Meskipun menjadi pemilik jenama motosikal pesaing namun itu tidak menyekat Ducati Malaysia menjemput BMW GS Owner Club Malaysia untuk merasai sendiri tawaran terbaru, Ducati Multistrada V4 S.
Multistrada V4 S merupakan motosikal ‘adventure-touring’ terbaru dari kilang Borgo Panigale yang dianggap sebagai seteru utama bagi model BMW R 1250 GS ketika ini.
Seramai 22 pemilik BMW GS pelbagai model telah hadir memeriahkan sesi tunggang uji Ducati Multistrada V4 S di pusat pameran Ducati Petaling Jaya, semalam.
Turut kelihatan yang hadir ke acara tersebut adalah selebriti automotif tempatan, Hezeri Samsuri dari Careta.my yang juga merupakan satu daripada empat pemilik BMW F 850 GS Adventure di Malaysia.
Jemputan oleh Ducati Malaysia untuk pemilik BMW GS ini adalah inisiatif terbaru bagi memberi peluang kepada semua pemilik motosikal berjenama lain untuk merasai sendiri barisan model terbaru Ducati.
Selain diberi peluang menunggang uji, mereka yang hadir juga sempat diberi penerangan mengenai sistem elektronik antaranya teknologi sensor radar yang terdapat pada Multistrada V4 S.
Multistrada V4 S merupakan motosikal pertama di dunia yang didatangkan dengan teknologi radar dari Bosch itu yang menawarkan ciri ‘Adaptive Cruise Control’ dan ‘Blind Spot Detection’.
Ducati Multistrada V4 ini tampil dengan dua varian, V4 dan V4 S dengan kedua-duanya ditawarkan pada harga RM135,900 dan RM146,900.