Seramai 4,225 calon Program Peralihan Lesen Kelas B telah lulus setakat November tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata daripada 5,477 calon yang menduduki program peralihan itu, 23 peratus daripadanya iaitu 1,251 calon terkandas dalam proses ujian berkenaan.
“Setakat 27 November, 177 institut memandu (IM) daripada 245 IM telah terlibat dalam menawarkan program peralihan ini,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai langkah kementerian untuk memastikan pengusaha pusat lesen memandu menerima dan memproses permohonan yang telah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi program itu.
Loke berkata kementeriannya dan JPJ sentiasa memantau pelaksanaan program itu dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana IM yang telah memberikan komitmen dalam pelaksanaan program itu, namun gagal memproses permohonan orang awam.