Jenama akeseori motosikal Itali, GIVI dengan rasminya kembali ke Kejuaraan Petronas Malaysian CubPrix setelah diumumkan menjadi penaja utama pasukan GIVI Tekhne Yamaha AHM Motorsports bagi musim 2023.
GIVI dalam satu kenyataan mendedahkan satu majlis sederhana telah diadakan di ibu pejabat AHM Motorsports bagi meraikan perkembangan terbaru itu.
“Pengasas GIVI, Giuseppe Vicenzi sendiri merupakan seorang pelumba motosikal tahap dunia, justeru selaku penaja utama buat pasukan ini, kami sangat berbesar hati serta yakin dan percaya bahawa penajaan dan kolaborasi ini mampu meningkatkan lagi jenama GIVI itu sendiri khususnya buat peminat dunia sukan permotoran dan penunggang motosikal secara umumnya.
“Pelbagai usaha dan masa yang banyak dilaburkan untuk menghasilkan jenama yang kukuh dan berbeza, sesuai dengan nilai dan visi kami. Kami percaya ianya mampu menyerlahkan identiti kami dengan berkesan kepada peminat dan pihak berkepentingan,” kata Pengarah Urusan GIVI Asia, On Hai Swee.
Dalam pada itu, Pengasas AHM Motorsports, Kenny Chua juga teruja dengan perkembangan tersebut.
“Tahun 2023, merupakan detik sangat bermakna buat kami Tekhne Yamaha AHM Motorsports kerana dapat berkolaborasi bersama jenama antarabangsa GIVI.
“Selaku penaja utama buat pasukan ini, kami berharap rancangan penjenamaan ini dapat menarik minat dan melatih lebih ramai anak muda dalam bidang sukan permotoran ini,” jelas Pengasas AHM Motorsports, Kenny Chua.
GIVI Tekhne Yamaha AHM Motorsports mempertaruhkan Faiz Zekri #15, Iqbal Amri #21 dan Afizad Supaat #12 bagi kategori GP150 bersama jentera Yamaha Y15ZR. Ketika pusingan ketiga di Jasin, Melaka hujung minggu lalu, Faiz menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11, Iqbal di kedudukan ke-8 manalala Afizad di P12.
Kejuaraan Malaysian Cub Prix 2023 telah pun membuka tirai pada Februari lalu dan akan menutup tirai di Batu Kawan, Pulau Pinang, November ini.