Meskipun kejuaraan dunia MotoGP baru memasuki pusingan ketujuh namun pelbagai aktiviti belakang tabir sudah mula mengambil tempat.
Pengumuman Suzuki untuk undur diri dari kejuaraan itu hujung musim ini telah mencetuskan pelbagai ketidaktentuan terutamanya membabitkan slot pelumba menjelang musim 2023.
Ketika pasukan lain sedang mengorak langkah bagi memancing Joan Mir dan Alex Rins musim depan, Ducati memberi fokus penuh terhadap pelumba sedia ada termasuk yang berada di pasukan satelit.
Terbaru, Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti mengesahkan pihaknya enggan kehilangan dua bakat muda, Enea Bastianini (Gresini Racing) dan Jorge Martin (Pramac).
Bercakap kepada Autosport, ini komen Ciabatti mengenai status kedua-dua pelumba muda itu.
“Saya sering berkata kami mahu mengikat Jorge (Martin) dan Enea (Bastianini).
“Ketika ini Jorge sedang bergelut tetapi dia sudah pun membuktikan kemampuan sementara Enea sedang mencabar kejuaraan dunia. Sementara itu, Johann (Zarco) sedang menunggang dengan cemerlang namun kurang sengat untuk menaiki podium,” jelasnya.
Martin dan Bastianini disebut-sebut sebagai calon utama untuk menggantikan Jack Miller di pasukan factory.
Bagaimanapun, pelumba tonggak, Francesco Bagnaia mengharapkan Miller terus kekal sebagai rakan sepasukan ekoran sudah mempunyai persefahaman baik dengan pelumba Australia itu.