Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bakal membuat penampilan bersama pasukan Team Kagayama pada perlumbaan endurance Suzuka 8 Hours yang akan berlangsung di Litar Suzuka dari 19 hingga 21 Julai ini.
Beliau akan tetap menunggang jentera Ducati V4 R yang turut digunakan di dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada tahun ini.
Pengesahan itu dimaklumkan pasukan JDT Racing Team dalam satu hantaran di akaun X mereka.
“Ucapan terima kasih kepada pemilik kami Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana membolehkan kolaborasi dan ujian tertutup bersama Team Kagayama, yang juga mewakili pengeluar Ducati untuk Perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka pada Julai ini.
“Menaiki jentera pengeluar Ducati V4R. Sungguh satu pengalaman!,” kata pasukan berkenaan dalam hantarannya.
Hafizh yang menyertai saingan ARRC bersama JDT Racing Team pada tahun ini sudah mengumpul 45 mata dalam kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000) untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan menjelang perlumbaan di Motegi, hujung minggu ini.
Setakat dua pusingan lalu di Thailand dan China, Hafizh sudah membuktikan prestasinya bersama jentera Ducati Panigale V4R dengan meraih dua penamat di podium.
Kali pertama adalah di Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada pertengahan Mac lalu yang menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba Honda Asia-Dream Racing with Astemo, Andi Farid Izdihar.
Momentum itu kemudian di bawa Hafizh ke Perlumbaan 1 Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China pada April lalu apabila menemui garisan penamat selaku pemenang.