporkan pada tempoh sama.
Angka membimbangkan itu ternyata menggambarkan risiko yang dihadapai pengguna jalan raya ketika ini sehinggakan Malaysia menduduki tangga kelapan dunia sebagai negara yang mempunyai jalan raya paling bahaya untuk pengguna.
Bagaimanapun, selain daripada berdepan keadaan trafik yang membahayakan, keadaan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyumbang kepada angka kematian tinggi.
Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, sebanyak 285 kes kematian dicatat antara 2014 hingga 2018 berpunca dari jaan berlubang.
“Jika kita amati statistik ini, ia menunjukkan betapa seriusnya kemalangan melibatkan jalan berlubang.
“Kebiasaannya kemalangan berlaku ketika pemandu atau penunggang terpaksa mengelak lubang di atas jalan raya sehingga mereka memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, berlaku pertembungan kereta tersebut dengan pemandu lain. Keadaan jalan raya yang berlubang ini juga bukan isu baharu, namun sehingga kini perkara tersebut tiada penyelesaian,” jelasnya.
Sementara itu, Teik Hua juga berkata peningkatan jumlah penunggang motosikal dan kadar kesesakan tinggi pada waktu puncak di musim perayaan dan cuti sekolah juga antara penyumbang kepada kenaikkan jumlah kemalangan. – KOSMO