Bikesrepublic

Elak Tol Naik, Kerajaan Pertimbang Sambung Konsesi Tol Sehingga 30 Tahun

Kerajaan sedang pertimbangkan kemungkinan untuk menyambung tempoh konsesi pengendali lebuhraya di Semenanjung Malaysia sehingga 30 tahun bagi mengelakkan kenaikan tol semasa. 

Memetik laporan Malay Mail dengan rujukan sumber asal dari The Edge, perkara itu masih belum mendapat kelulusan pihak Kabinet. Namun, sekiranya diberi lampu hijau, pelaksanaan tersebut akan diumumkan pada pertengahan tahun ini. 

“Saya diberitahu bahawa kerajaan sedang melihat untuk menaikkan tempoh sehingga 30 tahun untuk semua pemegang konsesi.

“Ia mungkin akan diumumkan pada separa kedua tahun ini,” kata sumber yang tidak didedahkan itu kepada The Edge. 

Sumber sama juga memberitahu bahawa pihak kerajaan telah pun memaklumkan pengendali lebuhraya akan kebarangkalian penyambungan tempoh konsesi tersebut. 

Laporan tersebut juga mendakwa lanjutan tempoh konsesi itu adalah bagi mengelakan kenaikan kadar tol di samping mengelak kerajaan membayar pampasan kepada pengendali lebuhraya sedia ada. 

Satu lagi sumber berkata bahawa tawaran melanjutkan konsesi tol juga adalah sebagai tukaran untuk mengurangkan kadar tol. 

Sekiranya dilaksanakan, senario itu bukan lagi perkara baru kerana tiga tahun lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui Lim Guan Eng menurunkan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad sehingga 2058. 

Penurunan itu dilaksanakan selepas kerajaan melanjutkan tempoh konsesi tol yang sepatutnya berakhir pada 2038 kepada 2058. – Malay Mail

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan