Bikesrepublic

Basikal Catat 137 Kemalangan, 56 Kematian Tahun Ini – PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan 137 kes kemalangan babitkan penunggang basikal telah direkodkan dari Januari hingga Oktober, tahun ini.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias yang turut memaklumkan daripada jumlah itu, 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan dicatatkan.

Bagaimanapun, terdapat penurunan berbanding tahun 2019 yang merekodkan 201 kemalangan dengan 107 kematian, 37 cedera parah dan 59 cedera ringan.

Aktiviti berbasikal menjadi trend ketika ini sekaligus terdapat pertambahan jumlah penunggang basikal di jalan raya.

Namun, senario itu mengundang pelbagai reaksi tatkala ada yang membuat kayuhan di kawasan berisiko termasuk di lebuh raya.

Azisman tidak menafikan aktiviti berbasikal boleh menggangu pengguna jalan raya lain namun meminta semua pihak bertimbang rasa.

“Aktiviti berbasikal di jalan raya boleh mengganggu kelancaran perjalanan kerana kenderaan lain turut menggunakan laluan sama setiap masa yang boleh mengundang risiko kemalangan.

“Pemandu kenderaan seperti lori, bas, kereta, motosikal dan seumpamanya turut diingatkan supaya bertimbang rasa serta berhati-hati ke atas penunggang basikal kerana mereka lebih terdedah kepada bahaya,” jelasnya.

Pada masa sama, Azisman menasihatkan penunggang basikal untuk memilih lokasi selamat dan sesuai terutamanya kawasan yang kurang kenderaan dan bukan waktu puncak.

“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan,” tambahnya.

Aktiviti berbasikal menjadi pilihan gaya hidup sihat dikalangan rakyat Malaysia namun ada segelintir yang mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya apabila berkayuh dalam kumpulan besar dan tidak mengendahkan peraturan jalan raya.

Terbaru, ada penunggang basikal yang didapati membuat kayuhan di tengah-tengah Lebuhraya Persekutuan pada pada waktu puncak.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube