Bikesrepublic

BMW R 1300 GS 2024 Serba Baharu Dirasmikan – 12kg Lebih Ringan, 145HP

Selepas sekian lama penantian, BMW Motorrad dengan rasminya memperkenalkan BMW R 1300 GS 2024. Menariknya, bukan hanya enjin yang baru malah BMW telah mereka semula keseluruhan aspek motosikal adventure terkemuka mereka. 

Hasilnya, BMW R 1300 GS kini 12kg lebih ringan berbanding R 1250 GS 2023. 

Enjin

Menurut BMW, R 1300 GS kini dikuasakan enjin boxer 1300cc dengan sistem penyejukan cecair/air yang berupaya menghasilkan 145hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. Seperti model BMW terbaru, model ini juga dilengkapi teknologi BMW ShiftCam (variable valve timing). 

Dalam pada itu, pembangunan R 1300 GS juga memfokuskan pada peningkatan tork dan BMW mendakwa sebanyak 130Nm tork akan hadir antara 3,600 dan 7,800rpm sekaligus memastikan daya tarikan kekal kuat dalam pelbagai senario menunggang. 

Sementara itu, meskipun enjin lebih besar dengan bore dan stroke diletakkan pada 106.5mm x 73mm namun penggunaan bahan api sama efisien seperti R 1250 GS. Menurut BMW, R 1300 GS ini juga boleh mencapai kelajuan maksima 200km/j dan boleh pergi 0-100km/j dalam tempoh 3.39 saat. 

Kehadiran enjin baru juga menyaksikan kotak gear 6-kelajuan kini terletak di bawah enjin berbanding di belakang seperti sebelum ini. Hasilnya, pusat graviti kini lebih rendah di samping model baharu ini tampil lebih kompak. Secara keseluruhan, meskipun enjin lebih besar, platform baharu ini 4kg lebih ringan berbanding R 1250 GS.

Casis

BMW turut membangunkan kerangka serba baharu untuk R 1300 GS ini. Bahagian ‘subframe’ yang sebelum ini menggunakan ‘tubular steel’ telah digantikan dengan komponen lebih kukuh dan menawarkan kawalan menunggang yang lebih cekap. 

Bahagian suspensi pula merangkumi Evo Telelever baharu di bahagian depan dan Evo Paralelever baharu di bahagian belakang. BMW mendakwa rekaan terbaru ini bukan sahaja meningkatkan kemampuan menunggang malah cengkaman yang lebih baik di bahagian belakang. 

Pakej brek pula terdiri daripada kaliper brek 4-pot berkembar di bahagian depa yang dipadankan bersama cakera brek 310mm serta kaliper brek 2-pot belakang dengan cakera brek 285mm. Menariknya, fungsi ABS Pro dan Dynamic Brake Control kini didatangkan secara standard pada model baharu ini. 

Untuk rekod BMR 1300 GS ini datang dengan rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.

Dimensi

Menurut BMW, ketinggian tempat duduk R 1300 GS diletakkan pada 850mm namun dalam keadaan gerak perlahan atau berhenti, fungsi ‘adaptive seat height’ akan menurunkan ketinggian pada 820mm. 

Sementara itu, BMW menyenaraikan berat kering (dry weight) pada 237kg dan kapasiti tangki bahan api pada 19L. 

Ciri tambahan

Melihat kepada gambar, aspek paling mencuri tumpuan tentunya terarah pada bahagian lampu LED depan berbentuk ‘X’ yang sememangnya akan menjadi topik perbincangan di kalangan peminat GS. 

Selain itu, antara ciri lain ditawarkan termasuk 4-mod menunggang; Rain, Road, Eco dan Enduro, dynamic traction control, engine drag torque control, dynamic brake assist, hill start control, TPMS dan dynamic cruise control. 

BMW R 1300 GS ini juga didatangkan dengan ‘handguard’ yang disekalikan dengan lampu isyarat serta bateri litium-ion secara standard. Juga tidak ketinggalan, panel meter TT berwarna 6.5-inci, port USB, soket 12V, sistem tanpa kunci (keyless) dan grip pemanas. 

Varian

BMW R 1300 GS ini hadir dengan tiga varian, Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Tramuntana. 

GALERI: BMW R 1300 GS 2024

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan