Motosikal pengembaraan Benelli TRK552 (2024) baharu telah diperkenalkan.
Benelli TRK552 baharu ini merupakan pengganti kepada Benelli TRK502 yang membuat penampilan sulungnya pada 2017. Model yang lama itu telah melalui beberapa kemaskini, walaupun tiada yang ketara. Bagaimanapun, kelas pengembaraan 400cc hingga 500cc semakin hangat sejak itu, kerana beberapa pencabar baharu telah memasuki arena termasuklah KTM 390 Adventure, CFMoto 450 MT-X/Ibex, Royal Enfield Himalayan, Fantic Caballero 500, dan lain-lain. Jadi, sudah tiba masanya Benelli mengemaskini TRK kelas pertengahan ini.
Ciri-ciri utama:
- Enjin TRK502 yang lama agak “semput” apabila dibandingkan di kalangan pesaingnya. Jadi, enjin berkembar selari 549cc baharu itu ditingkatkan kuasanya kepada 61 hp pada 8,500 RPM dan tork kepada 54 Nm pada 6,000 RPM.
- Tambah lagi, enjin baharu ini menggunakan engkol 270-darjah untuk meniru susunan pemasaan enjin V-twin 90-darjah V-kembar, dan membuang engkol 360-darjah yang lama. Engkol 360-darjah bermaksud kedua-dua piston naik dan turun bersama-sama.
- Model lama itu juga terlalu berat untuk kategorinya, jadi Benelli telah menurunkan berat basah TRK552 kepada 226 kg (kurang 5 kg). Berat keringnya sekitar 215 kg.
- Lampu utama dan lampu isyarat LED untuk menggantikan mentol halogen dan pijar yang kuno.
- Suspensi Marzocchi boleh laras di depan dan belakang, dan lengan ayun aluminium yang baharu.
- Sistem brek J. Juan dengan ABS dwi-saluran. J. Juan kini dimiliki oleh Brembo.
- Skrin TFT baharu dengan pautan telefon pintar, menggantikan LCD lama yang malap.
- Walaubagaimanapun, model baharu ini tiada ciri mod tunggangan.
Benelli TRK552 (2024) kini sedang dijual di China, jadi terdapat kemungkinan besar bahawa pengedar tempatan, MForce Holdings akan membawanya ke sini tidak lama lagi.