Italjet telah melantik Andrea Dovizioso selaku duta baharu syarikat itu.
Menurut pengeluar motosikal berpangkalan di Bologna, Itali itu, Dovizioso bukan sahaja akan membantu meluaskan jenama Italjet malah bakal menghulur bantuan teknikal dalam pembangunan skuter Dragster.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Italjet Spa, Massimo Tartarini mengesahkan perkara itu.
“Ketika di peringkat rekaan, kami membayangkan Dragster sebagai sebuah jentera superbike bersaiz kecil yang sesuai ditunggang di kawasan bandar.
“Saya mahu Dragster memenuhi potensinya, jadi dari situ saya berpendapat tiada calon lain yang lebih layak selain dari Andrea Dovizioso. Individu yang mampu membawa Dragster ke peringkat lebih tinggi,” jelas Tartarini.
Dovizioso turut berkongsi pendapatnya mengenai Italjet Dragster.
“Saya berasa kagum kali pertama melihatnya. Saya gembira kerana dapat memberi sumbangan dalam pembangunan chasis, sistem brek dan enjin Dragster,” jelasnya.
Menurut Italjet, syarikat itu telah pun menerima ribuan tempahan Dragster dari seluruh dunia termasuk Jepun.