Bikesrepublic

Modenas Dengan Rasminya Melancarkan Modenas Pulsar RS200, NS200 Dan V15 – Dari RM5989

  • Modenas dengan rasminya telah menyingkap tirai mendedahkan tambahan terkini bagi rangkaian 2017 mereka, Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200 dan Modenas V15.
  • Seperti yang dijangkakan, Pulsar RS200 dan NS200 menggunakan enjin empat lejang satu silinder, SOHC, 200cc dengan sistem tiga palam pencucuh menghasilkan 24.5hp dan 18.6Nm tork.
  • Modenas V15 pula didatangkan dengan enjin DTS-i 150cc yang menjana 11.8hp dan 13Nm tork.


Modenas akhirnya telah mendedahkan motosikal-motosikal terbaru yang ditunggu-tunggu untuk pasaran Malaysia; motosikal lumba Modenas Pulsar RS200, motosikal naked Modenas Pulsar NS200, dan motosikal retro Modenas V15. Pelancaran telah diadakan awal hari ini di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam.

Modenas Pulsar RS200 2017 – RM11,342.00 (asas beserta GST)


Modenas Pulsar RS200 terbaru ini yang didasarkan daripada Bajaj Pulsar RS200 merupakan motosikal lumba Modenas yang pertama dibuka untuk pasaran Malaysia. Melihat kepada rekabentuk keseluruhannya yang garang serta maskulin, RS200 ini tampak gah sekali.

Sebagai motosikal lumba pertama mereka, Modenas membuat pilihan yang tepat sekali dengan Pulsar RS200 ini. Dari rekaan reraup hadapannya sehinggalah ke bahagian ekor dan ekzosnya, ianya sebuah motosikal yang tidak jemu dipandang mata tiap kali anda puas menunggangnya. Fokus utama bagi rekabentuk keseluruhannya adalah kegarangan dan maskuliniti.

Dijana oleh enjin empat lejang, satu silinder, SOHC, dengan sejukan cecair dan teknologi suntikan bahanapi, Pulsar RS200 ini menghasilkan 24.5hp pada 9,750rpm dan 18.6Nm tork pada 8,000rpm. Enjin bagi kedua-dua Pulsar RS200 dan NS200 dilengkapi dengan teknologi tiga palam pencucuh yang memastikan pembakaran yang cekap dan lancar.

Aspek suspensi bagi RS200 dilengkapkan dengan fork teleskopik dengan bush anti-geseran yang dilengkapkan pada bahagian hadapan dan dibelakangnya pula sistem penyerap mono dengan kanister Nitrox. Apa yang lebih menggiurkan mengenai RS200 ini adalah ia didatangkan dengan sistem ABS satu saluran yang bekerjasama dengan cakera brek hadapan 300mm. Bersama dengan cakera belakang 230mm, menghentikan RS200 dengan selamat dan cekap tidak menjadi masalah.

RS200 ini juga dilengkapi dengan tangki bahanapi 13 liter yang menjadikan berat keseluruhannya hanya pada 164kg. Dan ini menjadikan RS200 ini agak ringan bagi kategorinya dan juga menyumbang kepada tunggangan yang ringan dan pengendalian yang lincah tidak mengira sebarang situasi penunggangan.

Modenas Pulsar RS200 2017 ini dikatakan berharga RM11,342 (asas dengan GST) dan terdapat dalam dua warna berbeza; Hitam dan Biru.

Modenas Pulsar NS200 2017 – RM9,222.00 (asas dengan GST)


Inginkan motosikal naked? Tidak perlu khuatir kerana Modenas juga telah melancarkan si cantik jelita Modenas Pulsar NS200. Versi naked RS200 ini juga dijana dengan enjin suntikan bahanapi, satu slinder 200cc yang sama yang datang dengan sistem tiga palam pencucuh yang menghasilkan 24.5hp dan 18.6Nm tork.

Pakej suspensinya kekal sama namun yang lain-lain berbeza daripada RS200. Untuk aturcara breknya, NS200 dilengkapkan dengan cakera hadapan 280mm berfungsi secara hidraulik dan cakera brek belakang 230mm. ABS tidak ditawarkan bagi NS200 ini.

NS200 dilengkapi dengan tangki bahanapi 12 liter dengan berat keseluruhan hanya 155kg, NS200 ini ternyata lebih ringan daripada RS200 menjadikannya sesuai untuk penunggangan dalam bandar dan menyusup di antara trafik sesak.

Modenas Pulsar NS200 2017 serba baru ini telah ditetapkan pada RM9,222.00 (asas dengan GST) dan terdapat dalam dua warna berbeza; Hitam dan Merah.

Modenas V15 2017 – RM5,989.00(asas dengan GST)


Nampaknya Modenas juga adalah penggemar motosikal retro atau moden klasik. Ini terbukti dengan Modenas V15 terbarunya. Melihat pada jentera yang sungguh indah ini, kami sejujurnya merasakan ianya pilihan yang lain dari yang lain dalam pasaran Malaysia yang dipenuhi dengan moped, kapchai dan skuter. Modenas V15 ini sesuai sekali bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih istimewa.

Dijana oleh enjin DTS-i 150cc yang serba baru, V15 ini dilengkapi dengan teknologi pencucuh berkembar yang menghasilkan 11.8hp pada 7,500rpm dan 13Nm tork pada 5,500rpm. Temanya yang ringkas tetapi penuh fungsi dapat dilihat pada pakej suspensinya dengan fork hadapan teleskopik dan penyerap hentakan gas berkembar di bahagian belakang.

Kesemua kuasa itu dipacu ke roda belakang 16 inci melalui kotak gear lima kelajuan dengan pacuan rantai terakhir. Roda hadapan 18 inci yang mengikut tema retro digandingkan dengan cakera brek 240mm sementara bahagian belakangnya dilengkapi dengan brek drum 130mm.

Motosikal V15 ini juga mempunyai pilihan penutup pelana pembonceng untuk lebih bergaya apabila anda menunggang bersendirian. Untuk harganya pula, Modenas menawarkan V15 ini pada harga yang mampu dimiliki, RM5,989.00 (asas dengan GST). Sama seperti motosikal-motosikal sebelum ini, ia juga didatangkan dengan dua pilihan warna: Hitam dan Putih (kedua-duanya bersama kemasan warna merah).

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk lebih banyak perkembangan terkini mengenai ketiga-tiga motosikal ini.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube