Bikesrepublic

Hafizh Pelumba Terbaik Yang Malaysia Ada Sekarang Ini – Zulfahmi

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin sempat berkongsikan pendapatnya tentang pelumba tunggal negara dalam saingan Moto2, Hafizh Syahrin, menerusi Facebook Live, semalam.

Hal ini kerana, Hafizh merupakan satu-satunya pelumba yang masih membawa nama negara di pentas permotoran tertinggi di dunia itu bersama pasukan NTS RW Racing.

Bagaimanapun, Hafizh akan ditemani seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin, yang akan bersama dalam saingan Moto2 hujung minggu ini di GP Britain, setelah mendapat tiket menggantikan Jake Dixon di Petronas Sprinta Racing.

Namun bagi Zulfahmi, Hafizh tetap berada di satu tahap yang lebih tinggi meskipun kedua-duanya akan bersaing bersama di Litar Silverstone.

“Dia pelumba yang bagus dan yang terbaik Malaysia ada sekarang ini.

“Sejujurnya, pada saya, dia (Hafizh) berada pada satu tahap lagi bagus dari Adam terutamanya dengan pengalaman dan skil menunggang motosikal,” kata Zulfahmi.

Meskipun menyedari kedudukan Hafizh ketika ini kurang memberangsangkan namun bagi Zulfahmi, itu bukanlah penanda aras bagi komitmen yang ditonjolkan pelumba itu.

“Kalau kita tengok waktu perlumbaan, Hafizh selalu buat lebih baik daripada sesi kelayakan.

“Tetapi dengan sebab-sebab tertentu antaranya berada di NTS yang merupakan sebuah pasukan baharu jadi kedudukan dia tak kompetitif,” tambahnya.

Apa sekalipun, Zulfahmi menegaskan bahawa Hafizh sentiasa memberikan segalanya tidak kira apa keputusannya di hujung perlumbaan.

“Dia seorang yang sangat kompetitif.

“Orang luar yang minat sukan permotoran perlu faham macam mana sukan ini berjalan.

“Saya sebagai seorang kawan kepada Hafizh, saya sentiasa sokong dia. Tak kira keputusan dia bagus atau tidak, saya tahun dia berikan 100 peratus pada karier dia jadi saya harapkan yang terbaik untuknya, jelas Zulfahmi lagi.

Hafizh dan Adam bakal turun hujung minggu ini bagi melalui pusingan ke-12 MotoGP.

Co-founder of Bikes Republic and a motoring journalist by night. He is a self described enthusiasts with a passion for speed but instead rides a Harley and a J300. A man of contradictions, he is just as passionate about time off in the quiets as he is about trail braking into turn one at Sepang Circuit on two or four wheels.

Artikel Berkaitan

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube