Aprilia telah pun melancarkan skuter ADV sulung menerusi SR GT 200 di Jepun, beberapa bulan selepas didedahkan kepada umum di EICMA, November tahun lalu.
Walaupun tampil dengan dua varian, 125 dan 200, namun hanya model yang lebih besar diperkenalkan di negara matahari terbit itu.
Meskipun sebuah skuter, namun Aprilia masih mengekalkan DNA rekaan sama seperti model berkuasa tinggi lain terutamanya di bahagian lampu depan yang tampil dengan ciri tri-LED dengan fungsi DRL (daytime running light).
Namun rekaan menarik tertumpu kepada bahagian keseluruhan badan yang menampilkan elemen ADV (seperti Honda ADV 150) antaranya penghadang angin tinggi dan rekaan agresif.
Aprilia SR GT 200 ini juga dilengkapi dengan ‘handlebar’ yang lebar dan tempat letak kaki yang luas bagi memastikan tunggangan kekal selesa untuk kegunaan harian.
Skuter maxi 200cc ini juga dilengkapi dengan paparan digital LCD dan sistem enjin start/stop automatik bagi memastikan penjimatan minyak lebih baik sewaktu berhenti.
Antara ciri menarik lain ditawarkan:
- tangki 9L
- fork teleskopik 33mm Showa
- penyerap hentakan berkembar Showa
- cakera brek 260mm depan dan 220mm belakang
- rim 14-inci depan, 13-inci belakang
- tayar jenis ‘knobby’
Aprilia SR GT 200 ini dikuasakan enjin satu silinder 174cc yang menjana 17.32hp pada 8,500rpm dan 16.5Nm pada 7,000rpm.
Untuk pasaran Jepun terdapat dua varian ditawarkan, Standard dan Sport yang dibezakan hanya menerusi pilihan warna dan grafik.
Aprilia SR GT 200 ditawarkan pada harga JPY550,000 (RM20,009).