Bradley Smith bakal kembali ke perlumbaan GP bagi musim 2022 selepas dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama RNF E-Racing bagi saingan MotoE 2022.
Pelumba Britain itu bersaing di kejuaraan dunia MotoGP dari 2013 dan 2022 bersama Tech3 Yamaha, Red Bull KTM dan Aprilia Racing sebelum undur diri dari kejohanan itu bagi memberi fokus pada projek di luar litar.
Bagaimanapun, Smith sudah bersedia untuk kembali ke litar bersama RNF E-Racing, pasukan MotoE yang ditubuhkan selaras dengan WithU RNF Racing Yamaha MotoGP Team yang akan bersaing di MotoGP.
Menurut laporan media antarabangsa, meskipun pihak Bradley dan RNF masih belum mengesahkan perkara itu namun Bradley hampir pasti akan beraksi di MotoE dengan jentera Energica Ego Corse sebelum Ducati mengambil alih tugas pengeluar bagi musim 2023.
Walaupun tidak terlibat dengan perlumbaan musim 2021, Smith cukup sibuk dengan beberapa projek termasuk menubuhkan pasukan Project 109 untuk saingan siri CIV Italian. Smith juga bertindak selaku jurulatih bagi pelumba Project 109.
Terbaru, Smith juga disenaraikan sebagai pengendali program eSkootr Championship Rider.