BMW mungkin menyertai MotoGP pada 2027, akui ketua baharu BMW Motorrad, Markus Flasch.
BMW adalah satu-satunya pengeluar utama Eropah yang tidak hadir di grid MotoGP dan terdapat persoalan yang tidak berkesudahan mengenainya. Bagaimanapun, berita itu bertepatan dengan cadangan perubahan menyeluruh Dorna pada 2027, termasuk mengembalikan kapasiti enjin maksimum kepada 800cc. Terdapat khabar angin yang menyatakan perbincangan BMW dan Dorna telah pun menghasilkan perjanjian yang dipersetujui.
Flasch, dalam temu bual dengan Motorrad menjelaskan bahawa dia adalah “penyokong mutlak sukan permotoran.” Ia merupakan petanda baik kerana dia pernah menjadi ketua bahagian M Sport sebelum menyertai jabatan motosikal pada November tahun lalu. Dia berkata dia juga melihat penglibatan masa depan BMW dalam perlumbaan selain WSBK, FIM World Endurance, dan siri IDM Jerman.
Dia menambah, “Ia sesuatu yang masuk akal untuk kami, dan itulah sebabnya kami melihatnya secara terperinci.
“Saya tidak menolak kemungkinannya.”
Malah, Dorna mengekalkan dua tempat grid untuk penyertaan pasukan pengilang selepas Suzuki menarik diri. Keputusan itu mengecewakan KTM yang mahukan tempat itu untuk 2024.
BMW juga telah mengumpulkan pasukan yang kuat dalam membangunkan program perlumbaan dua roda mereka. Bekas juara EWC dan WSBK (dan bekas pelumba uji MotoGP Suzuki) Sylvain Guintoli mengetuai pasukan program pembangunan EWC dan WSBK. Pemenang podium MotoGP Bradley Smith turut menjadi penunggang ujian.
Juara WSBK 2021 Toprak Razgatlioglu selaku pelumba kilang BMW juga telah membuahkan keputusan teratas serta-merta, dengan mencatat dua kemenangan dan dua podium daripada enam perlumbaan (termasuk Superpole) dalam dua pusingan setakat ini.
Mungkinkah inikah berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat BMW?