Ducati dengan rasminya melancarkan Multistrada V4 S Grand Tour 2024 untuk pasaran global sekaligus memperkembang tawaran motosikal ‘touring’ daripada keluarga Multistrada.
Seperti Multistrada V4 lain, varian V4 S Grand Tour ini juga dikuasakan enjin Granturismo V4 1,158cc yang menawarkan 170hp dan 125Nm. Enjin ini dihasilkan khas untuk pengembaraan jarak jauh ekoran hanya memerlukan servis tukar minyak bagi setiap 15,000km dengan pemeriksaan valve (valve clearance) hanya perlu dilakukan bagi setiap 60,000km.
Menurut Ducati, Multistrada V4 S Grand Tour ini datang dengan empat mod menunggang; Sport, Touring, Enduro dan Urban dengan varian Sport dan Touring menawarkan kuasa sepenuhnya sementara Enduro dan Urban pula menyelaraskan kuasa enjin kepada hanya 112.6hp.
Menariknya, Multistrada V4 S Grand Tour ini juga dilengkapi dengan pakej Travel dan Radar yang didatangkan secara standard sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan ‘blind spot detection’.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif Ducati Skyhook dengan fungsi Minimum Preload dan Easy Lift. Tidak dilupakan Grand Tour ini juga tampil dengan penghadang angin boleh laras, ‘handguard’, lampu kabus, TPMS (tyre pressure monitoring system), grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas.
Bagi memudahkan kendalian sewaktu berhenti, Grand Tour juga datang dengan ‘center stand’. Ciri ini juga membantu ketika membuat selenggara biasa terutamanya menyembur pelinciri di rantai selepas seharian menunggang.