Ducati XDiavel V4 (2025) telah membuat penampilan sulungnya dan kini dikuasakan oleh enjin V4.
Sistem Kuasa
Enjin Granturismo V4 sudah digunakan dalam barisan Diavel S dan Multistrada V4. Oleh itu, motosikal baru ini menawarkan 168 hp (124 kW) pada 10,750 RPM dan 126 Nm pada 7,500 RPM, berbanding 160 hp (118 kW) dan 127 Nm pada 5,000 RPM yang dihasilkan oleh enjin Testastretta DVT V2 1262cc sebelumnya. Ini merupakan peningkatan kuasa puncak sebanyak 8hp, walaupun tork maksimum telah beralih sebanyak 2,500 RPM ke atas dalam julat kuasa.
Namun kuasa maksimum hanyalah sebahagian daripada cerita, kerana enjin V4 ini dilengkapi dengan aci engkol yang berputar berlawanan arah yang meningkatkan kelincahan. Selain itu, Ducati XDiavel V4 (2025) mempunyai berat sebanyak 229 kg, iaitu 6 kg lebih ringan daripada model sebelumnya. Ya, enjin V4 sebenarnya lebih ringan daripada enjin V2. Jadi, lebih banyak kuasa, kurang berat bermakna motosikal yang lebih laju dan lincah.
Casis
Tugas suspensi dikendalikan oleh fork terbalik 50mm yang boleh dilaras sepenuhnya di bahagian hadapan, dilengkapi dengan monoshock yang juga boleh dilaras sepenuhnya di bahagian belakang. Lengan ayun merupakan jenis sebelah tunggal aluminium.
Masih mengenai casis, sistem brek terdiri daripada kaliper Brembo Stylema monobloc empat piston yang mencengkam dua cakera 330mm di bahagian hadapan. Brek belakang pula menggunakan satu cakera 265mm yang dicengkam oleh kaliper Brembo dua piston.
Kedudukan menunggang juga telah dikaji semula dengan handel yang diturunkan dan didekatkan kepada penunggang. Tempat duduk kini dilengkapi dengan bahan yang lebih tebal untuk keselesaan yang lebih baik.
Elektronik
Beralih kepada ciri-ciri elektronik, Ducati XDiavel V4 2025 mempunyai tiga mod kuasa dengan empat mod menunggang iaitu Sport, Touring, Urban, dan Wet. Kawalan traction, kawalan wheelie, ABS membelok, kawalan cruise, dan quickshifter, semuanya ada.
Skrin TFT warna baharu bersaiz 6.9 inci telah juga dipasang. Ia menawarkan sambungan Bluetooth untuk pautan telefon pintar bagi panggilan, mesej teks, dan muzik, atau menggunakan sistem navigasi langkah demi langkah (hanya tersedia sebagai aksesori) melalui Aplikasi Ducati Link.
Pilihan warna
Terdapat dua warna baharu untuk Ducati XDiavel V4 2025 yang dipanggil Burning Red dan Black Lava, kedua-duanya metalik. Harga belum didedahkan.