Ducati World Premier (DWP) kembali dengan pelbagai barisan model 2022 sedia dilancarkan secara ‘web series’.
Menurut Ducati, siri pertama akan disiarkan bermula 30 September ini menerusi semua platform antaranya di laman web rasmi dan saluran YouTube.
Sementara episod akhir ‘web series’ tersebut akan disiarkan pada 9 Disember ini yang bakal menyaksikan jenama motosikal Itali itu memperkenalkan model serba baharu, DesertX.
Ducati DesertX merupakan motosikal ‘adventure’ serba baharu, direka dengan keupayaan ‘off-road’ tertinggi hasil bantuan kerangka baharu dengan gabungan rim 21 inci depan dan dipadankan bersama enjin Testasretta 937cc.
Ducati juga pernah menayangkan DesertX sebagai jentera konsep pada EICMA 2019.
Berbanding Ducati Multistrada V4 yang merupakan jentera ‘dual-purpose’, DesertX merupakan model yang memfokuskan tunggangan ‘off-road’ yang lebih lasak.
Berikut jadual bagi tayangan setiap siri DWP 2022:
- EP1: Your Everyday Wonder – 30 September 2021
- EP2: Mark Your Roots – 14 Oktober 2021
- EP3: Rule All Mountains – 28 Oktober 2021
- EP4: A New Fighter In Town – 11 November 2021
- EP5: The Evolution Of Speed – 25 November 2021
- EP6: Dream Wilder (DesertX) – 9 Disember 2021
Selain daripada episod 6 yang jelas merujuk kepada DesertX, kami jangkakan Episod 3 Rule All Mountains pula menggambarkan Multistrada V4 Pikes Peak yang telah pun didedahkan menerusi beberapa foto ‘spyshot’.
Sementara itu, Episod 4 A New Fighter In Town mungkin merujuk pada Streetfighter V2 yang dicanang akan dilancarkan menerusi DWP 2022 sebelum ini.
Apa pun, nantikan tayangan ‘web series’ DWP 2022 ini nanti.