Pengeluar motosikal mewah Itali, Ducati akan kembali menyertai pameran motosikal terbesar EICMA bagi edisi 2022.
Ducati terlepas edisi 2021 tahun lalu ekoran memfokuskan pelancaran motosikal menerusi ‘Ducati World Premier (DWP) yang dijalankan secara strim langsung.
EICMA 2021 juga dijalankan tanpa beberapa jenama terkemuka termasuk BMW dan KTM dengan masing-masing memilih memperkenalkan model baharu dengan sendirinya dan secara atas talian.
Bagaimanapun, kilang Borgo Panigale akan kembali memeriahkan EICMA yang akan berlangsung pada 8 hingga 15 November ini.
Ini kerana meskipun DWP berjaya menarik pelanggan namun EICMA sentiasa menjadi platform yang lebih berkesan dalam menarik minat orang ramai apatah lagi pelanggan dapat menyaksikan model terbaru Ducati dengan lebih dekat.
Namun, Ducati juga mengesahkan bahawa segala pelancaran motosikal baharu di EICMA 2022 akan turut ditayangkan secara strim langsung sebagai Ducati World Premier 2023.