Ducati menutup enam bulan pertama 2023 dengan cemerlang apabila merekodkan jualan tertinggi bagi separuh pertama tahunan.
Pengeluar motosikal Itali itu berjaya menyerahkan 34,976 motosikal kepada pelanggan di serata dunia sekaligus mencatatkan peningkatan 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ini adalah separuh pertama terbaik pernah dilakukan Ducati dari aspek penyerahan. Sebanyak 34,976 motosikal telah diserahkan sekaligus membuktikan semangat klien kami dalam menghargai produk ditawarkan.
“Kami akan terus komited dalam memastikan Ducatisti rasa puas terhadap produk kami sekaligus menyuntik semangat mereka di Borgo Panigale untuk menawarkan produk terbaik,” jelas Timbalan Presiden Jualan Global Dan Selepas Jualan Ducati, Francesco Milicia.
Pasaran Itali terus menjadi peneraju utama dengan 6,639 motosikal diserahkan, naik 10 peratus berbanding 2022 diikuti pasaran Amerika Syarikat dengan 4,505 motosikal diserahkan sekaligus naik 11 peratus berbanding tahun lalu. Jerman muncul ketiga dengan peningkatan sebanyak 13 peratus kepada 4,217 motosikal diserahkan,
Seperti kebiasaan, Ducati Multistrada V4 kekal model popular dengan 6,382 unit dijual dari Januari hingga Jun 2023. Monster kedua dengan 4,299 unit diserahkan sementara Scrambler Ducati 800 ketiga dengan 3,581 unit diserahkan kepada pelanggan.