CFMoto merupakan antara pengeluar motosikao dari China yang giat membangunkan pelbagai model dalam tempoh setahun dua ini.
Pelancaran 450SR, 450NK termasuk 700CL-X, 800NK dan 800MT bingkas meletakkan jenama itu setaraf dari segi kualiti dan prestasi dengan jenama terkemuka yang telah bertapak lama.
CFMoto juga bakal memperkembangkan lagi tawaran sedia ada kali ini menerusi jentera ‘superbike’ yang dikuasakan enjin V4 1000cc.
Perkembangan enjin tersebut telah pun kami terbitkan pada awal tahun ini apabila CFMoto memfailkan paten platform V4 itu pada Jun tahun lalu. Dokumen tersebut mendedahkan sebuah enjin 1000cc dengan konfigurasi V4 dan berupaya menghasilkan 204hp.
Dalam perkembangan terbaru, tular klip pendek yang menunjukkan CFMoto telah pun memulakan sesi ujian jentera superbike tersebut di China. Meskipun tiada info mengenai nama model prototaip itu tapi kami menggelarkannya sebagai 1000SR, meneruskan kesinambungan daripada 450SR.
Namun begitu, daripada klip tersebut, bunyi yang dihasilkan adalah daripada enjin 4-inline dan bukannya V4 yang terkenal dengan nada lebih agresif dan ‘bersepah’.
Ini bermakna sama ada CFMoto telah membatalkan konfigurasi V4 (atas faktor kos) dan beralih ke 4-inline atau mereka sedang menguji dua jenis enjin berbeza.
Apa yang pasti, kami menjangkakan persoalan ini akan terjawab tidak lama lagi. Adakah jentera dimaksudkan itu akan membuat penampilan di EICMA 2023 yang akan berlangsung di Milan, hujung tahun ini? Sama-sama kita nantikan.