Seperti yang kami terbitkan sebelum ini, Aprilia Tuareg 660 telah mengejutkan semua orang apabila ia memenangi rali Africa Eco Race tahun lepas dalam percubaan sulungnya. Oleh itu, kilang itu berazam untuk mempertahankan gelaran itu dengan Aprilia Tuareg 660 Rally pada tahun ini.
Akhirnya, pelumba Itali Jacopo Cerutti yang menunggang Aprilia telah menewaskan Alessandro Botturi yang menunggang Yamaha Ténéré 700 dengan hanya 26 saat. Pertarungan itu mendebarkan apabila kedua-dua pelumba itu mara ke peringkat terakhir dengan hanya 9 saat memisahkan mereka untuk kedudukan keseluruhan. Kedua-dua pelumba Itali itu bertarung untuk setiap kilometer tetapi Botturi, selain kesilapan navigasi, mendapati motosikalnya tersangkut dalam jaring yang diseretnya ke garisan penamat.
Cerutti bukan sahaja telah menaklukki perlumbaan yang melelahkan itu, tetapi juga beberapa cabaran seperti virus usus, masalah dengan ‘mousse‘ di dalam tayar belakangnya, dan peralatan navigasi yang tidak berfungsi. Akhirnya, Cerutti mempertahankan gelarannya sehingga ke kilometer terakhir, dan meraih lima kemenangan peringkat dan dua lagi podium.
Dia berkata, “Memenangi Africa Eco Race untuk tahun kedua berturut-turut adalah suatu impian. Kami mempunyai kelebihan yang luar biasa dalam pasir, kerana gaya tunggangan saya dan prestasi Tuareg Rally, dan saya dapat mengeksploitasinya sepenuhnya. Ia adalah edisi di mana strategi adalah asas dan, dalam dua hari lepas, saya mencapai satu cabaran yang saya fikir tidak mungkin. Tahniah juga kepada Alessandro Botturi, ia sangat bagus untuk mempunyai lawan seperti dia dan berjuang hingga ke akhir.”
Rakan sepasukan Cerutti, Marco Menichini, meraih kemenangan dalam kelas Junior Bawah 25 dan keenam keseluruhan, serta tempat ketiga dalam kelas berbilang silinder, pada Aprilia Tuareg 660 yang lain. Ia merupakan perlumbaan yang pertama di dalam Africa Eco Race bagi Menichini.
Bintang Yamaha, Pol Tarres turut bertanding dalam Africa Eco Race tahun ini tetapi terhempas di Kilometer 111 Peringkat 2 ketika berjuang untuk kemenangan. Dia tidak sedarkan diri selama beberapa minit dan terpaksa dibawa ke hospital dengan menaikki helikopter. Dia selamat dan sedang pulih daripada kecederaannya.
Edisi keenam belas ini bermula di Monaco dan menyeberang ke landskap Maghribi, Mauritania dan Senegal yang menakjubkan. Perlumbaan ini sebenarnya mengikut laluan Paris-Dakar Rally yang asli dan legasi Thierry Sabine, dan oleh itu, ia telah dikenali sebagai “Perlumbaan Sebenar ke Dakar” dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menjangkau 14 hari dan 12 peringkat yang mencabar, ia meliputi kira-kira 6,000 km rupa bumi yang amat sukar.